CERITA KONTOT 13
PENGORBANAN YANG TAK DIPANDANG OLEH MARYANI ZAILANI
“Cuba tengok adik kau. Tiap bulan tak pernah tak bagi duit kat mak,” ujar Salmah, membelek Whatsapp menerusi Realme C63. Senyumannya melebar. Bangga. “Dah beli kereta baru dah anak mak ni. Dapatlah menumpang naik pergi mana-mana nanti. Merasalah juga mak naik kereta baru.”
Marina yang sedang melipat baju, diam tidak terkutik. Dia merenung hujan yang turun sejak dari awal pagi. Sesekali, kilat dan guruh saling bertingkah. Dia cuba menahan kuat sebak di dada mengenangkan dirinya yang tidak mempunyai pendapatan tinggi walaupun mempunyai kelayakan akademik.
Kerjanya hanya sebagai pembantu di kedai kerepek milik pak ciknya. Malam hari pula, membuat siaran langsung di TikTok untuk menjual kerepek di dalam bilik tidurnya. Tidurnya hanya beberapa jam.
Dipandang curi wajah sang mak. ‘Mak, maafkan Ina sebab tak mampu nak bahagiakan mak dengan wang ringgit.’
Marina bangkit untuk menyusun baju, tersentak dengan sindiran mak. “Muka tak bersenyum. Tidur. Makan. Mandi. Main dengan kucing. Tak pun, terperuk dalam bilik. Entah apa dibuatnya, tak tahulah.”
Mutiara jernih itu gugur. Dia sedaya-upaya menyembunyikan tangisannya. ‘Kenapalah mak tak pernah nak nampak pengorbanan aku?’
“Nanti bancuhkan aku teh O panas. Ambilkan aku makan sekali.”
Marina sekadar mengangguk. Manakala, Salmah leka membelek artikel yang mengandungi pautan Shopee di Facebook.
“Macam-macam anak zaman sekarang. Mak bapak tegur sikit, lari rumah! Aku dulu, kena getah paip elok aje hidup sampai sekarang. Tak pernah nak terfikir lari rumah. Apa aje yang aku tak pernah kena?” rungut Salmah sendirian namun boleh didengari oleh Marina.
Selesai menyusun kain, dia menuju ke dapur. Dalam tangisan membasahi wajah, dia menjerang air atas dapur. Sementara menunggu air masak, dia menceduk nasi ke dalam pinggan dan kemudian lauk ikan kembung masak lemak dan sambal petai udang. Semuanya masih hangat kerana selesai dimasak olehnya satu jam yang lalu.
Marina memandang segenap ruang dapur. Segala sawang dan habuk, dibersihkan setiap pagi sebelum pergi kerja. Begitu juga dengan baju yang disidai.
“Sakit badan aku ni. Kau ambilkan minyak urut dalam bilik. Tolong urutkan badan aku,” pinta Salmah setelah selesai makan.
Marina mengangguk. ‘Sabar Ina. Allah uji kerana Allah sayang. ya Allah.’
- TAMAT -
27 OGOS 2024