MENGGELETAR lutut Ayu. Sakit perut
pun ada. Padahal baru seminit dia duduk di situ. Malam-malam begini tiada
sesiapa yang ada di pondok perhentian bas itu. Hanya kedai kecil di situ saja
yang ada. Sesekali ada juga yang datang ke situ. Sekejapan saja dan kemudian
ada teksi yang berhenti mengambil mereka.
Sambil duduk memeluk buku-buku yang dibawa, dia ralit memerhati kenderaan
yang lalu-lalang.
“Assalamualaikum...”
Ayu menoleh. Serta-merta senyumannya meleret. “Waalaikumussalam...” Lutut
yang tadi menggeletar, makin longlai dirasakannya.
Shahrul melabuhkan duduk di sebelah Ayu. Taklah terlalu sebelah, masih ada
ruang antara mereka.
“Awak sihat?” tanya Shahrul dengan suara yang lembut.
Ayu mengangguk sambil tersenyum. Dia mengerling Shahrul sekilas. Ya
ALLAH... terasa panas mukanya ketika ini. Shahrul baru tanya macam tu dia dah
rasa nak pengsan.
“Dah lama Ayu sampai?”
“Baru aje.” Ayu cuba menenangkan diri dan buat macam biasa. Dia menarik
nafas dalam-dalam. “Oh... ni buku-buku nota untuk awak.” Buku yang dipegang
dihulur pada Shahrul.
Shahrul menyambutnya dengan senang hati. “Terima kasih. Lepas ni kalau
saya dapat A+, awak kena bertanggungjawab ya? Sebab awak yang bagi buku-buku ni
kat saya.”
Ayu tertawa. “Tapi awak yang nak buku-buku ni.”
“Tapi awak yang nak bagi,” ingat Shahrul.
“Tapi awak yang ambil buku tu.” Ayu tersenyum.
“Tapi...” Shahrul putus idea. “Tapi awak cantik.”
Ayu terdiam. Tergamam. Ada getar yang hebat sedang bergelora mendengar
kata-kata Shahrul itu. Bagaimana hanya dengan mendengar apa yang Shahrul cakap
boleh buat hatinya berdebar-debar? Pelik!
Shahrul tersenyum. Dia tahu Ayu sedang tersentuh. “Rumah awak kat
mana?”
“Err... kat belakang ni. Tak jauh. Blok 80. Saya jalan kaki aje ke sini.”
Ayu bersuara juga walau ada getar pada suaranya.
“Oh... dekat dengan rumah Atang. Rumah Atang kat blok 84. Saya ada jugak
ke rumah dia. Kadang-kadang. Tapi tu dululah.”
Ya, Atang tinggal berdekatan dengan blok rumah Darus. Tempat Jeffry datang
menyibuk. Kalau nampak dia meniaga di gerai, mulalah keluar tanduk dia. Anak
setanlah katakan. Kemudian Ayu teringat sesuatu. “Eh, awak datang sini naik
apa? Tak nampak pun awak bawa motor. Tiba-tiba saya tengok awak dah ada kat
sini.”
“Sepupu saya hantar kat Seksyen 18 tadi. Saya jalan kaki ke sini. Bukannya
jauh pun. Seberang jalan aje.”
“Oh...” Ayu diam sambil bermain-main dengan jemari sendiri. Apa lagi nak
cakap ya? Kelu pulak lidah ni. Haihh... duduk sebelah-menyebelah macam ni rasa
macam berdating pulak. Malunya!
Shahrul sudah menyelak-nyelak buku yang Ayu berikan kepadanya. “Ah...
susahnya nak hafal teori-teori ni!” Dia sedikit mengeluh. Diselak muka surat
yang lain pula.
“Janganlah cakap susah. Kalau awak cakap susah, nanti memang jadi susah.”
Ayu cuba menenangkan hati Shahrul. Kesian pula dia melihat Shahrul seperti
bersusah payah memahami nota-nota itu.
“Awak... ni memang betul-betul susah. Saya tak bohong. Saya bab menghafal
ni memangfail.” Suara Shahrul
mendayu.
Lemah longlai hati Ayu mendengarnya.
Ya ALLAH... kenapa Shahrul ni sangat memukau jiwanya?
“Awak ajar saya boleh tak? Awak jadi mentor saya. Boleh tak?”
Ayu memandang wajah Shahrul yang merenungnya sambil terkelip-kelip mata.
Makin lemah gemalai perasaannya. Dia rasa nak cair saat itu jugak.
“Awak macam tak nak aje. Okeylah, saya sanggup belanja awak malam ni.
Janji awak sudi jadi mentor saya. Okey?” Shahrul tetap cuba mahu menawan hati
Ayu. “Please...”
Aduh... memang aku kalahlah dengan Shahrul ni. Habis ‘penebat’ aku.
“Okey eh? Jom kita makan kat Kopitiam Pak Li. Saya belanja. Kat depan tu
aje,” pujuk Shahrul seraya berdiri. Dengan isyarat tangan dia mengalukan agar
Ayu berdiri dan beriringan dengannya.
Melihat Shahrul bersungguh-sungguh, Ayu akhirnya mengalah. Sambil
tersenyum dia berdiri.
“Yes!” Shahrul menggenggam penumbuknya dengan wajah girang.
Tertawa Ayu dibuatnya. Mereka beriringan melintasi jalan raya dan menuju
ke Kopitiam Pak Li.
“Oh... lupa nak beritahu.” Ayu bersuara di pertengahan jalan. “Buku-buku
yang saya bagi awak ni, saya bagi pinjam aje tau. Hujung semester nanti bagi
saya balik.”
“Eh, eh... buruk siku!” Shahrul mencebik, merajuk.
“Okey apa saya bagi pinjam. Kalau saya jual, lagi teruk.”
Shahrul ketawa. “Amboi... demand betul awak ni. Tak apalah. Kalau
awak nak jual pun saya sanggup beli.”
Mata Ayu membuntang. “Betul ni?”
Shahrul mengangguk yakin. “Tapi jangan jual mahal sangatlah.”
“Okey. Saya jual tak mahal. Sehelai satu ringgit aje.” Ayu sudah menahan
gelak.
“Sehelai satu ringgit? Satu buku tu mahu beratus-ratus helai. Awak ni...”
Shahrul menarik muka.
Akhirnya, ketawa Ayu terburai. “Saya gurau aje.”
“Tapi kalau awak jual pun saya sanggup beli!”
“Tak payahlah...”
“Betul ni saya nak beli. Semua buku tu kira cincailah. Dua ringgit.”
Shahrul bercanda.
“Murah sangat.” Ayu melayan gurauan Shahrul.
“Okey, saya up lagi. Dua ringgit seposen.”
Ayu terkekeh-kekeh ketawa. Luculah Shahrul ni. Dia ketawa sambil tangan
kanannya digoyang-goyang menyuruh Shahrul jangan buat lawak lagi.
“Dua ringgit seposen setengah?” Shahrul tetap mahu berlucu.
Ketawa Ayu makin menjadi-jadi. Dia begitu gembira malam itu. Apatah lagi
bersama Shahrul. Makin dia menaruh rasa cinta pada lelaki itu. Sungguh dia
benar-benar bahagia.