Sebiji bantal hiasan disandarkan pada hujung kerusi. Kemudian, dia memusingkan tubuh agar kedua belah kakinya dapat dilunjurkan di atas kerusi tersebut. Dari kejauhan dia melihat barisan pencakar langit berskala mega yang gagah berdiri saling mempamerkan keutuhan senibina masing-masing. Suasana petang itu nyaman. Langit biru dengan calitan awan larik sentiasa memberikan kepuasan kepada mata yang memandang. Kilauan mentari tidak lagi garang. Perasaannya kembali gontai. Boleh terlena andai bayu sepoi datang membuai.
"Amboi, jauh berangan." sapa Kak Rin yang merupakan tuan rumah kepada apartmen yang diduduki itu. Sebuah kerusi urut yang turut diletakkan di ruang itu menjadi tempat berlabuh wanita itu.
Spontan Suraya tergelak kecil. Lalu, dia bangkit sebentar meletakkan From GSM to LTE-ADVANCED yang berada di atas ribaan ke atas para mini yang melekap pada dinding di atas kepalanya. Buku itu menjadi teman akrabnya akhir-akhir ini setelah episod Dr. Adrian mengambil kembali laporan Prima miliknya itu. Jika tak mampu meraih pengalaman melalui penghasilan laporan, digunakan kaedah bacaan ilmiah pula. Tak rugi dan makin bertambah pula ilmunya.
"Kak Rin, bila balik? Yaya tak perasan pun." ujarnya sebelum kembali duduk.
"Pukul 3.00 tadi. Sunyi je rumah masa akak sampai. Ingatkan korang berdua balik kampung. Anis mana?" soal Kak Rin yang memiliki nama penuh Sherina.
Apartmen yang berusia melebihi sepuluh tahun itu dimiliki oleh wanita itu yang bertugas di awan biru. Sudah berumah tangga tetapi, Suraya tidak begitu jelas akan kehidupan peribadi tuan rumahnya itu kerana empunya diri seakan mengunci sisipan peribadi itu untuk dirinya sendiri.
Suraya, membuat congakan pantas. Patutlah dia tak perasan. Waktu itu dia tengah sedap tidur. Sedar-sedar dah masuk waktu Asar ketika dia bangun tadi. Lantas ditunaikan kewajiban sebelum ke dapur membancuh minuman petang.
"Anis keluar. Shopping katanya."
"Aik, dah tu kenapa Yaya tak ikut? Korang ni kan macam belangkas. Berkepit ke hulu hilir."
"Tak nak lah kacau daun." ucapnya sambil menahan suara lirih di kerongkong.
Pandangan dibawa ke luar angkasa. Enggan membiarkan Kak Rin menangkap perasaan hiba yang tiba-tiba menjenguk. Entah kenapa, dia belum mampu untuk move on dengan status Hanis sebagai tunangan orang ketika ini. Cemburukah dia? Sedikit pun tidak. Mungkin dia tidak gembira kerana perancangan yang pernah dirancangkan bersama itu tidak pernah lagi dibangkitkan.
"Oh, keluar dengan Irfan. Berdua aje ke? Biar betul?" tanya Kak Rin lagi seakan tidak percaya.
Suraya melirik kepada wajah yang sentiasa tampak manis secara semula jadi meski tanpa perlu mengukirkan sebuah senyuman. Pertemuan dengan Kak Rin si tuan rumah boleh dibilang dengan jari ekoran kesibukan Kak Rin yang sentiasa 'terbang' itu. Tetapi, baik latar belakang Hanis mahupun dirinya, kedua-duanya tersimpan kemas di dalam benak wanita itu.
"Tak pastilah. Yaya tak ikut sebab busy membaca ni. Tapi, Yaya rasa Anis ada bagitau untuk berjumpa dengan teman pejabat. Bukan keluar berdua dengan Irfan."
Sepi.
Kak Rin, tidak pula menyahut.
"Apa pendapat Yaya tentang pertunangan Anis tu?"
Pertanyaan dari wanita itu lantas menarik perhatian Suraya untuk berpaling. Sudah beberapa minggu sejak majlis itu berlalu, inilah pertama kali Kak Rin membangkitkan persoalan.
"Maksud akak?"
"Kak Rin bukan nak busy body...Tapi, sebab korang berdua ni tinggal di rumah akak dan akak dah anggap macam adik-adik, nak jugak akak tau apa saja yang jadi pada korang berdua ni. Tapi, kalau Yaya tak nak kongsi, Kak Rin faham." ujar Kak Rin tulus.
Meski jarang bertemu namun, tatkala mereka bertiga berkumpul ada sesuatu yang terbias di wajah Suraya. Iaitu apabila isu perkahwinan dibualkan. Mulalah dia melihat biasan itu di wajah gadis itu. Hari ini, setelah mendapat peluang berdua begitu dia tidak lepaskan peluang untuk menyelidiki isi hati gadis itu. Dia pasti ada sesuatu yang dirahsiakan walaupun gadis itu bijak menyembunyikan perasaannya dari ketahuan.
"Yaya pun sebenarnya dah mula anggap Kak Rin macam kakak Yaya," maklum Suraya tanpa segan silu. Wanita di hadapannya tersengih mesra sebaik mendengar luahan itu.
"Erm, Kak Rin bimbangkan Anis ke?"
Direnung sebentar wajah kacukan Terengganu, Siam dan Arab itu dengan teliti. Cuba mengesan riak bimbang tetapi tiada.
"Akak tak bimbang pun. Selama duduk berdua dengan Anis, Kak Rin tengok Anis bukan jenis buat dulu fikir kemudian. Kak Rin cuma nak tahu pendapat Yaya je."
"Kalau tentang Irfan, Yaya no comment. Sebab apa yang Yaya tahu, Irfan lelaki yang baik. Selebihnya Yaya tak pasti."
"Yaya, tentang pertunangan tu pulak macam mana? Bagi Yaya sendiri..." pancing Kak Rin setelah memerhatikan dia seakan mengelak memberikan pendapat tentang hal itu.
Sekali lagi Suraya membuang pandang sekilas ke angkasa. Secebis senyuman kelat ditarik oleh Suraya. Teliti betul Kak Rin ni! Ingatkan bila jarang berjumpa hal ehwal mereka berdua terlepas dari pandangan wanita itu.
"Sebenarnya, Yaya sedih sikit." akuinya berterus-terang sebaik mata bertentang mata.
"Kenapa pulak?" sahut Kak Rin terkejut.
"Kami ada banyak plan, kak. Macam bucket list. Yaya tak pasti Anis ingat lagi tak plan kami tu. Tapi, Yaya tak pernah lupa." tuturnya berbaur rajuk.
Menyedari Kak Rin bangkit dan mengubah kedudukan untuk duduk di hujung kakinya, Suraya segera menegakkan tubuh yang bersandar lalu kaki dilipat sila. Wanita itu duduk memerhati wajahnya yang kelam. Kemudian, merekah lagi senyuman di bibir itu seakan sedang menyebarkan ramuan terapi kepada jiwanya yang masih berbaki gundah.
"Oh, Kak Rin faham apa Yaya rasa sekarang. Faham sangat, Yaya. Sebab apa yang Yaya rasa ni sama seperti apa yang Kak Rin pernah lalui. Bukan sekali tapi berkali-kali. Akhirnya, akak ambil keputusan untuk bergerak solo. Dan, tak sangka, jodoh akak pula datang. Tapi sayang, walau dah kahwin terpaksa pulak berpisah," cerita Kak Rin akan latar kehidupannya itu.
Suraya membulatkan biji mata. Mulut terkunci rapat. Bukan tiada persoalan. Tetapi, tak tahu yang mana satu harus ditanyakan dahulu.
"Pekerjaan Kak Rin bertemu dengan ramai orang. Dari situ akak bertemu dengan dua orang best friend. Kami sama-sama fly. Jadi, macam-macam kami rancang untuk buat bersama. Tapi, sebentar aje plan tu berjalan. Tak lama lepas tu masing-masing mula membuka haluan sendiri. Ada yang berhijrah ke luar negara dan ada yang memulakan kerjaya sendiri," Kak Rin berkata panjang lebar.
Suasana sepi melayari buat sementara kerana Kak Rin kelihatan seperti menahan sebak. Suraya ikut termenung. Namun, dalam masa yang sama tidak sabar mahu mendengar kisah itu sehingga habis.
"Akak bingung sebab dua orang best friend akak buat keputusan serentak. Tinggal akak sendirian. Betul-betul sendirian. Mujurlah mama masih ada. Akak ceritakan apa yang berlaku dan mama banyak beri nasihat," sambung Kak Rin kemudian. Ditoleh ke arah Suraya lantas segaris senyuman dipamerkan.
"Tau tak apa nasihat mama akak?"
Suraya membatu. Hanyut dalam bayangan penceritaan yang didengari namun, kedua keningnya terangkat sebagai balasan.
"Setiap makhluk ada takdirnya sendiri. Rancang untuk terima sesuatu yang tak dirancang. Kalau tak boleh terima, berhentilah dari merancang."
Oh. Suraya mengerlipkan kelopak mata beberapa kali. Seperti baru terhantuk, dia terngadah memandang Kak Rin di hadapan.
"Akak, terima kasih." tuturnya perlahan.
Baru kini dia faham. Kenapalah sebelum ini dia tidak terfikirkan akan hukum alam yang satu itu.
Kak Rin pula melirik puas. Mudah rupanya menasihati gadis yang sesekali terserlah sikap merendah diri itu.
"Jadi, walau apa pun yang pernah Yaya rancang dengan Anis sebelum ni jika belum dibuat, jangan sedih. Mungkin suatu masa nanti akan tercapai jugak. Tak kisahlah lama mana pun masa yang diambil, yang penting Yaya sokong Anis. Tentu Anis sedih kalau tahu hal sebenar, kan?.." ujar Kak Rin tak ubah seperti seorang kakak yang mengambil berat.
Suraya menggelengkan kepala. Enggan perasaan yang disembunyikan itu ketahuan oleh teman baiknya itu. Mungkin, dia seorang yang berlebihan bimbangkan perancangan itu tidak akan berlaku walhal, boleh jadi Hanis juga sedang merancangkan sesuatu. Tepat pada saat itu juga dia merancang untuk meluahkan keinginan yang terbuku itu dalam masa yang terdekat kepada Hanis. Biarlah kekusutan itu diselesaikan dengan segera daripada dibiarkan ia menjadi beban yang mencengkam.
"Tapi, apa yang jadi dengan perkahwinan Kak Rin? Perkahwinan akak ditentang oleh keluarga ke?" soalnya serius dengan riak wajahnya tertulis bimbang.
Kak Rin tergelak besar. Suraya ditampar rasa hairan.
"Tak adalah. Pandai-pandai aje kau buat teori ye, Yaya. Husband akak offshore, lah."
"Oh,"
Suraya tersipu sebentar. Fahamlah dia kini situasi sebenar wanita itu. Rupa-rupanya, suaminya tidak menetap di dalam negara.
"Hihi..," sahutnya lantas ketawa malu.
"Dekat mana?" soalnya lagi.
"Teluk Mexico."
"Jauhnya, kak..."
Kak Rin mengangguk tanda mengiyakan. Satu pandangan penuh bermakna dihantarkan kepadanya. Suraya, merenung dalam. Memikir sebelum dia merintih mengenangkan bucket list yang dibuat bersama-sama Hanis yang belum tentu dapat dicapai, eloklah dikenang kehidupan orang lain yang jauh lebih parah darinya. Sekurang-kurangnya dia tidak berpisah jauh dari keluarga dan teman karibnya itu. Hidupnya lebih bertuah dan patut disyukuri andai dia banyak melihat ke bawah. Mudah.