Sepatah bicara belum terungkap sejak pemanduan itu dimulakan. Dr. Adrian, masih segak dalam persalinan baju Melayu meski tanpa songkok menghiasi kepala. Masing-masing diam terhanyut dalam lamunan sendiri. Dia, bermain-main dengan bingkai di tangan buat menghilangkan badai kencang yang tidak henti menghentam dada mengenangkan bakal berada di kediaman lelaki itu buat pertama kalinya. Sebal. Makin sakan ia berdentam-dentum.
Kenderaan yang dipandu menelusuri jalan yang sama untuk ke rumah sewa namun, pemanduan diteruskan melewati pusat membeli-belah Ampang Point lalu melepasi pula satu per satu taman perumahan sebelum satu kawasan yang agak berbukit diambil. Kelam dan sunyi. Hanya lampu jalan dan sesekali lampu kenderaan yang berpapasan menerangkan keadaan.
Perjalanan, semakin hampir kepada destinasi apabila lelaki itu mengambil laluan masuk ke sebuah kawasan berpagar yang dikawal oleh halangan sekuriti. Tanpa perlu berhenti, palang keselamatan itu terus terangkat membenarkan kenderaan yang dinaiki memasuki ke dalam kawasan itu. Kediaman lot-lot banglo mula menyapu pandangan. Setelah beberapa kali kereta itu membelok akhirnya mereka tiba di sebuah lot yang agak jauh dari kediaman yang lain apabila Dr. Adrian mula mengawal kenderaan dalam kelajuan yang paling perlahan.
Suraya melihat ke depan. Pintu keluli yang gelap berwarna hitam itu tiba-tiba terbuka kiri dan kanan menampakkan sebuah garaj kereta. Apabila bahagian hadapan kereta itu mulai masuk, lampu di dalam garaj terpasang secara automatik.
"Rumah awak atau rumah keluarga awak?" soalnya sebaik kereta itu siap diparkir. Ditoleh ke arah Dr. Adrian di sisi. Lelaki itu diam merenung ke arahnya. Terkelip-kelip dia menantikan jawapan sebelum dilarikan wajah kerana segan dengan pengamatan yang dalam itu.
"Awak, selalu nampak cantik di mata saya, Suraya. Tapi, malam ni terlalu cantik,"
Sepantas kilat dadanya disambar getaran yang bergelombang mega. Jari jemari erat bertaut pada bingkai gambar yang dipegang. Gementar.
"Mungkin sebab malam ni awak dah jadi milik saya." bisik Dr. Adrian menambahkan lagi debaran di dada.
Jarak yang terbentang, didekatkan oleh lelaki itu. Serta-merta dipejamkan kelopak mata. Malu dengan jarak sejengkal itu namun, sekelip mata dia kembali membukanya sebelum sebelah tangannya terus berlabuh di pipi dan, chupp!
Agakkannya tepat! Ditarik nafas yang dalam. Kuat. Dengan muka yang merah padam dijeling lelaki itu yang sedang tertawa kerana cubaan itu telah gagal.
"Kenapa cium saya?" tegurnya spontan.
"Saya cium isteri saya." jawab lelaki itu selamba.
Suraya mengetap bibir. Nak balas apa? Salah? Haram? Biar betul?
"Marah?" tanya Dr. Adrian melihatkan dia mendiamkan diri.
'Marah? Marah kepada seseorang yang berhak menyentuhnya? Hmm, tak marah... tapi terkejut!'
Dr. Adrian kembali mendekatkan wajah. Belum puas mengusik. Segera Suraya menjauh sedikit.
'Atau, dia patut jawab marah tadi?'
Kali ini, kelopak matanya kembali ditutup enggan melihat perlakuan lelaki itu untuk kedua kalinya.
Sepi. Lalu, dibukakan matanya. Terpandang Dr. Adrian yang sedang tersengih sambil duduk bersandar memerhatikan dirinya. Tebal pipinya menanggung rasa segan akibat dipermainkan sebegitu.
"Jom." ucap Dr. Adrian dengan bersahaja setelah mematikan enjin kereta.
Wah, tenang betul lelaki itu menghadapi situasi baru itu.
"Adrian, saya lupalah. Pakaian." tuturnya dengan perasaan segan yang berbaki.
Dr. Adrian tidak jadi membukakan pintu. Sebuah senyuman terukir.
"Dah ada." balas lelaki itu lantas turun dan membukakan pintu tempat duduk belakang.
Dia menoleh. Mengecam sebuah beg sandang yang tak lain dimiliki olehnya sendiri. Amboi, diam-diam Hanis buat kerja di belakangnya.
Lambat-lambat, dia membukakan pintu kereta dan turun. Dr. Adrian memikul beg tersebut dan mula mendaki dua anak tangga menuju ke arah sebuah pintu kecil. Dibukakan dengan menggunakan kunci sebelum menjemputnya masuk.
"Rumah saya dah lengkap dengan kedatangan awak, Suraya. Selamat datang ke rumah kita."
Dia, menelan air liur mendengar ucapan keramat itu. Dengan penuh berhati-hati diatur langkah yang bergementar.
Ketika masuk ke dalam kediaman itu kedengaran bunyi suis ditekan berhampiran pintu kecil itu. Terang-benderang suasana dan dia disapa kekaguman. Bersih dan rapi. Hiasan pula agak minimal.
"Awak boleh buka kasut dekat situ." ujar Dr. Adrian lantas menunjukkan ke arah satu rak kasut berhampiran.
"Nak house tour?"
Dia mengangguk setelah menyimpan kasut jenis flat shoes yang dikenakan.
"Tak penat?"
Geleng.
Dr. Adrian senyum lantas menghulurkan tangan. Terkebil-kebil Suraya memandang. Perasaan seram sejuk itu datang kembali. Tetapi, huluran itu tetap disambut. Sedia menggalas amanat bermakna bersedia memikul keseluruhan tanggungjawab.
Lelaki itu mula membawanya terus melewati sebuah dinding kosong bercat putih di sepanjang laluan di sebelah kirinya. Ruang rehat yang menjadi titik tengah ketika masuk ke dalam kediaman itu dijeling dengan ekor mata. Ruang itu kelihatan sedikit rendah disebabkan oleh laluan platform yang agak tinggi dibina di sekelilingnya yang menjadi tempat mereka berpijak ketika ini.
Set sofa dan sebuah sleeping chair mengelilingi meja kopi. Susunan kabinet kayu berbentuk U yang agak rendah kelihatan memagari kawasan ruang rehat tersebut yang berpaksi ke arah blok dinding putih itu. Susun atur yang agak pelik, desis hati kecilnya.
"Kita mula dari pintu masuk utama." jelas Dr. Adrian mematikan tumpuan yang diberikan.
Tiba di penghujung dinding, mereka membelok ke kiri dan berhenti.
"Okay. Front door." kata Dr. Adrian merujuk kepada sebuah pintu kayu yang besar juga berwarna gelap seperti pintu garaj.
Diperhati ruang yang berlatarkan warna putih dan kelabu itu dengan perasaan yang tenang dan santai kerana ruang tamu itu cuma dilengkapi dengan dua buah sofa putih panjang saling berhadapan dan sebuah meja kopi. Juga, sebuah pasu hiasan besar diletakkan tidak jauh dari kedudukan mereka itu. Hiasan keemasan yang digunakan pada tembok itu pula menarik mata yang memandang serta menambah nilai estetika di dalam dekorasi itu.
"Jom."
Dia mengangguk bersetuju. Mereka ke laluan bertentangan pula dan dia diperkenalkan dengan sebuah bilik yang berada di sebelah kirinya.
"Bilik tetamu tetapi dah jadi stor." ucap Dr. Adrian sedikit segan ketika membukakan pintu dan menekan suis lampu.
Benar. Sebuah bilik yang dipenuhi dengan kotak pelbagai saiz dan beberapa perabot yang tidak digunakan. Kelihatan beberapa batang antena jenis 2G dan 3G bersandar pada dinding di satu sudut. Malah, segulung feeder pun ada. Suraya mengetap bibir melihat keadaan stor itu. Sedikit mencuit hatinya. Kemudian, mereka ke dapur pula. Menjenguk dapur itu membuatkan bibirnya mengukirkan senyuman tipis. Dapur bujang yang kemas. Bersebelahan dapur itu pula terdapat satu lorong yang membawa ke sebuah pintu sebelum Dr. Adrian berhenti di hadapan dua lagi pintu yang saling berdekatan. Mereka, tercegat di situ.
"Bilik tetamu lagi," ujar Dr. Adrian dengan mulutnya terjuih ke arah kanan.
Lelaki itu tiada niat untuk membukanya seperti bilik tetamu yang pertama tadi.
"Ini, bilik kita." tutur lelaki itu lagi memandang ke depan.
Suraya mengubah pandangan. Melihat ke arah yang dilihat oleh lelaki itu.
Dup. Dap. Dup. Dap.
Makin kuat jantung berdetak. Dr. Adrian melangkah. Dia ikut. Lelaki itu membukakan pintu dan dia masuk.
Mint frost. Haruman itu terlebih dahulu menyapa.
Putih. Di mana-mana hanya kelihatan putih termasuk langsir yang menutupi dinding bertentangan. Dijeling ruang di sebelah kirinya. Terdapat anak tangga yang menuju ke atas manakala di bawahnya pula lapang. Tiada apa-apa diletakkan kecuali sebuah rak sidaian. Sehelai sejadah tersidai pada rak itu. Kemudian, pandangan menjalar ke arah sebuah katil bersaiz king di tengah. Bertentangan dengan katil itu terdapat sebuah lorong.
"Bilik air dan dressing room. Mari." kata Dr. Adrian seperti dapat membaca fikirannya.
Pegangan, dilepaskan ketika pintu bilik itu ditutup. Tangan yang terlepas itu menggenggam pula baju yang dipakai. Masih dingin dan sedikit bergetar ketika dia mengikuti langkah lelaki itu untuk ke ruang yang dikatakan.
"Awak nak bersihkan diri dulu?" tanya Dr. Adrian setelah meletakkan beg yang dijinjing itu di dalam ruang kosong di dalam almari pasang siap jenis terbuka. Dilirik sekilas ke arah pintu masuk melihat gadis itu sedang tercegat memerhatikan perbuatannya.
"Ada towel and amenities." katanya lagi.
"Erm... Awaklah dulu." sahut Suraya sebelum menjatuhkan pandangan.
"Tapi, saya tanya dulu."
Suraya menggigit bibir. Setahunya, suami seharusnya didahulukan dalam kehidupan berumahtangga.
"Kenapa ni?.." soal Dr. Adrian yang sudah tercegat berhampirannya.
Suraya terpana. Tidak perasan lelaki itu mendekati. Terkelip-kelip matanya melihat lelaki itu makin merapatkan kedudukan lalu menyandarkan sebelah bahunya ke dinding sambil berpeluk tubuh. Pandangan, kembali jatuh ke lantai. Satu cuitan di hujung hidung membuatkan dia tersipu malu.
"Saya tak makan oranglah. What is it?"
Dalam keadaan menunduk Suraya menarik nafas yang panjang.
"Awak mandilah dulu. Isterikan patut dahulukan suaminya." ucapnya perlahan.
"Kalau saya ajak awak mandi sama macam mana?"
Spontan dia mendongak. Nafas yang kuat kedengaran ditarik dan mulutnya, sedikit terbuka kerana terkejut. Dr. Adrian tergelak kecil melihat aksinya itu.
"Just kidding. Alright, wife... Saya mandi dulu. Pergilah rehat," tutur Dr. Adrian lalu kembali ke almari untuk menukar pakaian.
Oh. Agak ekstrem lawaknya. Suraya, menarik kelegaan.
"Actually, saya okay je kalau awak nak tengok saya buka baju." kata Dr. Adrian seraya menyedarkan Suraya yang masih tercegat di situ.
Tanpa berfikir panjang, pecutan ala-ala sukan Olimpik pantas diambil lalu terus dia berlabuh di birai katil. Kemudian, memikir. Kenapa dia lari tadi? Padahal, setelah akad itu dimeterai segala sempadan, batasan dan larangan di antara dirinya dan lelaki itu turut terangkat. Tiada lagi halangan untuk mereka berdua dalam meneroka rahsia dan misteri diri masing-masing. Entahlah. Mungkin sebab terlalu malu yang menyebabkan dia lari tadi... kot?
Sambil menanti gilirannya ditilik bingkai yang sedang dipegang. Baru berkesempatan untuk meneliti setelah beberapa ketika ia berada dalam pegangan. Bibir menguntum sedikit senyuman. Cantik. Not berwarna ungu yang digubah menjadi origami berbentuk lebah sebanyak dua ekor dan kuntuman bunga berlainan saiz dari not berwarna biru, kuning dan merah. Pemberian wajib itu kelihatan istimewa di matanya.
Dia bangkit lalu bingkai itu diletakkan di atas kepala katil jenis kayu. Tiada apa yang ada di situ kecuali sebuah jam digital. Marahkah lelaki itu jikalau bingkai itu diletakkan di situ? Mungkin tak, kot? Kalau pun lelaki itu tak suka dia tidak kisah untuk meletakkan bingkai itu di tempat lain pula. Sambil duduk memerhati keadaan di dalam bilik tidur itu sesekali matanya mengintai-intai anak tangga besi yang bercat hitam itu. Dia bangun mendekati. Berura-ura untuk meninjau ke atas.
"Nak ke mana?"
Terkejut. Ditoleh ke arah Dr. Adrian yang sudah siap membersihkan diri. Sehelai t-shirt putih berlengan panjang dengan sepasang seluar cotton. Rambut yang melewati sedikit paras bahu dibiar lepas dan sudah beberapa kali dia melihat lelaki itu dengan gaya rambut yang kemas disisir ke belakang begitu. Mungkin gaya rambut diikat hanya dipakaikan ketika berkerja sahaja.
"Esok-esok aje awak naik. Pergi bersihkan diri dulu." arah lelaki itu kemudian.
Suraya lantas mengangguk sebelum cepat-cepat berlalu menuruti arahan suaminya itu.
Usai membersihkan diri, dicari pakaian yang ada di dalam beg yang disediakan oleh teman karibnya itu. Sumpah dia terlupa untuk menyiapkan beg pakaian dan bukannya sengaja melupakan. Memang dia, betul-betul tidak cakna bahawa setelah ikatan itu dimeterai hala tujunya sudah tentulah bersama-sama lelaki itu pula. Tiada lagi Hanis sebagai teman pendamping.
Dibelek helaian pakaian yang kemas berlipat. Terdapat beberapa helai t-shirt berlengan pendek dan panjang serta seluar. Selain itu terdapat dua pasang palazo dan juga blouse. Sebenarnya, ada sehelai baju tidur yang belum pernah dilihat olehnya di dalam beg itu. Pasti Hanis punya kerja juga. Ewah, senyap-senyap temannya itu menyediakan. Ketika pakaian yang belum pernah dilihat itu ditarik dia terkejut bukan kepalang. Baju tidur jenis dress dari fabrik satin yang terjatuh di atas lantai itu cepat-cepat diambil dan disimpan dipelosok paling dalam di dalam beg. Untuk menyentuh pun dia segan apatah lagi mengenakan. Akhirnya, sehelai t-shirt berlengan panjang dan seluar tidur menjadi persalinan.
Setelah siap merapikan diri, dia melangkah perlahan-lahan menuju ke ruang tidur. Suasana tidak lagi terang seperti tadi. Cahaya suram menyeliputi. Di atas katil, sekujur tubuh kelihatan sedang berbaring tanpa berselimut. Langsung tidak bergerak. Dah tidur ke?
Dia, melangkah ke ruang yang lapang di bawah tangga. Sejadah dihampar mengikuti satu garisan anak panah hitam yang halus di lantai dan telekung yang dikepit dikenakan lalu, dia menunaikan solat fardhu yang belum sempat ditunaikan lagi.
Siap bersolat dan berdoa yang agak panjang dia menoleh ke arah katil. Gemuruh yang membadai jiwa kembali mengganas. Meskipun menjadi isteri kepada lelaki itu tidak pernah tercatat di dalam kamus hidupnya kini, setelah sah bergelar seorang isteri dia tahu dan sedar akan tanggungjawabnya. Lambat pergerakan mendekati katil besar itu diambil sambil memerhati Dr. Adrian yang berbaring di hujung. Kedudukannya sudah mengiring membelakanginya.
Dia, menarik nafas yang dalam. Selimut tebal itu diselak lalu doa dibacakan sebelum direbahkan badan. Empuk namun, terkebil-kebil dia memandang siling. Kantuk pula berada di hujung mata. Cuma perasaannya sedang memberontak. Situasi baru itu menjadi penghalang untuknya melelapkan mata.
Dah lena ke lelaki tu? Cemburu mencuit. Mudah betul lelap sedangkan matanya masih segar. Sebelah tangan dibawa ke dada. Rentak yang tiada tanda untuk surut. Macam mana mahu surut? Pertama kali dalam hidup dia berkongsi katil dengan seorang ajnabi.
Sendirian, terkulat-kulat dia memaksa mata itu untuk lelap. Dahulu, andai sukar melelapkan mata pasti dihubungi arwah mummy untuk berbual-bual. Tidak lama kemudian, pasti perasaan mengantuknya hadir dan tanpa perlu dipaksa mudah sahaja dia lena. Seakan menjadi kelaziman, tiap kali bertemu kesukaran itu tiada lain yang dicari kecuali mummy. Terkenangkan mummy, hati kecil mula merintih sayu. Juga membisik rindu kepada kedua orang tua. Perasaan pilu makin membuak dan bertali arus. Tanpa sedar air mata berlinangan. Pantas diseka dan dimiringkan tubuh. Enggan kesedihan dihidu oleh Dr. Adrian meskipun kebarangkalian lelaki itu telah lena adalah hampir seratus peratus.
"Kenapa sayang?.."
Bisikan yang dekat di cuping telinga membuatkan makin kuat jantungnya berdebar. Tidak menyedari bila lelaki itu telah beralih dekat di sisinya.
"Awak, menangis? Teringat arwah abah dan mummy?"
Terasa satu sentuhan di lengan. Mulut, dikemam kuat. Dirinya difahami. Tanpa lengah air mata melebat turun. Lara masih tebal menyelimuti diri.
"Saya tak kisah dengar awak menangis, Suraya. Nangislah kalau itu yang dapat tenangkan hati awak," tutur lelaki itu lagi.
Dia, membiarkan air mata mencurah. Sesekali, ia diseka. Makin lama, ia mulai surut dan juga perlahan.
"Suraya..," seru Dr. Adrian dengan tangan yang menyentuh lembut sebentar tadi bertukar menjadi satu pegangan yang kemas.
"Saya sedar awak sanggup untuk berkahwin semata-mata kerana memenuhi hasrat arwah abah. Saya mungkin bukan lelaki pilihan awak tapi, sayalah suami awak sekarang. Saya harap saya dapat berusaha untuk sentiasa berada di sisi awak. Tak kira susah atau senang, tawa atau tangis." tutur Dr. Adrian kemudian.
Suraya merenung dalam. Kaku mendengar pertuturan lelaki yang telah menyimpul perjanjian ke atas dirinya itu. Ucapan itu terus menusuk masuk ke sudut kalbu lalu membekas di situ. Dipejamkan kelopak mata meraikan perasaan aneh dan perasaan gemuruh yang belum puas menjajahi diri. Tangan yang berlabuh di lengannya itu terasa mengelus perlahan. Menantikan detik pertama itu sangat menakutkan rupanya. Dan dia belum bersedia. Sumpah dia belum bersedia!
"Suraya, kenapa diam? Dah tidur ke?"
Dibukakan kelopak mata. Melirik kanan dan kiri, atas dan juga bawah.
"S-saya tak tahu nak cakap apa." sahutnya perlahan.
Dr. Adrian berganjak memberi ruang dan pegangan yang makin kemas itu seperti meminta agar dia berpaling. Diturutkan kehendak lelaki itu lalu kedudukan mereka kini saling berhadapan. Tiada lagi sentuhan. Sebaliknya jemari lelaki itu menarik rambut yang terjuntai dan menyelak ia ke belakang telinga. Kemudian, menyapu lembut bawah matanya yang masih berbekas kelembapan. Dia tertunduk malu ketika tangan itu jatuh pula ke atas tangannya yang terkulai di atas tilam.
"Ucap selamat malam pun dah okay." bisik Dr. Adrian sebelum tersenyum tipis.
Diangkat pandangan menatap terus ke dalam anak mata lelaki itu. Suatu permulaankah?
"Itu aje?" soalnya separuh berbisik.
Dr. Adrian senyum lagi. Mengelus tangan nan lembut yang menjadi posesinya kini.
"Apa lagi selain dari tu?" tanya Dr. Adrian pula.
Oh. Suraya mengetap bibirnya. Baru tersedar soalannya sebentar tadi mempunyai maksud yang mendalam. Cepat-cepat digelengkan kepalanya.
"Saya tahu awak nak cakap sesuatu." kata Dr. Adrian lagi.
Wajah, mula merona. Mujurlah keadaan yang suram itu dapat menutupi kelemahan yang satu itu. Dengan perasaan sedikit berani dia bersuara,
"Saya, takut." akuinya dengan wajah makin memerah.
"Takut?" soal Dr. Adrian sedikit hairan.
Suraya mengangguk perlahan.
"Takut apa?" tanya lelaki itu lagi.
Diam. Terkial-kial dia mencari perkataan yang sesuai namun tiada. Tiada satu yang sesuai kerana menyebutnya saja sudah membuat dia malu. Tangan yang tidak lepas dari genggaman diangkat lalu dibawa ke dada lelaki itu. Dia tergamam. Merasai degupan yang kencang di dada lelaki itu sama seperti yang dialaminya ketika ini. Pandangan seraya diangkat.
"Sama?" soal Dr. Adrian.
Mata, saling bertukar renungan. Tak perlu dijawab. Hanya renungan itu yang menjadi jawapan. Saat ini jiwa mereka sama-sama bulat.
"Goodnight, Suraya. Sleep now." bisik Dr. Adrian lembut.
Dia taat. Dicuba pejamkan mata meski sedar dirinya sedang direnungi dan diperhati. Payah. Tetapi tetap dicuba. Diatur nafas supaya bertenang. Hampir berjaya. Dan mungkin kerana keletihan, minda terus memulakan pelayaran. Pelayaran yang tidak lagi sendirian. Ada sang nakhoda sebagai pengemudi bergelar suami.