Home Novel Komedi/Romantik Komedi Lelaki Pilihan Ameena
Lelaki Pilihan Ameena
awa
11/12/2024 12:48:18
243
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 2

TERGESA-gesa Ameena pulang. Risau dengar suara Amna tersedu-sedan. Lebih merisaukan bila Akif tidak menjawab semua soalan dia. Akif hanya diam membisu. Kesepian Akif itu hanya menambahkan lagi keresahan dia. Segalanya jadi serba tidak kena. Dalam kepala dia hanya ada Amna. 


Ikutkan waktu bekerja Ameena bakal tamat jam dua belas tengah malam. Disebabkan ada hal kecemasan, terpaksa dia pulang lebih awal. Itupun setelah dia memujuk penyelianya berkali-kali. Mike pula bersuara selaku orang kuat, barulah dia dibenarkan pulang.


Kata penyelianya, malam ini merupakan malam minggu. Biasanya, kelab mereka akan terima ramai pelanggan. Yang ada hanya tiga orang pelayan termasuk Ameena. Bila dia pulang terlebih awal, maka terpaksalah penyelianya turun padang.


Usai memakai topi keledar, motor skuter dipulas minyak. Mula membelah malam yang sunyi sepi. Sepanjang perjalanan hanya lampu-lampu jalan mengiringi kepulangannya. Terdengar juga bunyi burung-burung saling bersahutan. Semakin laju motor Ameena bergerak. Dia hanya mahu sampai sesegera yang mungkin biarpun ada rasa takut.


“Mana Amna?” Soal Ameena sejurus dia menapak masuk ke dalam rumah. Mata meliar setiap sudut.


“Awal kak long balik?” Akif yang sedang baring di ruang tamu bangkit mendadak.


“Kak long cari Amna.” Selagi tak nampak muka Amna, hati dia tak tenang.


“Kenapa Akif tak tengok-tengokkan Amna?” Langkah dihayun menghampiri Akif yang sedang baring sambil menonton televisyen.


“Kak long tengah cakap dengan Akif ni.” Tubuh Akif ditolak sedikit bila tiada respon dari adiknya.


“Akif dah tengok dia.”


“Dah tu, kenapa dia menangis?” Ameena masih belum berpuas hati dengan jawapan sambil lewa Akif.


“Tanyalah dia.” Balas Akif acuh tak acuh.


“Ni mesti Akif ada buat apa-apa dekat dia? Kak long suruh tengok dia. Bukannya pukul dia.” Kali ini tangan Ameena sudah menampar keras bahu Akif.


Tamparan Ameena tidak memberi apa-apa kesan. Tengoklah, elok saja Akif menukar siaran. Lebih elok adiknya boleh ketawa tanpa pedulikan dia yang sedia mengajak adiknya berlawan.


Ameena menghela nafas panjang. Tiada gunanya berlawan mulut dengan Akif. Ada baiknya dia mencari keberadaan Amna. Dia nak dengar sendiri cerita dari mulut adik bongsunya pula.

Langkah diatur deras menuju ke bilik paling hujung. Bilik Amna.


“Amna!” Pintu bilik diketuk berkali-kali.


Tiada sahutan. Tiada juga tanda-tanda pintu akan dibuka.


“Amna…Kak long ni.” Pintu diketuk lebih kuat. Berselang-seli tangan Ameena memulas tombol pintu yang berkunci dari dalam.


“Buka pintu ni Amna. Kak long tahu Amna belum tidur.” Selagi Amna tak buka pintu, selagi itu Ameena tak berhenti mengetuk. Pecah pintu pun tak mengapa. Asalkan Amna dalam keadaan selamat.


“Tak payah risau sangat kak long, lapar nanti…Keluarlah tu.” Akif bersuara.


Jelingan Ameena singgah pada Akif masih tenang. Langsung tiada rasa bimbang Amna sendirian di dalam bilik. Berbeza dengan dia yang sudah fikir yang bukan-bukan. 


“Amna, buka pintu ni...Cerita dengan kak long apa jadi.” Ameena berusaha memujuk biarpun dia sendiri hampir berputus asa. Mahu saja dia merempuh masuk.


Ketukkan Ameena terhenti bila terdengar bunyi selak pintu dari dalam. Sejurus itu daun pintu terkuak perlahan-lahan sebelum tubuh kecil Amna menyapa iris. Lekas Amna ditarik ke dalam pelukkan. Tangan tak henti-henti mengusap belakang badannya.


“Lain kali jangan buat macam ni, tahu? Kak long risau.” Sempat kepala Amna diusap. 


“Ada apa, cerita dengan kak long. Jangan pendam. Nanti boleh jadi dendam, kemudiannya makan diri.” Leteran Amana seperti tiada kesudahan. Lagaknya seperti seorang ibu sedang memujuk anak.


Tubuh Amna ditolak menjauh sedikit sebelum telapak tangan ditekup ke dua-dua belah pipi. Mata Amna yang masih basah ditatap lama. Ingin menyelami jauh ke dasar hatinya. Mencari tahu punca mengapa adiknya bersedih.


Agak lama, barulah Amna buka mulut.


“Tadi, balik sekolah…Amna…kena…panggil dengan cikgu.” 


Penuh sabar Ameena menanti bicara Amna yang sepatah-sepatah itu. 


“Kenapa cikgu panggil Amna?” Soal Ameena bila Amna tiba-tiba diam. Malah dia nampak kilang air mata Amna mula beroperasi. Bila-bila masa saja akan mengalami kebocoran.


“Jangan menangis. Kak long tak marah.” 


Jarang-jarang Ameena marah. Peruntukkan marah dia hanya untuk Akif yang selalu ada masalah displin ketika zaman persekolahan. Mujur masuk saja ke alam universiti, pupus terus masalah displinnya. 


Jari Ameena menyeka kedua hujung mata Amna sehingga kering. Sentuhan dia berjaya menghentikan operasi kilang air matanya. 


“Aduh…Cakap je lah. Nak tunggu nangis, berhenti…nangis lagi. Bila nak cakap? Aku pun naik hangin dah ni.” Akif yang dari tadi memerhati mula berbunyi. Dalam diam dia menghampiri kakak dan adiknya.


Satu jelingan Ameena berikan. Akif bukan boleh diharap sangat dalam bab memujuk. Yang dia tahu, kekerasan merupakan ubat paling mujarab supaya Amna buka mulut.


“Cikgu kata, Amna tak boleh masuk periksa macam yang lain kalau tak selesaikan yuran.” Hilang gagap Amna. Malah kedua belah tangan dia menggenggam erat tangan Ameena yang masih di pipi.


Ameena tahan nafas. Biarpun payah, dia paksa bibir supaya tersenyum. Dia lupa untuk melunaskan yuran yang tertunggak gara-gara mahu selesaikan sewa bulanan rumah dan segala bil. 


Dari ekor mata, Ameena memerhati tingkah Akif. Adiknya itu tiba-tiba mengorak langkah, menghilangkan diri dalam bilik. 


Mana mungkin dia mahu mengharapkan adik lelakinya. Akif itu penuntut universiti. Berapa sen sangatlah duit yang ada. Ada pun cukup-cukup menampung makan dan minumnya. Itupun dengan mengamalkan konsep catuan. Terpaksa berjimat.


Liur ditelan. Dalam kepala cuba menyusun ayat. Dalam mengarang, sempat dia mengira saki baki wang yang ada. Cukup untuk melunaskan yuran Amna. Tetapi mereka tiga beradik perlu berpuasa. Perlu catu segalanya. Menu yang pasti dalam tempoh seminggu, telur dan kicap. Sementara tunggu gaji kerja sambilan kelab malam minggu depan.


“Nah.” Ada tangan yang muncul di antara mereka berdua. Tangan Akif.


“Bayar yuran kau.” Duit ditolak rapat ke tangan Amna.


Automatik Amna tersenyum lebar. Tangan mengesat hidung yang basah kemudiannya menyambut huluran Akif.


“Bila Amna dah kerja, Amna bayar balik duit abang.” Janji Amna. Mahu kerja sambilan waktu malam, ditentang keras oleh kakak sulungnya. Terpaksa dikuburkan niat untuk bekerja.


“Tak payah.” Akif berlalu pergi ke ruang tamu semula.


“Terima kasih, abang.” Ucap Amna bersama senyum yang belum pudar.


“Dah kerja, belanja aku makan.” Sahut Akif yang sedang baring di atas sofa, mata terhala pada televisyen.


“Boleh...Boleh.” 


“Amna tidur dulu. Esok Amna bagi duit ni pada cikgu.” Riuh mulut Amna beritahu.


Kegembiraan Amna mengalahkan anak kecil disua gula-gula. Menambahkan lagi rasa serba salah Ameena sehingga bibir dia payah untuk bersuara. Dia hanya mampu memandang Amna menghilang disebalik pintu. Kemudiannya dia menghela nafas berat.


Lambat-lambat Ameena menghampiri Akif. Punggung dilabuh atas sofa berdepan dengan adik lelakinya. Merenung Akif dengan seribu rasa yang sedang diuli hebat.


“Gaji akak ganti duit Akif.” 


“Akif dah cakap tadi tak payah.” Bangkang Akif tanpa menoleh.


“Tu kan duit makan Akif bulanan ni.” 


Berapa sangat duit belanja tajaan yang Akif dapat? Kira bersyukurlah adiknya dapat tajaan biasiswa kerana keputusannya yang cemerlang. Jenuh juga nanti nak bayar semula jika buat pinjaman. 


“Duit makan ada lagi.” Akif tetap berkeras.


“Jangan degil Akif.  Dah jadi tanggungjawab akak sediakan semua tu untuk kamu berdua. Akak kalau boleh tak nak guna duit kau orang.”


“Salah kak!” Akif bangkit mendadak. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah.


“Tu semua tanggungjawab ayah dan mak yang dah lama tinggalkan kita. Tapi sekarang akak terpaksa tanggung seorang diri. Apa gunanya Akif sebagai anak lelaki?”


Jatuh sepasang bahu Ameena. Dia kalah teruk bila orang tua pula disebut dalam perkelahian mereka adik-beradik. Daripada tanggungjawab, kehilangan orang tuanya pula diungkit. 


“Akak nak rehat.” Bubar merupakan terapi terbaik mengelak tercetusnya perbalahan. Ameena lebih rela beralah jika Akif tidak mahu.


“Kak long dah banyak berkorban untuk kita orang.”


Tak jadi Ameena nak angkat punggung bila suara Akif mula mengendur. Ada getaran pada suaranya.


“Kak long selalu dulukan kami dalam semua benda sampai lupa diri kak long.” Akif gigit bibir.


“Jangan banyak fikir, Akif. Ada mak ayah atau tak, hidup kena teruskan.” Cukup selama ini mereka berbalah setiap kali isu ini dibangkitkan. 


Ameena bangun lalu menuju ke bilik. Jangan dilayan marahnya Akif. Marah adiknya mudah menular mengalahkan wabak penyakit. Nanti-nanti dia fikir cara untuk merawat penyakit marah adiknya.


Baru tangan jatuh pada tombol pintu, suara perlahan menyapa pendengaran.


“Terima kasih, kak long.”


Bibir Ameena bergerak-gerak. Perlahan. Cukup perlahan. Hanya dia saja mendengar.


“Belajar pandai-pandai.” Pesan yang satu ini tak jemu Ameena titipkan. Dia mahu adik-adiknya berjaya. Tidak seperti dia.


Di dalam bilik, Ameena sandarkan badan lama di pintu bilik. Langkah dia terasa goyah. Jiwa bergolak hebat. Nafas dia tiba-tiba tidak teratur.


Perlahan-lahan dia menapak ke katil. Bingkai gambar yang sentiasa menjadi peneman di bawah bantal dicapai. Jari runcing Ameena bergerak lembut. Mengusap setiap penjuru gambar kemudian terhenti pada susuk tubuh wanita yang masih muda sambil mengendong Amna yang masih kecil.


“Mak…”


Tanpa sedar, setitik demi setitik air mata Ameena jatuh. Gambar tersebut didakap erat. Bahu dia bergegar teruk. Semakin deras air mata mengalir di pipi.


Malam itu, lena Ameena ditemani tangisan. Berharap emak datang di dalam mimpinya seperti selalu bersama senyuman paling cantik. Emak akan peluk dia. Emak akan top up semangat dia yang hilang setiap hari. Ameena sayang emak. Sayang emak dunia dan akhirat.

Previous: Prolog
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.