Home Novel Keluarga Secebis Kasih
Secebis Kasih
Alia Alizs
26/1/2019 11:22:33
143,606
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7
Selepas subuh tadi, Nadhila terlelap sampai ke siang. Lena betul dia tidur malam tadi. Memang betul-betul letih badannya. Bangun terus mandi, dan terus menuju ke dapur. Senyap sunyi saja rumah. Mata meliar mencari ibunya yang sedang susun barang di dalam almari. Terus dia menuju ke meja makan. Lapar pula perutnya. Tudung saji rotan dibuka perlahan. Senyum. Nasi goreng dan kuih karipap terhidang diatas meja. Tanpa berbicara apapun, Nadhila terus duduk dan menyenduk nasi goreng.

Menyuapkan nasi goreng ke dalam mulut. Sedapnya!! Berselera sungguh dia makan. Diselang-seli dengan meminum air teh o yang sudah sejuk. Makcik Alimah menoleh pada Nadhila. Senyum sendiri. Masih merajuklah tu, bisik hati Makcik Alimah. Nadhila langsung tak bersuara. Terus melayan tekaknya. Perlahan-lahan Makcik Alimah jalan menuju ke arahnya yang sedang asyik melayan nasi goreng.

" Amboii.. Makan sampai tak pandang kanan kiri.." Nadhila senyap lagi. Makcik Alimah duduk didepan Nadhila dan memerhati anaknya makan. Nadhila masih membisu.

"Merajuk lagi ke? Dahlah.. Tak elok merajuk lama-lama, nanti muka lagi tua dari umur. Nak ke?!" Kata Makcik Alimah memujuk.

" Taklah ibu." jawab Nadhila perlahan.

"Abang Dip bergurau je. Tak ada siapa pun yang nak masuk meminang Dhila. Ni kita nak buat kenduri tahlil arwah ayah tapi buat dekat surau malam ni. Abang Dip nak kita semua ada sebab tu dia ambil Dhila dan Biha.." jelas Makcik Alimah lembut suaranya.

" Jadi.. Yang Abang Dip cakap orang nak meminang Dhila tu. Tak betul lah?" Tanya Nadhila lagi. Mahukan kepastian.

"Iya.. Tak ada siapa pun nak masuk meminang. Abang sengaja mengusik Dhila.." sambung Makcik Alimah lagi.

" Tapi Abang Dip cakap serius kut" Nadhila masih tidak puas hati.

"Dhila bukan tak tahu Abang Dip tu macam mana kan. Dia memang macam tu. Kan Dhila sendiri yang cakap, Abang tu harimau jadian. Kan.." Makcik Alimah senyum.

" Tapi agak-agaklah nak bergurau pun. Dhila dah fikir dah, nak lari je malam tadi. Biar padan muka abang. Suruh jelah Biha tu yang terima pinangan orang tu.." Nadhila merungut lagi. Muka mencuka.

" Dahlah. Tak payahlah merajuk lagi. Anak ibu ni kan dah besar panjang. Merajuk dah macam budak kecil je.." Nadhila menghabiskan suapan yang terakhir.

" Bukan merajuk bu. Tapi kecil hati dengan Abang Dip. Tak baik dia buat Dhila macam tu, kalau betul lah dia paksa Dhila terima pinangan orang. Memang lepas ni dia tak dapat jumpa Dhila lagi sampai bila-bila. Bukan Abang Dip sayang Dhila pun. Yang dia sayang tu, adik kesayangannya tu.." Nada cemburu. Makcik Alimah tetap senyum.

" Jadi Dhila pun tak sayang ibu jugalah ye?"

" Mestilah Dhila sayang ibu. Ibu je sorang yang sayang Dhila. Yang lain tak pun..!" Jawab Dhila. Bangun dan bawa pinggan kotor ke sinki. Cuci pinggan dan letak di tempat pengering. Kembali duduk di hadapan ibunya.

" Dahlah. Lupakanlah. Nanti tolong ibu masak ye, hari ni kita masak sama-sama.." Makcik Alimah menukar tajuk perbualan.

" Okey ibu..!! Senyap je ni. Yang lain pergi mana bu.." tanya Nadhila.

" Abang Dip dan Biha pergi pasar beli barang dan lauk nak masak.." Makcik Alimah bangun dan mengambil bawang untuk dikupas.

" Oh patutlah senyap je..!"

" Dhila tolong ibu petik cili besar dan cili api dekat belakang. Petik banyak tau. Tapi hati-hati ada angsa dekat belakang tu.." arah Makcik Alimah.

" Angsa? Ibu bela angsa ke?!" Tanya Nadhila. Mangkuk plastik sederhana besar diambilnya dari rak pinggan.

" Taklah. Tu angsa Pak Mail. Dibiarkan angsa tu berkeliaran. Selamat tak kacau sayur-sayur ibu.." jawab Makcik Alimah.

"Yeke.. Kena buat pagar tu. Sekarang memang angsa tu tak kacau, esok lusa bila dia dah tahu port sayur, buah. Mahu dia makan. Habis hasil tanaman ibu nanti.." cadang Nadhila. Bab cadangan memang dia hebat tapi menolong memang masalah sikit.

" Itulah ibu ada fikir juga. Nantilah.." Nadhila mengangguk.

" Okeylah bu. Dhila ke belakang dulu ya.." Makcik Alimah mengangguk. Nadhila terus menuju keluar rumah melalui beranda dapur. Selipar jepun disarung dan sambil bernyanyi-nyanyi dia jalan ke belakang.


Mangkuk plastik tadi dipegangnya. Sampai di belakang rumah. Dia memberhentikan langkah. Terkejut tengok belakang rumahnya.

" Fuh!! Ini dah macam ladang sayur dah ni. Macam-macam sayur ibu tanam. Hebat betul lah tangan ibu ni. Tanam apa pun menjadi je. Kalau aku yang tanam, benih sayur aku pegang pun terus mati. Ya Ampun..!! Sayur kegemaran aku pula tu. Kacang bendi..!! Muda-muda lagi ni. Rugi tak petik ni. Celurkan dalam air panas, cicah dengan sambal kicap pedas-pedas. Memang tak pandang lain dah makan.." Kata Nadhila seorang diri. Sangat teruja melihat tanamam ibunya.

Setelah petik kacang bendi, Nadhila jalan ke depan pula. Petik cili besar yang disuruh ibunya tadi. Sambil petik sambil layan perasaan. Tiba-tiba..

"Uwang.. Uwang..!!!" Angsa berbunyi kuat. Melompat dia terkejut beruk. Selamat tak kena patuk. Panjang je leher angsa tu.

"Oii angsa..!! Relax ye. Jangan kejar aku ye. Aku tak kacau kau, aku nak petik cili je. Relax okey relax..!!" Nadhila bercakap dengan Angsa. Angsa tu pun seakan memahami apa yang Nadhila cakapkan dan angsa tu terus senyap. Nadhila berganjak ke tempat lain. Risau dia kalau tiba-tiba angsa tu mengejarnya. Sambung petik cili. Okey!! Angsa tu baik. Tak kacau Nadhila.

Selesai petik cili, Nadhila jalan perlahan-lahan ke pondok dibawah pokok rambutan tak jauh dari situ. Redup je bawah pokok rambutan itu. Dia duduk termenung. Mengenang nasib. Hmm.. Apalah yang dikenangkan.

Nadhif memerhatikan Nadhila sejak tadi. Senyum melihat adiknya. Jalan perlahan-lahan menuju ke arah Nadhila yang sedang termenung itu. Nadhila tak sedar pun kehadiran Nadhif.

" Apa yang termenung jauh tu? Ingat pakwe?!" Terkejut Nadhila dan terus menoleh pada Nadhif. Berkerut sejuta dahinya dan menjeling pada Nadhif, mencuka lagi. Nadhif senyum. Nadhila membisu.

" Marah dekat abang lagi ke? Okeylah.. Okeylah.. Abang Dip turunkan ego ni, abang minta maaf. Abang gurau je semalam. Saja nak tengok reaksi Dhila macam mana. Suka ke atau tak. Itu je..!" Terluah juga kata maaf dari Nadhif. Itu pun sebab ibunya. Kalau tidak, memang payah dia ucap perkataan maaf tu.

Nadhila menoleh pada Nadhif. Senyum tak, cakap pun tak. Tapi berkerut, buat muka mencuka dan menjeling tajam pada Nadhif. Sengaja.

"Amboii.. tajamnya jelingan tu. Mata pedang pun tak tajam macam tu tau.."Nadhif cuba mengambil hati Nadhila. Dasyat betul merajuknya kali ini, kata hati Nadhif.

"Abang dah minta maaf kut. Dia pula yang berlagak. Oh adikku sayang. Dahlah, tak payahlah merajuk lagi. Dah tua kut.." masih lagi memujuk.

" Iyalah.. Iyalah.. Dhila maafkan. Ni last tau, next time kalau abang buat lagi. Dhila tak nak kawan dengan Abang Dip.." Akhirnya Nadhila lembut hati. Padahal Nadhila sengaja je.

"Baiklah Nadhila. Adikku yang poyo yang berlagak.."

" Baru je minta maaf dah sakitkan hati orang lagi. Manusia kejam!!" Nadhila menjeling. Nadhif gelak.

"Dip.. Oh Dip..!!" Jerit Makcik Alimah dari pintu dapur.

" Ya ibu..!!"

" Tolong ibu kaitkan buah kelapa tua tu Dip. Ibu nak tiga biji. Kopekkan sekali, ada parang dekat reban ayam tu.." arah Makcik Alimah.

" Okey ibu..!!" Nadhif garu kepala.

"Dah pergi tu, panjat pokok kelapa tu. Ambil yang muda sekali, Dhila nak air kelapa tu..!"

" Abang mana reti panjat pokok kelapa. Kalau pokok rambutan ni retilah.." Kata Nadhif.

" Tak reti? Eee.. Tak payah jadi jantanlah kalau pokok kelapa pun tak reti panjat. Apalah.. !" Selamba je Nadhila cakap. Nadhif sengeh. Mereka jalan ke pokok kelapa berhampiran. Nadhila mengambil galah panjang  dan beri pada Nadhif. Nadhif jolok buah kelapa  tua itu tapi tak ada satu pun yang jatuh.

"Bukan macam tulah Abang Dip. Sampai ke malam pun buah tu tak jatuh. Bak sini galah tu.." Nadhila terus mengambil galah dari tangan Nadhif.

" Betul lah. Dah buah tu yang tak nak jatuh.."

" Tengok ni anak kampung jolok buah kelapa. Berjaya ke tak berjaya? Tengok ni tengok..!" Nadhila terus jolok di bahagian tangkai buah kelapa itu. Dua biji sekali jatuh ke tanah. Kemudian dijolok lagi, dua biji juga jatuh. Dan kelapa muda pula. Jatuh lagi. Nadhif angguk kepala.

" Boleh tahan..!" Kagum dengan Nadhila.

" Tengok oranglah. Ni baru betul-betul namanya anak kampung. Bukan anak kampung berlagak bandar sampai jolok kelapa pun tak reti. Anak kampung murtad abang ni tau tak..!" Nadhila buat muka bangga.

" Eh..Eh.. Sedapnya mulut kau kutuk abang ye. Tak hebat mana pun setakat jolok buah kelapa tu. Ha ni tengok ni, anak jantan kampung kopek  kelapa. Meh sini, turn abang pula nak tunjuk kebolehan.." Pula dah masing-masing tunjuk bakat.

Nadhif ambil parang yang terselit diatas reban ayam. Mencicit anak ayam berbunyi. Nadhif mula mengopek sabut kelapa dengan diperhati oleh Nadhila. Seronok tengok mereka berdua. Sakat menyakat.

" Selesai.. Hebat tak Abang?!" Nadhif pula bangga. Angkat kening pada Nadhila.

" Hmm..  Tak hebat sangat pun. Tapi bolehlah.. Bolehlah..!! Kiranya kita seri okey. Satu sama. Amacam?!" Dah nak buat pertandingan pula Nadhila ni. Macam-macam.

" Oohh..!! Nak bertanding nampak. Okey..!! Ini Inspektor Nadhif lah. Mesti akan menang punya. Okey.. Lepas ni apa pula?!" Mendabik dada. Nadhila mencebikkan muka. Ting!! Nadhila dapat satu idea mahu kenakan Nadhif. Dia nampak kepala angsa yang panjang tu dibelakang longgokkan sabun yang tinggi paras dada itu.

"Sekarang ni.. Abang Dip susun sabut-sabut ni dekat sana tu. Dhila masukkan kelapa ni dalam baldi. Tapi abang angkat bawa ke dapur tau. Tak laratlah Dhila nak bawa. Berat ni.. Dhila bawa kelapa muda ni.." Nadhif setuju. Nadhif tak tahu pun ada angsa dekat longgokkan sabut tu. Nadhila gelak kecil. Lima biji kelapa dimasukkan dalam baldi lama. Nadhila siap sedia mahu lari dengan memegang kelapa muda.

Nadhif menyusun sabut-sabut itu. Dan apabila mahu menyusun sabut yang terakhir...

" Uwang.. Uwang...!!" Terkejut beruk dia apabila tiba-tiba angsa berbunyi. Hampir saja tangannya di patuk dek angsa itu. Terus angsa itu mengejarnya laju.

" Arhh!! Tolong..!!" Lintang pukang Nadhif lari.

"Abang lariiii...!!" Nadhila awal-awal lagi dah lari ke hadapan dan sempat dia mencapai mangkuk plastik berisi sayur tadi. Punyalah laju angsa tu mengejar. Buruk betul rupa Nadhif dikejar angsa. Nadhila gelak berbahak-bahak melihat Nadhif. Sampai sakit perutnya. Jauh juga angsa tu kejar Nadhif sampai ke kereta. Menyorok Nadhif di belakang kereta. Angsa berhenti dan berpatah balik ke belakang rumah. Tapi masih berbunyi bising. Nadhila tak habis gelak lagi.

"Kenapa tu kecoh-kecoh. Kenapa Dhila.." Muncul Makcik Alimah dari dapur dengan memegang pisau kecil ditangannya.

" Haahahaaa.. Abang Dip kena kejar angsa bu. Lawak gila! Aduh sakit perut Dhila..!!" Nadhila gelak lagi dan lagi.

" Macam mana boleh kena kejar. Kan ibu dah cakap hati-hati..!" Makcik Alimah juga gelak kecil. Nadhif berkerut. Serabai rambutnya jalan menghampiri Nadhila dan ibunya.

" Mana Dip perasan bu. Angsa tu menyorok belakang sabut tu ha. Terkejut Dip. Selamat tangan ni tak kena patuk. Fuhh!! Jadi pelari pecut aku jadinya..!" Nadhila gelak lagi. Makcik Alimah pun.

" Hahahaha.. Inspektor Nadhif kena kejar angsa. Buat malu je. Dengan penyangak tak takut tapi dengan angsa takut. Hahahahahaa.." Makin kuat Nadhila ketawa.

" Oii..!! Tolong sikit ya. Mana ada takut angsa. Terkejut jelah. Dhila saja kenakan abang kan. Dhila dah nampak angsa tu, sebab tu Dhila suruh abang yang susun sabut-sabut tu. Betul tak?!" Teka Nadhif. Nadhila ketawa lagi.

" Hahahaa.. 2-1. Hidup kena bijak. Baru berjaya. Hahahaa..!!"

" Dah agak dah. Ibu tengoklah ni anak ibu ni. Siapa yang cari pasal sekarang...!" Geram je Nadhif.

" Dah sudah.. Mana kelapa yang ibu nak?"

" Mana Dhila?!" Nadhif tanya Nadhila.

" Aik..!! Mana Dhila tahu. Kan tadi Dhila dah cakap dekat Abang Dip. Abang yang bawa kelapa ke dapur.." jawab Dhila.

" Alamakk!!!" Nadhif garu kepala yang tak gatal.

" Dah.. Pergi ambil. Lepas tu tolong parutkan. Nak masak lemak nangka ni.." Arah Makcik Alimah dan terus masuk ke dapur.

" Kenapa Abang Dip. Takut kena kejar angsa lagi ye. Hehehe..!!" Nadhila memerli. Sambung gelak. Menyirap je Nadhif. Dia ambil batu kecil dan baling ke arah Nadhila. Nadhila sempat mengelak dan mengejek Nadhif. 


" Abang Dip.. Esok-esok kalau Dhila jumpa Shakil. Dhila nak cerita dekat dia. Pegawai yang dia segani, yang dia kagumi yang tegas yang garang macam harimau jadian tu kena kejar angsa dan takut angsa. Hahahaaha..!" Sempat lagi Nadhila menyakat abangnya.

" Oitt..!! Kau jangan cari pasal...!!" Makin bengang Nadhif.

" Hahahahaa.. bye!!" Nadhila terus lari masuk ke dapur. Nadhif gelak sendiri.

" Dhila.. Dhila..!! Sebab tulah abang suka cari pasal dengan kau. Kau jelah penghibur hati abang. Tak pasal-pasal aku kena kejar dengan angsa sebab kau. Hai lah angsa, manalah kau menyorok ni.." kata Nadhif sendiri. Terhibur hatinya. Jalan perlahan-lahan. Meliar mencari angsa tadi. Bila dia yakin angsa dah tak ada, terus dia menuju ke baldi berisi kelapa tua tadi. Diangkatnya dan bawa ke dapur.

Tugasnya mahu parut kelapa pula. Bergotong-royong mereka sekeluarga memasak untuk dihantar makanan ke surau nanti. Dah lama tak berkumpul bersama. Asyik sibuk je Nadhif. Cuti ni betul-betul dimanfaatkan bersama keluarganya. Keluarga tersayang. 
Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alia Alizs