Bab 4
"Kau tak nak makan dulu ke Haron Aziz?"
Ibunya yang sedang makan tengah hari bersama Haiza di meja
ruang makan, bersuara sambil menjungkit-jungkitkan kening. Bibir mengukir
senyuman mengejek. Haiza tersengih sambil memandang Yazid. Sedar pertanyaan itu
ditujukan kepadanya, Yazid tanpa bersuara menggeleng. Hatinya masih remuk.
Masih calar-balar. Masih terasa perihnya. Rajuk masih erat memeluk perasaannya.
Sudah bersiap hendak keluar, mencapai topi keledarnya yang berwarna biru tua
dan ditampal stiker bunga-bunga di atas meja tamu; sambil lalu, Yazid menonong
berjalan menuju ke arah pintu utama.
"Abang Haron... eh maaf. Abang Yazid... iPad jangan
bawak, ye. Orang nak guna nanti." Haiza mencelah dengan senda
mengingatkan. Menjeling ibunya yang hampir tersedak mendengar.
"Tahulah!" Yazid pada ketika itu sudah pun berdiri
di muka pintu, menoleh dengan pandangan marah. Suaranya menggarang. "Aku
tahulah itu kau punya harta! Engkau ingat aku heran sangat ke apa?"
Haiza menyepi. Memandang ibunya sambil tersenyum. Ibunya
membalas. Mereka mengerti bahawa Yazid sedang marah. Berdiam, mereka
memerhatikan Yazid keluar pergi. Pancaran sinar matahari menjamah lembut
menggigit kulit. Angin sepoi membelai bagaikan memberi nafas baru kepada Yazid.
Menghela nafas, pandangan dilepaskan ke perkarangan rumah yang tampak tenang.
Yazid mengukir senyuman sebaik Vespa-nya yang sudah agak berusia; diberi nama
'Biru' sempena warnanya, menyambut pandangan seperti pengantin baru. Menyusun
langkah, Yazid menghampiri motor yang diparkir di perkarangan rumahnya itu.
Seketika Yazid merenung Biru dengan pandangan penuh kasih sayang.
"Biru... kau sajalah satu-satunya makhluk ciptaan
manusia yang mengerti akan perasaanku. Kau sajalah satunya sahabatku di dunia
dan... ye, di dunia saja. Kau pun sendiri tahu kenapa." Suara Yazid
mendayu sambil menggeleng sayu. Mencangkung, perlahan membelai badan usang
'Biru' dengan kain pengelap.
Biru berdiam tidak menjawab. Biru nampak tenang membiarkan
diri dibelai Yazid. Berasa puas hati sebentar kemudian setelah Biru tampak
berkilau. Berdiri seketika; Yazid menyeluk saku, mengeluarkan wangnya dan
menghitung.
'Dua-puluh-dua ringgit! Hmm...dua-puluh-dua ringgit. Rokok,
sepuluh ringgit. Minyak untuk Biru, sepuluh ringgit. Hmm... ada lebih dua
ringgit.'
Merenung jauh sebentar memikirkan, Yazid mengangguk kepala.
Bibir tebalnya mengukir senyuman. Tanpa lengah jaket kulit hitamnya disarung.
Yazid tampak gagah. Batang hidungnya dibebankan dengan kacamata hitam. Dia
kelihatan seperti 'Terminator', tetapi versi kurus. Baru sahaja Yazid mahu
menyarung topi keledar, telefon bimbit Nokia zaman purba-nya berdering.
Mengeluh sebentar, melihat pemanggil yang tertera di muka skrin, tanpa lengah
dijawabnya.
"Hello... apa hal?" Suaranya menggaung. Wajah
terlihat ada garis-garis terganggu.
"Eh, Zid... kau ada dekat mana?" Tanya Leman, teman
lamanya di hujung talian dengan pantas.
"Dekat rumah, baru nak keluar. Kenapa?"
"Nak keluar? Nak keluar pergi mana?"
Yazid mendengus kasar, seperti Sang Raja rimba sedang
kelaparan kerana gagal memburu mangsa. Benar-benar terganggu dengan pertanyaan
Leman yang datang bertubi.
"Eh, alamak! Kau ni macam polis pencen, kau tahu tak!
Banyak tanya pulak! Tak tahulah aku nak pergi mana! Merayau ajalah mana-mana
dengan Biru."
"Biru apa khabar? Baik?" Tanya Leman pantas
mengambil berat. Yazid menggulung bola matanya. Mengeluh panjang di dalam hati.
Rasa menyampah pula mendengarnya.
"Hello, brader! Itu semua tak pentinglah! Malaslah aku
nak jawab pertanyaan-pertanyaan yang tak berfaedah! Sebenarnya apa cerita kau
call aku? Ada penting sangat ke apa?"
Sepi sesaat menyinggah. Masa bagaikan membeku. Di hujung
talian, seketika Leman terkedu. Dia teringat; satu ketika dulu, dia dan Yazid
pernah bekerja bersama-sama di sebuah gudang minuman di bandar. Leman mempunyai
sosok tubuh seorang Peninju; wajah iras-iras George Foreman; bekas juara dunia
tinju kelas berat. Walaupun sosok tubuhnya kekar tetapi jiwanya halus dan
lembut. Seekor semut pun tidak pernah dicederakan sepanjang hidupnya. Apa lagi
mahu membunuhnya. Dia hanya gemar membunuh nyamuk yang banyak berkeliaran di
rumahnya di waktu malam.
"Jumpa aku dekat gerai makan 'Mak cik Sombong' kejap
lagi boleh?" Leman mengajak sebentar kemudian.
"Gerai 'Mak cik Sombong'? Dekat mana tu?" Dahi
Yazid, permukaannya jadi melengkung ke dalam saat dikerutnya.
"Alaaa... dekat simpang depan rumah aku tulah!"
Sebentar berdiam, Yazid memikirkan arah ke tempatnya. Otak
bergerak pantas seperti 'GPS'.
"Apa hal? Ada penting ke apa, kau nak jumpa aku sangat
ni?"
"Ye, penting jugak. Aku ada terasa macam nak tolong
kaulah." Leman menjelaskan niatnya.
Sekali lagi Yazid berdiam. Rasa agak pelik dengan apa yang
baru didengar. Wajah George Foreman peninju dunia kelas berat; suatu ketika
pernah ditumbangkan oleh Muhammad Ali peninju lagenda, terbayang di ruang mata.
'Nak tolong aku? Nak tolong aku apa si poyo ni? Macam yeye
aja cakap! Diri sendiri tak ter-tolong, nak tolong aku!' Yazid mengutuk di
dalam hati.
"Kau nak tolong aku apa?" Tanya Yazid sebentar
kemudian. Agak teruja juga sebenarnya mendengar perkhabaran dibawa Leman.
"Turun ajalah, nanti boleh cerita." Suara garau
Leman kedengaran seakan merayu.
"Okey... lepas aku isi minyak, aku terus pergi sana.
Dalam setengah jam aku sampai kot."
Yazid akhirnya bersetuju setelah agak lama juga memikir dan
menimbang duduk perkara. Mematikan telefon bimbitnya, tanpa lengah Yazid
menyarung topi keledar. Biru, Vespa buruknya dengan secepat kilat ditunggang.
Seperti Clint Eastwood, bintang idolanya menunggang kuda. Perasaannya, dia
tampak gah dan canggih. Begitu ayam-ayam jirannya yang tadi sedang bersantai
berhampiran menikmati rezeki yang bertaburan, bertempiaran tidak lama kemudian.
Terkejut sakan saat Biru mengaum menggegarkan persekitaran. Yazid tergelak
sambil bergerak meninggalkan perkarangan rumahnya. Terasa lucu melihat wajah
ayam-ayam itu lari lintang-pukang dengan mata terbeliak bagaikan nyawa sedang
di dalam bahaya.
'Nasib baik kau orang semua tak kena mandi dengan aku tadi.
Kalau tak... dah jadi lauk pun kau orang sekarang!' Hati kecil Yazid mengejek
sambil berlalu pergi.
Berbaris kenderaan di jalanraya, bagaikan semut-semut hitam
sedang mencari rezeki. Biru menderum dengan penuh hati-hati. Menelusuri,
mencelah di antara kenderaan di jalanraya itu menuju ke tempat tujuan. Tidak
'mencapatikan janji', setelah selesai mengisi minyak buat Biru, Yazid sampai ke
tempat dituju. Gerai makan 'Mak cik Sombong' yang tersohor di Kampung Teluk Air
Tawar, Penang tidak lama kemudian dengan sombongnya menyambut kedatangan Yazid,
tetapi Yazid bersikap terbuka. Berlapang dada menerima setiap yang mendatang.
Menghela nafas panjang; bertenang, Yazid melangkah masuk ke gerai makan yang
agak lengang itu.
'Ini gerai makan 'Mak cik Sombong'? Apanya yang nak
disombongkan? Biasa-biasa aja aku tengok!' bisik hati Yazid sambil mengitari sekeliling.
"Hendak makan apa?"
Tanya salah seorang pelayan perempuan sebaik sahaja Yazid
duduk menyelesakan diri. Terperanjat Yazid dengan kemunculannya yang tiba-tiba.
Perempuan muda itu agak tinggi dan montok, berkerudung warna hitam dan
berseluar jeans ketat memperlihatkan bentuk tubuhnya yang menggiur, dipandang
Yazid lurus-lurus.
'Ini, kira Islam separuh! Atas tutup, bawah tak senonoh.'
Gumam Yazid di dalam hati.
"Roti canai kosong satu, dik." Pinta Yazid sambil
membuang pandang. Mengitari sekeliling mencari Leman, kalau-kalau dia sudah
tiba.
"Roti canai kosong tak ada! Roti canai 'kosong sombong'
aja ada!" Jelas pelayan itu tanpa memandang Yazid. Membuang pandang juga.
"Roti canai 'kosong sombong'?" Terpana Yazid
mendengar. Matanya membesar memandang pelayan itu. Bagaikan bermimpi rasanya.
Yazid mengurut dagu. Cuba membayangkan bentuk roti canai itu.
"Roti canai pun ada yang sombong?" Tanya Yazid.
Pelayan itu hanya mengangguk dengan wajah malas mahu melayan.
Sepertinya, menyampah memandang wajah Yazid yang kekacakannya tidak seberapa.
"Berapa sekeping?"
"Seringgit-setengah!"
Kian membesar mata Yazid. Otaknya terus sahaja ligat
menghitung wang baki di dalam poket seluarnya. Takut jika tidak cukup untuk
membayar. Pantas tangan kanannya menyeluk saku. Meraba-raba, memastikan wang
berbaki tadi aman di sakunya.
Ada!
'Tadi, minyak sepuluh-ringgit. Rokok... sepuluh-ringgit.
Tinggal dua ringgit. Hmmm...'
"Bawak datang sekeping," pinta Yazid kemudian.
Wajahnya lega dan berpuas hati.
"Minum?" Tanya pelayan itu ringkas sambil tersenyum
manis.
Yazid mengalihkan pandangan ke arah pelayan itu. Tersipu
melihat senyuman manisnya. Bibir tebalnya dengan ikhlas hati hendak ditarik
membalas senyuman. Tetapi terhenti di pertengahan niat. Wajah pelayan itu
diamati, lalu menurut arah tuju anak matanya. Menghela nafas. Baru Yazid
tersedar. Senyuman itu rupanya bukan ditujukan kepadanya, tetapi kepada rakan
kerja lelaki. Dari jauh sedang bermain mata.
"Kasi air kosong aja." Pandangan kembali dilepaskan
ke sekeliling.
"Nak air kosong apa?" Yazid mengangkat muka
memandang pelayan itu. Terasa pelik pula dengan pertanyaan tersebut.
"Nak air kosong apa? Air kosonglah! Air kosong pun tak
kan tak tahu!" Yazid mengerutkan dahi. Suaranya melengking.
"Tahu! Tapi nak air kosong apa? Yang 'sombong
biasa-biasa'; 'sombong bodoh'; atau nak yang 'sombong bongkak'?"
"Opocottt!"
Hampir terangkat Yazid dari tempat duduknya. Terperanjat
besar, sebesar-besarnya saat mendengar. Mata dan mulutnya melopong memandang
pelayan itu.
"Bodoh sombong? Sombong bongkak? Sombong biasa-biasa?
Mak oii... gerunnya dengar! Berapa tu, harga segelas?"
"Pasal belum ada 'GST' lagi, jadi... semua cuma
lima-puluh sen aja satu."
Sedar akan kedudukan sakunya, Yazid lega mendengar.
"Hmmm... okeylah, buatkan saya satu."
"Dik..." panggil Yazid saat pelayan itu baru mahu
beredar.
"Abang nak tanya sikit boleh?" Tanya Yazid sebaik
pelayan itu memberhentikan langkah dan menoleh.
"Boleh, silakan nak tanya apa."
"Abang hairan... kenapa dekat sini, makan-minumnya semua
ada sombong-sombong belaka?"
"Abang nak hairan apa?" Jawab pelayan itu,
"dah namanya 'Gerai Makan Mak cik Sombong'... jadi menunya harus sejajar
kan? Nak bisnis mesti ada gimik bang. Baru pelanggan ingat dan tak lupa sampai
bila-bila." Beritahu pelayan itu sebelum beredar. Yazid memincingkan mata
memerhatikan.
"Dik! Bawak sekali abang punya satu air kosong! Yang
'sombong bodoh' punya ye." Pantas Yazid menoleh saat mendengar sampukan
dari arah belakangnya. Suara yang kedengaran, seperti dia kenal.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.