"You rasa berapa lama Anne boleh bertahan?"
Zaf mengangkat kepala dari menatap telefon di tangan. Memandang sekilas pemuda yang duduk di sebelahnya itu sebelum singgah pula melihat susuk gadis yang dipanggil Miss Anne sedang berjalan masuk ke sebuah kedai serbaneka.
Mereka telah mula berkerja sebelum jam 9.00 pagi tadi. Ia perlu dimulai awal kerana kluster yang sedang dijelajahi itu agak besar dan jauh dari pusat bandar. Ia merangkumi beberapa bahagian di daerah Klang yang tidak terkecuali senantiasa sibuk itu.
"Dr. Adrian bukan jenis mudah bawak masuk sebarang orang dalam team dia." ulasnya kepada ahli baru dalam tim Dr. Adrian itu.
Zaf terlibat secara langsung dengan operasi membujuk salah seorang pekerja daripada A1 Network itu untuk bertukar majikan. Arahan daripada Dr. Adrian mudah sahaja iaitu selidiki gaya hidup pemuda Cina itu. Dalam tempoh dua minggu, Eugene menghantar surat perletakan jawatan setelah satu pertemuan dengan Dr. Adrian. Pertemuan yang turut sengaja diciptakan melalui maklumat yang dia peroleh dari laman sosial pemuda itu. Iaitu, di sebuah trek perlumbaan kereta kawalan jauh yang juga menjadi hobi pemuda tersebut.
"Aku nak jadi hacker." tutur Zaf kepada Dr. Adrian pada tahun terakhir dia menetap di rumah anak yatim.
"Hacker?" sahut Dr. Adrian sebelum diam sejenak.
"Black hats will hack. Cracker will crack. Aku sokong. Dengan syarat, kau jadi white hat."
"Maksud kau?" soalnya. Apa yang dikatakan oleh Dr. Adrian membuatnya buntu.
"White hat ni hacker yang beretika. Mencari loophole dalam network dan sistem secara sah. Siap boleh dapat upah lagi." terang Dr. Adrian membuatkan ilmu komputernya makin secebis bertambah.
"Kalau kau nak jadi hacker yang setakat nak cipta nama, baik kau berhenti cita-cita tu sekarang. Dengan kemahiran kau tu, salurkan pada jalan yang betul."
"Tapi, tengok dalam movie, macam gempak je bila dapat hack sistem." sahutnya pula. Berangan-angan mahu melihat dirinya dipandang hebat kerana berjaya menerobos sistem sekuriti.
"Itu dalam movie. Realiti? Kau nak side orang jahat ke baik?"
"Mestilah baik." sahutnya tanpa ragu. Sekaligus membuatnya terfikir kehebatannya itu mahu dipandang ketika dia berjaya menceroboh atau mengukuh sistem pertahanan siber.
"So, kau dah tau memang kau akan jadi white hat. Lain kali aku datang aku bawak member aku sekali. Dia, antara white hat ternama tapi, identiti dia kekal rahsia sampai sekarang."
Janji Dr. Adrian terbukti. Sehingga ke hari ini Zaf masih seorang penggodam dengan ikrar untuk menjadi penggodam topi putih kekal. Tiada sesiapa di syarikat yang mengetahui tugasnya yang bukan sekadar seorang pemandu. Kerja itu disorongkan oleh Dr. Adrian untuk mengelabui mata sesetengah pihak bagi menutupi tugas sebenarnya iaitu sebagai penyelidik keselamatan siber.
Namun, tugas mencari kelemahan sistem ketika ini menjadi tugasan kedua. Setelah bantuan demi bantuan diterima dari Dr. Adrian, kali ini, dia pula yang secara sukarela mahu membantu dalam misi khas lelaki itu.
"I don't know. Tapi, cara Dr. Adrian kadang-kadang menakutkan jugak." sanggah Eugene.
Tumpuan separuh sedar Zaf, spontan terganggu.
"Maksudnya?" soalnya.
"Dia macam duduk dalam car race. Laju memotong pesaing dia. Sekarang, site kita tertumpu di bandar. I bet dalam masa tiga bulan lagi kawasan luar bandar akan mula kita cover. That means more workload. Team mana cukup maa..." hujah Eugene jelas kebimbangan.
Zaf, mengangguk tanda setuju. Hanya dia dan Dr. Adrian sahaja yang tahu betapa aliran fikiran mereka agak sama iaitu, memikir dan memerhati. Kegilaan Dr. Adrian dalam mengawal gerak laku Tan Sri Johari dalam diam hanya diketahui oleh dirinya berserta adik-beradiknya. Ketika Dr. Adrian memintanya untuk menangguhkan pelajaran buat seketika dengan alasan melatih kemahiran yang dimiliki, dia dengan tangan terbuka bersetuju. Itulah yang ditunggu-tunggu selama ini walaupun ditentang hebat oleh kakaknya. Namun, pujukan Dr. Adrian berjaya mencairkan halangan itu.
"Betul jugak tu. Kerja mesti bertambah punyalah. Tapi, mungkin Dr. Adrian akan pertimbangkan untuk menambah bilangan task force." tuturnya akan kemungkinan yang bakal berlaku. Mengenali Dr. Adrian, dia sedar mana mungkin lelaki itu membiarkan orang bawahannya dikerah bermati-matian.
"Harap-harap jadi kenyataan," sahut Eugene berisi pengharapan.
"Eh, you tengok Anne jenis yang dah ada boyfriend ke belum?" soal lelaki itu lagi.
Zaf menutup rasa terkejut sebaik mendengarkan soalan itu dengan pura-pura melihat skrin telefon di tangan.
'Kau jangan macam-macam Eugene. Perempuan tu bakal jadi bini bos kau.'
"Cantik macam tu mestilah ada." bohongnya dengan selamba. Seperti mana Eugene, latar belakang Suraya juga telah pernah diselidiki. Cuma, kadangkala, etika berintergriti yang dipegang itu sesekali terbabas. Tetapi, tidaklah mendalam. Sekadar mengawasi aktiviti sosial sahaja. Daripada kegiatan itu, jelas Suraya tidak mempunyai seseorang yang istimewa. Tetapi, siapa tahu mungkin gadis itu seseorang yang perahsia.
"Ye ke?.. Tapi I tengok macam tak ada maa..." bantah Eugene enggan percaya.
"Kenapa? You nak try?" serkap Zaf meski dia dapat menghidunya terlebih dahulu.
"Yup."
'Mak ai. Tak kan stok amoi dah habis?'
"Oii... Leng lui masih banyak, maa... Kenapa mau tackle gadis Melayu?" Sengaja, dia bertanya. Juga, mengingatkan betapa banyak halangan andai pemuda itu benar-benar serius dengan keinginannya itu.
"Anne lain dari yang lain."
'Sudah. Pandai pandai kaulah Eugene menjawab kalau kantoi dengan Adrian. Aku, tak campur.'
"Alright. Ice lemon tea for you, Eugene. Zaf, nah!" kata Suraya ceria sebaik memasuki ke dalam perut kereta. Setelah separuh hari melakukan kerja tadi, tiba-tiba tekaknya terasa haus untuk menikmati minuman sejuk. Sebab itulah disuruh Zaf supaya berhenti rehat seketika di situ.
Kedua-dua lelaki di hadapannya serentak menoleh ke belakang. Dan, dia sedikit tidak selesa kerana dua pasang mata itu sedang memandangnya dengan satu padangan yang agak pelik.
"Thanks. Tau tau je favourite I." ujar Eugene lalu senyum sedikit.
"Oh! Tak sangka... I teka je tadi." getus Suraya sekaligus menghalau perasaan tidak selesa yang tiba-tiba muncul itu.
"Air budak-budak, Miss Anne?" soal Zaf seraya memutuskan tatapan Suraya daripada Eugene.
Kedua kening Suraya terangkat sambil matanya memerhati air susu berkultur yang sedang dipegang oleh Zaf itu.
"Ha'ah. You keding sangat. I bimbang tak cukup zat aje. So, I belilah something yang ada khasiat." tutur Suraya selamba.
Eugene dah ketawa terbahak-bahak. Muka Zaf ketat semacam tapi mulutnya masih lagi mampu mengucapkan kata-kata terima kasih dengan pemberian itu. Suraya menggeleng. Hisy, orang ambil berat pun tak kena!
Dia, menarik satu nafas yang lega. Komputer riba di atas ribaan dimasukkan ke dalam beg. Alatan dan wayar yang berselirat dikemaskan. Selesai frequency drive test menggunakan alat yang dipanggil scanner. Masih berbaki dua jam sebelum waktu pejabat tamat. Eugene dan Zaf sedang rancak berbual. Isu semasa dan sebagainya. Dia pula menjadi pendengar setia.
Sebenarnya, sudah hampir dua minggu dia mengikuti Eugene melakukan tugasan. Merata ceruk wilayah dan daerah di Lembah Klang dijelajahi. Kebanyakan kerjanya pada waktu siang. Pernah sekali sahaja dia berkerja pada waktu malam. Itu pun kerana tugasan itu bermula agak lewat hingga terbabas ke malam hari. Meskipun tiada email rasmi daripada Dr. Adrian berkaitan statusnya, dia tahu lelaki itu meletakkannya berkerja bersama-sama dengan Eugene supaya dipelajari selok belok melaksanakan kerja-kerja itu sebelum dia dilepaskan untuk membuat tugasan seorang diri pula. Memasuki minggu kedua ini, barulah alatan berada dalam posesinya.
Setelah tiba di pejabat, dia dan Eugene terus ke teres terlebih dahulu. Mengikut jadual asal, pada hari itu setelah kerja mereka selesai, mereka dibenarkan untuk terus pulang ke rumah. Namun, disebabkan mesyuarat kecemasan yang bakal berlangsung pada jam lima nanti mereka berdua mengambil keputusan untuk tunggu sahaja di syarikat.
Sebaik berada di tingkat itu kelihatan beberapa orang staf turut mengambil kesempatan untuk berehat sebentar. Seperti biasa, mesin layan diri diterpa terlebih dahulu. Selesai kerja tekaknya masih belum puas untuk menikmati minuman sejuk. Mungkin faktor cuaca yang agak panas kebelakangan ini yang menyebabkan minuman sejuk sahaja yang menjadi pilihannya.
Eugene mempelawa untuk duduk di kerusi urut. Segera diperiksa wang kertas seringgit yang ada di dalam dompet. Setelah dicampur, masing-masing mendapat tiga helai not biru.
"You dah ada boyfriend?"
Suraya terbatuk kecil. Mujurlah baru sedikit minuman berkarbonat itu diteguk.
"Woww!.. Soalan berisiko ni. Sorry... Sorry." ucap Eugene sambil tersengih.
"Taklah. Cuma tak sangka you nak tanya soalan macam tu. Hihi." sahutnya dalam usaha membuang kekesalan yang terbit di wajah pemuda itu. Air berkarbonat itu diteguk lagi. Tak serik biar pun perit tersedak tadi masih terasa.
"So, you ada boyfriend tak?"
Geleng.
"Boleh percaya ke?"
"Up to you."
"Kalau macam tu I nak tackle you."
"Hei, Eugene!.. You jangan main-main, tau. Which one do you like? Hammer strike? Elbow strike? Atau front kick?" ancamnya mempamerkan sengih yang sinis. Dalam maksud gurauannya itu.
"Hey, hey, I shall never misuse taekwondo."
Selamba Eugene mengucapkan lafaz ikrar seni pertahankan diri itu. Langsung tidak menghiraukan ancaman yang diterima.
"You pun sama, Eugene?"
"Yup. Tapi, green belt aje."
Suraya sengih. Enggan membocorkan skala tali pinggang yang dimiliki.
"Jadi, jangan berani-berani..."
Nada amaran dikeluarkan.
"Yup. Sorry, okay. I gurau aje. Saje nak kenal dengan you. Kalau you dah ada boyfriend pun I tak kisah maa... Belum tentu kahwin. Tapi, kalau you dah kahwin lainlah."
"Hisy, mana satu you ni, Eugene? Sekejap kata gurau. Sekarang ulang balik topik tu." ujar Suraya lalu menyeringai kecil. Diangkat sedikit tubuh menjauhi kerusi. Sakit pula apabila roller itu terkena tulang belakang. Eugene hanya tersengih. Tak menjawab pula.
Mendekati jam lima, mereka berdua turun ke aras satu. Mesyuarat bakal diadakan di salah satu bilik mesyuarat yang ada. Dia dan Eugene bergilir masuk. Dr. Adrian sudah sedia menanti. Sedang menulis sesuatu pada sebuah fail di hadapannya menggunakan tangan kiri. Oo... Team kidal. Tiada komputer riba atau sebarang peralatan yang lain. Mungkin, ada satu pengumuman yang mahu dibuat. Fokus lelaki itu langsung tidak terjejas dengan kehadiran mereka ketika itu.
Suraya, tersenyum tipis tatkala bertukar pandang dengan Nazril. Kerusi ditarik dan bunyian yang terhasil berjaya menarik perhatian Dr. Adrian yang duduk di bahagian paling hujung. Lelaki itu berhenti menulis lalu diam memerhati ketika tempat bersebelahan dengan Eugene diambil. Ketika pandangan mereka berdua bertemu, lelaki itu cuma memandangnya sekilas kemudian dialihkan ke arah yang lain. Sedetik, dia terkesan. Tak pasti mengapa dia terasa padahal apabila difikirkan kembali ianya masuk akal. Lebih baik berlagak biasa dari menjadi bahan gosip.
Lima minit kemudian, muncul Hadi, Ben dan Ricky. Dr. Adrian, lantas bangun.
"Alright. Thank you guys hadir meeting pada petang ni. Actually tak ada yang urgent sangat pun. Cuma, ada satu berita yang I tak tahu nak classify sebagai berita baik atau buruk." ucap Dr. Adrian sejurus berdiri.
Masing-masing mendiamkan diri. Sabar mendengar penerangan seterusnya.
"Sabah-.." tutur Dr. Adrian lantas mendapat sambutan.
Nazril, Ben dan Ricky terus berbisik sesama sendiri. Manakala Hadi dan Eugene berbalas pandang sebelum masing-masing meluahkan pendapat. Suraya pula diam membisu. Tiada sebarang komen.
"Alright. I tahu apa yang you fikir. Now, siapa yang jaga Southern dia selamat."
"Yes!" sampuk Ricky. Tangannya tinggi diangkat untuk tepukan high five dengan Ben.
"Nazril, you memang tak selamat as a team leader. Tinggal Hadi, Eugene dan Suraya. Eugene, you stay. Central needs you more." kata-kata Dr. Adrian disambut dengan ketawa besar dari Eugene. Senang hati betul pemuda itu. Pandangan Dr. Adrian terarah pula kepada Hadi dan Suraya.
"Yang tinggal Hadi dan Suraya," ucap Dr. Adrian merenung kedua orang staf bawahannya lalu mendiamkan diri.
Tanpa sengaja, Suraya melarikan pandangan tepat ke arah Ben. Dapat dilihat Ben senyum sinis dalam masa yang sama selamba memandang ke arah Dr. Adrian. Ditundukkan wajah sebentar. Enggan membuat prasangka kerana bendera perdamaian telah lama dikibarkan meskipun hanya dari pihaknya seorang.
"Nazril, let's discuss the situation..," putus Dr. Adrian sebelum kembali duduk lantas menarik perhatian Nazril yang duduk berdekatan dengannya untuk merapatkan sedikit jarak di antara mereka.
"Yo, Hadi! Jaga girlfriend I elok-elok, tau." ujar Eugene bersahaja.
Muka Suraya bertukar merah padam. Sempat menangkap reaksi Dr. Adrian. Kekal bersahaja dan tenang. Mungkin lelaki itu sedar akan gurauan yang dibuat oleh Eugene itu. Enggan mengusutkan fikiran, dia menarik lega.