Satu demi satu pinggan kotor yang berlonggok di dalam besen
plastik dicucinya. Memang sudah menjadi tugasnya pada setiap hari membantu emak
saudaranya membuat kerja-kerja rumah, sekiranya dia berada di rumah. Aryati
melakukannya sambil bernyanyi-nyanyi
kecil lagu kesukaannya, Aryati.
Tidak seperti selalu, hari ini Aryati mencuci pinggan mangkuk
dengan hati sayu. Bibirnya tidak lagi mendendangkan lirik lagu Aryati seperti
lazimnya bahkan hatinya sedang menangis sedih kehibaan.
Cuaca pada hari itu mendung. Lukisan wajah Aryati juga
mendung. Seolah cuaca yang membaluti alam, jiwanya juga diselubungi warna
kelam.
Segalanya gara-gara perbualan Pak Anjangnya tentang kesusahan
keluarga mereka yang hidup di dalam kemiskinan. Sedikit sebanyak dia terasa hati.
Kata-kata kiasan yang diungkapkan oleh Pak Anjangnya terkesan ke dalam
sanubarinya. Seolahnya dia menjadi beban kepada keluarga itu. Kalaulah dia ada
kuasa ajaib yang dapat menjadikan setiap apa yang disentuh menjadi emas,takkan
dibiarkan keluarga itu hidup di dalam kesusahan. Kehidupan mereka seumpama
ayam, kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Makan pun ala kadar
sahaja. Namun apakan daya,dia tidak memiliki kuasa apa-apa. Sudahlah yatim
piatu, hidup pula menumpang.
“Kamu dah ada orang nak!”kata Pak Anjang tiba-tiba, tanpa
merenung ke wajahnya. Aryati terpempan. Sebagai seorang gadis yang sudah dewasa
dia faham dengan kenyataan Pak Anjangnya itu. ‘Dah ada orang nak’ bermakna
sudah ada orang yang berkehendakkan dirinya. Hendak berkahwin dengannya. Dia hendak
dijadikan isteri.
“Ati, aku dah terima pinangan Aji Kudus,”beritahu Pak Anjang lagi
dengan suara yang sangat jelas. Tertakut-takut dia merenung Pak Anjang dengan
ekor matanya. Lelaki itu merupakan suami
kepada emak saudaranya. Walaupun dipanggil Pak Anjang, namun lelaki itu telah dianggap
sebagai ayah. Sejak usianya 8 tahun dia sudah tinggal bersama dengan pasangan
itu kerana ibu dan ayah kandungnya telah meninggal dunia akibat dihempap pokok
rambai tumbang yang menimpa rumah mereka yang uzur.
“Aji Kudus meminang kamu!”ulang Pak Anjangnya lagi. Mendengar
kenyataan itu sekali lagi Aryati terpana. Nama lelaki yang disebut itu sudah
biasa sangat menjadi santapan telinganya. Di kedai lelaki itulah dia bekerja
sejak dia tamat tingkatan lima persekolahannya.
“Kamu dah ada kawan jantan ke?”tanya Pak Anjang lagi sambil
menjeling. Mak cik Zaitun yang duduk berhampiran dengan mereka tidak bersuara
sejak tadi. Hatinya yang membengkak dan bernanah sejak dari semalam semakin
membisa. Baru semalam suaminya memberitahu yang dia telah menerima pinangan Aji
Kudus. Langsung tidak berunding dengannya terlebih dahulu.
“Aku tanya, kamu dah ada kawan jantan?”soal Pak Anjang lagi.
Kali ini suaranya semakin kuat. Gadis-gadis di zaman ini bukannya seperti
gadis-gadis di era sebelum merdeka atau awal merdeka dulu. Zaman ini budak-budak
perempuan yang masih di sekolah rendah pun sudah pandai berkawan dengan lelaki.
Apatah lagi Aryati yang sudah besar panjang. Sudah berusia 22 tahun. Pasti
sudah berangan-angan tentang lelaki! Mungkin juga berangan-angan untuk bersuami
dan keseronokannya berkahwin!
“Tak..tak ada, Pak Anjang..”jawab Aryati gugup. Faizal anak Aji
Kudus memang berkawan dengannya. Sekadar berbalas senyum dan berbual beberapa
patah perkataan sahaja. Namun kalau Aji Kudus sudah melamarnya untuk dijodohkan
dengan Faizal,dia tidak akan menolak. Pasti tidak boleh menolak kerana
melihatkan riak wajah Pak Anjang yang serius.
Faizal pun sudah merantau untuk mencari pekerjaan. Itulah yang
dikabarkan kepadanya. Sudah hampir setahun dia tidak melihat wajah Faizal. Dari
cerita-cerita yang sampai di telinganya, kata orang Faizal sudah masuk askar. Mungkin
agaknya Faizal ada balik baru-baru ini dan menyatakan keinginan untuk
menyuntingnya sebagai isteri kepada ayahnya, Aji Kudus.
“Kau bersetuju ke untuk berkahwin ni?”tanya Pak Anjangnya
lagi. Jika Aryati enggan, dia akan memaksanya juga. Dia akan bangkitkan tentang
kesusahan hidup keluarga itu kerana terpaksa memelihara gadis itu sejak dia di
sekolah rendah lagi. Budi dan jasa yang telah ditabur selama ini akan diungkit.
Makan pakainya. Belanja sekolahnya dan pelbagai lagi. Pasti Aryati tidak ada
peluang untuk menolak kehendaknya.
“Setuju ke tidak?”Pak Anjang mula menekan suaranya apabila
melihat Aryati berkerut-kerut wajahnya seolah memikir sesuatu. Mendengar suara
yang seakan menengking itu,tanpa sedar Aryati menganggukkan kepalanya. Pak
Anjang langsung tidak memberi peluang untuk dia berfikir walau sejenak.
“Bagus! Aku akan kahwinkan kau dengan Aji Kudus!”tegas Pak Anjang.
Aryati terpana. Seribu pertanyaan tersangkut dikerongkongnya. Bagaikan ada sebuah
gunung jatuh dan menghempap kepalanya. Tubuh badannya sakit, hatinya hancur.
Dunia di hadapannya seolah kelam dan tidak berharga lagi.
‘Ya Allah…’rintih hatinya. Bergetar bibirnya menahan tangisan.
Selepas sahaja mengungkapkan kalimah yang menghumban jiwa raganya ke lembah
lara, Pak Anjangnya terus sahaja berlalu dari situ. Cepat-cepat melarikan diri
kerana tidak mahu melihat keributan yang pasti akan terjadi antara dia dan isterinya
yang berada di situ.
Menahan hempasan pilu di dada, Aryati terdiam beberapa ketika.
Airmata yang tidak terbendung menyebabkan dia merenung mata Mak cik Zaitun yang
memerhatikannya dari tadi. Muram wajah emak saudarnyanya itu menyebabkan
hatinya semakin meruntun kerana kesedihan sudah di kemuncaknya.
“Maakk..”tangisnya lantas memeluk tubuh emak saudaranya. ‘Mengapa
nasib Ati malang sekali,mak..’rintihnya di dalam hati. Walaupun terasa hendak
meraung kuat-kuat.
“Atii..”kata Mak cik Zaitun. Sebagai wanita yang tidak berdaya
menghalang kehendak suaminya, pada saat itu dia hanya mampu bersabar sambil
memikirkan ikhtiar.
“Sabarlah dulu, nakk..”pujuknya sambil mendakap tubuh anak gadis itu.
Kesedihan mereka berdua beranak membuak-buak.
Suasana sekeliling sebuah rumah tua di pinggir Kampung Mata
Kucing gelap gelita. Maklumlah rumah agak jauh dari jiran-jiran. Yang paling
dekat pun kira-kira sepelaungan. Hanya sedikit sinar lampu yang malap menerjah
dari tingkap bilik dan tidak mampu menerangi kawasan sekitar rumah itu. Kesepian
dan keheningan yang menyelubungi suasana sejak dari tadi tiba-tiba terganggu oleh
bunyi batuk yang kuat dan berleretan.
“Ya Allah, gatalnya tekakku ini,”keluh Hajah Kuntum sambil
menggosok-gosok lehernya dengan telapak tangan. Ledakan batuknya tidak berhenti
dari tadi menyebabkan dadanya terasa sakit. Terketar-ketar tangannya mencapai
gelas yang terletak di dalam dulang di sisinya. Tangannya seolah tidak berdaya hendak
memegang gelas itu lantas terlepas dari pegangan di kala batuknya memuncak.
“Bapaknya…”Terketar suara Hajah Kuntum memanggil suaminya
untuk memohon bantuan. Kecewa. Suaminya Aji Kudus tidak menjawab. Mungkin
suaminya belum balik dari masjid. Dia memang suka solat berjemaah. Setiap hari Aji
Kudus akan bersolat di masjid pada waktu Maghrib dan Isya. Tapi pada waktu itu
jam sudah menunjukkan waktu hampir 10 malam. Mustahil Aji Kudus belum pulang!
Hajah Kuntum cuba meneka-neka.
“Bapaknya..”Meskipun ragu-ragu, Hajah Kuntum mencuba lagi.
Mana tahu panggilannya tadi tidak didengari oleh suaminya itu. Aji Kudus yang
kebelakangan ini menunjukkan ciri-ciri penyakit pekak badak.
Bunyi keriutan daun pintu anjung yang ditolak dari arah luar
melegakan hati Hajah Kuntum. Matanya terarah ke muka pintu. Terjongol tubuh Aji
Kudus. Wajahnya tidak jelas kelihatan kerana lampu yang menyinari bilik itu
amat suram. Maklumlah sekadar menggunakan mentol 15VT untuk penjimatan!
“Aku baru sampai. Ada majlis tahlil di masjid tadi.
Terpaksalah aku tunggu sekejap..”beritahu Aji Kudus tanpa dipinta sambil
merapati tilam Hajah Kuntum. Sebaik sampai, Aji Kudus terus duduk bersila
berhampiran pinggang isterinya itu.
“Ada mereka bekalkan nasi ni untuk awak! Lauk dalca..”beritahu
Aji Kudus sambil meletakkan bekas plastik di atas lantai. Hajah Kuntum tidak
membalas. Matanya merenung lesu.
“Beria memanggil aku, awak nak berak ke?”soal Aji Kudus apabila
mereka bertemu pandangan. Hajah Kuntum mengeleng. Sisa-sisa batuk masih
kedengaran.
“Nak minumm..”beritahunya mencungap sebaik batuknya reda. Dia
terengah-engah. Aji Kudus tidak membalas. Sekilas pandangannya tertumpah pada
dulang di sisi bantal Hajah Kuntum. Gelas tergolek di dalam dulang. Air
bertakung di atas lantai.
“Awak dah makan ubat?”tanya Aji Kudus sebaik sampai di situ
semula membawa sejug air masak. Hajah Kuntum mengeleng. Suaminya itu seolah lupa yang dia tidak ada kemampuan untuk
menguruskan dirinya sendiri.
“Tak makan ubat, macam mana nak baik?”marah Aji Kudus. Wajah
sugul yang dipamirkan oleh isterinya itu tidak terkesan di hatinya. Sudah tiga
tahun Hajah Kuntum berkeadaan begitu. Sejak dia terjatuh di dalam bilik air.
Semenjak itulah Hajah Kuntum terlantar di atas katil. Terkebil-kebil.
Terkedip-kedip matanya jika tidak tidur. Orang kampung ada menasihatkannya
supaya membawa Hajah Kuntum ke hospital tetapi dia yang menolak. Untuk
meredakan sakit isterinya itu dia hanya membelikan ubat cap tiga kaki di kedai
runcit Cina yang berhampiran dengan kedai dia di pekan.
“Aku dah jelak makan ubat…”rintih Hajah Kuntum. Dia lebih rela
minum air penawar yang dijampi oleh suaminya. “Awak jampilah air untuk batuk
aku ni..”pintanya pula.
“Dah dekat setempayan aku jampi air penawar untuk awak! Tapi
ubat tu kena makan jugak..”tukas Aji Kudus.
“Ubat batuk tu manis, aku takut nanti kena kencing manis. Aku
tak nak kena potong kaki pulak!”jawab Hajah Kuntum yang masih berdegil kerana tidak
mahu makan ubat batuk yang dibeli oleh suaminya.
“Lagipun awak bukan tak tahu aku tak berdaya..”suara Hajah
Kuntum seolah merintih. Hatinya dibuai sayu. Dia rasa dirinya tidak berguna bagaikan
batang buruk. Sudahlah dirinya uzur,kerap pula ditinggalkan bersendirian di
rumah itu. Sunyi. Sepi. Hanya itu yang setia menemaninya sejak beberapa tahun
ini. Entah-entah nanti dia akan mati dan kejung bersendirian juga.
Aji Kudus mengeluh panjang. Memang sulit hendak menjelaskan
sesuatu kepada orang yang fikirannya tidak boleh menerima pendapat orang lain.
Dia sudah jemu menasihatkan Hajah Kuntum tentang hal yang sama pada setiap
hari.
“Kuntum..”Hajah Kuntum
melangutkan pandangannya merenung ke wajah Aji Kudus. “Aku tengok penyakit kau
ni tak mungkin akan sembuh..”kata Aji Kudus seterusnya tanpa emosi simpati.
Hajah Kuntum menunduk. Rasa pilu mula berakar di lubuk
hatinya. Dia sedar akan dirinya. Tanpa diberitahu oleh sesiapa pun, dia tahu
kesihatannya mustahil kembali normal. Dia juga sedar selama dia terlantar di
atas katil itu, dia banyak menyusahkan orang lain. Jiran-jiran. Suaminya.
Faizal anak tunggalnya pun tidak sanggup menjaga dia,lantas
pergi merantau. Kalau Faizal duduk di kampung pun, dia bukannya boleh diharap
sangat. Buat menghabiskan beras sahaja. Kerjanya hanya membuat tahi mata atau
pergi memikat ayam hutan.
“Dah lama keadaan kau
begini,Kuntum. Makan minum aku pun dah tak terjaga. Kau pun tak ada orang nak
jaga. Kalau nak harapkan aku seorang, manalah aku mampu. Takkan aku hendak
terpengap di celah ketiak kau yang dah berkedut tu sepanjang masa. Kedai siapa
nak tengok?”
Suara bebelan Aji Kudus agak kuat. Lamunan dan kenangan Hajah
Kuntum terhadap Faizal berkecai. Pandangan matanya merenung ke wajah suaminya.
Sekali lagi Hajah Kuntum insaf akan kekurangan dirinya. Tugasnya sebagai
seorang isteri sudah terabai semenjak dia sakit. Dia tahu satu saat nanti dia
akan dihukum kerana tidak lagi menjadi ‘isteri’ yang sebenarnya.
“Kalau ada anak perempuan,bolehlah juga disuruh memasak..”kata
Aji Kudus yang begitu kepingin memiliki anak perempuan. Saat itu dia teringat
kepada pembantu kedainya. Kalau mereka ada anak perempuan, boleh jadi anak
perempuan mereka sudah sebaya Aryati.
“Boleh juga diharap
untuk menjaga awak!”sambungnya lagi. Lontaran kata-kata Aji Kudus diiringi
dengan keluhan berat. Hajah Kuntum sekadar menjadi pendengar pada saat itu. Dia
tidak boleh membangkang. Apa yang dikatakan oleh suaminya itu memang benar
belaka. Tiada bantahan oleh hatinya.
“Kau pun dah tua, tak boleh beranak lagi..”sinis suara Aji
Kudus. Sebenarnya dia cemburu melihat kawan-kawan seusianya yang berderet anak
mereka. Anak lelaki ada, anak perempuan pun ada! Bila anak-anak itu sudah
beranak pinak mereka memiliki cucu pula. Kepingin pula Aji Kudus mendengar
panggilan atuk terhadap dirinya.
“Bukan aku yang nak jadi macam ni..”jawab Hajah Kuntum ingin
memprotes. Bukannya dia tidak mahu beranak lagi tetapi mereka sudah tidak mampu.
Selepas sahaja melahirkan Faizal,dia putus haid. Umurnya pada waktu itu baru 40
tahun. Puas dia berubat dan minum bermacam air akar kayu namun tiada perubahan.
Akhirnya dia pasrah.
“Kuntum, aku nak menikah lagi satu..”
Kenyataan yang terlontar oleh bibir suaminya itu bagaikan
bedilan bom. Hajah Kuntum terpana. Namun tidak berdaya untuk berkata apa-apa. Hukuman
sudah dijatuhkan. Dia tidak boleh membantah.