Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 44


Kuntuman Tecoma berona putih dan merah jambu memenuhi di atas jalanan. Menambah seri di sepanjang bahu jalan itu yang telah dijadikan sebagai kawasan parkir oleh sebilangan pemilik kenderaan yang menetap di sekitar kawasan itu. Kenderaan miliknya tidak terkecuali menyelit di antara barisan kenderaan yang bersusun.

Dari jauh dia memandang apartmen lapan belas tingkat yang dicat dengan dua tona warna. Saban waktu andai perasaan tidak mampu ditepis lagi dia akan memecut ke situ. Terkadang tidurnya di dalam kereta sahaja. Terkadang, hanya singgah sebentar lalu pergi. Sebenarnya, dia sudah gila bayang kepada gadis itu. Meski sudah berpuluh gadis cantik pernah ditemuinya sebelum ini namun sebaik mengenali gadis itu, barisan ratu yang pernah ditemui tewas tanpa perlu bertanding. Dia, benar-benar sudah angau! Jadi, kalau tak dapat melihat wajah, dapat tengok bumbung rumah pun dah cukup.

Tumpuan, terganggu tatkala sebuah kereta yang amat dikenali tiba-tiba melewati pondok pengawal. Ia berhenti seketika sebelum kembali bergerak lalu berhenti lagi di hadapan pintu utama apartmen. Bisikan dengki dan dendam berdesir di cuping telinga. Stereng kereta dipegang kuat seperti menahan diri daripada turun dari kenderaan ketika itu juga dan melepaskan tumbukan kepada lelaki yang menduduki tangga kedua senarai balas dendam yang dibuatnya. Berdongkol geram kerana perlu bersabar dan, kerana itu bukanlah kali pertama dia melihat si gadis pujaan menaiki kereta pemuda itu.

Sial!

Bermodalkan seraut wajah yang tampan dijadikan pula umpan untuk memikat gadis rupawan yang bakal menjadi miliknya itu.

"Ada rezeki kita jumpa lagi. Good luck!" kata gadis itu dengan satu senyuman yang indah bermain di bibir.

Utusan perpisahan itu disimpan sebagai tanda gadis itu berkeinginan untuk bersua lagi dengannya.

Oh, Suraya Anne!

Tuturnya sopan tetapi, pergerakannya lincah. Dari hari pertama bertemu perwatakan gadis itu berjaya mencuri hatinya. Dari persepsi seorang adik, lama-kelamaan perasaan kasih tiba-tiba menerbit tanpa dia sedari. Makin hari wajah gadis itu yang seringkali dinantikan untuk ditatap setiap kali dia bangun dari tidur. Makin lama, kehadiran gadis itu lebih diidamkan sebaik tiba di pejabat.

Dari kejauhan, dia melihat kemunculan gadis itu di pintu utama sebelum tersipu tatkala pintu kenderaan dibukakan oleh musuhnya itu. Berbakul sumpah seranah yang keluar dari mulutnya. Berlagak gentleman konon! Padahal sisi gelap si pemuda itu berada dalam genggamannya.

Hahahaha!!!

Tidak tertahan diri untuk bertemu Suraya menceritakan segala sikap buruk lelaki itu nanti. Biar gadis itu sedar bahawa di balik sikap berbudi bahasa lelaki itu sebenarnya tersimpan satu tabiat yang amat menjijikkan.

Dr. Adrian. Anak si bedebah yang menjadi buruannya sejak sekian lama. Cuma, tak sangka. Rupa-rupanya si Kamal itu seorang yang pengecut. Ingatkan lesap bersembunyi di luar negara, rupa-rupanya di sekitar negeri ini sahaja.

Dan dia terhutang budi pada Epie yang bersusah payah mengumpul maklumat tetapi akhirnya informasi itu jatuh ke tangannya pula. Dia tahu akan tujuan Epie mencari dan mengumpul maklumat itu. Untuk apa lagi melainkan mahu menukarkan ia dengan kebebasan dirinya sendiri. Tetapi sayang, perempuan itu tidak sedar bahawa setiap pelan yang disusun telah dapat dihidu oleh dirinya terlebih dahulu.

Huh! Jangan haraplah nak bebas! Khidmat Epie masih diperlukan. Selain menjadi simbol tatapan ahli keluarga dan sahabat handai, perempuan itu harus ada untuk melaksanakan sebahagian kerja-kerja yang lain pula. Siapa yang mahu sediakan makan minumnya jikalau bukan si Epie? Siapa yang mahu mengemas dan mencantikkan rumahnya? Siapa yang mampu memberinya duit poket dua ribu sebulan jikalau bukan perempuan itu juga?

Selama ini bukan sahaja dia perlu bersabar dengan perkahwinannya tetapi, kedua beranak itu juga. Bertahun dia memerhati dalam diam. Bertahun dia menahan kesabaran demi kemunculan Dr. Adrian. Terhadap Kamal dia tidak bimbang. Dengan lokasi Kamal yang sudah diketahui, sudah tentulah mudah saja kerja balas dendamnya itu selesai. Cuma, Dr. Adrian agak lain sedikit. Untuk menghancurkan reputasi lelaki itu bukan satu kerja mudah walaupun pernah beberapa tangkai buah fitnah sengaja disebarkan sebelum ini. Lelaki itu terlalu berhati-hati dalam setiap tindakannya. Seperti berjaga-jaga terhadap sesuatu. Namun, itu bukanlah alasannya untuk menyerah dari terus melunaskan dendamnya terhadap Kamal dan anaknya itu. Selagi dia bernyawa mana mungkin dia membiarkan kedua beranak itu hidup bersenang-lenang. Selagi ada kesempatan untuknya akan digunakan peluang itu untuk meranapkan kehidupan mereka berdua.

Sebenarnya, sebelum Dr. Adrian diserap masuk ke TSL dia, terlebih dahulu masuk berkerja di syarikat dengan niat untuk merapatkan diri. Tepat jangkaannya. Lelaki itu mengelabui mata semua orang termasuk dirinya dengan sikap yang berbudi bahasa itu. Mungkin, itulah senjata utamanya. Memakai topeng yang jauh dari karakter aslinya. Lalu, tunduk dan patuh pada setiap arahan Tan Sri Johari. Nampaknya orang tua itu juga sudah terpedaya dengan lakonan si Adrian itu. Tetapi, biarlah. Dia enggan campur tangan dalam urusan anak beranak itu.

Cuma, sakit dihatinya makin parah andai sesuatu tidak dilakukan dengan segera untuk menjatuhkan reputasi Dr. Adrian yang semakin lama semakin kukuh di syarikat itu. Kalau bapanya dah dibenci, keturunannya juga dia benci. Hatinya belum puas dari mengenakan kedua beranak itu. Dia mahu membenamkan Dr. Adrian seperti mana Kamal terperosok jauh dalam persembunyiannya. Langsung tidak berani memunculkan diri biarpun lima belas tahun telah berlalu.

Bacul!

Baru digertak sedikit sudah menyerah. Lama dahulu dia memulakan propaganda ke atas Kamal itu. Bermula dengan khabar angin yang disebarkan olehnya tentang kelakuan pecah amanah hingga menyebabkan hubungan Kamal dan bapanya terputus dan di bawa pula desas-desus itu ke Semenanjung. Mana-mana lubang kerja yang ditemukan oleh Kamal, dipastikan lelaki itu pulang kehampaan. Cuma, mungkin sudah nasib, merasa juga lelaki itu berjaya. Tetapi, sebentar sebelum dia kembali memainkan peranan dengan bersemuka lalu mencucuk jarum menabur racun di dalam benak lelaki itu akan kemudaratan yang telah diberikan kepada satu-satunya waris yang dipunyai.

Lamunan yang panjang terganggu tatkala mendengar bunyi hon yang kuat dari arah belakang. Pemandu lori dan seorang penunggang motosikal sedang bertelagah di jalanan. Dilirik kembali ke depan. Melihat kereta yang diintip sudah bergerak.

Gear dimasukkan dan dia mengekori.

Lima belas minit kemudian, mereka berada di atas lebuhraya MEX. Dia sudah mengagak destinasi mereka melihatkan bagasi yang ditarik oleh gadis itu tadi. Tentu mereka berdua mahu berangkat ke Sabah meneruskan projek yang pertama kali diusul dan dipelopori oleh Dr. Adrian sendiri.

Tak guna!!

Dengarnya lelaki itu mahu mengembangkan liputan teknologi itu ke kawasan pedalaman pula. Dia harus pantas merencana sebelum langkah lelaki itu pergi lebih jauh di dalam TSL. Dia mahu kedua beranak itu dipalingkan daripada mendapat walau sesen warisan Tun Sidek. Dia mahu kedua beranak itu kembali ke kancah kehinaan seperti suatu masa dahulu. Dan, Suraya Anne pasti akan diambil kembali. Walau apa sekalipun halangan dia tidak akan sekali-kali membiarkan seorang lagi wanita menjadi mangsa kepada kedua beranak itu. Tak kan mungkin!

Kereta yang dipandu tidak terus mengekori lagi. Diambil susur ke sebuah stesen petrol lalu kenderaan berhenti di satu tempat parkir kosong yang disediakan. Stereng ditumbuk kuat. Mengingati wanita itu, hatinya tersayat pedih. Luka lama itu tidak pernah sembuh. Dan, tak kan pernah sembuh lagi kerana luka itu terlalu dalam. Hampir-hampir melumpuhkan jiwanya andai dia tidak kuat ketika itu.

Wanita itu dan Suraya saling tak tumpah. Cantik menawan dan mempunyai satu persamaan. Mereka berdua, berada dalam pemerhatiannya. Sayang seribu kali sayang, suatu masa dahulu wanita itu telah dibawa lari hanya untuk menjalani kehidupan yang tragis sebelum akhir hidupnya.

Tunggu, Suraya... Dia, akan hadir untuk membebaskan gadis itu dari cengkaman anak si bangsat itu!

"Huh!.." dengusnya kuat sambil mengetuk stereng kereta. Memikirkan Suraya dia termenung sejenak.

"Kenapalah naif sangat kau ni, Suraya Anne?.." gerutunya lagi.

Mengenangkan peristiwa sebelum ini menyedarkan dirinya bahawa dia telah melakukan kesilapan. Terlalu gelojoh. Tak sabar. Sepatutnya dipupuk dahulu perasaan gadis itu terhadap dirinya. Dia tahu gadis itu selesa berada disampingnya. Lihatlah lenggok suaranya, mimik mukanya dan juga kelakuannya apabila mereka bersama. Mesra dan terlalu menghormati dirinya. Ah! Begitulah ciri-ciri seorang gadis yang sepatutnya menjadi suri hidupnya.

Bukan seperti si Epie yang lisut tu! Sudahlah sibuk memanjang dengan kerja, tidak mampu pula memberinya zuriat. Hisy! Pening kepalanya memikirkan hal yang satu itu. Tak tahu ke si Epie tu yang zuriat itulah satu-satunya perkara yang didambakan setelah mereka berdua berkahwin. Harapkan muka saja cantik tapi mandul!

Sudah hampir tiga belas tahun mereka berkahwin tetapi masih lagi hidup berdua. Seandainya dia tidak dikurniakan zuriat, alamatnya melepaslah dia nak merasa bahagian harta Nenek Bayu yang dijanjikan oleh orang tua itu kepada setiap cucunya yang mempunyai anak. Sebab itulah ramai di antara adik-beradiknya, juga sepupu sepapatnya yang berkahwin awal dan menyambut zuriat awal. Apalagi kalau bukan sebab mahu mendapatkan bahagian harta Nenek Bayu yang menimbun itu.

Dia mendapat idea! Sesuai dengan kemahuan si Epie itu. Kebebasan yang diinginkan bakal menjadi pertukaran. Telefon pintar yang dibiarkan di atas dashboard dicapai. Nombor Epie di tekan.

"Epie."

Jengkel saja bunyi suaranya itu. Tidak lagi mesra dan manja seperti di awal perkahwinan.

"Jay."

"Hantarkan pada aku semua maklumat tentang modem yang kau kumpulkan tu."

Klik. Dia memutuskan talian. Puas hatinya kerana hanya perlu mengeluarkan arahan. Tidak sia-sia usaha mengumpul maklumat selama beberapa tahun berada di syarikat bakal dijadikan senjata untuk peperangannya itu. Nampaknya dia terpaksa menyingkirkan seseorang di dalam syarikat itu bagi menyempurnakan rancangannya.

Jam di pergelangan tangan diimbas. Masih awal untuk masuk ke pejabat manakala rumahnya pula terletak tidak jauh dari kawasan itu. Dia berhajat untuk pulang sahaja. Mahu merangka lebih banyak strategi untuk menjahanamkan hidup si Adrian itu seperti mana dia mengucar-ngacirkan hidup Kamal.

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.