Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 62


Bertugas sebagai staf lapangan, mereka diberikan kelonggaran dengan jadual kerja yang fleksibel. Seandainya tugas telah selesai, mereka boleh terus pulang ke rumah. Ada kalanya Suraya akan terus pulang, ada kalanya tidak. Seandainya masa banyak berbaki dia lebih senang berada di pejabat untuk membuat laporan.

Pada sebelah pagi tadi dia tidak masuk ke pejabat kerana melakukan drive test di daerah Sepang. Hari itu Zaf kelihatan lain dari hari-hari kelmarin. Senyap tidak berbual. Apabila ditanya sepatah, sepatah juga dijawab.

'Eh, dah kantoi ke perbuatan dia semalam?'

Tetapi, bila disiasat tidak pula. Habis tu kenapa pula budak tu tiba-tiba mendiamkan diri. Nak jadi busy body bukanlah sikapnya. Oleh itu dia turut membisu dengan memfokuskan pada tugasan dan mahu ianya segera berakhir.

Sebelum waktu pejabat tamat, dia berura-ura untuk berehat sebentar di teres. Dia mahu menenangkan fikiran yang resah. Memikirkan niat untuk membantu Dr. Adrian terpaksa dilupakan, jiwanya seringkali disapa gundah.

Bersendirian, dia duduk di sebuah bangku. Panorama dan suasana alam ditelan seketika sebelum dia mengeluarkan lampiran yang bergulung di tangan. Senarai nama, nombor siri dan nombor telefon itu ditatap dengan lama. Senarai itu diperolehi daripada Gary. Mengandungi senarai nama staf syarikat yang menggunakan modem yang dikeluarkan. Dia pasti, andai perbuatannya itu ketahuan dia boleh dikenakan tindakan keras oleh syarikat.

Sambil termangu, kertas itu digulungkan kembali. Dokumen itu juga tiada gunanya. Dia tidak mempunyai kuasa untuk melanjutkan siasatan. Juga tidak berupaya untuk menyoal kesemua mereka dalam masa yang singkat. Lagipun, sudah hampir dua minggu kes itu berjalan. Tentu telah banyak maklumat serta perolehan sedang dibicarakan. Dan,

'Ah, Adrian! Ke mana pulak lelaki tu pergi?'

Sehingga ke hari ini lelaki itu masih tidak menghubunginya. Dia sudah bertanyakan Jessica. Kata setiausaha itu dengan suara seperti sedang menyanyi,

"Dr. Adrian work from home..."

Oh. Jadi lelaki itu mempunyai pilihan berkerja dari mana-mana lokasi yang sesuai dengan kehendaknya. Boleh tahan kemudahan yang lelaki itu dapat. Macam anak emas syarikat pula.

"Huh! Kalau kerja dekat rumah sekalipun tak boleh ke bagitau dulu? Selalulah buat orang tertanya-tanya macam ni!" bebelnya sendirian. Geram pula dengan sikap lelaki itu yang gemar mendiamkan diri sebegitu.

"Arghhh..." keluhnya lagi.

Satu nafas yang dalam ditarik. Penat. Mental dan fizikalnya letih setelah melewati tempoh yang tidak berhasil itu. Spontan dia membuat keputusan untuk mengangkat bendera putih. Dia terpaksa mengalah terlebih dahulu. Rupa-rupanya bukan mudah untuk ikut campur dalam urusan syarikat korporat begitu.

Gulungan di tangan diperhatikan sebelum dia membalingnya sekuat hati. Bergolek kertas putih itu terdampar di atas laluan pejalan kaki. Erm, biarkan. Lagipun tiada sesiapa di teres ketika ini. Masing-masing tentu sedang sibuk berkemas untuk pulang. Sekejap lagi setelah selesai dia mengambil angin barulah gulungan itu dikutip.

Namun, rencananya musnah. Sebaik kepalanya kembali menoleh ke arah laluan cobblestone itu, mulutnya terbuka membentuk huruf O. Gulungan itu sedang diambil oleh seseorang! Pantas dia bangun. Laju menapak ke arah seorang wanita yang sedang membelakangi dirinya.

"Sorry, err, miss-.."

Serunya memancing perhatian seorang wanita genit kepadanya ketika ini.

"Carol. Miss Carol."

Suara lunak yang ceria bunyinya itu berjaya memancing resah yang membaluti diri untuk ikut serta bergembira. Suraya menarik panjang.

Malah, dia terkesima tatkala wanita itu memusingkan tubuhnya. Terlalu cantik! Ibarat patung yang bernyawa. Mata, tidak berkedip melihat wanita genit yang jelita itu. Anggun dan menawan mengenakan sut merah jambu berserta selendang di dalam tona yang sama. Stiletto hitam tersarung di kaki.

Wow! Dahsyat aura yang dimiliki oleh Miss Carol ini.

Sejenak, Suraya terkedu.

"Miss Carol???"

"Erm, iye, saya." sahut Miss Carol masih ceria.

Suraya membulatkan biji matanya. Jadi inilah Miss Carol yang dicanang oleh Sharon sebelum ini. Indah. Jelita. Menawan. Patutlah namanya sentiasa menjadi sebutan.

"I-I'm sorry, Miss Carol... I'm so sorry. Saya tak perasan tadi." ucapnya kesal dengan sikap tidak sabarnya kebelakangan ini.

"It's okay. Jikalau staf tak kenal I, lagi I suka. Sebab I tak suka dihormati kerana pangkat." sahut Miss Carol sopan.

Suraya kagum. Sudahlah cantik rupawan dan berpangkat, berbudi bahasa pula tu.

"Yours?" soal Miss Carol.

Kertas itu dihulurkan kepadanya. Dia tersenyum kelat. Cepat-cepat dihulurkan tangan namun, sebaik hujung jemari menyentuh, kertas itu menjauh pula darinya. Miss Carol menilik kertas yang separuh terbuka itu. Suraya, menelan air liur. Cemas.

"Senarai nama staf." maklumnya biar pun tidak ditanya.

"Untuk apa?" tanya wanita itu lagi tanpa mengangkat wajah. Masih khusyuk meneliti.

"Untuk Dr. Adrian."

Suraya menggigit lidah. Entah berapa kali penipuan yang meluncur laju dari bibirnya itu dikaitkan dengan nama lelaki itu. Memanglah tujuan asalnya untuk membantu lelaki itu tetapi ianya tetap tidak menghalalkan cara yang digunakan olehnya itu. Habislah... Mampukah pembohongan itu berjaya untuk kesekian kali.

"Oh. You're so attentive. Jadi you tahu apa yang berlaku?"

'Erk?'

Kening Suraya sedikit terangkat. Dianggukkan kepalanya beberapa kali.

"Apa yang you nak buat dengan list ni?" tanya Miss Carol lagi.

Kalau diceritakan segala-galanya adakah Miss Carol akan membantu? Atau pun mahu mensabitkan dirinya dengan kesalahan menceroboh privasi. Atau pun sekadar mahu tahu sahaja? Dia, terkulat-kulat memikir.

"Don't worry. If you're on Adrian's side, count me in."

Fuh! Suraya menarik lega.

"Saya nak tahu pendapat mereka tentang modem tu. Sama ada compliment or complaint." jelasnya.

"That's a brilliant idea. Siapa nama you?"

"Thanks. Erm, saya Suraya Anne. Miss Carol boleh panggil saya Anne." ucap Suraya sambil tersenyum.

"Anne. Okay, do you need my help?"

Mulut Suraya separuh terbuka. Tidak percaya dengan pelawaan itu.

"Cakap je..." ujar Miss Carol sambil senyum.

"Ye, ye... Kalau Miss Carol tak keberatan." sahutnya bersemangat.

"Okay, it's easy. I dah tahu apa yang perlu dibuat. Nanti, I akan email you bila dah selesai. Macam mana?"

"Boleh, Miss Carol. Saya setuju. Terima kasih, Miss Carol. Terima kasih banyak-banyak."

"Hey, it's alright. Lagipun I bukan tolong orang lain pun. Sepupu I sendiri..." kata Miss Carol sedikit teruja.

Wajahnya nampak senang dan selamba. Tidak kekok mendedahkan pertalian hubungan itu. Manakala Suraya? Kakinya terasa mencair.

'Sepupu? Miss Carol sepupu Adrian? Mereka berdua sepupu?'

"Oh, Miss Carol. Dekat sini you rupanya. I cari dari first floor tau, tak?"

Satu suara dari belakang Miss Carol bergema. Muncul satu susuk tubuh yang agak tinggi lalu berdiri bersebelahan Miss Carol. Dia kenal akan figura itu. Seperti mana kesemua staf syarikat mengenali Miss Carol, begitu juga dengan Che Puteh. Pembantu peribadi kepada wanita genit itu.

"Are you alright, Miss Carol? " tanya Che Puteh sambil melihat tubuh genit itu ke atas dan ke bawah. Lalu, pandangan itu tajam pula terarah kepadanya.

"I'm fine... Cuma berbual dengan Anne. I ada tugas untuk you Che Puteh. ASAP." sahut Miss Carol masih lagi dalam nada yang lemah lembut.

Namun pandangan Che Puteh tetap seperti mula. Garang melihat ke arahnya. Kecut.

'Dah kenapa?'

Suraya cuba mengukirkan satu senyuman kepada wanita yang berusia awal empat puluhan itu. Tiada balasan daripada wajah yang tebal disolek dengan alat mekap.

"Che Puteh, Anne dah tolong banyak ni. Sikit je lagi kita akan dapat tolong Adrian bersihkan nama dia. Tengok ni." kata Miss Carol lalu diberikan lampiran itu kepada Che Puteh pula.

Peralihan lirikan yang tajam itu menenangkan diri Suraya. Sebentar.

"So?"

"Please sent an email alert like quick survey or review. Boleh, kan?" cadang Miss Carol.

Barulah dia dapat melihat segaris senyuman di wajah yang serius itu.

"That's a very simple task." sahut Che Puteh sambil menganggukkan kepalanya.

"Tapi, kenapa you naik ke sini sendirian? Kenapa tak maklumkan pada I? Next time you jangan buat macam ni, ye. Bimbang I, tau. Kalau apa-apa jadi macam mana I nak jawab pada Tan Sri Jo?"

Tanpa menghiraukan kehadirannya di situ Che Puteh dengan selamba mengomel.

"Err... Miss Carol, kalau tak ada apa-apa saya nak masuk ofis dulu." celah Suraya setelah dirasakan kewujudannya di situ tidak diperlukan lagi.

Miss Carol menyambut permintaannya dengan senyuman. Manis sekali.

"Alright. Thanks, Anne."

Suraya mengangguk perlahan. Tertarik sungguh dia dengan sikap yang dipamerkan oleh majikannya itu. Miss Carol melangkah melewati dirinya. Diikuti Che Puteh dari belakang. Langsung tidak memandang.

Bagaikan magnet Suraya ikut berpaling. Posisi begitu seakan pernah dilihat sebelum ini. Dua orang wanita berjalan ke arah rel di pinggiran itu dengan seorang berjalan dengan lagak yang tidak sabar manakala seorang lagi lewat di belakang.

Peristiwa beberapa bulan yang lalu terimbas di minda. Jadi, reaksi riang yang dipamerkan oleh Dr. Adrian ketika berada di situ dahulu adalah ketika Miss Carol yang datang menegur. Kemudian, dia pula ditarik secara paksa untuk masuk ke kereta kerana Dr. Adrian mahu menjelaskan siapakah identiti wanita yang dilihatnya itu. Atau, mungkinkah identiti lelaki itu sendiri? Biji matanya sedikit terbeliak.

'Oh my granny! Jadi, inilah rahsia yang dikatakan oleh Mr. Lee kelmarin?'

Previous: Bab 61
Next: Bab 63

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.