Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
84,719
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 3
3

RAJUK Ayumi memang tidak lama. Selesai tugasnya bersama Hadi di kilang mereka bersiar-siar di dermaga pula. Jam hampir 3.00 petang. Biar pun cuaca masih panas mereka tidak kisah. Berkejaran sambil bergurau senda di atas batas ban tempat nelayan pulau itu menjemur hasil tangkapan sudah menjadi kebiasaan mereka setiap hari. Sambil menikmati hembusan bayu laut fikiran mereka terasa bebas dan tenang. Penenang dari alam semula jadi memang selalu menyenangkan.

Ayumi berhenti berlari. Kadangkala seronok juga menjadi budak-budak. Taklah terasa dunia orang dewasa terlalu tegas dan tegang. Orang dewasa selalu tertekan kerana hilang sifat keanak-anakan dalam diri. Sifat itu sebenarnya unik dan tak patut semuanya dibiarkan pergi dari diri. Paling tidak biarlah 10% masih tersimpan sebagai terapi diri.

“Hadi, dahlah. Aku dah tak larat nak lari,” beritahu Ayumi lalu duduk atas permukaan batas ban yang diperbuat daripada simen.

Hadi yang mengejar turut berhenti. Dia tercungap-cungap kepenatan. Tubuhnya dibongkokkan sedikit. Berusaha menenangkan pernafasan semula. Seketika kemudian Ayumi dipandang. Sekejap sahaja gadis itu sudah memulakan seisi berbicara dengan ombak melalui hati ke permukaan laut. Kenapa tak dibicarakan saja segala yang tersimpan dalam hati tu kepadanya? Ombak yang bisu bukannya boleh dijadikan teman mencurah rasa. Memendam rasa bolehlah.

“Sa...” panggil Hadi perlahan.

Ayumi menoleh.

“Ada apa-apa yang kau nak kongsi dengan aku?” tanya Hadi perlahan. Manalah tahu pintu hati Ayumi terbuka meluah rasa dengannya. Merekakan kawan baik, jadi wajarlah seorang kawan juga menjadi pendengar yang setia.

Ayumi tersenyum lemah. Hidupnya kebelakangan ini mana ada yang menarik. Hadi pula janganlah bersikap bagaikan pelindung. Sebabnya dia memang tidak sedia mahu berkongsi apa-apa dengan siapa pun. Kini dia mahu berhati-hati. Cukuplah sekali diperbodohkan dulu.

“Tak ada apalah,” jawab Ayumi. “Aku suka pejam mata sambil dengar bunyi ombak menghempas pantai,” dalihnya. Lagipun setakat di situ masalahnya hanya tidak mempunyai hubungan baik dengan Tina sahaja. Takkan itu pun Hadi mahu tahu. Masalah keluarga adalah hal peribadi yang tidak perlu dihebahkan kepada siapa-siapa. Biarlah perlahan-lahan dia dan Tina selesaikan bersama.

Hadi mengeluh. Susah sangat hendak mengorek cerita. Manakan tidak Ayumi dikatakan gadis alien. Penuh rahsia dan misteri, sama macam planet-planet lain diruang angkasa yang gelap sana. Ada tapi sukar dilihat. Ayumi ni pun ada tapi tak tahu apa cerita asal-usul gadis itu. Makin dia teringin hendak tahu, semakin Ayumi mencipta helah. Mungkin kalau mereka jadi pasangan kekasih baru Ayumi tidak banyak berahsia.

“Dah lama kita kenal. Tapi aku rasa kau macam masih tak percayakan aku,” keluh Hadi sedikit berkecil hati. Keikhlasannya selalu Ayumi ragui. Kalau begini mungkinkah hubungan mereka mampu pergi lebih jauh? Seorang kawan baik akan menjadi lebih baik jika saling mempercayai. Sayangnya dia tidak mendapat kepercayaan. Atau sebenarnya gadis bandar itu rasa anak pulau sepertinya tidak bijak berfikir untuk menyelesaikan masalah orang lain? Hadi bertambah kecil hati.

“Bukan macam tu.” Ayumi jadi serba salah. “Aku memang tak ada masalah,” katanya mahu Hadi percaya dan yakin sikapnya memang begitu.

“Okey, kalau kau tak ada masalah. Ceritalah tentang kehidupan kau sebelum ni. Dah lama aku teringin nak tahu cerita kau masa tinggal kat KL dulu,” pinta Hadi cuba kembali ceria. Terlalu memaksa nanti Ayumi kata dia penyibuk pula. Tapi dia benar-benar mahu mengetahui banyak tentang Ayumi. Kebelakangan ini perasaannya terasa lain. Hatinya seakan cuba menyapa hati Ayumi. Namun dia lelaki, ada keegoan yang tinggi untuk mengakui perasaan seperti itu dan lebih takut lagi andai ditolak dan dibenci.

Apalah yang menarik mengenai kehidupannya? Percayakah Hadi jika diberitahu yang dirinya adalah seorang puteri malang dari kisah Snow White. Bezanya dia tidak dihukum bunuh oleh ibu tiri yang kejam, tapi diusir pergi oleh saudara yang iri hati. Ayumi menopang muka dengan kedua-dua tapak tangan. Matanya kembali melihat laut. Alunan air laut yang kebiruan ditiup angin sebelum bertukar menjadi ombak yang menghempas ke tepi batas ban diikut dengan gerak mata.

Hadi memerhatikan Ayumi. Dia yakin Ayumi seorang yang berpendidikan tinggi tapi sengaja menyembunyikan kelebihan diri di situ. Bukan ke seronok kalau dia tahu kenapa Ayumi rela bersembunyi di situ. Hidup susah dan dikawal Tina. Kenapa Ayumi tidak memilih tempat kerja yang berhawa dingin dan duduk selesa di atas kerusi empuk beroda? Gadis ini memang misteri.

“Sa...” panggil Hadi bila Ayumi masih bisu.

Ayumi garu dahi. Cerita hidup di KL? Mana dia tahu apa ada di sana. Kalau Tokyo dia tahulah. Hadi dipandang.‘Jangan nak perangkap aku dengan bertanya pelik-pelik macam tulah.’

“Kau ni macam tak ada kerja lain. Elok fikiran tu lapang dan tenang boleh pula disemakkan dengan memikirkan aku. Tak ada apa aku nak ceritalah. Yang lepas, biar lepas. Hidup jadi tak indah kalau asyik mengungkit,” tolak Ayumi.

Ayumi selalu sangat buat Hadi kecewa dengan jawapan macam tu.

“Ala, apalah salahnya kalau aku nak kongsi cerita sedih kau tu.” Hadi tidak mahu mengalah. Manalah tahu dengan berkata begitu akan buat Ayumi sedar selama ini dia memang ambil berat dengan apa sahaja yang terjadi pada Ayumi.

“Aku nampak muka tak gembira kau tu. Banyak kali aku dengar kau mengeluh. Itu maknanya masa lalu kau ada masalah tapi kau tak ada tempat nak meluah. Ceritalah. Jangan simpan dalam hati lama-lama. Nanti kau kena kanser,” pujuk Hadi belum putus asa. Dia bukan mahu menjaja cerita Ayumi, dia mahu mengurangkan beban di hati Ayumi sahaja. Tidak salah rasanya.

Kening Ayumi bercantum.‘Eee... Hadi ni, biar benar? Takkanlah sampai boleh kena kanser.’

Ayumi sedikit mengeluh.

“Kau ni macam penyiasat. Apalah pasal aku yang kau nak tahu sangat tu, kan? Hidup aku ni mana ada benda menarik,” balas Ayumi sambil menoleh Hadi yang baru sahaja duduk di sebelahnya. Dia sedar mereka kawan baik tapi tidak mungkin segala hal berkaitan dirinya boleh dikongsi seenak rasa. Lagipun mereka berlainan jantina, itu bermakna sesetengah hal harus dikunci rapi di dalam pengetahuan sendiri.

Hadi buat muka tak puas hati. Dia selalu rasa hampa bila Ayumi mengelak memberikan jawapan yang diinginkan.‘Kalau terus bercerita tak boleh ke?’ rungut hatinya.

“Sa, siapa tahu... mungkin aku dah mula jatuh cinta pada kau,” beritahu Hadi dengan bahu yang dinaikkan sedikit. Dia cuba menduga hati Ayumi pula.

Ayumi mencebik dan buat muka tidak berperasaan. Pandangannya beralih ke laut. Dia tidak suka antara mereka ada perasaan lebih daripada seorang kawan.

“Hadi... kalau kau suka aku. Suka yang macam mana?” tanya Ayumi mula terasa hambar dengan hubungan persahabatan itu. Janganlah warna ceria bertukar hitam hanya kerana kebodohan hati Hadi jatuh cinta kepadanya. Hadi tidak mampu membuat hatinya tertawan. Hatinya masih terasa dengan apa yang terjadi dulu. Kalaulah Hadi berjaya membuat hatinya melupakan Hiroshi, pasti dia sudah menerima Hadi. Kebaikan Hadi tidak mampu memukau dirinya. Mungkin kah? wujud seorang lelaki yang sekali sahaja dipandang akan membuat dia lupa tentang semua kesedihan dirinya? Yang boleh buat dia rasa bahagia bersama lelaki itu?

Hadi terdiam. Nak jawab apa? Kenapa Ayumi buat dia rasa kurang selesa dengan bertanya begitu? Memanglah dia suka Ayumi dan hampir sampai ke tahap cinta pun. Tapi Ayumi ni maksudkan suka yang bagaimana? Suka kerana selesa bersama atau suka hendak hidup bersama?

Ai, Hadi terkeliru pula. Mungkin suka di antara mereka kini berada di fasa yang ketiga. Kawan baik.

“Suka yang tak ada alasan,” jawab Hadi yakin suka yang dimaksudkan Ayumi berada di tengah-tengah, selesa bersama dan akan menuju ke jalan selesa mahu hidup bersama. Dia berharap sangat hubungan mereka ke fasa yang kedua. Jatuh cinta. “Tapi aku suka sifat biasa dan sederhana pada diri kau tu,” jawab Hadi.

Ayumi ketawa kecil. Hadi memberi jawapan sekadar tidak mahu mengecewakannya saja. “Okey. Tapi macam mana kalau aku ni perempuan luar biasa yang datang dari Zuhal, kau suka juga ke?”

‘Ayumi ni suka main-main,’ bisik hati Hadi. Dia pun tak keberatan mahu melayan. Ikutkan saja asal Ayumi gembira.

“Wow! Suka gila. Orang lain tak dapat kawan dengan orang planet. Aku aje. Masa tu aku buatlah bilik pameran, kutip duit tiket siapa yang nak tengok kau.” Selain Bumi mana ada planet lain yang dihuni manusia. Ayumi ni mengarut.

Eee... kejamnya niat Hadi tu. Tidak pasal Ayumi bangun dari duduk. Dia rasa Hadi dan Hiroshi tiada bezanya. Mungkin satu hari nanti sekali lagi dia akan dipermainkan oleh lelaki seperti itu.

“Eh, kenapa ni?” tanya Hadi. Pelik tiba-tiba Ayumi merajuk. Dia bangun mengikuti langkah Ayumi dari belakang.

Menonong Ayumi meninggalkan Hadi. Agaknya semua orang yang ditemui memang gila duit. Hubungan persahabatan yang dibina atas dasar kepercayaan pun sanggup dijual beli. Teruk!

“Alamak! Sa, kenapa ni?” tanya Hadi setelah berjaya mencapai bahu Ayumi.

Ayumi mengerakkan bahunya. Tidak mahu disentuh Hadi. Dia masih berjalan perlahan.

“Aku rasa sedih kalau kau betul-betul buat macam tu. Tak kesian sikit pun kat aku yang tercampak sendiri ke bumi tanpa keluarga dan siapa-siapa yang aku kenal.” Ayumi buat dialog sedih. Walau hatinya terkilan dengan kata-kata Hadi tadi tapi dia tak mahu bermasalah dengan Hadi.

“Sa, takkanlah aku nak buat kau macam tu.” Hadi rasa Ayumi merajuk dengan jawapannya tadi. “Kalau kau makhluk asing dan kawan aku, mestilah aku nak lindungi kau daripada dicederakan atau diapa-apakan oleh orang lain. Aku akan pertaruhkan nyawa aku untuk selamatkan kau,” tambah Hadi bersungguh.

Ayumi berhenti berjalan. Hadi dipandang dengan muka menahan senyum. “Itulah kawan,” katanya nakal.

“Itu aje?” Hadi tidak percaya.

Ayumi mengangguk kecil. “Kau nak dengar cerita tentang aku, kan?”

Hadi pula mengangguk. Memang dia nak tahu sangat.

“Okey. Kau nampak tiang lampu yang jauh tu?” Ayumi menunding lampu yang sayup kelihatan dari situ. Sekarang Ayumi memang pandai mencari alasan untuk mengelak. Sudah tahu Hadi takkan mendahuluinya sampai ke sana, sengaja dia mengumpan juga.

“Nampak,” jawab Hadi lurus. Kadang-kadang apa yang dirancang hati Ayumi gagal diteka. Maka, itu dia terkena.

“Kalau kau sampai sana dulu, aku cerita semua yang kau nak tahu,” beritahu Ayumi dengan muka nakal.

Hadi besarkan mata. Dengan perut boroi ke depan tu boleh ke dia memenangi pertandingan lumba lari tu?‘Tak guna punya kawan! Berani kau mainkan aku. Memang nak kena buang dalam laut.’ Kedua-dua tangannya diangkat mahu mencekik manja leher Ayumi.

Ayumi cepat-cepat lari. Perangai Hadi yang satu itu sudah dihafal dan mudah diduga.

Hadi mengejar. Ternyata Ayumi memang juara pecut. Tidak cukup kaki mahu mengejar gadis itu. Buat letih dirinya saja mengejar. Ayumi sudah jelas tidak sudi bekongsi apa-apa cerita dengannya. Hadi berjalan kaki pula. Lambat pun menemui Ayumi di garisan penamat dia tidak kisah. Biar Ayumi menunggu lama di situ. Siapa suruh menjadi pembuli.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.