Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
51,080
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 2

PAGI YANG MALANG

 

Semasa murid-murid 6 Kekwa masih rancak bersembang, masuk seorang pelajar perempuan yang memakai uniform pengawas sekolah. Dia kemudian berdiri di hadapan papan hijau sambil bersuara nyaring.

“Perhatian untuk semua murid!” kedua tangannya diangkat dan kemudian dijatuhkannya.

Apabila suasana dalam kelas menjadi senyap, dia kembali bersuara.

“Pada waktu ni, semua guru terlibat dalam mesyuarat. Jadi saya ditugaskan untuk mengawas kelas kamu. Semua murid boleh buat kerja sendiri tetapi tolong jangan terlalu bising. Terima kasih.”

Pengawas perempuan itu berjalan menuju ke meja guru. Dia kemudiannya duduk di situ sambil membuka buku yang berada di tangannya. Buku itu terus dibacanya. Murid-murid kembali riuh dengan telatah masing-masing tetapi tidak terlalu bising kerana sentiasa ditegur oleh pengawas perempuan itu dengan memberi isyarat jari telunjuk yang dilekatkan ke bibirnya.

Semasa Razak keluar untuk ke tandas, fikiran Hanafi kembali menerawang jauh. Dia teringatkan cerita ayahnya.

“Ayah dulu memang kaki bola… ayah memang betul-betul minat main bola ni Nafi…” Abang Man bingkas bangun menuju ke tepi dinding, rotan di tangannya disangkutkan ke paku yang terpacak di tiang berhampiran jendela. Dia baru selesai mengajar Hanafi membaca al-quran. Hanafi hanya mendengar, tangannya menutup naskah al-quran yang terletak di atas bantal. Kemudian dia bangun untuk menyimpannya ke atas papan gantung yang tinggi kira-kira tiga kaki dari aras lantai.

Dua beranak itu kembali bertinggung di beranda depan rumah sambil menghadap kegelapan malam. Sekeliling yang gelap pekat itu bagaikan masa hadapan yang mereka rancangkan kini. Kelam. Tiada siapa pun yang mampu melihatnya.

“Macam-macam kejohanan ayah sudah beraksi sehinggalah pada suatu pagi…” Abang Man berhenti bercerita seketika. Seolah-olah memberi peluang kepada nyamuk-nyamuk yang berterbangan di keliling badan mereka mengadakan ‘commercial breaks’.

Hanafi melihat mata ayahnya tidak berkerdip malah terus tajam memandang dalam kepekatan malam. Abang Man seakan masih merasai bagaimana dia melambung dan tercampak jatuh dari motorsikal yang ditunggang oleh Jusoh macam bola. Bola yang selalu ditendangnya apabila motorsikal itu terlanggar seekor lembu. Jusoh, kawan Abang Man meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital kerana kepalanya pecah terhantuk ke tulang rusuk lembu. Abang Man pula ditahan di dalam wad dengan kaki tergantung hampir sebulan. Kaki kanan Abang Man patah.Sebagaimana patah impiannya untuk menyertai ujian kelayakan bagi pemilihan pemain yang akan mewakili daerah.

“Suatu pagi? Kenapa ayah?” soal Hanafi mula tertarik dengan cerita ayahnya.

Abang Man tersentak, sambil mengaru-garu pipinya dia memandang ke arah Hanafi.

“Ya!.. suatu pagi yang malang…” nada suaranya mula bergetar.

“Pagi yang telah merampas peluang dan cita-cita ayah…” keluh Abang Man perlahan. Matanya mula menolak keluar air jernih dan kemudian meleleh hingga ke lubang hidungnya. Abang Man menyedut air hidungnya yang seakan mahu meleleh keluar. Tangan kanannya menyeka kedua belah matanya yang berair itu.

Hanafi terkebil-kebil memandang ayahnya. Menanti ayahnya meneruskan cerita yang masih tidak difahaminya itu.

“Apa yang terjadi ayah?” soal Hanafi tidak sabar setelah dilihat ayahnya masih terbongkok-bongkok menggosok dan memicit-micit betis kanannya.

“Ketika itu ayah membonceng motorsikal arwah kawan ayah… arwah Pakcik Jusoh, bapa Amira tu. Kami sama-sama nak ke bandar. Kami nak sertai ujian saringan bagi pemilihan pemain yang akan mewakili daerah kita ni,” terang Abang Man.

Hanafi membetulkan silanya di sebelah bapanya. Dia semakin berminat mendengarnya. Sesekali tangan kanannya menepuk dan mengaru-garu betisnya yang mula digigit nyamuk.

“Disebabkan tempat pemilihan tu jauh juga dari rumah, ayah dan arwah kawan ayah turun awal pagi. Lebih kurang… pukul 6.30 pagi. Tapi… nasib kami tak baik, di suatu selekoh yang agak gelap, entah dari mana datangnya sekumpulan lembu… tiba-tiba terpacak di tengah jalan. Arwah kawan ayah tak sempat brek,motorsikal kami terlanggar seekor lembu yang ada di atas jalan itu.”

“Minum bang…” Kak Munah tiba-tiba muncul sambil menatang dulang berisi dua cawan kopi dan semangkuk ubi kemili.

Abang Man menyambut. Dulang plastik berwarna hitam itu diletakkan ke atas lantai sebelah kanan Hanafi.

“Kamu tak ada kerja sekolah Napi?” tegur Kak Munah apabila dilihatnya Hanafi rancak menepuk-nepuk nyamuk yang mula membingitkan telinga.Hanafi hanya menggeleng-gelengkan. Kak Munah masuk semula ke dapur. Memberi peluang kepada dua orang lelaki dalam hidupnya itu menyambung cerita mereka.

Setelah meneguk dua, tiga teguk kopi, Abang Man menyambung ceritanya lagi.

“Kami sama-sama melambung… macam bola. Arwah kawan ayah tu jatuh kebahu jalan. Tapi kepalanya pecah. Terhantuk kuat pada tulang rusuk lembu. Dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.” Abang Man berhenti seketika.Seteguk kopi lagi dihirup dan meluru ke dalam kerongkongnya.

Alhamdulillah, nyawa ayah masih panjang. Ayah cuma patah kaki kanan ni…” tangan kanan Abang Man memicit-micit betis kanannya lagi.

“Dalam ni, dulu doktor masukkan besi ni…” Abang Man menepuk-nepuk betis kaki kanannya sambil memandang tepat ke arah Hanafi.

“Masa tu, Napi dah ada ke belum ayah…” tanya Hanafi yang mula mengupas ubi kemili, kemudian dilontarnya ke dalam mulut.

“Dah… umur kau tiga bulan, Amira pula dalam perut maknya lagi…” jelas Abang Man.  Tiba-tiba Abang Man teringatkan isteri kawan baiknya itu. Dia hanya dapat mendengar cerita dari isterinya bagaimana sedihnya hati Shamsiah, isteri arwah Jusoh. Pada masa itu,Shamsiah sedang sarat mengandung sembilan bulan. Shamsiah pengsan apabila menerima berita kematian suaminya. Amira akhirnya dilahirkan semasa arwah Jusoh selamat disemadikan. Sekarang, Amira sebaya dengan Hanafi cuma dia bersekolah di bandar kerana ibunya bekerja di sana. Dua minggu sekali dia akan balik ke rumah neneknya berhampiran rumah Hanafi.

“Hah… sebab tu la mak suruh kau tumpukan kepada pelajaran lebih daripada main bola…” sampuk Kak Munah yang kembali muncul dari dapur. Dia kemudiannya turut bersimpuh di sebelah suaminya.

“Bila kita ada kelulusan… terjaminlah sikit hidup kita…” Kak Munah membetul-betulkan kain sarung batiknya.

“Mak cakap ni, bukan untuk mak tapi untuk kamu…” sambung Kak Munah lagi.

“Mak tak halang kamu nak main bola… mainlah tapi jangan abaikan pelajaran.”

Abang Man hanya mendiamkan diri, sengaja dia memberi ruang kepada isterinya itu untuk menasihati anak sulung mereka. Malah ada juga sesekali dia juga turut menerima nasihat daripada isterinya itu.

“Malam makin larut ni… kamu sudah solat isyak?” soal Kak Munah.

Hanafi mengeleng-geleng sambil memandang ibunya.

“Solat dulu… lepas tu terus masuk tidur…” perintah Kak Munah.

Kriiing…

Hanafi tersentak. Matanya meliar melihat sekeliling. Razak dilihatnya sedang berbual-bual dengan Iskandar. Pengawas perempuan tadi masih hanyut dengan novelnya dan guru-guru mungkin masih rancak bermesyuarat dengan Guru Besar. Jam di dinding kelas sudah menunjukkan pukul 1.15 petang. Suasana kembali hingar bingar dan diikuti bunyi bising tarikan kerusi dan kemudiannya diletakkan ke atas meja oleh murid-murid menandakan tamatnya sesi persekolahan pada hari ini.  

 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan