Bab 1
TANGGAL 5 September 2006, genaplah 17 tahun usia
Qaseh Dilaila. Namun, cuaca hari ini bagaikan tidak gembira menyambut
ulangtahun kelahirannya. Ketika ini, kakinya tegar mengayuh basikal. Dari bola
mata terlihat mendung bersilang-silang bagai tikar mengkuang di dada langit,
menyaring panas dan menyisakan cahaya suram. Membekalkan hawa dingin buat tubuh
yang sering garing dibakar matahari. Dilaila mendongak ke langit, angin sejuk menyapa rakus wajah dan
membelit ghairah tubuhnya. Langit dari arah pusat bandar sudah gelap bukat.
Manakala daun-daun menjadi kuncup mengikut arah angin menandakan badai sedang
berarak menuju ke kampung. Mata Dilaila ralit melihat kenderaan yang
bergerak menentang arus. Semuanya basah. Pengelap cermin melibas kiri dan kanan
tanda bumi di sebelah sana sudah ditimpa hujan. Dilaila menghela nafas. Dia berhenti di simpang kerana ada sebuah
kereta sedang memberikan isyarat hendak masuk ke kanan. Kenal benar dia akan
tuan punya kereta itu. Pemandunya turut memberhentikan kenderaan lalu
menurunkan tingkap. |
“Nak ke mana?” Lelaki di dalam kereta itu menyapa.
“Nak balik. Pak Razak dari mana?” sahut Dilaila riang.
“Jemput Amer,” balas lelaki berusia 50-an itu.
“Ooo...” Dilaila
menundukkan sedikit wajahnya untuk melihat pemuda yang dimaksudkan oleh Razak.
Bila mata bertentangan, mereka berbalas senyuman tanda hormat.
“Kamu tak kenal dia. Jarang balik. Konon tak mahu jadi orang
kampung. Bosan!” Lancar sungguh hujah Razak tanpa cuak.
“Jadi, buat apa balik?” aju Dilaila telus.
“Cuti kali ni dia balik kampung sebab kena praktikal di Muar,”
pantas Razak memberi penjelasan.
Dilaila teruja menatap wajah Amer kerana memang sudah lama
teringin hendak melihat dengan mata kepalanya sendiri. ‘Oh... macam pernah ku
lihat mamat ni. Rupa-rupanya anak tauke tempe,’ hati Dilaila terdetik. Pernah
beberapa kali dia terserempak dengan jejaka itu di sekitar kampung tetapi tidak
tahu anak siapa.
Razak terus menyambung kata-katanya sambil melemparkan pandangan
pada Amer, “Ini Dilaila, anak Mak Cik Salimah. Kamu tak pernah jumpa dia. Tapi
masa kecil dulu kamu suka benar menyakat dia.”
“Pernah ternampak, tapi tak tahu dia anak Mak Cik Salimah!” Baru
sekali jejaka itu menyahut sambil tersenyum.
Begitu juga dengan Dilaila yang tersipu-sipu malu bagaikan
perempuan Melayu terakhir apabila diperkenalkan oleh Razak.
“Dah nak hujan ni, pergi balik cepat!” Razak menyergah sebelum
kelam kabut menurunkan brek tangannya. Bimbang Dilaila terkena hujan jika dia
terus berlengah di situ.
“Baik, Pak Razak,” balas Dilaila sambil matanya sengaja dilarikan
walaupun dia tahu Amer masih merenungnya.
Dilaila mula menyambung perjalanannya. Masih teringat akan jejaka
tadi. Dia tersenyum sendiri memikirkan perasaan nakalnya terhadap jejaka itu.
Lamunannya terpadam apabila titis-titis hujan menujah pipinya. Diperhatikan
pula situasi persekitarannya. Ayam-ayam yang biasanya asyik mengais tanah
bertempiaran lari mencari tempat berteduh.
Ngeri hati kudusnya memikirkan hujan badai yang bakal tiba
sebentar lagi. Risau hatinya takut tubuh kurusnya digulung bersama angin deras.
Dia menoleh kiri dan kanan, tidak ada tempat berteduh. Yang ada hanyalah
rumah-rumah yang pemiliknya tidak dikenali.
Mahu tidak mahu terpaksalah dia meneruskan perjalanan. Dia tega
tubuhnya basah lencun tetapi bagaimana dengan buku-buku rujukan yang dipinjam
daripada Jessila tadi? Sanggupkah dia melihat buku-buku itu basah?
“Dilaila!”
Tiba-tiba tubir telinganya bergetar dijerkah satu suara
betul-betul di belakangnya. Luqman sudah terpacak sambil tersengih-sengih macam
kerang busuk memandang si gadis.
“Hei, kau buat apa kat sini? Guruh dah berdentum-dentam ni. Pergi
balik!” Giliran Dilaila pula menempelak dengan mata bulat memandang lelaki yang
separuh siuman itu.
“Nenek kata, kalau nampak kau, suruh singgah.” Tergagap-gagap dia
berbicara. Air liurnya meleleh.
“Mana nenek tahu aku lalu sini?” Si gadis berwajah bujur sirih
segera menempelak. Hati berbunga-bunga tatkala memandang wajah yang
dirinduinya.
“Pagi tadi nenek nampak kau.”
Bibirnya menceber. Baru dia teringat, rumah neneknya hanya
kira-kira 50 meter sahaja kalau ikut jalan pintas melalui celah-celah belukar
di situ.
“Kalau aku tak nak?” Dia mahu menduga.
“Marilah... hujan.” Luqman mempelawa bersungguh-sungguh. Tanda
hitam dan sedikit berbulu di pipinya digaru-garu perlahan.
“Nama aku Dilaila... bukan hujan.” Dia tersengih.
Luqman tidak tega berlama-lama. Dia segera menerpa basikal Dilaila
lalu menolak-nolak basikal itu.
“Eh... sabarlah. Jangan tolak-tolak. Nanti aku jatuh siapa yang
susah?” Kelam kabut Dilaila mengimbangi tubuhnya.
“Cepat... hujan dah turun.”
Dilaila mengeluh. Dia berfikir sebentar. Sebaiknya dia akur dengan
ajakan Luqman tetapi nanti pasti dia akan terlewat pulang. Belum pun sempat dia
bersuara, deruman guruh bersama butiran kasar air bagaikan kristal berlari-lari
mengejar ke arahnya. Bumi di hadapannya mulai basah. Kelam kelibut dia memacu
basikal menuju ke rumah neneknya sambil diikuti oleh Luqman yang berlari
terhincut-hincut.
Tidak sampai lima minit,
Dilaila sudah pun tiba di perkarangan rumah. Basikal terus dihalakan ke
bawah rumah yang agak tinggi lantainya. Ditinggalkan bukunya di situ lalu dia
melangkah ke tangga dan melompat ke dalam rumah sebelum memegang daun pintu
seolah-olah mahu menutupnya.
“Tunggu-tunggu!” jerit Luqman yang termengah-mengah menyeret
sebelah kakinya yang sedikit lemah. Tangan kirinya mendakap ke dada. Manakala
tangan kanan dibiarkan terjuntai dengan jari yang agak bengkuk.
Dilaila tersenyum.
“Padan muka! Terhegeh-hegeh!” ejek Dilaila sambil menjuihkan
bibir. Seronok dia mengenakan Luqman begitu.
“Janganlah dimainkan-mainkan budak tu. Kesian dia. Tengok tu, dah
basah kuyup!” Nek Tijah yang turut terjengul di muka pintu terus menyampuk
sebaik melihat si jejaka capek sedang tercungap-cungap bagai betuk hilang air.
“Cepat masuk!”
Luqman melompat ke dalam rumah dengan hidung kembang kempis.
Bibirnya masih tersenyum. Itulah Luqman. Tidak pernah ada rasa marah di
wajahnya. Biarpun dipermainkan, biarpun diherdik, biarpun diejek dia tetap
tersenyum.
“Ha, kan dah basah. Aku kata jangan ditunggu si Dilaila ni, kamu
nak tunggu juga.” Nek Tijah menepis-nepis air di rambut Luqman.
Dilaila pantas mencelah, “Oh kau tipu aku ya tadi, kata nenek yang
suruh. Pandai ya jual nama nenek!”
Luqman menyeringai. Sebenarnya dia yang ternampak kelibat adiknya
itu pagi tadi. Sengaja dia menggunakan nama Nek Tijah untuk mengumpan Dilaila
singgah di rumah mereka.
“Itulah kau ingat dia bodoh? Padanlah muka kau, hidup-hidup kau
ditipunya.” Nek Tijah tertawa mengekek sambil menghulurkan tuala pada Dilaila dan
Luqman.
Pantas Dilaila memandang Luqman, lalu dia bersuara sambil menunjal
kepala si jejaka, pura-pura marah, “Oh, kau yang pandai-pandai ajak aku
singgah, kau kata nenek yang suruh ya... dah pandai bohong ya?”
Luqman cuba mengelak sambil tersengih. Dilaila semakin galak.
Kepala Luqman sudah berada di celah ketiaknya. Tawanya semakin nyaring kerana
sudah lama tidak dapat mengenakan Luqman begitu.
“Hei, sudahlah tu. Kamu ni kalau tak menyakat dia memang tak sah
kan? Sudah, tak baik main kepala macam tu. Dia tu abang kamu, hormatlah sikit!”
“Huh, abang konon. Abang apa? Abang capek?” Dilaila menceber
sambil memperlekehkan manusia yang lebih berusia daripadanya. Kemudian
menggesel kepala abangnya itu dengan siku, “Ha, ambik kau. Padan muka!”
“Adoi! Nek, tolong!”
“Sudahlah tu. Pergi mandi, basahkan kepala tapi jangan lama-lama
nanti selesema pula. Kau tu senang dapat demam.”
“Ha, dengar tu? Pergi mandi, badan busuk macam lembu!” Dilaila
masih tegar mengenakan Luqman.
“Dilaila, kamu ni kenapa? Tak baik cakap abang macam tu. Derhaka!”
Suara Nek Tijah sedikit meninggi.
“Main-main aje nek. Bukannya betul pun.”
“Memanglah tak betul tapi dia pun ada hati dan perasaan. Berdosa
kita kalau kecilkan hati dia.”
Si gadis memuncungkan bibir, hilang senyumnya seketika apabila
ditegur begitu. Tapi dia tidak ambil hati. Dia tahu neneknya ikhlas menegur.
Tanda kasih sayang yang tulus suci. Nenek tidak pernah membanding-bandingkan
cucu-cucunya. Dia sentiasa dilayan dengan baik begitu juga dengan Luqman.
Lantas dia mengubah bicara, “Dah lama Dilaila tak datang sini.
Nenek sihat?”
“Macam nilah, sihat orang tua-tua. Mak kau macam mana?” Nek Tijah
menyoal dengan nada bersahaja.
“Biasa aje. Sekarang ni dia tengah sibuk berkira-kira nak tanam
semula getah kat tanah atuk tu. Kenapa nenek tanya?”
“Tak ada apa-apa. Sajalah nak tahu cerita kamu anak beranak. Tapi
jangan kau cakap pulak kau singgah di sini. Takut nanti di sini hujan di sana
taufan.”
“Dilaila tahulah, nek. Takkan Dilaila nak beritahu mak. Mak memang
tak suka Dilaila datang sini jumpa Abang Luqman.”
Nek Tijah akur. Riak senyuman di wajahnya terus malap. Dia
berpaling lalu menuju ke meja makan. Di situ ada tiga cawan. Dia sudah
menyiapkan air kopi. Kemudian, dibukanya tudung saji. Ada apam beras dengan
sambal ikan bilis. Aroma kopi dan apam beras terus membangkitkan selera si
gadis.
“Wah, ada apam beras? Sedapnya. Dah lama tak makan apam beras
dengan sambal tumis. Ada kopi O panas pula. Hmm... kalau macam ni hujan selalu
pun tak apa.”
“Hai belum makan lagi dah kata sedap?”
“Mana ada orang boleh lawan sambal tumis nenek? Apam beras ni
pula, paling lembut dan kembang macam bunga. Terbaik punya!” Dilaila melaung
sambil mengunjukkan ibu jari.
Nek Tijah tersenyum. Perangai ceria cucunya itu memang sering
membuatkan hatinya bahagia. Luqman pun suka kehadiran Dilaila tetapi malangnya
keakraban mereka terhalang.
SEBAIK
cawan terisi, Luqman keluar dari bilik air. Nek Tijah menoleh sebelum melompat
kerana terperanjat. Dilaila yang sedang menyuap apam pun turut terperanjat
sama.
“Astaghfirullahalazim... Tuala kau mana, Luqman?”
“Eh, lupalah nek!” Luqman menjerit sambil menutup ‘anu’nya dengan
tangan. Dilaila memalingkan semula mukanya sambil tersenyum malu.
“Tulah aku dah cakap, bila nak mandi, bawa sekali tuala. Barulah
tak lupa! Masuk balik dalam bilik air itu, nanti aku ambilkan tuala.” Nek Tijah
bangkit terdengkot-dengkot berjalan menuju ke bilik Luqman.
“Apalah, dah besar panjang perangai macam budak-budak! Nasib baik
Dilaila dan nenek aje yang ada. Kalau orang lain?” Dilaila sedikit melaung
supaya suaranya dapat didengari Luqman yang berada di dalam bilik air.
“Man lupa. Ingatkan dah pakai seluar.”
Si gadis semakin galak tertawa. Lesung pipit di pipinya semakin
terserlah. Dengan gaya kekampungan dan selekeh, kecantikan Dilaila masih tersimpan
rapi bagaikan berlian di bawah tujuh lapisan bumi.
“Amboi, galaknya ketawa. Anak dara tak malu!” Nek Tijah yang
kurang senang dengan sikap galak si gadis segera meningkah.
“Eh, kenapa nenek marah Dilaila? Dia yang tak malu, dah tua pun
nak berbogel.”
“Walaupun Luqman tu tak cukup akal tapi dia lelaki. Kenalah rasa
malu sekalipun adik-beradik.”
“Alah, relakslah nek. Bukan nampak pun.”
“Memanglah tak nampak. Esok lusa kalau dia buat perangai macam ni
mana kamu tahu? Tapi kau jangan cakap apa-apa pada mak kau fasal ni. Nanti dia
ingat yang bukan-bukan. Tak fasal-fasal Luqman kena hambat nanti.” Untuk
kesekian kalinya Nek Tijah mengulangi agar Dilaila tidak membuka mulut tentang
kehadirannya di situ. Bimbang benar perempuan tua itu dengan reaksinya menantunya,
Salimah.
“Dilaila tahulah, nek. Apa pun fasal Luqman, mak memang tak mahu
dengar. Jadi, buat apa Dilaila nak cerita? Buat bodoh saja sudahlah.” Tuan
punya bibir tebal terbentuk bak ulas limau itu bertegas.
“Luqman, cepat pakai baju tu, kopi ni kalau dah sejuk tak sedap!”
kata Nek Tijah itu terus dipotong dengan suara Luqman yang sudah pun terjongol
di belakangnya lengkap berpakaian biarpun tidak begitu rapi. “Nantilah sekejap
nek. Man nak sikat rambut ni.”
“Pehh... duduk rumah pun nak buat jambul ke? Hujan-hujan ni Siti
tak adalah,” sampuk Dilaila sebelum meneguk kopi 434 Muar yang sungguh
istimewa. Kopi kampung atau kopi O yang mempunyai cita rasa tersendiri ini
bukan sahaja beraroma, tetapi sungguh enak rasanya. Ia diproses dengan resipi
tradisional yang menggunakan gula pasir dan marjerin sebagai ramuan. Sekali
minum mampu membuatkan diri terus jatuh cinta.
“Dilaila mana tahu? Kalau-kalau Siti datang nanti. Man yang malu.”
Nek Tijah yang semakin dimamah usia pantas menyergah, “Sudahlah,
cepat pergi sikat rambut tu.”
“Jangan nak harap, Siti dah ikut laki dia ke Sarawak. Padanlah
muka kamu jadi bujang terlajak.” Dilaila masih gigih mengusik hati Luqman.
“Dilaila, sudahlah tu. Jangan disakitkan hati dia lagi.” Giliran
Dilaila pula disergah oleh Nek Tijah.
Begitulah sibuknya Nek Tijah jika kedua-dua cucunya bertembung.
Dilaila sering menyakat abangnya. Manakala Luqman pula akan merajuk, tetapi
segera merindui adiknya apabila lama tidak bertemu.
Keadaan Luqman yang tidak begitu sempurna sering membuatkan dia
terpaksa memastikan yang Luqman tidak lupa melakukan hal-hal penting. Luqman
mampu mengurus diri dengan peringatan berterusan daripada Nek Tijah. Jika tidak
diingatkan, dia akan lupa. Ada kalanya dia mandi berulang kali jika
dimain-mainkan oleh anak-anak jiran. Dan yang paling kerap mempermainkannya
ialah Siti, anak jiran sebelah rumah!