Sudah lebih sepuluh minit dia duduk di atas katil itu. Melihat Dr. Adrian bersolat. Selesai solat fardu lelaki itu bangkit untuk bersolat lagi. Juga empat rakaat.
Usai solat, Dr. Adrian menghampirinya dengan satu senyuman terukir di wajah.
"Saya nak sambung kerja di atas. Awak dah mengantuk ke?" kata Dr. Adrian yang berdiri setentang dengannya.
"Tak." ucap Suraya sejurus menjeling sebuah jam digital bersebelahan bingkai mas kahwin. Malam masih awal.
"Nak membaca?"
"Tak."
"Habis tu?"
"Nak relaks..." balas Suraya selamba.
Dr. Adrian, tergelak.
"Yelah, kesian dia jadi tukang masak tadi." ujar lelaki itu sambil mencuit hidung Suraya.
"Eh, bukan saya sorang aje yang memasak tadi." sahut Suraya mengingatkan lelaki itu kepada kehebatan Zik di dapur.
Tengah hari tadi mereka menjamu nasi putih dengan kari ayam. Kari mamak air tangan Zik kerana tiada stok santan. Namun, rasanya memukau dan enak sekali. Sayur campur iaitu brokoli, bunga kobis dan cili kembung digoreng olehnya. Juga telur dadar. Ringkas. Tetapi, Zia dan Zaf makan bertambah-tambah. Dr. Adrian yang kurang gemar memakan nasi pun mampu menghabiskan sepinggan.
"Saya cuma nak rehatlah. Sebab, hari ni kan hari cuti. Jadi, kita rehatlah puas-puas-.. Erm, kecuali orang tu..." omel Suraya sambil menyindir Dr. Adrian yang sentiasa sibuk tak kira masa itu.
"Perli, eh? Alright, have a good rest. Kalau bosan, naiklah atas." ucap Dr. Adrian sebelum melayangkan satu kuisan di pipi mulus itu.
Suraya tersipu. Belum sempat Dr. Adrian beredar dia menahan dengan memegang lengan lelaki itu.
"Kenapa?"
"Awak ada buat apa-apa pada Ben? Dia macam dah okay aje dengan saya. Pelik jugak." luahnya kehairanan. Tetapi, dia pasti ada sesuatu yang berlaku di antara Dr. Adrian dan Ben tanpa pengetahuannya. Setelah meminta bantuannya tempoh hari, terkadang Ben akan berbual lebih kurang dengannya. Terkadang, cuma mengucap selamat pagi terlebih dahulu sebaik melihatnya tiba di pejabat.
"Tak buat apa-apa pun. Cuma, polisi syarikat bakal bertukar. Jadi, sebelum saya sendiri ambil tindakan, saya bagi warning dulu. Untuk kebaikan dia jugak."
'Hmm... Dah agak.'
"Awak ugut dia?"
Dr. Adrian menggeleng.
"Tak perlu ugut. Saya cuma ingatkan dia aje." kata lelaki itu selamba.
"Kenapa awak buat macam tu? Bukan ke saya dah kata antara saya dengan dia dah selesai!" ujar Suraya dengan suara meninggi. Tiba-tiba terasa berang kerana keputusan yang diambil dahulu seakan tidak diendahkan oleh lelaki itu.
"Itu antara awak dan dia. Tapi, saya sebagai saksi mata dan, selaku bos kepada awak tak mungkin saya biarkan saja kejadian di bilik mesyuarat tu. Bukan ke saya pernah cakap sebelum ni??" sanggah Dr. Adrian pula.
Sepi.
Naik turun dada Suraya menahan emosi yang bermaharajalela. Kedua tangan di atas ribaan saling menggenggam kuat. Melawan hasrat hati yang mahu melempiaskan lebihan kekecewaan dengan membujuk salam perdamaian. Belum sempat dia membuka mulut untuk memohon maaf, dia terdengar satu nafas yang panjang dihela oleh lelaki itu.
"Look, Suraya. Bukan sebab alasan awak isteri saya. Sungguh. Kalau benda tu jadi pada staf yang lain pun tetap saya ambil tindakan yang sama." tambah Dr. Adrian menegaskan tindakan yang diambil. Dia sedar sikapnya yang kadangkala mudah marah itu perlu bijak dikawal. Lebih-lebih lagi setelah berumah tangga. Bukan dilepaskan sesuka hati.
"Baiklah. Betul kata awak. I'm sorry... Dan, terima kasih." ucap Suraya sambil mengangkat wajah. Dia menarik nafas yang dalam beberapa kali. Kesal kerana cepat naik darah tadi.
Dr. Adrian, tipis tersenyum kemudian beredar. Suraya memerhati sehingga lelaki itu hilang dari pandangan sebelum merebahkan tubuh ke atas tilam.
Di atas tilam yang empuk itu, fikirannya melayang ke tingkat atas. Mengenang satu demi satu layanan baik yang diterima sejak dari hari pertama bergelar isteri kepada lelaki itu. Hati kecil, mula menimbang kembali tujuan utama dia ke banglo pada pagi tadi. Mungkin, belum tiba masanya untuk dia mengundurkan diri. Lelaki itu baru sahaja membukakan pintu untuknya. Dan, baru sebentar jua dia menjejak ke dalam ruangan lelaki yang baru dia tahu identiti sebenarnya. Seharusnya, dia memikirkan kembali tujuan utamanya tadi sebelum buru-buru membuat keputusan.
Bosan bersendirian, dia berura-ura untuk naik ke tingkat atas. Mahu membaca sebentar sebelum melelapkan mata. Sambil-sambil itu, dia ingin merisik perkembangan kes lelaki itu. Jikalau lelaki itu tidak keberatan!
Sesampai di atas, dia melihat Dr. Adrian sedang fokus di hadapan komputer riba dan juga desktop.
"Awak..." serunya ketika mendekati meja studi lelaki itu.
"Erm..." sahut Dr. Adrian tanpa menoleh.
Suraya menahan sabar. Wajah yang sedang menunduk itu ditenung. Setiap kali kesan luka itu dipandang, perasaannya sedikit terkesan. Belum tamat perasaan marah terhadap samseng jalanan yang membuat onar itu.
"Awaakk..." serunya lagi.
Dr. Adrian mengangguk-anggukkan kepalanya lagi. Kepala tetap menunduk. Suraya mengetap bibir geram.
"Erm, abang?.." Lembut dia memanggil. Cuba memancing perhatian lelaki itu.
Pandangan Dr. Adrian serta-merta naik. Dalam merenungnya. Suraya terpaku seketika. Isy, menyesal pulak bermain-main dengan kata-kata tadi!
"Come." panggil Dr. Adrian dengan sebelah tangannya melambai. Lelaki itu sudah bersandar ke kerusi.
Suraya menggeleng. Apabila Dr. Adrian menolak kerusi ke belakang, dia mula tidak tentu arah namun, dia telah bersedia. Sebaik lelaki itu berdiri terus dipecut ke arah pintu gelongsor. Tangan meraba dengan pantas dan dengan sekali tolakan pintu itu berjaya dibuka. Belum sempat kaki memijak balkoni, tangannya terasa dipaut dari belakang.
"Amboi, seronok main lari-lari." usik Dr. Adrian.
Suraya memaksa bibir untuk ikut tersenyum tatkala lelaki itu membawanya berdiri di ruang balkoni untuk menikmati pemandangan malam.
"Suraya... A cluster of bright stars," getus Dr. Adrian hampir berbisik. Suasana malam yang sunyi di kawasan kediaman itu sesekali dipecahkan oleh bunyian sayup unggas malam.
"You know, nama awak tu nama bintang dalam constellation Taurus,"
Suraya mendongak ke arah dada langit. Melihat butiran bintang yang bertaburan umpama batu permata yang berselerakan pada sekeping kanvas hitam. Cantik menawan meskipun tengah gelap malam.
"Alam Melayu memanggil pelbagai nama. Bintang tujuh, kartika, puyuh dan lain-lain. Malah, dalam hadis pun ada disebutkan tentang bintang Tsurayya. Bintang yang muncul pada awal musim panas menjadi tanda tanaman akan masak dan jauh dari penyakit," tambah lelaki itu lagi.
Suraya mengetap bibir. Sewaktu kecil dahulu dia pernah mendengar arwah abah bercerita tentang namanya yang diambil daripada salah satu nama gugusan bintang. Cuma, apabila ianya diulas oleh lelaki itu perasaannya terasa agak lain.
"Tapi, untuk saya pula, you are my stellar." ucap Dr. Adrian kemudian, berpaling ke arahnya.
Seru tubuh Suraya mendengar bait-bait romantis daripada lelaki itu. Diam-diam, dia menjarakkan kedudukan yang rapat itu dengan mengambil satu langkah besar ke arah berlawanan. Dilayangkan pandangan ke arah lelaki itu sebelum membuka mulut,
"Err...Macam mana dengan kes tu?"
Sinis Dr. Adrian tersenyum. Bukan tidak perasan jarak yang tiba-tiba ditokok oleh gadis itu. Dia sedar bicaranya sebentar tadi yang membuatkan jarak itu diambil dan perbualan itu diubah namun, sikit pun dia tidak terasa. Respon yang diterima olehnya ketika Suraya muncul di awal hari tadi jelas menunjukkan segala-galanya. Dia bahagia apabila gadis itu kelihatan sedih, tertekan dan muram kerananya. Bermakna gadis itu telah merasakan sesuatu terhadap dirinya. Cuma, masih malu untuk mengakui. Ahaks!
"Jadi, awak naik ke sini semata-mata nak tanya tentang perkara tu?"
Suraya tidak menyahut. Apabila diintai reaksi lelaki itu, roman tenang yang terpamer menenangkan perasaannya.
"Kitorang fikir samseng yang pukul saya tu sengaja diupah untuk melambatkan pergerakan siasatan kes," cerita Dr. Adrian lalu bersandar pada dinding kaca.
Suraya diam terpaku. Tak sangka pula dia besarnya pengaruh kes itu hingga perlu menggunakan kekerasan.
"Dan, membuatkan saya tiba-tiba teringatkan sesuatu." kata Dr. Adrian kemudian berdiri tegak. Sambil berpeluk tubuh, sepasang mata itu tajam merenung ke arahnya.
"Apa?" soal Suraya kehairanan.
"Ada sesuatu yang awak rahsiakan dari saya."
Gulp!
Laju kepala digelengkan.
"Gary."
Bulat kedua biji mata Suraya sebaik Dr. Adrian menyebut nama itu. Suaranya juga sudah berubah seratus peratus. Tidak menanggung kelembutan seperti tadi.
"Would you mind explaining?.." arah Dr. Adrian dengan satu langkah kecil mendekati diambil.
Selangkah ke belakang pula diambil oleh Suraya.
"Oh. Erm, saya nak tolong siasat je." akuinya perlahan.
"Dengan bantuan Zalita?"
Mulut Suraya melopong.
Secara rasminya dia dah kantoi.
"Err... Erm, awak marah ke?" soalnya sedikit teragak.
"Awak tahu awak belum bercerita lagi..." Dr. Adrian mengingatkan dengan nada tegasnya itu.
Suraya mengetap bibir. Jantung mula berdebar. Lirikan juga goyah. Ke bawah, ke sisi dan ke arah wajah serius di hadapannya itu. Tiada jalan keluar lagi. Perincian kegiatan yang dilakukan senyap-senyap itu sedang ditagih.
"Yer, saya mintak tolong Zalita. Kemudian, Gary. Dan, saya terserempak pula dengan Miss Carol." terangnya dengan pipi berlapis tebal. Angannya mahu menyiasat. Kemudian, berjaya dalam siasatan. Lalu, memberi kejutan. Namun, bendera putih telah pun diangkat. Tiada lagi siasatan dan kejutan. Malangnya, dia pula yang perlu bersoal jawab.
"Macam mana staf biasa macam awak boleh dapat bantuan dari Assistant Manager dan bos HR?" sindir Dr. Adrian kemudian.
Suraya terpempan. Kelu lidahnya untuk bercakap. Ya. Sekarang baru dia terfikir. Macam mana mereka semua dengan mudah mahu berkerjasama dengannya sebelum ini. Kenal tidak. Rapat pun tidak. Barangkali, nasib telah menyebelahinya!
"Sebab, awak dah petik nama saya!" ungkap Dr. Adrian dengan suara yang meninggi lalu selangkah yang besar diambil mendekati. Kaki Suraya seperti digam. Tubuhnya juga terkaku di situ. Ya. Bukan nasib yang telah menolongnya. Tetapi, nama keramat itu!
"Kenapa awak sanggup buat semua ni??"
Dada Suraya terasa ingin pecah. Suara yang meninggi itu pertama kali didengarinya. Mata yang mencerlung tajam dengan kedua belah tangan bercekak pinggang memaparkan sisi baharu lelaki itu yang belum pernah dia lihat sebelum ini. Sungguh menakutkan!
"Siapa awak, Suraya? Kenapa awak sanggup berkorban demi saya? Sebelum ni, awak sanggup sembunyikan perkahwinan kita dari pengetahuan staf syarikat. Sekarang, awak senyap-senyap tolong saya siasat kes ni. Siapa awak, Suraya? Siapa sebenarnya awak ni???" soal Dr. Adrian lantas menerpa dan mencengkam kedua belah bahunya.
Oh!!
Jantung yang pantas berdegup makin menggila. Takut dia melihat reaksi ketika marah lelaki itu. Dan, terbit rasa menyesal dengan sikap terlebih peduli hal lelaki itu. Kini, amukan yang tidak dijangkakan itu terpaksa dihadapi.
"S-saya-.."
"Awak, tak patut ikut campur, Suraya."
Suara kendur yang dilepaskan oleh lelaki itu berjaya memujuk dirinya dari ketakutan yang melingkari. Ditarik nafas yang dalam berkali-kali sebelum mulutnya meluncur membela diri dari dihentam tanpa usul periksa.
"Saya cuma nak bantu awak, Adrian. Nak balas budi awak terhadap kebaikan yang awak pernah berikan pada saya sebelum ni." jelasnya lantas bahunya terasa dicengkam sekali lagi.
"Saya tak perlu apa-apa balasan dari awak. Kan saya dah cakap saya ikhlas menolong." tutur Dr. Adrian perlahan. Lalu, satu keluhan yang berat kedengaran dilepaskan. Kecewa betul dengan sikap degil gadis di hadapannya itu.
"Saya...minta maaf." tutur Suraya kesal. Payah betul untuknya menerima pertolongan itu atas dasar ikhlas semata-mata. Namun, apabila mendengar keluhan itu dia sedar ikhlas bukan sesuatu yang mampu diukur.
"Tolong janji dengan saya, Suraya... Janji yang awak tak kan buat apa-apa tanpa pengetahuan saya selepas ni." kata Dr. Adrian penuh mengharap. Kedua bahu yang dicengkam sebentar tadi diusap perlahan-lahan. Dia juga sedang kesal dengan dirinya sebentar tadi. Sedaya upaya dia menahan dirinya dari berkasar dan memarahi gadis itu sewenang-wenangnya. Suraya, wajar diberikan ruang untuk menjelaskan dirinya daripada dituduh melulu begitu.
"Tapi, saya... cuma nak membantu. Itu aje..." ucap Suraya sambil mengangkat wajahnya. Masih menebal perasaan malu dengan tindakannya itu. Tindakan yang pada awalnya dirasakan betul.
"Kenapa awak bersungguh-sungguh nak bantu saya, Suraya?"
"Sebab awak dah terlalu banyak tolong saya sebelum ni."
Satu keluhan dilepaskan lagi oleh lelaki itu. Suraya terkebil-kebil memandang. Salah ke nak menolong? Lagipun, dia juga ikhlas membalas pertolongan lelaki itu. Ikhlas yang tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata melainkan perbuatan.
"Suraya, untuk kali terakhir saya bagitau awak. Pertolongan saya sebelum ini ikhlas tak mengharapkan apa-apa balasan,"
Diam.
"Faham tak?" tanya Dr. Adrian sambil menggoncang sedikit bahunya.
Suraya mengangkat wajah sebelum menyahut,
"Faham,"
Dr. Adrian senyum kelat.
"Saya minta maaf." ucap Suraya.
"Yup. Saya maafkan. Now, I need your promise," tutur Dr. Adrian lembut. Kedua tangannya lantas dijatuhkan.
Ketiadaan sentuhan itu tidak disedari diratapi kehilangannya oleh seseorang.
"Ingat, jangan buat sesuatu tanpa pengetahuan saya. Awak tak tahu betapa bahayanya tindakan yang awak ambil ni,"
Suraya mengangguk kecil. Benar-benar menyesali akan tindakan tanpa berfikir panjang itu.
"Dan, sebab itulah dari awal lagi saya minta hubungan kita ni dirahsiakan. Kerana alasan inilah penyebabnya. Saya bimbang bukan saya seorang yang menjadi sasaran." jelas Dr. Adrian.
"Oh!.." Suraya mengangkat pandangan. Baru jelas permintaan awal lelaki itu dahulu.
"Ermm... Sorry. Saya janji lepas ni tak buat lagi." separuh berbisik dia berkata lagi.
Dr. Adrian, senyum pendek.
"Awak tak tahu betapa bimbangnya saya bila dapat call daripada Zalita, Gary dan Carol selepas saya sedarkan diri. Saya tahu awak seorang yang berani dan mampu buat apa saja dengan semangat awak tu tapi, seandainya dia tahu siapa awak saya rasa, saya terpaksa sembunyikan awak, Suraya. No more working with TSL."
Suraya membulatkan biji mata.
"Sekarang, awak ugut saya pulak?" protesnya tiba-tiba. Sebentar tadi, dia juga yang diserang rasa bersalah. Kini, apa yang disebut oleh lelaki itu pula yang salah pada telinganya.
"Tak, Suraya. Saya cuma bagitau perkara sebenar."
"Maksud awak?"
Dr. Adrian mengeluh perlahan.
"Selama awak perhatikan saya di ofis, ada tak awak tengok saya rapat dengan sesiapa?" tanya Dr. Adrian.
Suraya melarikan pandangan. Memikir sebentar.
"Mr. Lee?"
Dr. Adrian senyum sinis.
"Sebenarnya saya ingatkan awak ni seorang yang introvert tapi, tak. Awak tak ada ciri-ciri introvert langsung. Awak sebenarnya excluding yourself dari orang lain. Kenapa?"
Hidungnya terasa dicuit. Dr. Adrian mengukirkan segaris senyuman.
"Saya, tak ada pengaruh yang hebat dalam company. Dan, kedatangan saya disambut dengan pelbagai bahan cerita. Sebab tu mereka tak hormati saya selama ni." jawab Dr. Adrian selamba.
"Awak kecewa?" tanya Suraya ingin tahu sebelum mengutuk dirinya sendiri. Mestilah kecewa! Boleh pulak ditanya lagi?
"Hmm.. awal-awal dulu. Kemudian, I don't mind it much. As long kerja diorang siap."
Suraya terdiam. Ringkas cara pemikiran lelaki itu. Atau sebenarnya enggan menambahkan sakit kepala dengan memikir sikap segelintir staf bawahannya itu.
"Jadi, selama awak berkerja pernah tak dengar gosip tentang saya?"
Spontan Suraya menggeleng. Dr. Adrian terpempan. Berasa hairan dengan pengakuan itu.
"Kaki botol?"
Geleng.
"Sijil PhD palsu?"
Juga menggeleng.
"Kaki perempuan?"
Geleng lagi.
"Cable? Rasuah?"
"Kan tengah panas." sahut Suraya pantas.
Dr. Adrian terkedu.
"Awak jenis tak bergosip ke kat ofis?"
Suraya menjungkitkan bahu. Dr. Adrian senyum tipis.
"Eh, adalah jugak," ulas Suraya dengan reaksi yang bersahaja.
Dr. Adrian tertawa lucu tetapi jelas kedengaran seperti dibuat-buat.
Sebenarnya, bila lagi waktu bergosip kalau tidak ketika rehat tengah hari. Bersama-sama tiga sekawan itu pelbagai cerita dan kisah yang dia dengar. Tetapi, terkadang dia tidak ambil port. Dengan jadual kerja yang sudah lari dari waktu normal, peluang makan tengah hari bersama teman sepejabat dimanfaatkan sebaik mungkin. Bertanya khabar lebih menarik daripada menjaga tepi kain orang.
"Jadi, apa kaitan saya dan kerja bila dia tahu siapa saya?" soalnya meminta penjelasan.
Dr. Adrian tertunduk sebentar sebelum segaris senyuman dilirik. Puas ditunggu namun, lelaki itu tiba-tiba mengunci mulut dari berkata-kata.
" Adrian, please... Tolong jelaskan pada saya apa sebenarnya yang berlaku? Terutamanya pada awak. Please..." rayu Suraya bersungguh-sungguh. Dipegang kedua belah tangan Dr. Adrian dan digoncangkan beberapa kali. Cukuplah dengan apa yang terjadi membuatkan dia berkobar-kobar untuk mengetahui sisi sebenar lelaki itu.
"Alright. Bed time story." ucap Dr. Adrian setelah agak lama merenungnya.
Di sofa yang rendah itu, Suraya terus mengambil tempat di sisi Dr. Adrian. Tidak sabar mahu mendengar dengan terperinci latar kehidupan lelaki itu dengan sejelas-jelasnya.
"Do you remember? Kisah waktu awak kecil?.." ujarnya sekadar mengingatkan.
Dr. Adrian menoleh. Tersengih memandang.
"Sebenarnya papa kahwin lari. So, kita mula dari level one. "
Awalan cerita sahaja sudah membuatkan Suraya terdiam. Juga hairan kerana reaksi lelaki itu selamba sahaja mengumumkan ibu dan bapanya berkahwin lari.
"Selepas tahu papa kahwin lari, Tun Sidek marah hingga putuskan hubungan dengan papa. Siap diiklankan dalam akhbar." cerita Dr. Adrian.
Terkejut sungguh Suraya. Pertama kali mendengar hubungan kekeluargaan diputuskan melalui media massa.
"Dari Sarawak, papa lari ke Semenanjung. Keadaan tak berubah. Tun Sidek pastikan kehidupan papa bersama arwah ibu sukar. Tapi, papa kuat semangat. Tetap teruskan kehidupan meskipun hidup dalam kemiskinan. Cuma, tak semua ikut apa yang kita rancang. Arwah ibu pergi waktu melahirkan saya."
"Ibu... Awak panggil mak awak ibu, Adrian." sampuk Suraya perlahan.
Dr. Adrian, terdiam mendengar celahan itu. Menarik panjang dan satu senyuman kelat terukir apabila melihat Suraya mengiringkan tubuh dan merenungnya tanpa berkelip. Sebelah tangan isterinya itu memangku kepala. Sebelah lagi menggenggam erat hujung t-shirt berlengan pendek yang dipakainya. Dia masih mendiamkan diri meskipun telah beberapa minit berlalu. Mencari kekuatan demi kekuatan untuk membongkar kisah lalu yang dirasakan perit untuk diungkitkan kembali.
"Selepas beberapa bulan saya lahir, kehidupan kami mula berubah. Perniagaan kecil-kecilan papa makin maju bila papa dan rakannya dapat kontrak yang agak lumayan. Dari pekerja kutip sampah mereka mampu membuka bisnes pemasangan paip. Tapi, papa terpaksa serahkan sebahagian urusan perniagaan kepada rakan kongsi demi menguruskan saya. Selama lima tahun dia berkejar antara saya dan bisnes hinggalah Maksu Azah datang."
Spontan, Suraya menegakkan kepala. Terkelip-kelip matanya memandang.
"Maksu Azah? Maksud awak?"
"Sebenarnya, masa tu Maksu Azah berkerja sebagai kerani sambilan untuk bisnes papa. Dia kasihan tengok keadaan papa lalu menawarkan diri untuk jadi isteri. Papa keberatan tapi mengenangkan saya yang masih kecil dan tak pernah merasa kasih sayang seorang ibu, papa kahwin juga dengan Maksu Azah,"
Termenung, Suraya mendiamkan diri. Terbayang pesona Maksu Azah yang masih menarik meskipun telah berumur. Tingkah wanita itu lembut sekali. Aura keibuan pasti dirasai apabila berada berdekatan dengannya.
'Oh!'
Terbeliak biji matanya tatkala terfikirkan sesuatu.
"Mereka bercerai, Suraya. Saya tahu apa yang awak fikir. Dan mereka semua bukan adik beradik saya."
'Oo...'
"Tapi, walau pun mereka berkahwin cuma dua tahun, saya rasa sayalah budak yang paling bertuah."
"Kenapa?"
"Maksu Azah memanjakan saya. Dilayani saya ni macam anak emas. Disuruh panggilnya dengan panggilan mama. Waktu tu, saya masih di tadika...setiap kali pergi dan balik diambil oleh Maksu Azah. Dan, memang saya anggap dialah ibu kandung saya. Maksu Azah pulak sentiasa menunjukkan kasih sayang dia kepada saya hinggalah satu hari saya tertunggu-tunggu dia datang ambil di tadika tapi, dia tak pernah datang. Dan, tak pernah lagi saya jumpa dia selepas tu," cerita Dr. Adrian panjang lebar sebelum mendiamkan diri.
"After a good long while, saya dapat jumpa dia lagi waktu di rumah awak dulu. Saya tahu dialah mama saya suatu masa dulu. Tapi sayang, dia, dah tak ingat pada saya..." sambung Dr. Adrian perlahan dengan suara yang tertahan.
Sepi. Terlalu sepi.
Tanpa sedar perasaan Suraya turut terusik. Walaupun sekadar menjadi pendengar, dia dapat merasai beban penderitaan itu. Apatah lagi lelaki itu yang melaluinya sendiri. Direnungi wajah yang sedang pura-pura tenang itu. Memandang ke hadapan tanpa sedikit pun berkalih ke arahnya. Lama mereka berada dalam suasana yang bisu itu sebelum Suraya memberanikan diri dengan menegakkan tubuhnya. Sebelah tangan berlingkar di atas bahu lelaki itu. Manakala sebelah lagi memegang kepala lelaki itu lalu membawa ia rapat ke bahunya. Dia tahu lelaki itu sedang bersedih. Sedang mengenang mama kesayangan. Sedang merindui mama kesayangan. Namun, kerana terbiasa hidup tanpa meluahkan rasa yang terbuku, perasaan itu dibiarkan berlalu padahal jauh di lubuk hati, terpendam segala macam kesakitan dan penderitaan.
"It's okay, it's okay... Sekarang awak dah jumpa dengan mama, Adrian." bisiknya perlahan. Sebelah tangannya membelai rambut lelaki itu yang dibiar lepas. Gementar dan kekok. Tetapi dia perlu berbuat sesuatu di saat suaminya itu sedang berduka lara. Dipejamkan mata. Meyakinkan diri tindakan yang sedang dibuat itu adalah tindakan yang betul.
"Can we stay like this for a while?"
Dia terpana sebentar mendengar bisikan hati yang terucap di bibir lelaki itu. Perlakuannya itu didambakan oleh Dr. Adrian. Dianggukkan kepala beberapa kali. Dapat dirasakan sepasang tangan berlingkar di pinggangnya. Hati kecil memberi peringatan. Namun, dia mengabaikan. Jelas dia tidak lagi mampu menampal lompong-lompong pada kubu maya yang entah berapa kali berjaya dilubangi oleh lelaki itu semenjak mereka berdua berkenalan. Dia tidak tahu. Bermula saat itu dia tidak mahu tahu lagi tentang tujuannya sebelum ini kecuali satu. Dia mahu sentiasa berada di sisi lelaki itu.