AYU yang agak terlewat hari ini bersahaja masuk ke dalam kelas walau
dijeling Puan Arfah yang sedang mengajar. Berhati-hati dia menutup pintu walau
kehadirannya ketika itu memang sudah mengganggu. Banyak mata memandangnya.
“Awalnya sampai, Adrea Ayuza.” Sempat Puan Arfah memerli.
“Maaf, puan. Bas lambat,” jawab Ayu cuba membela diri. Dia melangkah ke
arah Eja dan Mala yang sudah menyediakan kerusi kosong untuknya. Lekas-lekas
dia duduk dan mengeluarkan buku nota.
“Oh... bas lambat. Bukan awak yang tak cepat?”
Satu kelas ketawa walaupun perlahan.
Terasa pedih telinga Ayu. Namun, dia jenis yang tak mudah makan hati.
Apatah lagi apabila dia rasa bukan salahnya.
Puan Arfah menilik pakaian Ayu. Baju blaus warna hijau, tudung merah jambu
muda, skirt pula biru tua. Semua warna ada. “Cantik penampilan awak. Ceria.”
Sekali lagi dia menyindir.
Satu kelas ketawa lagi. Mereka memang sudah faham dengan karektor Ayu.
Kalau berpakaian, main bantai saja warna yang dikenakan walaupun tak sesuai.
Ayu diam. Mukanya sudah terasa panas kerana malu.
“Ayu, Ayu...” Puan Arfah menggeleng. Pelik dia dengan pelajarnya yang
seorang itu. Tapi cakaplah apa saja, dia tengok riak wajah Ayu kelihatan kosong
saja. “Okey, kelas... kita sambung semula.”
Ayu cuba fokus pada kuliah. Sesekali dia terdengar suara ketawa yang
perlahan. Langsung dia tak menghiraukannya. Namun, seketika kemudian dia
menunduk memandang tudung dan bajunya. Terlepas nafas yang agak panjang. Dia
menoleh ke kanan apabila terasa lengannya dicuit.
Eja menunjukkan isyarat supaya bersabar.
Ayu menggariskan senyuman tawar.
“SEMUA assignment ni
saya nak kamu semua hantar minggu depan.” Prof. Azizul meletakkanmarker pen di atas meja setelah menulis nota untuk hari itu di papan
putih.
“Minggu depan?” Jeffry berpura-pura buat muka terperanjat. Dipandang
gengnya yang lain mengharapkan sokongan.
“Yalah, prof. Cepat sangat minggu depan.” Atang juga buat muka resah.
“Banyak assignment kita orang nak kena buat ni.”
“Assignment ni senang aje, Muhamad Zabidin Daud. Comedy shot.
Takkanlah kamu semua tak boleh siapkan assignment ni cepat-cepat.” Prof.
Azizul siap menyebut nama penuh Atang. Dia sudah tahu perangai
pelajar-pelajarnya. Ada saja alasan mereka!
“Nak buat cepat tak ada masalah, prof. Tapi kita orang ni nak buat yang
paling berkualiti. Setakat photo shot cikai-cikai main tangkap muat ni
tak mainlah. Betul tak?” Jeffry memandang rakan-rakan sekelas yang lain.
“Betul...” sahut mereka beramai-ramai.
Namun, ada juga yang meluat dengan Jeffry. Tugasan senang macam tu pun nak
lengah-lengah. Mengada-ngada!
Jeffry tersengih dengan muka nakal. Gembira hatinya kerana ramai yang
bersetuju.
“Prof, bagi dua minggulah. Confirm semua orang boleh hantar on
time. Cantik punya!” Shahrul yang bersengkokol dengan Jeffry ‘meracun’
fikiran Prof. Azizul pula. Sempat dia mengenyit mata pada Atang di sebelahnya.
Jeffry menunjuk ibu jarinya dengan kening kanan terangkat-angkat.
“Betul tu, prof. Nak kena print sendiri pulak tu. Lab asyik
penuh dengan senior aje. Kita orang ni macam kena tindas pulak.” Fauzi tak mahu
ketinggalan memujuk Prof. Azizul.
Prof. Azizul yang berwajah serius itu memandang jam tangannya. Kelasnya
sudah berakhir. Lalu dicapai buku rujukan dan briefcasenya. Dia langsung
tidak memberi respons pada kata-kata pelajarnya tadi.
“Alah, prof... takkan tak boleh kot.” Jeffry masih mencuba nasib.
Prof. Azizul melangkah ke pintu. “Kita jumpa minggu depan.”
Jeffry yang tersengih-sengih nakal terus mati senyumannya. “Prof. ni tak sportinglah.
Tak membina semangat student langsung.” Selamba dia bersuara.
Prof. Azizul berpaling merenung Jeffry. Kemudian dia menurunkan sedikit
cermin matanya. “Kelas kita minggu depan. Hantar assignment lagi dua
minggu.”
Terbeliak mata Jeffry menentang mata Prof. Azizul.
Sebaik sahaja pensyarah mereka keluar, terkinja-kinja Jeffry dan
kawan-kawannya. Ada yang seronok. Ada juga yang menjeling meluat.
“Menyampahlah dengan orang yang suka bodek lecture ni,” ujar
Samsul. Dia mencebik pada kawan-kawan sekutunya yang mengangguk setuju.
Mereka mencebik juga sebagai isyarat tidak suka pada Jeffry dan Geng Mat
Ngek.
“Kau pun sebenarnya suka hantar assignment lambat, kan? Kan
kawan-kawan?” Jeffry tersenyum kemenangan apabila ramai yang menjawab ‘ya’.
Yang paling kuat bersuara sudah tentulah Atang, Shahrul, Fauzi dan Burn. Mereka
satu geng, satu kepala!
Baru beberapa langkah Jeffry dan gengnya keluar dari kelas, langkah mereka
terhenti apabila terpandang sesusuk tubuh di hadapan.
“Julie?” Jeffry mengerutkan dahi. “Julie buat apa kat sini?”
“Hai, Jeffry Eddie!” Senyuman Julie berkembang mekar. “Julie ada shooting
dengan senior Jeff.” Dipaut gadis di sebelahnya. Penemanlah tu agaknya.
“Kenapa? Student Mass Com tak boleh datang Fakulti Art and Design ke?”
“Oh... tak adalah. Boleh, boleh. Jeff cuma terkejut aje tengok Julie
tiba-tiba ada kat sini.” Jeffry tersengih.
Julie pernah menjadi model untuk tugasannya. Gadis secantik Julie memang
jadi rebutan sekiranya pelajar fotografi memerlukan model. Lebih-lebih lagi
Julie pelajar Komunikasi Massa. Lagilah laku. Pelajar Komunikasi Massa ni suka
bergaya, suka berposing.
“You tak ada assignment yang gunakan model ke? Lepas assignment
you dengan Julie hari tu, takkan tak ada assignment lain?” Julie
meliuk-lentok manja. Rambut separuh ikalnya diulit-ulit dengan jari.
“Ada assignment. Tapi tak perlukan model. Kalau perlukan model,
nanti Jeff call Julie.” Jeffry mengenyitkan matanya.
“Kalau you ambil Julie jadi model, Julie sanggup reject offer orang
lain.”
Hati Jeffry kembang. “Ya ke? Terharunya. Oh ya... Jeff lupa nak beritahu. Assignment
yang Julie jadi model hari tu, lecturer Jeff puji tau. Dia kata
begini...” Dia menunjukkan kedua-dua ibu jarinya yang ditegakkan.
Julie ketawa perlahan. Bangga dia dipuji begitu.
Kawan-kawan Jeffry tersengih-sengih. Jeffry ni memandai aje. Entah bila
masa lecturer puji assignment dia. Nak ambil hati Julie pun
agak-agaklah.
“Okey, Jeff. Julie nak pergi studio ni. Nak mekap dulu. Nanti kita calling-calling
ya. Ingat tau!” Manis senyuman Julie mendengar janji Jeffry. Dia sudah jatuh
hati pada lelaki itu. Pedulilah apa orang nak kata pasal Jeffry. Yang penting
Jeffry kacak, bergaya dan menawan hatinya.
Jeffry memandang Julie yang ditemani kawannya itu berlalu pergi. Jadi
model untuk tugasan pelajar fotografi bukan dibayar pun. Paling tidak pun
dibelanja makan. Itupun berebut-rebut pelajar-pelajar perempuan nak jadi model.
Gila glamour kot.
Atang, Fauzi, Shahrul dan Burn juga menikmati lenggok langkah Julie dari
belakang dan kawannya yang boleh tahan lawa juga. Masing-masing ternganga.
Jeffry menunjal kepala Atang yang hampir meleleh air liurnya.
Atang memandang Jeffry sambil tersengih-sengih. Lalu dia menyenggol bahu
Shahrul.
“Apa da!” kata Jeffry. “Jomlah kita berambus. Ada gadis-gadis yang nak
ikut kita orang lepak-lepak tak? Best tau melepak dengan kita orang.”
Dia mengusik rakan-rakan perempuan sekelasnya yang melintasi mereka.
“Tak nak aku! Keluar dengan Geng Mat Ngek,lama-lama otak aku tak betul macam kau orang.”
Berdekah ketawa yang ada di situmendengar
penolakan Zarina.
Jeffry tersengih sambil memandang gengnyadenganmemberi isyarat.
Kelihatan Atang sudah lebar senyumannya. Idea nakalnya datang. Oh... kau ejek
kita orang Geng Mat Ngek ya, Zarina? Tak apa... tak apa...
Mereka berlengah-lengah, membiarkan Zarina dan kawan-kawannya berlalu
dulu. Setelah memastikan semuanya seperti yang dirancang, mereka berlima
mengekori. Sasaran ditarget. Mangsa sudah ada di depan mata. Perlahan-lahan
mereka menghampiri Zarina dan kawan-kawannya yang sedang berlenggang.
Jeffry dengan serangan hendap merapati Zarina, lantas menarik beg sandang
gadis itu lalu membawanya lari.
Kerana terkejut Zarina menjerit.
Atang dan Fauzi apa lagi. Secara berduet, mereka merentap tudung yang
dipakai Zarina sampai senget sebelum berlari bersama Shahrul, Burn dan Jeffry
yang sudah mengekek ketawa.
“Kurang ajar! Gila! Otak senget! Ngok ngek!” Entah apa lagi yang Zarina
hamunkan sambil melihat beg sandangnya tercampak jauh dari tempatnya berdiri.
Ketawa Geng Mat Ngek bergema-gema.