Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lelaki Pilihan Ameena
Lelaki Pilihan Ameena
awa
11/12/2024 12:48:18
252
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 3

SEBELUM berangkat ke tempat kerja, sempat Ameena menghantar Akif ke stesen bas. Ikutkan hati, mahu saja Ameena menunggu sehingga bas sampai namun dibangkang keras oleh adiknya. Kata adiknya, dia lelaki, boleh berdikari, ada juga asas seni mempertahan diri lagi. Tiada apa yang perlu dirisaukan.


Setelah puas mendengar hujah dan kehebatan Akif, akhirnya Ameena akur. Kebetulan juga dia sudah terlambat untuk ke tempat kerja pagi ini. Maka dia menitip segala pesanan selaku kakak sulung sebelum meninggalkan Akif sendirian bersama puluhan manusia lain.


Berdesup motor skuter milik Ameena membelah jalan. Inilah kelebihan naik motorsikal yang dia suka sejak dulu. Mudah untuk menyelit di celah-celah jalan raya yang sesak. Tak perlu juga nak beratur panjang-panjang. Jimat pun jimat.


Motor milik Ameena memasuki rumah banglo dua tingkat. Laju dia menuju ke ruangan parkir berhampiran dengan dapur. Motor ditongkat, topi keledar disimpan dalam seat. Beg silang digenggam kemas. Deras langkah dia menapak masuk ke dalam rumah.


“Kalut-kalut nak pergi mana?” 


Langkah Ameena terbata. Sempat dikerling bayang hitam yang sibuk membersihkan kereta tidak jauh dari sini. Bayang yang rajin beramah mesra dengan dia tanpa mengira waktu.  Tugas bayang itu adalah memastikan kereta majikan mereka berada dalam keadaan berkilat sepanjang masa selain menjadi pemandu peribadi. 


“Orang dah lambatlah, jangan nak ajak orang sembang lebih-lebih.” Ameena tak mahu ada halangan memandang dia benar-benar sudah lambat. Berborak pun tidak dibenarkan. 


“Datin tak ada.”


Kerutan di dahi Ameena mula terbentuk. Semalam dia tidak menerima pun berita ketiadaan datin. Sebab itu hari ini dia datang seperti biasa.


“Datin pergi mana?” Jarang-jarang datin keluar awal pagi.


“Datin sarapan dekat luar dengan datuk.” 


Tak jadi Ameena mahu masuk ke dalam. Langkah dia terpesong menghampiri Hadi. Lelaki yang telah lama berkhidmat di sini sebagai pemandu peribadi majikannya. Bagus budak Hadi ini. Datuk dan datin layan lelaki itu lagaknya persis anak sendiri. Maklumlah, Hadi orang kuat datuk dan datin. Tentu segala kebajikannya dijaga rapi. 


“Datin balik pukul berapa?” Soal Ameena. 


Cuti menyediakan sarapan pagi, tak bermakna dia akan cuti sediakan makan tengahari. Walaupun di rumah hanya ada mereka berdua. Perut majikan perlu dijaga memandangkan mereka itu sudah sebaya orang tuanya. Tak boleh lewat makan, takut nanti masuk angin. 


“Mungkin tak balik.”


Semakin dalam kerutan Ameena. Jarang-jarang perkara penting begini datin tidak maklum terus kepada dia. Namun cepat dia menyerap perkara-perkara yang positif. Boleh jadi datin terlupa. 


Tetapi itulah, tetap saja Ameena mengeluh panjang. Penat-penat dia berkejar ke mari. Lebih memenatkan hari ini dia akan bercuti tanpa gaji. Inilah risiko untuk pekerja dibayar hari macam dia. Sesaat kemudian dia tersenyum lebar. Tak baik mengeluh. Mungkin rezeki dia sebelah malam nanti. 


“Nah…” 


“Apa ni?” huluran Hadi tidak disambut. Malah dia mencari raut wajah lelaki itu. 


“Gaji hari ni.” 


Laju Ameena geleng kepala. Makan duit ehsan tanpa kerja berisiko tinggi. Takut ada ungkitan di kemudian hari. 


“Orang tak makan duit budi, nanti takut kena tetak sampai mati.” 


Ameena mengaduh kecil bila sampul tadi menyentuh kepala dia. Tak sakit, lebih kepada rasa terkejut. Hadi sememangnya pakar memberi serangan mengejut. Hairannya, dia sedikit pun tak marah. Buktinya, bibir dia merekah senyuman. 


“Cikgu mana yang ajar peribahasa macam tu?” 


Senyuman Ameena sudah bertukar sengih. Tangan menggosok kepala perlahan. 


“Tu bukan gaji percuma…Masuk dalam, kemas apa yang patut. Lepas tu masak bagi aku makan. Aku lapar nak mati Meen. Dari semalam tak makan.” 


Mulut Ameena berbentuk huruf ‘O’. Kepala pun turun naik. Tak cakap awal-awal ada penunggu yang sedang kelaparan. 


“Masak untuk aku ni, arahan dari datin tau…Bukan dari aku.”


Hadi tak cakap pun, Ameena sudah tahu. Datin mana boleh tengok Hadi kelaparan. Tak lapar pun datin akan suakan makanan buat lelaki itu. Sampaikan dia hampir tergelak bila Hadi terpaksa telan biarpun kenyang.  


“Nasi goreng boleh?” Kebetulan semalam ada nasi putih lebih. Sayang kalau dibuang. 


“Apa saja kau masak aku makan Meen.”


Itu bagusnya Hadi. Tak memilih. Semua ditelan. 


“Tapi jangan pedas-pedas Meen. Perut aku tak tahan.”


Terkadang Hadi cerewet. Sikit saja, tak banyak. Demi menjaga kesihatan konon. Badan nak pakai lama katanya.


“Baik, bos.” Ameena tahu selera Hadi. Cuma untuk kali ini saja ada permintaan.


Setengah jam kemudian Ameena sudah menggamit Hadi yang baru selesai mengelap kereta. Sempat dia melihat lelaki itu perah tuala lalu digantung ke ampai berhampiran. Kedua belah tangan mengesat hujung baju lalu menghampiri laman rumah.


Sepinggan nasi goreng masih berasap dan secawan air kopi diletakkan atas meja kecil. Hari ini dia dengan baik hatinya mahu menemani Hadi makan. Tak seperti selalu, Hadi dibiarkan makan sendirian merata tempat. Kejap di dapur, sekejap luar rumah. Terkadang di ruangan parkir kereta pun pernah. 


“Kau masak sedap Meen. Untung datin.” 


Dengan Hadi, jangan pernah berangan nak dengar ayat-ayat jiwang karat. Kalau ada pun, masa itulah telinga dia ada masalah pendengaran. Tak fokus pun ya. Bila minta diulang semula, maka kiamatlah dunia nak tunggu Hadi bercakap lagi.


“Pedas pun, pedas-pedas manja. Macam aku.”


Hadi manja? Tak pernah nampak pun sisi manja lelaki itu? Selalunya macam tak empuk saja. Ada kalanya tegas bila bertugas.


“Rasa macam arwah mak aku masak masa aku kecil.” 


Perlahan-lahan tangan yang sedang menongkat dagu jatuh. Hilang terus senyuman. Turut rasa simpati pada Hadi yang dia tahu tinggal sebatang kara ketika masih remaja. Masih belum puas merasa kasih sayang orang tuanya. 


“Orang kan ada.” Ameena bersuara sebagai penyelamat Hadi yang hampir lemas dalam kesedihan. 


Mata Hadi naik kemudian turun semula. 


“Orang…Orang.” Sempat Hadi jeling Ameena.


“Tak ada perkataan lain ke?”


Tergelak Ameena. 


“Orang boleh masak…Cakap je nak makan apa.” 


“Aku tak bayar gaji kau Meen. Kerja kau masak untuk datuk dan datin.” Ujar Hadi dengan mulut penuh. Merah-merah muka lelaki itu gara-gara tercekik. Segera Ameen suakan air. 


“Aku pun kerja. Tak baik ambil kesempatan.” Kata Hadi setelah bersusah payah menelan.


“Tapi datin selalu pesan jaga makan minum Hadi.” Hampir setiap hari datin berpesan. Hampir setiap hari juga nama Hadi disebut. 


“Kau bukan masak je untuk aku Meen. Kau basuhkan baju aku. Jemur, lipat. Berapa banyak dah aku susahkan kau?”


“Maanaaa ada susah…” Meleret sebutan Ameena. Yang meleret itulah mengundang jelingan Hadi lagi.


“Orang okey je.”


“Kau memanglah okey, orang lain?” 


“Dah…Dah…Dah…Tak payah mengada-ngada. Orang dah jadi tukang masak Hadi berbulan-bulan. Orang memang tak kisah pun. Orang lagi suka. Orang pun tak ada abang. Orang anggap Hadi macam abang sendiri.”


Hadi makan sampai licin. Air pun diteguk habis. Itu yang Ameena suka. Suka sebab Hadi tak suka membazir. Lebih suka masakan dia disukai oleh lelaki itu.


“Meen, tolong aku boleh?” 


Kalau Hadi yang minta tolong, mana mungkin Ameena menolak. Pertolongan Hadi pada dia pun tidak terbilang banyaknya. 


Tangan dihulurkan pada Hadi, mahu mengambil pinggan untuk dibasuh. 


“Tolong jangan ‘orang-orang’ dengan aku, Meen. Aku masih waras, masih belum pernah terfikir nak kawan dengan mana-mana binatang. Orang-orang dekat sawah pun belum tentu aku nak kawan. Semua kawan-kawan aku spesis manusia.” Hadi bangun bersama pinggan dan cawan di tangan.


Amboi Hadi. Tak sayang mulutlah agaknya. Saja nak banding-bandingkan dia pula.


“Pinggan ni biar aku basuh sendiri dekat luar sana.” Mata Hadi menjeling singki berhampiran dengan laman rumah.


“Tolong, eh? Mulai esok, tolong ubah…Takut nanti telinga aku bernanah. Payah nak dirawat lagi.”


“Orang cuba, eh?” Ameena tak janji. Jika telinga Hadi bakal bernanah, dia pula bimbang bakal mengalami masalah gagap. 


“Kerja aku dah siap.”


Itu kerja Hadi. Tapi kerja Ameena belum lagi selesai. Kerja-kerja pembersihan di dalam rumah datuk dan datin masih belum dimulakan.


“Aku nak pergi kebun datuk, kau nak ikut?” 


Hilang terus rasa penat. Satu aktiviti yang dia sering lakukan jika Hadi bermurah hati mahu mengajak dia menemani lelaki itu.


“Sekarang?” Soal Ameena polos. 


“Yelah.” 


Rasa teruja Ameena tidak lama, sekejap cuma. Ada perkara yang menghalang dia turun padang. 


“Jangan risau…Pak Mat dengan Mak Nab ada. Datuk dan datin dah buatkan rumah untuk dia orang dekat situ. Nanti boleh tengok-tengokkan kebun sekali. Bolehlah kita lawat dia orang.” 


Itu yang Ameena gusarkan. Berdua dengan Hadi itu tidak manis. Apa lagi di tempat-tempat sunyi. Jauh dari orang ramai. 


“Tunggu orang kunci pintu dulu.” Ameena segera menyarung selipar. 


“Cepat! Orang tak boleh tunggu lama, takut nanti malam baru sampai rumah."


Ah! Hadi kalau bab menganjing nombor satu. Jarang-jarang nombor dua.

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.