Home Novel Kisah Hidup Aithusa (Sudah Terbit)
Aithusa (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:17:10
424
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 2

RESTORAN Mi Tarik Cina Muslim Wong dituju. Pelanggan mulai berkurangan kerana waktu makan tengah hari sudah tamat. Masing-masing sudah kembali ke pejabat, menyambung kerja yang bertimbun. 

"Ibu!" Amalia menjerit serentak masuk ke dalam restoran.

Puan Ameena yang sedang menjamah mi tarik di atas meja terus terhenti.

"Amer datang!" Ceria Amalia memberitahu.

Puan Ameena terus bangun dari duduk dengan muka bersinar-sinar melihat jejaka tinggi lampai itu melangkah masuk dengan senyuman yang paling manis. Lesung pipit di kiri dan kanan pipi Amer begitu terserlah memancarkan cahaya putih ke dalam restoran. Encik Wong juga menjenguk dari dapur untuk memandang Amer.

"Amer! Masuk sini!" Puan Ameena menolak perlahan belakang Amer supaya duduk di meja.

Amer hanya tertawa kecil melihat keramahan ibu Amalia.

"Amalia, kenapa tak beritahu bakal menantu ibu nak datang?"

"Bukan!" Amalia menggeleng dengan gaya geli-geleman. 

Dia dan Amer? Tidak mungkin terjadi. Amalia suka berkawan dengan Amer, tapi suara hatinya mengatakan Amer bukan orang yang dia mahu sehidup semati. 

Setiap kali Amalia ada kawan lelaki, pasti ibu dan ayah menyangka itu bakal menantu. Kebanyakan rakan sekelasnya lelaki kerana bidang yang diambil didominasi oleh kaum lelaki. Jadi, Amalia tak ada pilihan lain. Dia harus berkawan dengan lelaki supaya mereka  mengajaknya masuk ke dalam kumpulan tugasan ketika di universiti.

"Assalamualaikum, pak cik, mak cik." Amer bersalam dengan ayah Amalia sewaktu lelaki itu mendekati meja yang diduduki Amer.

"Pak cik dan mak cik sihat? Maaf lama tak datang sebab sibuk dengan tugasan." Dia tersenyum manis. 

"Alhamdulillah, pak cik dengan mak cik sihat. Maklumlah dah tua, sakit pinggang itu perkara biasa." 

Encik Wong menepuk bahu Amer. "Duduk dulu, nanti pak cik bawak keluar mi tarik sup daging. Amer suka, kan?"

"Ya, suka sangat!" Amer menepuk tangannya semangat.

"Hari itu saya bawa balik, mama saya pun suka masakan pak cik. Dagingnya lembut, sup pun sedap. Mi halus-halus, tapi lembut. Teliti pak cik buat mi. Mi tarik pak cik memang terbaik!"

"Ya? Nanti pak cik bungkuskan untuk mama kamu sekali. Lain kali kalau nak datang ajak keluarga sekali. Nanti pak cik cop meja." Encik Wong menepuk bahu Amer lagi sebelum masuk ke dapur bersama senyuman.

"Duduk dulu, Amer ... nanti mak cik bawa keluar ladu." Puan Ameena juga masuk ke dapur untuk menyediakan makanan.

Amalia dan Amer saling berpandangan sebelum mereka berbalas senyuman.

"Mak ayah aku memang kuat bergurau. Selagi aku tak kahwin, semua kawan lelaki yang aku bawa datang kedai semua dicop jadi menantu."

Amer tertawa mendengar kata-kata Amalia. "Tak apa, faham aje. Maklumlah kau satu-satunya anak perempuan, kan? Kawan sekelas pula kebanyakan lelaki."

"Aku nak letak beg kat bilik sekejap." Amalia bergerak ke bilik rehat yang terletak di sebelah dapur. 

Bilik itu adalah bilik solat pekerja dan juga bilik rehat sekiranya tiada pelanggan yang datang. Pintu bilik pekerja dikuak. Amalia melihat Aniq terbaring letih di atas karpet bulu. Walaupun mereka mempunyai tiga orang pekerja, restoran masih sibuk dengan pelanggan yang tak henti-henti datang. Aniq mempopularkan restoran di media sosial dengan mempertaruhkan mukanya yang kacak ketika menguli tepung dan menarik mi dengan penuh gaya.

Amalia pula menggunakan perisian pemasaran ciptaannya ketika projek tahun akhir untuk menyebarkan iklan secara automatik setiap hari. Dengan itu, mereka berdua turut menyumbang kejayaan restoran dengan cara masing-masing.

Beg laptop diletakkan di atas meja bilik rehat sebelum Amalia keluar semula. Pada saat dia ingin keluar, dia hampir melanggar Amer yang berada betul-betul di hadapan pintu bilik.

"Amer?" Amalia menyengetkan kepala. Pelik.

"Nak pergi tandas sekejap. Mak kau kata tandas kat bilik rehat baru dibersihkan." Amer hanya mengangkat bahu.

"Oh okey. Masuklah, adik aku tengah tidur kat dalam." 

Amalia terus keluar dari bilik itu.

"MACAM itulah kisahnya, bagaimana ayah jumpa ibu kamu." Encik Wong menamatkan cerita yang sudah diulang entah kali yang ke berapa sehingga Amalia dan Aniq naik bosan mendengar. Setiap kali mereka membawa kawan-kawan datang ke restoran, pasti ayah akan bercerita kisah percintaannya dengan ibu. Mereka yang mendengar sudah boleh hafal setiap bait kata ayah.

"Kalau ...." Encik Wong ingin menyambung lagi ceritanya, tapi Aniq pantas memintas.

"Kalau ayah tak selamatkan ibu kamu dulu, belum tentu dia setuju nak kahwin dengan ayah. Ayah sanggup dibuang keluarga demi menegakkan maruah perempuan Islam!" 

Aniq menghempas meja dengan penuh dramatik, mengangkat jari telunjuk ke langit dengan wajah seperti adiwira. Sempat Aniq mengajuk cakap ayahnya. 

"Kau mengajuk ayah kau!" Kepala Aniq terus ditolak oleh Encik Wong.

Amalia menepuk dahi. Amer hanya tertawa melihat adegan anak-beranak itu. Dramatik kisah percintaan Puan Ameena dan Encik Wong, jika dibuat filem mungkin sudah jadi blokbuster.

Wong, seorang Cina Muslim dari Lianhua, bertemu dengan Ameena di Universiti Lance dalam satu pertemuan yang awalnya penuh kebencian. Pertemuan mereka berubah menjadi cinta sejati, tetapi dilema muncul ketika ibu ditolak oleh keluarga sebelah ayah. Mereka berdua dibuang keluarga dan menetap di Lance, menjalankan kedai mi tarik warisan serta membesarkan Amalia dan Aniq.

Amalia sudah boleh hafal jalan cerita ibu dan ayahnya. Dia berbisik kepada Amer.

"Aku rasa kau patut balik sebelum ayah aku buka cerita pasal dia berlawan dengan harimau masa zaman muda." 

"Ya ke?" Mata Amer membulat penuh keterujaan. 

"Macam menarik."

"Dah, kau pergi balik. Kita orang nak tutup kedai." Selamba Amalia menghalau.

"Okey." Amer menggaru kepalanya.

"Mak cik, pak cik." Amer menghentikan pergaduhan lidah yang sedang berlaku antara Encik Wong dan Aniq. 

"Saya rasa dah lewat ini. Saya balik dulu, ya. Mak saya dah tunggu kat rumah."

"Awalnya nak balik?" Ibu terus mengambil mi tarik yang sudah dibungkus di atas kaunter. Bungkusan plastik itu bertukar tangan.

"Terima kasih, pak cik, mak cik. Sedap sangat mi."

Amer mengangkat ibu jarinya.

"Nanti kita jumpa lagi."

"Boleh. Datang hari-hari pun tak kisah." Encik Wong menepuk bahu Amer, menghantarnya ke pintu kedai. 

"Bye, Amalia. Dua hari lagi kita jumpa." Amer mengangkat kedua-dua belah keningnya dengan senyuman penuh makna.

"Okay, bye!" Amalia melambai kembali.

Apabila tubuh Amer sudah tidak kelihatan, dia menutup pintu restoran. Tubuh dipusingkan ke belakang, hanya untuk bertemu dengan tiga pasang mata yang memandangnya dengan senyuman tersirat. 

"Bye, Amalia! Dua hari lagi kita jumpa!" Aniq mengajuk Amer dengan suara dibuat-buat lembut.

"Diamlah!" Berang Amalia dengan sikap Aniq. Sehari tidak mengusik, tidak sah.

Puan Ameena dan Encik Wong hanya mampu tertawa.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.