Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
48,496
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 8

         EZETI masih terpinga-pinga, bagaikan tidak percaya berita yang baharu didengarnya.  Direnung juga senyum di bibir Mutiara, meski senyum itu tampak manis benar namun langsung tidak berjaya mencuit hati Ezeti untuk turut riang, jauh sekali turut tersenyum.  Yang ada di dalam hati hanya rasa tidak percaya dan tidak menyangka. Terpinga-pinga dia.

            “Apa pendapat awak?”

            No comment…”

            Mutiara terus senyum dengan kenyataan balas itu.

            “Tapi, Ira dah tau banyak perkara fasal dia?”

            Mutiara senyum lagi, tampak bahagia dan tidak  menunjuk sebarang keraguan pada keputusannya.

            Kan baik kenali dulu dia sedalam-dalamnya sebelum buat keputusan?”

            “Dia cuma nak jumpa walid dengan umi, bukan apa-apa pun.”

            “Tapi kalau dah berjumpa walid, semestinya jadi…”

            “Tak mengapalah, Zet kan dah kenal dia lama?”

            “Aku kenal dia tak sama macam engkau kenal….”

            “Sama  aja, apa yang Zet rasa, itu  yang Ira rasa.  Baik di mata Zet, baiklah pada Ira.”

            “Mudahnya buat  keputusan…”  menggeleng dia perlahan. 

            “Pilihan awak selalunya betul, so Ira ikut saja.”

            “Aku kenalkan untuk jadi kawan, tak lebih dari itu.”

            “Ni nak jadi kawanlah ni.” Senyum manis.

            “Sampai bawak jumpa walid dengan umi?”

            “Tak salah, kan?”  bersungguh-sungguh dia.

            Ezeti menggeleng cuma.  Manis rona wajahnya meski tiada senyum di situ.

            “Ira tak pernah ada kawan lelaki, tak pernah ada lelaki nak berkawan dengan Ira.   So, bila dah ada kawan lelaki, Ira rasa perlu untuk Ira kenalkan kepada   walid dan umi.  Itu janji Ira pada umi dulu.”

            “Terpulanglah, tapi sejujurnya dia memang baik.  Aku kenal dia dah lama, sepanjang kami bekerjasama, kami memang serasi. Cumanya, aku bimbang engkau tak dapat sesuaikan diri dengan gaya hidup dia.”

            “Manusia kan boleh belajar?  Boleh juga berubah.”

            “Engkau harap dia belajar dan berubah ikut cara engkau?”

            Mutiara angguk yakin. “Atau, Ira ikut cara dia.”  Mulus senyumnya, tampak bahagia benar.

            “Hem, kalau dah suka memang orang tak akan kenal botol kicap dengan   botol cuka.”   Senda Ezeti tersenyum pula.

            Mutiara  tertawa perlahan.

            “Tapi, aku rasa elok engkau kenal dia sedalamnya sebelum buat keputusan.”

            “Ini nak mengenallah ni. Untuk mengenali lelaki, ada baiknya walid dengan umi kenal dulu.  Baru mudah kerja.”

            “Kalau walid dengan umi berpuas hati?”

            “Syukur alhamdulillah, waktu mengenali boleh disingkatkan.”

            “Kalau sebaliknya?”

            “Ira akan cuba pujuk mereka.”

            “Sah lah engkau memang dah jatuh cinta pada dia.”

            Mutiara menunjuk senyum manis dalam tunduknya.  Jemari dimain-mainnya sendiri.”

            Ezeti pula menggeleng beberapa kali sambil senyum curiga.

            So, bila nak berangkat?”

            “Kebetulan minggu depan cuma ada dua  kes mahkamah, Liya pun dah bersedia mengambil alih.  Appointment  pun tak ada.”

            “Jadi minggu depan nak pergi?”

            Mutiara mengangguk perlahan.

            “Suka hatilah Mutiara Hati….”   Bersenda dengan menyebut nama penuh gadis itu, meski masih rasa sangsi namun berusaha dia positif.

            “Doakan Ira selamat pergi dan selamat kembali.”

            Ezeti tertawa perlahan.  “Macam nak pergi Mekah.”

            “Ini pun namanya perjuangan juga.  Pengembaraan untuk mendapatkan restu.”

            Serentak ke duanya tertawa gembira.

            “Zet nak ikut sekali? Esok Ira nak booking tiket.”

            No thanks.”

            “Masih dendam pada  walid?”

            No, tidak langsung tersimpan dendam.” 

            “Baguslah, senang-senang baliklah jumpa walid.”

            “Balik ke, bukan pergi berkunjung?”

            “Zet….”  Mutiara mengerling, tidak senang jawapan Ezeti.

            “Sampaikan salam rindu aku pada  umi.”

            “Walid?”

            Ezeti mengangguk cuma, dengan gerakan bibir, dia menyebut perkataan walid.

            Mutiara mengangguk juga walaupun sangat-sangat berharap Ezeti turut bersamanya.  Di hujung nafasnya teringat dia apa yang pernah didengarnya tanpa sengaja perbualan walid dan uminya lama dahulu.

            “Aku kalau dah benci, sampai bila-bila pun tak akan berubah hati aku.”

            “Tak baik awak cakap macam tu.  Baik buruknya Ezeti  tu anak kita.”

            “Ah, anak yang tak mendengar kata.”

            “Dia budak lagi, masih boleh dilentur.”

            “Ah, dasar anak tak guna.”

            “Awak jangan nak hina anak saya.  Darah daging saya.”

            “Anak awak, bukan anak saya.  Saya bersedia bagi makan pakai dia dah memadai. Kalau ikutkan hati, dah diserah ke Kebajikan Masyarakat sejak lahirnya dia.”

            Dia mendengar isteri lelaki itu beristighfar panjang, sayu benar bunyinya.  Awalnya tidak difahami siapa yang sedang dibualkan suami isteri itu meski seakan berkenaan dia, tetapi apabila mendengar namanya disebut, sah! Anak tak guna itu adalah dia.  Malah bukan itu kali pertama dia dihina, tetapi sudah kerap benar.  Mahu rasanya ditempelak lelaki itu, dinyatakan bukan mahunya dilahirkan, bukan hak dia menentu jantinanya bagaimana.  Semua itu milik Allah dan Allah punya kuasa.  Mahu bagaimana makhluk ciptaanNya, terserah Dia! Sudah sering diucapkan begitu, namun cuma di hati.  Mengenang permintaan uminya yang tidak mahu dia menjadi derhaka.

            Derhakakah aku, kalau sekadar menyedarkan walid  akan kekuasaan Allah, akan kehendakNya?  Pernah ditanya begitu pada umi namun kata umi, suaminya panas baran, tidak   sesiapa boleh menentang. 

“Dan, marah walid  Ezeti bukan sahaja kepada Ezeti, tapi juga pada umi.  Kasihanlah umi, sayang.  Biarlah ayah berkokok, tidak akan terbantut matahari yang galak menyinar.  Biarkan dia, nanti sampai masanya walid  Ezeti  akan sedar juga.” 

Mengeluh Ezeti  perlahan.  Sakit benar setiap kali ingatan terbias ke belakang.  Sakit terus disakiti ayah sendiri.  Berusaha dia melupakan.

“Walid sayang awak juga, cuma…”

“Cuma sebab aku bukan anak lelaki, maka walid  benci aku?”  tidak sempat   Mutiara menyudahkan ayat perlahannya, Ezeti  mencantas.  Geruh bunyinya menahan murka.

“Okey, okey.  Sudahlah.  Kita lupakan tentang walid, awak tak nak balik tak mengapa, tapi tak nak kirim apa-apa kat umi?”    

Mendengar umi disebut Mutiara, perasaannya kembali sejuk.  Lembut manis, wajah wanita itu bergentayangan terus.

“Ya, umi…”  rindu benar dia.

 

DIA sekadar menghubungi Makcik Rominah  berkenaan hasratnya untuk  ke Brunei bertemu keluarga teman wanitanya.  Makcik Rominah  hanya mengucap syukur dan berharap pilihan Neor bertepatan serta  bisa merubah kehidupan anak bongsu itu.  Itu yang disampaikan kepada Neor seketika tadi.  Sesungguhnya itu juga yang diharapkan Neor, didoakannya dengan caranya.

            “Buatlah solat hajat semoga hajat murni diperkenankan Allah.”   Tersenyum Neor sendiri, mengenang kata-kata ibunya di telefon.

            Meski tidak mungkin dia melakukan begitu, namun tidak dibantah.  Akur juga meski tidak dituruti.  Mengeluh pula dia perlahan, sudah sering mahu dilakukan kegiatan zaman remajanya namun semakin jauh pula dia menyimpang.  Kesibukan menjadi pengekang utama.

            Telefon bimbit di atas katil, di sisinya dicapai.  Dicari satu nombor yang bertanda nama  ‘Sayang’ lalu kekunci panggil pula ditekan dengan ibu jari tangan kiri.  Sepantasnya dihantar ke telinga.  Ditunggu sedikit lama sebelum dijawab dari kejauhan.

            “Hai sayang, buat apa tu?”

            “Sehabis mandi.”

            “Mandi malam-malam?  Nanti sejuk tulang.”

            “Guna air suam.”

            Neor angguk perlahan, senyum semakin manis, girang benar.

            “Ira, dengar baik-baik.”  Jelas berbunyi perintah, tegas dalam kelembutan.

            Hanya sepi di kejauhan, tidak dipeduli Neor.  Dia hanya mahu berkata-kata yang mustahak, sama ada masih ada yang mendengar atau tidak, itu tidak penting.

            “Mutiara Hati, sudikah awak menjadi permaisuri hati Neor?”

            “Neor, apa ni?”  baru itu kedengaran suaranya.  Gugup, hairan benar.

            “Kita kahwin?”  singkat tetapi padat.   “I sayang you sungguh-sungguh, rasa tak nak tunggu lama lagi.”

“Apa yang you merepek ni?”

“Saya tak merepek, saya  sungguh-sungguh.  Tak mungkin Ira tak nampak  kesungguhan saya?”

“Kita jumpa my parent dulu….”

“Ya, saya tahu. Tapi nanti bila jumpa ayah Ira, saya akan terus melamar Ira.  Ira sudi?”

Sedikit lama sepi membungkus, akhirnya Neor mengalah.

“Ira, saya tahu Ira masih di situ.  Tolong jawab.”

“Ya,     I’am still here.”

So?”  lagi dia  bertanya, Mutiara  diam juga.

“Tolong jawab dengan perkataan dan suara. Saya perlu mendengarnya.”

Mutiara  diam terus, pastinya masih menunggu, mendengar barangkali.

“Ira, I love you so much. Please.

Mutiara  diam juga.  Langsung tidak mahu menjawab apa-apa.

“Ira?”

“Saya sangat-sangat cintakan Ira.”  Lagi dia melafas, untuk lebih dimengerti.

“Ira, saya bukan saja suka-suka setuju temankan Ira jumpa orang tua Ira, tapi saya nak melamar Ira   sebagai isteri saya yang sah.”

“Neor, berpuas hatikah dengan perkenalan yang singkat ini?”

“Nanti lepas kahwin, kita akan berkenalan luar dan dalam.” 

Mersik tawa Mutiara  tertawa di gagang telefon bimbit Neor.   Neor benar-benar serius namun Mutiara  menyambut seakan pernyataannya melucukan.  Neor tidak langsung terpanggil untuk tersenyum, tertawa jauh sekali.

“Ira….”

“Baru saja kita kenal, itu pun secara luaran. Siapa kita di sebalik nama dan perwatakan yg jelas ini, masing-masing belum tahu lagi, kan? Mana mungkin menjadi pasangan suami isteri dalam keadaan kita berkenalan tipis begini?”

 “Saya tak peduli siapa Ira, bagaimana keluarga Ira, yang mustahak hati saya sudah tertawan.  Sudah tergoda dan sudah pun jatuh cinta.  Itu yang penting.”

Mutiara  mengeluh perlahan.

“Ira tak percaya saya? Okay, apa berkenaan diri saya yang Ira nak tahu?  Saya beritahu, kalau perlu, siap dengan resume sekali.”

“Bukan tak  percaya, tapi rasa macam pelik sikit.”

“Apa yang peliknya? Lelaki bujang jatuh cinta pada gadis yang masih solo tak ada yang akan mempertikaikan.  Tak aneh langsung, pelik lagi tidak.”

“Neor, dari mana you tahu saya ni masih solo?  Entah-entah dah bersuami?”

“Semua tetang Ira saya dah tahu. Perkara lain selain Ira  masih belum bersuami, belum mempunyai kekasih, tidak mustahak langsung.  Yang penting, saya tidak merampas milik orang.”

“O, tahu dari Zet?”

“Ya.”

“Tapi Zet tak cerita apa-apa pasal you.”

“Ira  boleh tanya Zet, apa sahaja yang Ira  nak tahu.”

“Tak perlulah, apa yang saya nampak depan mata, itu sahajalah yang wajib saya ketahui.  Yang lain-lain, akan diketahui kemudian dengan sendirinya.”

“Oh, okay.  Maknanya Ira  terima saya seadanya? Bersedia menerima lamaran Meor Rezamudin, menjadi menantu Rominah  Ramli?”

Mutiara  diam juga, apa reaksinya sukar ditilik Neor dari tempatnya.  Please Ira, nyatakan dengan suara. Atau three G sekarang, Ira boleh menyatakannya dengan isyarat.”  Bersungguh-sungguh Neor mahukan kepastian saat itu juga.

“Okay.”

“Apa yang okay?  Tolong bentuk satu ayat yang lengkap.”  Entah kenapa dia seakan menghafal skrip drama yang ditulis penulis skrip.  Baharu semalam dia menuturkan ayat itu dalam drama bersiri lakonannya.  Konon melamar kekasih hati yang malu-malu kucing.

“Saya terima lamaran tidak rasmi Neor.  Tolong terima Mutiara Hati binti Jaafar seadanya.”

“Terima kasih.  Terima kasih banyak-banyak.  Saya tidak akan mensia-siakan anugarah Allah ini.  Saya berjanji tidak akan meminta lebih dari apa yang ada pada diri Ira.”

“Tak usah berjanji, sebaiknya berusaha.”

“Ya, saya sentiasa berusaha untuk menjaga perhubungan kita.”

“Terima kasih.”  Perlahan pula Mutiara  seakan berbisik.

“Nanti tolong backing  me, boleh?”

“Untuk apa?”

“Tambah markah untuk orang tua Ira  terus bersetuju menerima saya sebagai menantu mereka. Mengambil alih tanggungjawab menjaga anak gadis mereka.”

“Terima kasih.”

For what?”

“Bersedia meletak saya di tepi hati Neor.”

“Bukan tepi sayang, tapi di tengah-tengah hati saya.  Sudah pun saya kuncinya.”

“Terima kasih.” 

“Selepas ke Brunei  nanti, kita ke kampung saya pulak ya? Jumpa emak saya.”

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.