Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 66


"Awakkk!!.."

Dr. Adrian yang sedang mengubah kedudukan beberapa buah pasu pokok bunga orkid tersentak mendengar pekikan Suraya yang agak kuat itu.

"Kenapa?" tanya Dr. Adrian sebaik Suraya muncul di muka pintu rumah hijau sebelum melangkah laju menghampirinya.

"Pak Long, Mak Long, Hanis dan adik-adik nak datang tengah hari nanti. Macam mana ni??.." maklum Suraya dengan pakej wajah cemas. Tadi, usai berkebun dengan lelaki itu dia masuk ke dalam rumah untuk membancuh minuman. Setelah hampir satu jam berada di situ mengurus dan merawat pokok-pokok yang ada terasa haus pula tekaknya. Belum sempat air dibancuh, dia mendengar telefonnya berdering. Perkhabaran Mak Long yang mengejut itu berjaya mematikan hajat membuat air. Terus dia memecut kembali ke rumah hijau sebaik panggilan ditamatkan untuk menyampaikan berita itu kepada Dr. Adrian pula.

"Okay." sahut Dr. Adrian selamba. Sebuah pasu sederhana besar diangkat lalu diletakkan di bahagian tepi dinding rumah itu.

Kelakuan selamba itu mendapat reaksi tidak puas hati dari Suraya.

"Masalahnya, Pak Long dan Mak Long tak tahu cerita sebenar kita berkahwin." terangnya supaya lelaki itu tahu mengapa dia cemas tak tentu hala. Penjelasannya ternyata mendapat perhatian. Dr. Adrian memusingkan tubuhnya sebaik meletakkan pasu di tempat yang diingini. Terkelip-kelip Dr. Adrian memandang seperti sedang memikir.

"Kenapa tak bagitau diorang?" tanya Dr. Adrian hairan. Apa yang dia tahu, perhubungan keluarga Suraya dan Hanis amat rapat. Pelik pula jika isu perkahwinan itu tidak didedahkan kepada pasangan itu.

Suraya, menarik panjang. Terkebil-kebil membalas pandangan lelaki itu sebelum beredar ke arah meja peralatan. Kemudian, menarik kerusi dan duduk bersandar dengan perasaan lemah. Wajah yang sedang merenungnya itu ditatap.

"Kalau bagitau lagi panjang ceritanya."

"Maksud awak?" tanya Dr. Adrian lagi lantas mendekati. Wajah serius Suraya ditenung dalam.

"Pak Long dan Mak Long sebenarnya tak berapa suka perkahwinan pilihan keluarga. Anak-anak diberi kebebasan memilih supaya bila jadi apa-apa orang tua tak disalahkan." cerita Suraya lagi lalu mendongakkan kepala untuk bertentang mata. Perkara itu diketahui olehnya melalui Hanis lama dahulu. Jadi, sebab itulah hakikat sebenar perkahwinannya itu disorokkan daripada pengetahuan Pak Long dan Mak Long semenjak dari awal.

"OK. Tapi, apa masalahnya?" soal Dr. Adrian masih lagi hairan untuk apa Suraya cemas dengan kedatangan tetamu itu. Punggungnya sengaja dilabuhkan di atas meja. Duduk bertenggek sambil sarung tangan yang dikenakan dibuka.

"Kita tak boleh macam ni." sahut Suraya.

"Maksud awak?" soalnya kembali menoleh ke arah Suraya yang mendongak semenjak tadi.

"Kalau kita macam ni, sekejap aje Mak Long dapat teka apa yang berlaku."

"Apa maksud awak macam ni tu?.." tanya Dr. Adrian belum memahami perkara yang ingin disampaikan.

"Maksud saya, macam nilah..." tutur Suraya dengan kedua tangannya diangkat. Menunjuk ke arah lelaki itu kemudian dirinya sendiri.

Dr. Adrian menggeleng. Masih gagal untuk memahami duduk sebenar perkara.

"Haih..," dengus Suraya geram dengan sikap lambat pick up lelaki itu.

'Lambat pick up ke sengaja buat-buat?'

"Awak dan saya tak macam suami isteri yang lain." terangnya sedikit malu-malu. Wajahnya ditundukkan untuk menjelaskan perkara itu.

"Suami isteri yang lain? Macam mana pulak tu?"

Seperti benar-benar kebuntuan, Dr. Adrian menanya lagi.

'Arrghhh!.. Geramnya aku tak pick up pick up lagi dia ni!'

"Kita tak mesra." ujarnya dengan pipi merah merona.

"Siapa kata?" soal Dr. Adrian seraya duduk bercangkung pula di hadapan Suraya. Wajah yang sedang menahan malu itu diperhati. Tersenyum dia melihat gelagat tak tentu arah gadis itu. Sekejap melihat ke bawah, sekejap ke kanan kiri. Agaknya enggan membiarkan pipi merahnya itu menjadi tontonan.

"Mesra, tak perlu ditunjukkan dengan perbuatan... Tak perlu dipertontonkan. Jangan bimbang, okay," kata Dr. Adrian lagi lantas meraih tangan Suraya dan mengusapnya lembut. Sekarang, dia telah mengerti keadaan isterinya itu. Permintaan dalam diam itu tidak menjadi kesusahan untuknya melaksanakan.

"Tak perlu susah-susah memasak. Saya tak pandai dan awak pun tentu sama, kan?" ucap Dr. Adrian lagi dan Suraya segera berpaling.

Wajah panik sebentar tadi terhapus. Kefahaman lelaki itu berjaya meredakan sedikit keresahannya. Lambat-lambat, dianggukkan kepala. Mengakui kelemahan diri yang ada. Bukanlah kepakarannya di dalam memasak juadah utama buat tetamu. Kepada bukan satu tetapi dua tukang masak pula tu. Tentulah perkara itu perlu dibimbangi juga.

"Nanti saya order, okay?" tambah Dr. Adrian kemudian menambahkan lagi kelegaan dalam diri Suraya.

"Erm, Suraya?.."

Lirikan yang dibawa melihat susunan pasu tidak lagi sama seperti kali terakhir dia di situ terganggu tatkala Dr. Adrian meminta perhatian untuknya. Suraya mengangkat kedua kening kepada lelaki yang masih bercangkung di hadapannya.

"Kalau awak nak, orkid dekat kampung bawaklah pindah ke sini."

Suraya membulatkan matanya. Terpempan dengan pelawaan yang tidak pernah difikirkan itu.

"Awak, bagi?" soalnya tidak percaya.

Dr. Adrian mengangguk sambil menarik satu senyuman.

"Terserah pada awak nak angkut semua sekali atau nak ambil yang awak fikir kesayangan arwah mummy sahaja."

Kegembiraan yang baru bertunas langsung berbunga! Tanpa berfikir panjang, spontan diluncurkan tubuhnya ke hadapan merangkul lelaki itu sebelum haruman rambut lelaki itu menyedarkan dirinya. Cepat-cepat ditarik kembali tubuhnya itu ke belakang dan bingkas dia berdiri hinggakan tindakan kelam-kabutnya itu membuat Dr. Adrian terduduk jatuh di atas tanah. Tanpa menunggu lama dia memecut laju meninggalkan lelaki itu yang tertawa besar melihat aksi tidak tentu arahnya itu.


Menghampiri jam dua petang, tetamu yang dinantikan tiba. Barulah terasa riuh suasana di dalam banglo yang sering berlagukan nada sunyi itu.

"Yaya masak ke?" soal Mak Long ketika Suraya menuangkan minuman ke dalam setiap gelas di dalam dulang. Lauk-pauk yang dihidangkan itu kelihatan agak rumit dan mewah. Dia tahu kemampuan memasak Suraya daripada cerita arwah sahabat karibnya itu. Sengaja, dia inginkan kepastian. Sebab itulah dia bertanya.

"Tak, Mak Long. Yaya manalah pandai nak masak lauk-pauk macam ni. Setakat goreng-goreng tu bolehlah. Paling terer pun, sup. Hihi..," akui Suraya jujur tanpa ada perasaan segan.

"Lauk ni semua abang beli dekat restoran. Boleh, Mak Long?.. Mak Long tak kisah?" katanya lagi.

"Tak kisah, Yaya. Mak Long datang ni bukan sebab nak makan. Tapi, sebab nak jumpa Yaya." sahut Mak Long sambil tersenyum memandangnya.

Suraya ikut senyum. Dalam hati, debar belum mahu pulih. Bimbang jikalau kata-katanya kelihatan seperti membaca skrip meskipun memang itulah skrip yang direkanya semenjak pasangan suami dan isteri itu menjejakkan kaki ke dalam banglo.

"Eh, kalau Yaya nak belajar masak lauk-pauk, nanti balik kampung ikut Pak Long ke kedai. Pak Long ajarkan. Orang perempuan ni, paling kurang kena pandai masak untuk suami pun dah cukup." sampuk Pak Long yang duduk di kepala meja. Meja makan yang tersimpan di dalam bilik stor sebelum ini dikeluarkan oleh Dr. Adrian ketika mereka bersama-sama berkemas untuk menyambut para tetamu itu. Meja boleh lipat itu diletakkan di atas platform di luar kawasan ruang dapur yang sebelum ini lapang tanpa sebarang perabot.

"Takpe, Pak Long. Saya tak pernah beratkan Rai untuk memasak. Bagi saya, apa yang Rai sediakan, semuanya sesuai dengan selera saya." tutur Dr. Adrian hampir-hampir buatkan jag air yang dipegang oleh Suraya terlepas.

Rai? Dia terkedu sebentar. Sejak bila pula nama Rai jadi nama panggilan untuknya? Ditoleh ke arah lelaki itu yang duduk bertentangan dengan Pak Long. Selamba sahaja melanjutkan perbualan dengan Pak Long tanpa menghiraukan pandangan yang dilontarkannya. Satu cuitan terasa di pinggang. Terkejut dia sebelum bertukar pandang dengan Hanis yang duduk di sisi. Gadis itu bermulut dengan panggilan nama baharunya itu sebelum tersengih. Suraya membalas dengan membuat muka sebelum beredar untuk duduk di tempatnya berhampiran dengan Dr. Adrian.

Sepanjang sesi makan tengah hari itu, riuh-rendah Pak Long dan Mak Long bercerita. Adab kepada tetamunya, Dr. Adrian turut ikut berceloteh. Bertukar dan berkongsi pengalaman sesama sendiri.

" Sorry wei, tak sempat nak bagi warning." ujar Hanis ketika membantunya mengemas meja makan itu meskipun telah dihalang tadi. Pak Long dan Mak Long telah disuruh untuk berehat di bilik rehat. Jai dan Dani pula sedang kecoh bermain di ruang tengah bertemankan pencahayaan suram yang diolah oleh lampu sorot menjadikan suasana kelam di sekitar ruangan itu.

"Itulah, terkejut gila aku waktu Mak Long call pagi tadi." kata Suraya berterus-terang. Bekas berisi lauk-pauk itu ditutup kemudian, dulang minuman diangkat ke dapur. Di sinki, Dr. Adrian sedang mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan. Dia kembali lagi ke meja makan untuk mengambil bekas berisi sudu garpu yang kotor lalu kembali semula ke sinki.

"Awak nak saya tolong?" soal Suraya kepada Dr. Adrian yang tekun mencuci sendirian. Diam-diam, lebar senyuman yang menguntum di bibirnya. Benar kata lelaki itu. Kemesraan, tak perlu dipamerkan dengan sentuhan romantis. Tadi, dia lihat, Mak Long tak henti tersenyum memandangnya. Mungkin melihat cara Dr. Adrian melayaninya ketika di meja makan yang membuatkan hati orang tua itu senang. Sekarang, mencuci pula meskipun dia tahu memang lelaki itu seorang yang ringan tangan apabila berada di dapur.

"Awak? Bukan abang ke?" bisik Dr. Adrian ke telinganya. Serta-merta memerah pipi Suraya. Dr. Adrian tergelak kecil melihat aksi beku tiba-tiba yang dibuat oleh gadis itu.

"Takpe. Sikit aje ni," sahut lelaki itu lagi enggan meneruskan usikan. Andai tiada tetamu tadi, mau sahaja dia menambah usikan. Selepas keluar dari rumah hijau pada pagi ini, bukan dia tak perasan sikap tak tentu arah yang makin menjadi-jadi itu. Dia sedar gadis itu masih malu kerana aksi tak sengaja itu. Meski tak sengaja, Dr. Adrian bahagia. Terlalu bahagia dengan melihat dan merasai tindak balas dari Suraya itu.

"Pergilah layan diorang tu. Tak elok biarkan tetamu bawa diri." tutur Dr. Adrian kemudian. Sebenarnya dia belum puas untuk mengusik Suraya tetapi, dipendamkan sahaja.

Bibir Suraya lantas merekah sedikit. Lega isu itu tidak diulaskan lagi. Apatah lagi isu di rumah hijau. Dr. Adrian seakan memahami dirinya dengan tidak menyebut langsung tentang perkara itu.

"Erm, sejak bila nama saya jadi Rai?" soalnya tidak berganjak di sisi lelaki itu. Arahan lelaki itu ditangguh sebentar.

"Sejak awak jadi isteri saya." sahut Dr. Adrian acuh tak acuh.

'Hmm.. nak mengusik lagi rupanya.'

"Kenapa Rai?" soalnya lagi.

"Sesuailah untuk isteri saya yang lasak ni. Betul tak?"

Masih bermain-main, Dr. Adrian menjawab. Bertambah geram Suraya dengan perilaku itu.

"Isy, betul-betullah. Kenapa pilih nama Rai?" tanya Suraya dengan perasaan marah makin tergelincir keluar.

Dr. Adrian tergelak kecil. Lucu dengan sikap tidak sabar gadis itu.

"Betullah tu. Mana ada saya main-main. Nama Rai nama maskulin dari Jepun. Ada maksud yang lain tapi bagi saya maskulin tu paling sesuai untuk awak."

"Isy, geram pulak aku dengan dia ni." rungut Suraya lantas ditarik telinga lelaki itu sebelum Dr. Adrian mengerang kecil.

"Yaya-.. Oops! Sorry..." tutur Hanis yang baru hendak memasuki dapur dengan membawa beberapa biji piring yang tidak digunakan. Laju dia kembali ke meja makan lalu piring-piring itu diletakkan kembali di situ. Sendirian, dia tersengih mengenangkan aksi yang baru dilihat sebelum turut menyertai adik-adiknya yang sedang bermain permainan video atas talian.


"Adrian, Mak Long ada sesuatu nak cakap dengan Adrian." tegur Mak Long ketika kesemua mereka duduk di halaman belakang mengambil angin petang. Alang-alang datang berkunjung, Dr. Adrian meminta mereka untuk duduk berehat di rumahnya sahaja sebelum menghantar Hanis ke rumah sewa dan pulang pula ke kampung.

"Iye, Mak Long. Ada apa?" tanya Dr. Adrian ingin tahu. Dia sedang duduk di atas pelantar memerhatikan adik-adik Hanis bermain bola keranjang. Manakala Pak Long, Suraya dan Hanis berada di dalam rumah hijau melihat tanaman.

"Yaya macam mana sekarang?" tanya wanita itu lalu melabuhkan punggung duduk berdekatan dengannya.

"Maksud Mak Long?" soal Dr. Adrian tidak memahami. Wajah yang dipenuhi sifat keibuan itu dilirik sekilas.

"Mak Long ni seorang ibu, Adrian. Bimbang sentiasa ada walaupun Yaya bukan anak kandung. Tapi, sejak dari kecil lihat dia dan Anis sama-sama membesar buatkan Mak Long anggap Yaya seperti anak sendiri." ujar Mak Long tanpa memandang ke arah Dr. Adrian. Jauh merenung ke arah rumah hijau memerhati gelagat tetamu di dalamnya.

Dr. Adrian memerhati tingkah wanita itu. Beruntung sungguh Suraya kerana dikelilingi oleh ibu-ibu yang menyayangi dirinya itu.

"Saya sukakan Suraya sejak kali pertama bertemu. Dapat jadi suami dia pulak ibarat bulan jatuh ke riba. Inshaallah, Mak Long tak perlu bimbang. Tapi, doakanlah kami." ucap Dr. Adrian memberi kata putus kepada perasaan sebenarnya terhadap Suraya. Semoga ungkapan itu memberi satu jawapan muktamad yang dimahukan oleh Mak Long hendaknya.

"Mak Long senang hati kalau macam tu," tutur Mak Long sambil tersenyum ke arahnya.

"Terima kasih Mak Long ambil berat hal kami." sahut Dr. Adrian sopan. Dia, turut membalas senyuman itu.

"Cuma, satu aje Mak Long nak pesan. Yaya tu...walau nampak berdikari dan matang, tapi sebenarnya dia seorang anak yang manja. Dan, bila marah pulak dia akan terus lepaskan tanpa berfikir dulu. Tapi, bila dah lepas elok aje sejuk macam takde apa-apa." cerita Mak Long panjang lebar. Pengetahuan itu diperolehi daripada arwah teman baiknya. Sudah tentulah akan dikongsikan pula kepada teman hidup Suraya itu supaya lelaki itu lebih memahami isi hati pasangannya.

Dr. Adrian, senyum mendengar perkara baru tentang Suraya itu. Lama-kelamaan, sedikit sebanyak perihal Suraya mula disorongkan oleh Mak Long tanpa dipinta.

Previous: Bab 65
Next: Bab 67

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.