Home Novel Keluarga Bunga Hati
Bunga Hati
24/4/2014 10:51:32
28,902
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 3

PAGI hari Sabtu itu tidak seperti pagi hari-hari yang sebelumnya. Kalau sebelum ini Dilaila akan bangun awal untuk solat subuh dan seterusnya mengulang kaji pelajaran. Hari ini dia belum bangkit lagi. Hati Salimah tertanya-tanya, tetapi kerana menyangka yang anak gadisnya datang haid dan sengaja mahu bangun lewat, dia terus keluar rumah menuju ke pasar tani.

Kalau terlewat, nanti dia tidak berpeluang membeli ikan-ikan segar. Dengan bertemankan bakul besi beroda, Salimah mengayun langkah deras demi mengejar masa kerana jarak pasar tani yang agak jauh iaitu kira-kira satu kilometer dari rumah.

Penat berjalan kaki tidak dihiraukan, membeli-belah di pasar tani itu umpama suatu terapi. Salimah pantas memilih sayur-sayuran yang sesuai dengan seleranya. Sawi, bayam dan kubis memang tidak pernah terkeluar daripada senarai. Selesai memilih sayur, dia ke gerai ikan. Tatkala hendak menghampiri gerai beratap merah, kakinya terpaku. Matanya meratah susuk tubuh berkaki tempang. Sedepa dari situ pula dia terlihat kelibat seorang wanita tua sedang sibuk memilih ayam.

Salimah memfokuskan anak matanya sambil jantungnya bergetar. Luqman dan Nek Tijah turut berbelanja di situ. Luqman berpaling lalu mata mereka bersatu. Senyuman terukir di bibirnya tetapi wajah Salimah pula terus cemberut.

Salimah memalingkan muka ke arah lain membiarkan Luqman tersengih-sengih sendiri. Hatinya sebal. Dia rela bertembung dengan anjing kurap berbanding dengan mereka berdua. Kakinya terus dipacakkan ke kanan lalu menuju ke gerai menjual makanan yang terletak paling hujung. Sebaik tiba di situ dia disapa oleh seorang jirannya.

“Hai kak, kenapa kelam kabut ni?”

“Eh tak adalah Nanu... akak nak cepat ni ada hal di rumah.”

“Kak, nak tanya sikit. Malam tadi lebih kurang pukul sembilan, akak ada kat rumah ke?”

“Tak ada. Akak pergi kenduri, kenapa?”

“Saya terdengar suara orang menjerit, tapi sekali sahaja. Lepas tu terus senyap. Saya ingat suara tu datang dari rumah akak. Tapi bila saya jenguk, tak ada apa-apa pulak. Sunyi saja lepas tu. Cuma saya nak pesan pada akak, jangan berani sangat tinggalkan anak dara akak seorang. Maklumlah budak-budak sekarang.”

Jantung Salimah berdegup kencang. Dia mula terbayangkan garisan merah di pipi lelaki itu dan Dilaila yang belum bangun tidur lagi. Pantas dia meletakkan semula nasi lemak yang baru hendak dibelinya. Salimah terus meninggalkan kawasan tapak pasar tani lalu berjalan pantas bagaikan tidak memijak bumi.

SEBAIK tiba di rumah, dia melompat masuk menuju ke bilik anak gadisnya. Bilik masih berkunci. Dia mengetuk sekuat hati, namun tidak ada jawapan.

“Dilaila! Dilaila! Buka pintu ni!” Salimah berteriak dan menggegarkan pintu sekuat hati.

Gadis yang masih lena di dalam bilik itu segera terjaga. Lalu bangkit membuka pintu. Jalannya terhuyung-hayang kerana kepalanya pusing. Sepanjang malam tidurnya tidak lena. Hanya selepas mendengar ibunya pulang semalam barulah hatinya sedikit lega. Namun, matanya tidak mahu lelap hinggalah ayam berkokok barulah dia terlena.

Salimah pantas mendapatkan anaknya lalu diperiksa dahi Dilaila, “Panas, kau demam ke?”

“Taklah. Pening saja.” Dilaila membalas perlahan.

“Panas sangat ni. Kau baring sekejap. Mak nak demah sikit.” Tanpa berlengah lagi, Salimah segera mendapatkan semangkuk air dan tuala.

“Err... malam tadi kau ada dengar apa-apa?” Salimah terus melontarkan soalan tanpa cuba berselindung lagi. Jantung berdegup kencang. Tiba-tiba perasaan keibuan melonjak melebihi segala-galanya.

Sambil itu, tuala tadi dicelup ke dalam air lalu disapu ke wajah dan kepala anaknya hingga basah. Setelah beberapa ketika, barulah Dilaila terasa segar sedikit.

“Dengar apa mak?”

“Tak adalah, bunyi macam orang menjerit ke. Lagipun kau jarang demam sebab itulah mak tanya. Manalah tahu kalau demam terkejut?”

“Tak ada apa-apa. Dilaila pening tak larat nak bangun.” Entah mengapa si gadis gagal berterus-terang. Dia masih mahu berahsia dengan ibunya.

Lega sedikit hati Salimah bila mendengar jawapan Dilaila. “Hmm... tak apalah kalau macam tu. Agaknya kau kena hujan semalam. Tu yang sampai demam. Nanti aku buat bubur. Kau pergi mandi dulu.”

Dengan langkah longlai, gadis itu mencapai tuala lalu menuju ke bilik air. Salimah hanya menghantar dengan renungan tajam bagai mahu membelah dada dan membaca isi hati anaknya itu. Perasaannya bercampur baur antara mahu percaya atau tidak.

Kalau benarlah Gaban sudah melakukan sesuatu terhadap anaknya, biar dia sahaja yang mengajar pemuda itu. Dia akan memaksa Gaban membuat pengakuan.

Sewaktu Dilaila mandi, Salimah menyelongkar bilik anaknya untuk mencari petanda demi memuaskan hatinya sendiri. Tangannya menggeletar. Hatinya cuba menafikan sebuah prasangka. Mungkin Nanu salah dengar. Biarlah semua itu hanya suara-suara sumbang yang dengki pada kebahagiaannya.

Ketika sedang membetulkan cadar, Salimah ternampak sehelai selimut di bawah kepala katil. Dicapainya selimut itu dengan niat hendak membawanya ke bilik air untuk dibasuh. Namun, sebaik sahaja diambilnya, dia terpegang bahagian kain yang keras.

Selimut dihampar di atas katil lalu kelihatan tompokan cecair yang sudah mengering pada fabrik berbulu itu. Kemudian dia merapatkan tompokan itu ke hidungnya dan dia kenal bau itu.

Tatkala itu, Dilaila kembali ke bilik. Dia terkejut melihat selimut di tangan ibunya. Dia terus menangis teresak-esak hingga meruntun hati ibunya.

“Malam tadi... Gaban...” Kata-kata itu gagal diteruskan kerana Dilaila lebih banyak meraung daripada bercakap.

Sah, sesuatu yang buruk telah berlaku malam tadi! Mata Salimah bertukar merah! Hidungnya kembang kempis. Tangannya menggigil, bibirnya bergetar menahan geram. Selimut dibawa ke dapur. Dia menahan marah. Parang yang tersisip di celah gerobok dikerlingnya berkali-kali. Pertimbangannya melayang bagaikan sang helang memecah dada langit untuk mencari sasaran!

SALIMAH mundar-mandir di dapur, menanti kehadiran Gaban. Dia mahu menyelesaikan urusan dengan lelaki itu pada hari ini juga. Bak kata pepatah, kalau pandai mencencang akar, mati lalu ke pucuknya.

Menjadi rutin harian Gaban singgah makan tengah hari di rumah Salimah. Kebetulan bengkel kimpalan besi tempat dia bekerja hanya terletak kira-kira 50 meter sahaja dari rumah Salimah. Seperti yang dijangka, seketika kemudian, kedengaran bunyi enjin motosikal berhenti di halaman rumah.

Tanpa menduga yang dia akan termasuk jerat, Gaban muncul di muka pintu dengan gaya bersahaja. Dia meletakkan topi keledar di atas meja kemudian mencapai alat kawalan jauh televisyen.

“Mah, masak apa hari ni? Aku laparlah!” Lelaki itu melaung apabila Salimah masih belum muncul di ruang tamu seperti selalu. Lazimnya Salimah akan tampil dengan pakaian bersih dan berbau harum. Itulah yang membuatkan hatinya tertawan pada Salimah yang pada awalnya dianggap hanya sebagai kakak. Tapi lama-kelamaan kerana sering berkongsi perasaan dan masalah, maka terbukalah dua hati itu untuk bercinta.

Salimah yang terdengar suara Gaban mula hilang kewarasan. Hulu parang di tangannya dikepal-kepal penuh amarah. Sambil menggenggam parang dia menghampiri Gaban. Dengan keras dia bersuara, “Sebelum aku repot pada polis, baik kau berambus. Aku tak nak tengok muka kau lagi!”

Gaban menoleh ke kanan. Kemudian secara spontan dia terlompat sedikit. Panik melihat telatah Salimah yang persis orang hilang akal.

“Eh, kenapa ni Mah?” Dia terkejut melihat parang berkilat di tangan Salimah.

“Jangan nak berpura-pura lagi. Konon nak jaga aku anak-beranak. Tapi harapkan pagar, pagar makan padi! Patutlah orang selalu cerita macam-macam tentang kau. Rupa-rupanya perangai kau ni memang pelesit, syaitan!”

“Yang kau mengamuk macam orang tak siuman ni kenapa?” Giliran Gaban pula naik geram.

“Apa kau dah buat pada Dilaila? Konon sayang aku tapi tergamak kau rogol anak aku? ”

“Rogol? Eh... kau gila ke Mah? Mana ada aku buat macam tu? Pegang pun tidak, inikan pula nak rogol?”

“Kau jangan nak berselindung lagi.”

“Buat apa aku nak selindung, malam tadi aku tunggu kau sambil tengok tv. Itu saja.”

“Kenapa pipi kau bercalar? Cepat cakap sebelum aku repot polis!”

“Mah, dah berbuih mulut aku ingatkan kau. Jangan dengar sangat cakap-cakap orang. Tu semua fitnah, Mah. Fitnah! Orang kampung ni memang suka tengok kita bergaduh. Mereka cemburu dengan cinta kita.”

“Ini bukan hal orang kampung. Ini hal Dilaila. Kau dah buat kerja tak senonoh pada Dilaila, kan?”

“Kenapa? Dilaila mengadu pada kau ke? Sebab itulah aku cakap kau jangan percaya sangat cakap orang termasuk anak kau sendiri. Budak-budak sekarang, bukan boleh percaya. Pandai berlakon. Dia pun ada kawan-kawan lelaki, entah-entah dah terlanjur, lepas tu fitnah aku pula.”

Salimah merengus, “Jangan nak berdalih. Putar alam, mana nak mengaku salah!”

“Mah, aku masih teruna! Percayalah!”

“Pui! Teruna kepala tok kau! Pergi berambus. Aku tak nak tengok muka kau lagi!”

“Mah, janganlah macam ni. Kepala tok aku jangan sebut ya. Cuba dengar cakap aku, Mah. Aku sayangkan kau seorang saja. Lagipun kita kan dah janji nak kahwin tak lama lagi? Kau tak sayang ke dengan hubungan kita?”

“Sayang konon, kau nampak tak parang ni? Sebelum parang ni menujah perut kau, baik kau berambus. Angkut semua barang kau dan jangan datang lagi rumah aku!” Salimah seperti diserang histeria.

“Mah, jangan salah faham. Aku tak buat apa-apa pada dia! Aku cuma nak tengok dia saja. Dia cantik macam kau juga!”

Zass! Libasan parang menyambut kata-kata Gaban. Mujur lelaki itu mengelak, tetapi dia hilang keseimbangan badan lalu tersembam ke lantai. Memang Salimah tidak mampu menahan amarahnya lagi.

Memang lelaki itu patut diheret ke balai polis. Tetapi Salimah tidak mampu hendak menempuh hari-hari mendatang jika berita mengenai hal ini tersebar. Di mana dia hendak letakkan muka apabila semua orang tahu tentang hal itu?

“Mah, kau nak bunuh aku ke? Kalau aku mati kau kena gantung tau!”

“Aku rela daripada membiarkan manusia macam kau ini hidup!”

“Baiklah, aku akan keluar sekarang tapi parang tu baik kau letak dulu. Aku belum nak mati lagi. Okey, aku mengaku aku ada kacau dia semalam. Tapi selebihnya aku tak buat benda yang kau cakap tu. Percayalah Mah, aku tak bohong!”

Ketegangan perasaan yang dialami Salimah kendur setelah termakan dengan pujukan Gaban. Dia menurunkan tangan dan parang itu terjuntai di sisi tubuhnya.

Melihat Salimah sedikit reda, Gaban segera mengutip beberapa barang miliknya yang ditinggalkan di situ. Sambil mengemas mulutnya sempat membebel, “Bodoh... marah tak tentu fasal. Tak sedar diri, perempuan tua!”

Kata-kata itu sempat menerjah ke gegendang telinga Salimah. Hatinya yang mula sedikit suam, kembali menggelegak.

‘Nanti kau, orang macam kau memang patut diajar,’ getus Salimah dalam hati. Lantas dia keluar sambil menarik sebilah pisau lipat yang tersisip pada tali pinggang kain yang mengikat kain batiknya. Gaban hanya mengerling Salimah yang pergi terkocoh-kocoh dari situ.

Dihampirinya motosikal Gaban di tepi pangkin. Tali brek depan motosikal menjadi sasarannya.

Seketika kemudian lelaki itu keluar dan mereka bertentang mata. Sambil tersenyum sinis lelaki itu bersuara, “Kau akan menyesal suatu hari nanti, Mah! Kau takkan jumpa lelaki yang sayang kau seratus peratus macam aku ni. Ingatlah kau tu dah tua, tak ada sesiapa pun yang hendak kau lagi! Aku sumpah kau menjanda sampai mati dan anak kau jadi andartu!”

Salimah menceber. Meluat dia melihat Gaban yang masih cuba menegakkan benang yang basah. “Kalau setakat bersuamikan syaitan macam kau, aku rela tak kahwin langsung!”

“Kau akan menyesal nanti!” Gaban pantas menghidupkan enjin motosikalnya sebelum terus memecut sambil ketawa mengejek.

Salimah memejamkan mata berharap dendam akan terbalas.

DARI pintu hadapan rumah, Salimah sempat mengintai melalui ekor matanya kerana pintu bilik Dilaila ternganga. Buntu dia memikirkan cara terbaik untuk menyelamatkan anaknya. Pada anggapannya Dilaila telah diperkosa oleh Gaban. Dia tidak mahu kejadian semalam membenihkan hasil yang tidak diingini. Ligat kepalanya berputar sambil menuju ke dapur untuk menjenguk bubur nasi yang ditanak.

Dicapainya mangkuk untuk menyejukkan bubur yang sudah dimasak ketika menunggu Gaban tadi. Setelah semuanya siap terhidang, dia duduk di meja makan. Memanggil anaknya tidak, menyuap ke mulutnya pun tidak.

Salimah mengelamun. Menyesal kerana tidak meng-ingatkan anak gadisnya agar mengunci pintu bilik pada setiap masa. Menyesal kerana dia pergi kenduri malam tadi. Menyesal kerana dia membuat hubungan dengan lelaki muda sedangkan dia sudah ada anak dara. Hari ini sudah berguni-guni penyesalan melintasi tangkai hatinya.

‘Entah kali ke berapa Gaban melakukan perbuatan terkutuk itu,’ Salimah bermonolog. ‘Macam mana kalau Dilaila mengandung?’ Ah, bermacam-macam andaian dan bayangan menakutkan yang timbul di benaknya. Hendak berterus-terang dengan anaknya, dia belum punya kekuatan.

Wajahnya berkerut. ‘Kenapa aku dapat suami yang tidak bertanggungjawab, yang tidak pernah kembali untuk mencari anak dan isterinya? Mengapa aku lahirkan anak yang cacat seperti Luqman? Kenapa aku biarkan jantan keparat itu keluar masuk dengan bebas dalam rumah ini? Kenapa bala datang bertimpa-timpa?’ Berguni-guni persoalan kenapa dan mengapa pula menerjah saraf otaknya.

Perlahan-lahan air matanya menitis tetapi segera disekanya dengan hujung lengan. Dia tidak tega menangis di depan Dilaila. Biarlah segala kepahitan itu ditelan sendiri. Cuma yang dia risaukan ialah kesudahan nasib Dilaila selepas ini.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh