Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 33


"Amylia Akira! Berapa kali akak nak kena bagitau. Semak dulu details pada setiap report sebelum forward kepada coordinator. Report semalam pagi pagi buta dah masuk balik dalam email akak. Dua-dua kena reject. Sekarang, you amend! " kecaman dan sergahan dari Kak Siti yang merupakan orang lama di jabatan dokumentasi memeranjatkan Amy yang sedang leka melukis di dalam perisian AutoCAD.

Dia mengangkat wajah. Melihat Kak Siti sedang tercegat berhampirannya dengan wajah mencerlung garang. Ditambah dengan tudung bawal berwarna merah terang itu menambahkan lagi aura kegarangan yang berlingkar.

"Kak Siti, boleh saya tau site yang mana?" soalnya perlahan.

"Eh, site sendiri pun tak tahu?" sindir Kak Siti dan Amy serta-merta menjatuhkan wajah.

Dapat dirasakan pipi yang membahang akibat daripada tenungan dari beberapa pasang mata yang mengikuti perbualan mereka itu.

"Site yang mana, Kak Siti?.." soalnya untuk kali kedua tanpa mempedulikan perasaan yang mula tersayat.

"Ampangan dan Kubu." sahut Kak Siti pantas. Seperti malas melayani permintaannya itu.

"Itu site Fida. Kak Siti kena tanya Fida." jawab Amy membela diri yang tiba-tiba dihentam tanpa usul periksa.

"Kau jangan main-main, Amy. Kenapa Fida bagitau akak yang dia dah pass site tu pada kau."

"Dia tak pass pun. Dia cuma minta saya tolong semak kemudian, masukkan drawing. Dan, dia minta saya forward pada akak. Itu aje." jelas Amy dan dia amat berbangga pada dirinya ketika ini kerana buat kali pertama dia mampu mempertahankan dirinya sendiri.

"Fida!" laung Kak Siti ke arah Hafilda yang duduk di blok meja kerja berasingan.

Mendengarkan nama Fida disebut, makin ramai pula pemerhati yang menonton adegan itu. Amy berlagak selamba meski hatinya mula berasa kecut dan tidak tenteram dengan perhatian yang diberikan.

Fida dengan selamba menyahut sebelum tersenyum mesra sambil berjalan berlenggang-lenggok. Persis seorang peragawati dengan kulit sawo matang dan berwajah bak bulan purnama. Kerana kelebihan itu, ramai juga jejaka di pejabat yang makan hati tatkala gadis itu dengan selamba menolak hajat di hati masing-masing. Jual mahal kata mereka.

"Apa dah jadi? Siapa in charge site ni sebenarnya?" tanya Kak Siti kepada Fida pula.

"Amy, Kak Siti." sahut Fida bersahaja tanpa memandang ke arah Amy dan tanpa sekelumit rasa bersalah.

Bingkas Amy bangun dari duduknya. Memandang Fida dengan perasaan tidak percaya.

"Fida! Kan kau mintak tolong aku sebab kau tak cukup masa nak siapkan semua report. Kau tak pernah pun pass site tu pada aku." cerita Amy mengimbas kembali asal kaitannya dengan laporan yang bukan di bawah kendaliannya itu.

"Kak Siti, salah ke saya minta tolong Amy? Sebab saya, memang tak sempat nak siapkan tujuh report dalam masa dua hari. Lagipun, masa tu saya tengok dia macam tak sibuk. Sebab tulah saya mintak tolong dia."

Tanpa mengendahkan percakapannya, Fida mengubah haluan menarik perhatian Kak Siti kepadanya.

"Err...tak salah pun. Lagipun kerja Amy bukan semata-mata buat drawing tapi, sediakan report jugak." sahut wanita berusia di awal empat puluhan itu.

Sedarlah Amy kini yang dilawan itu bukan seorang tetapi satu kumpulan. Hanya dia sahaja yang bersendirian.

"Kak Siti, saya tolong buat report tu dengan maklumat rough report yang tersedia. Apa saja maklumat yang ada dalam rough report saya cuma salin balik. Saya tak memandai buat sendiri." tutur Amy menjelaskan keadaan sebenar buat sekian kalinya. Mengharap dalam diam Kak Siti mempercayai dirinya yang tidak bersalah itu.

"Apa pun alasan Amy, Kak Siti tak boleh terima. You kena alert dengan setiap report dan site. Jangan jadi seperti kerbau dicucuk hidung!"

Amy tergamam. Malu, marah, kecewa dan hampir putus asa. Tak sanggup dia mengangkat wajah memandang mata-mata yang memerhati tanpa ada yang mahu campur tangan lalu menghulurkan belas ihsan. Hanya diam tidak bersuara tatkala melihat dia dilayani sebegitu rupa.

Lisa! Mana Lisa? Dia menunggu seandainya Lisa terdengar kekecohan yang sedang berlaku itu. Oh, hampir-hampir dia terlupa. Lisa telah keluar untuk ke tapak projek.

"What is going on?"

Melalui ekor matanya, Amy melihat wajah-wajah yang menjadi penonton tiba-tiba menukar fokus. Masing-masing menjadi sibuk meneruskan kegiatan yang tergendala akibat daripada rentetan drama pagi yang panas itu. Dia mengangkat sedikit pandangan. Mendapati wajah tenang milik Dr. Adrian mendekati kedudukan mereka bertiga yang masih belum berganjak di meja kerjanya itu. Fida mempamerkan sebuah senyuman yang menawan. Kak Siti pula tetap berwajah serius.

"Dr. Adrian," tegur Kak Siti terlebih dahulu.

"Takde apalah. Ni, saya tegur staf saya yang dah banyak kali buat silap bila hantar report. Kesilapan yang sama pulak tu." adu Kak Siti meski terang lagi bersuluh panjang penjelasan yang telah diberikan olehnya sebentar tadi. Namun, masih tidak berjaya memuaskan hati wanita itu.

"Amy, kan?" tanya Dr. Adrian tidak mengendahkan aduan yang digembar-gemburkan oleh Kak Siti.

Amy mengangkat wajah. Terpana kerana namanya diketahui oleh Dr. Adrian.

"Ya. Saya Amy, Dr. Adrian." sahutnya sedikit malu-malu. Apa tak malunya. Sebelum ini dia dan Lisa gemar mencuri pandang pada lelaki itu. Lelaki idaman Malaya yang mampu dilihat sahaja dengan kedua belah mata. Nak mencurah perasaan yang terpendam? Mimpilah. Baik dia dan Lisa sama-sama tau mana layak untuk mereka menempatkan diri di samping lelaki yang berjawatan tinggi itu.

"Would you mind joining me for a cup of coffee?" ucap Dr. Adrian dan Amy melihat jelas wajah tidak percaya yang dipamerkan oleh Fida dan Kak Siti sebaik mendengar pelawaan Dr. Adrian itu.

Spontan, Amy menganggukkan kepala. Penyelamatan itulah yang sedang diharapkan olehnya ketika ini. Jauh dari situasi yang memalukan itu dan bebas seketika dari kegawatan yang berlaku.

Dr. Adrian, memberi laluan meminta untuknya beredar terlebih dahulu.

"Sorry. Kopi mesin aje." tutur Dr. Adrian sambil menghulurkan secawan kopi yang masih panas.

Amy menyambut cawan kertas berwarna merah dan coklat itu dengan rasa senang meskipun ianya cuma kopi dari mesin layan diri. Dr. Adrian terus mengambil tempat duduk bertentangan dengannya di bawah pelindung layar. Tiada seorang pun staf yang ada di teres ketika ini memandangkan jam belum menjengah ke pukul sepuluh pagi.

"Terima kasih, Dr. Adrian." ujarnya dengan iringan senyuman yang tipis. Lelaki itu membalas sama kadarnya.

"You know, waktu I mula masuk company I dianggap sebagai staf yang masuk atas tiket kabel. Berjawatan tinggi pun sebab ada kabel," cerita Dr. Adrian setelah hampir beberapa detik mereka hanya duduk mendiamkan diri.

Amy mengangkat pandangan. Sedikit segan kerana kisah itu mengingatkan dirinya yang masuk ke syarikat itu juga menggunakan orang tengah. Iaitu melalui jirannya yang berkerja di bahagian perakaunan di syarikat itu.

"Setiap meeting yang I kendalikan pasti tak kan pernah cukup ahlinya. Setiap proposal I berikan sentiasa ditentang walaupun pada akhirnya mereka bersetuju."

"Tapi, Dr. Adrian punya projek semuanya berjaya. Backup plan Dr. Adrian tu menjadi sebutan dalam kalangan staf. Tak mungkin Dr. Adrian dilayan macam tu." celah Amy sebelum dia menutup mulutnya dengan kedua belah tangan setelah menyedari kata-kata itu agak lancang. Seolah-olah dia tidak mempercayai kisah lelaki itu sebentar tadi.

Segaris senyuman terukir sebentar di mulut Dr. Adrian.

"Itu perkara biasa, Amy. Bila dah jadi baru nak bersorak. Sebelum jadi kritikan dan kecaman jadi siulan."

Perlahan-lahan Amy menurunkan tangannya. Dia percaya. Memaksa dirinya percaya bahawa lelaki itu tidak berdusta. Bukankah ianya suatu fakta bahawa bukan mudah untuk menggapai kejayaan.

"You tak perlu percayakan I, Amy. I tak perlukan kepercayaan siapa-siapa. You patut percayakan pada diri you sendiri yang you punyai lebih dari apa yang you ada sekarang. Cuma, you yang segan untuk tunjukkan." tutur Dr. Adrian lantas meninggalkan satu kejutan kepada Amy kerana lelaki itu seakan mampu membaca fikirannya ketika ini.

"Hei!.." tegur satu suara.

Baik Amy mahupun Dr. Adrian serentak berpaling. Melihatkan Suraya yang berwajah ceria menghampiri, Dr. Adrian pantas berdiri.

"Alright. Thanks for coming, Suraya." tutur Dr. Adrian kepada gadis itu.

Suraya kelihatan segan namun, sempat mengukirkan satu senyuman kecil.

"Amy, I minta maaf sebab terpaksa pass you pada Suraya. Actually, I ada meeting sekejap lagi. I pergi dulu. Ingat, kemahiran yang you ada sangat-sangat berguna jikalau you pandai gunakan." pesan lelaki itu lagi sebelum beredar dengan cawan minumannya.

Baru Amy perasan terdapat tiga cawan kopi yang diletakkan oleh Dr. Adrian di atas meja kecil itu. Ingatkan Dr. Adrian mahu meminum keduanya. Rupa-rupanya secawan lagi untuk Suraya.

"Kau ada apa-apa ke dengan Dr. Adrian?" tebaknya setelah menyaksikan aksi segan yang dimainkan oleh Suraya sebentar tadi. Manakala, Dr. Adrian pula tak putus melirik ke arah Suraya tanpa gadis itu sedari.

"Amy, aku dipanggil oleh Dr. Adrian untuk tengokkan kau. Jangan nak konar sana konar sini pulak," tegur Suraya lantas menarik sebuah kerusi rapat ke sisinya.

Amy terdiam. Kehadiran gadis itu sebagai peneman ketika ini patut dihargai bukan disangsi.

"Ke... kau tak suka aku ikut campur dalam urusan kau? Sorry, Amy... Kalau kau tak suka, aku pergi eh?" ujar Suraya lagi.

"Eh, jangan!" Amy menahan apabila melihat Suraya sudah bersedia untuk bangun.

Gadis itu, kembali duduk dengan relaks. Mata bertentang mata.

"Kau bagitau Dr. Adrian tentang aku?" tanya Amy inginkan kepastian.

"Amy, aku tak tahu apa yang jadi pada kau. Jadi, macam mana aku nak bagitau pada orang lain pasal kau," sahut Suraya sebelum diam sejenak. Memerhati reaksi Amy apabila mukadimah itu disuarakan.

"Cuma, aku pernahlah kena buli sikit sebelum ni. Tapi, nasib baik tak lama. Sebab orang tu dah berhenti kerja." ceritanya kemudian. Selepas peristiwa bertemu di tandas dahulu, diam-diam dia mengikuti perihal gadis itu dengan merisik khabar daripada Lisa. Beberapa peristiwa yang berlaku kepada Amy diceritakan oleh Lisa kepadanya. Gadis itu ternyata ingin membantu Amy dalam menghadapi cabaran ketika berkerja dalam satu pasukan. Namun, sikap tertutup Amy membuatkan keinginan itu sukar dilakukan.

"Maksud kau, Abang Zam buli kau?"

Suraya pura-pura memandang ke arah satu sudut. Membangkitkan sesuatu yang ingin dilupuskan terus dalam lipatan memori pasti mengundang rasa pahit. Tetapi, kepahitan itu rela ditelan demi membantu gadis itu membuka mulut menceritakan situasi sebenar yang menimpa dirinya.

Reaksi Suraya yang tidak membalas pertanyaan itu dianggap oleh Amy sebagai jawapan muktamad.

"Teruk kau kena?" soal Amy ingin tahu.

"Taklah. Perkara biasa je... Buat report yang menimbun tu," ujar Suraya sebaik mengembalikan pandangan.

"Amy, kalau kau tak nak cerita dekat aku tak mengapalah...aku faham. Sebab, kita baru lagi kenal, kan? Tapi, ada tak kau luahkan pada orang lain? Lisa ke?" soal Suraya lagi meskipun dia telah mengetahui jawapannya.

Amy menggeleng memberi jawapan.

"Kenapa?"

"Macam tak penting dan tak teruk sangat kot apa yang aku kena. Jadi, bila aku luahkan pun macam tiada apa-apa pun bagi diorang. Sebab tu aku diamkan aje."

"Tapi, bagi aku penting. Sebab, dunia pekerjaan tak lari bermain dengan emosi. Jikalau emosi kita tak stabil mampu ke kita teruskan dengan kerja? Tentu terganggu, kan?" ucap Suraya pula memberi buah fikiran. Juga berkongsi pengalaman terhadap apa yang pernah dirasai olehnya sebelum ini.

Amy dengan senang mengangguk bersetuju. Memang benar apa yang dikatakan Suraya itu. Bukan sekali tidurnya terganggu sebelum ini. Dan bukan sekali dua dia membawa diri ke teres untuk menenangkan fikiran. Hampir saban hari, dia pasti menjejakkan kaki ke situ.

"Boleh aku tahu apa dah jadi tadi?" tanya Suraya lagi dan tanpa berlengah, Amy mula menceritakan segala-galanya yang berlaku. Malah, bukan peristiwa tadi sahaja. Rupa-rupanya lebih banyak kejadian di balik tabir yang berlaku yang disimpan rapi oleh gadis itu. Suraya, benar-benar simpati dengan nasib yang dialami oleh sahabatnya itu.

"Jadinya dalam team kau, mereka berpuak-puak? Yang superior pulak gemar lepas tangan?" soal Suraya setelah memahami duduk perkara sebenarnya. Amy menganggukkan kepala beberapa kali.

"Lisa macam mana?"

"Dia neutral. Disebabkan dia assistant team leader dia terpaksa jadi macam tu. Tak sebelah mana-mana pihak."

"Oo. Amy..," seru Suraya dengan satu senyuman melingkar di bibir.

Amy mengalihkan lirikan ke arah gadis yang mempunyai bentuk wajah yang cantik dan menarik itu. Sepasang mata milik Suraya sentiasa membuatkan dia tidak pernah puas untuk merenunginya. Dalam dan menawan. Pandangan yang terlahir pula bukan suatu kepura-puraan. Pandangan yang diberikan jujur dan ikhlas. Tak perlu gadis itu membuka mulut Amy sedar bahawa dia sedang diberikan sepenuh perhatian oleh gadis itu.

"Apa kata kau jarakkan diri dari orang-orang macam ni."

"Eh, mana boleh. Dah satu team kot." tukas Amy membantah cadangan tersebut.

"Maksud aku... Kau perlu letakkan diri kau pada tempat yang sepatutnya. Supaya diorang sedar yang kau ada sempadan untuk dilangkaui. Dan kau, perlu buat sesuatu dalam setiap permintaan, pertolongan atau apa saja yang berkaitan dengan tugasan." hujah Suraya memanjangkan nasihat yang pernah diterimanya sebelum ini.

"Maksud kau?"

"Apa saja permintaan verbal minta thru email. Jikalau verbal jugak, kau tolak."

"Isy, itu ekstrem sangat. Terlalu micro."

"Yup. Memang micro tapi, buat sementara waktu ni aku rasa kau terpaksa buat macam tu." saran Suraya.

Amy terdiam sebentar. Memikir baik buruk cadangan yang dilontarkan.

"Aku fikir dulu," sahutnya tidak lama kemudian. Dia, benar-benar berterima kasih kepada Suraya kerana sudi mendengar luahan hatinya itu.

"Terima kasih Anne sebab ambil berat pasal aku."

Suraya senyum gembira. Sebelah tangannya mencapai tangan temannya itu dan diramas beberapa kali.

"Terima kasih sebab percaya untuk ceritakan pada aku." katanya pula.

Amy melirik dalam. Tenang dengan kehadiran empati daripada dua insan yang baik hati itu meski sebentar.

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.