Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
59,131
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 1

ENAM KEKWA

Ketika Hanafi tiba di hadapan pintu kelas 6 Kekwa, kedua-dua daun pintu masih tertutup rapat. Namun, dia tahu pintu itu tidak berkunci. Suasana begini, sudah menjadi biasa baginya. Malah dialah murid yang selalu  datang seawal pagi dan menjadi kebiasaan juga baginya membuka semua lampu, kipas, tingkap serta memadam papan hijau yang masih penuh dengan aneka lorekan kapur tulis. Setiap pagi, dia akan mengetuk-ngetuk pemadam papan hijau di birai longkang depan pintu masuk ke kelas. Terbatuk-batuk apabila habuk kapur tulis yang bersembunyi di celah pemadam menerjah ke rongga hidung. Semua itu sudah menjadi rutinnya.

Hanafi tinggal satu kilometer dari sekolah. Jarak sejauh itulah yang dia terpaksa mengatur langkahnya setiap hari. Memandangkan dia hanya berjalan kaki kesekolah, sudah menjadi kelaziman baginya turun awal pagi dari rumah. Biasanya,pukul 6.15 pagi dia sudah meredah dingin kabus pagi dengan menggalas beg sekolah yang sendat berisi buku-buku.

Semasa dia turun dari rumah, emak dan ayahnya telah lama berbasikal ke ladang kelapa sawit. Kira-kira empat kilometer dari rumahnya. Sebelum itu, ayah dan  emaknya akan meninggalkan adik-adiknya Maria dan Zizah di rumah Mak Teh Jarah, jiran mereka.  Emak dan ayah Hanafi terpaksa keluar awal pagi dan pulang hampir petang. Sebagai anak sulung, Hanafi seringkali menguruskan sendiri segala keperluan persekolahannya. Pakaian seragam sekolahnya jarang bergosok. Buku-buku yang bergulung di hujung kiri dan kanan di dalam beg sekolahnya itu tidak pernah mengikut jadual. Malah berasak-asakan sehingga mengoyakkan beg yang berusia lebih setahun itu.

Keadaan sekeliling yang tadinya masih suram telah berubah wajah.  Langit mula cerah. Unggas mula berkicau-kicauan. Dingin pagi beransur hilang. Suasana 6 Kekwa kini mulai hiruk-pikuk dengan hilai tawa, tutur sapa dan jerit pekik pelajar-pelajarnya. Namun,Hanafi hanya membatu  di kerusi. Jari telunjuknya menguis-nguis seketul tahi cicak sebesar biji beras dari atas mejanya. Terlerai bahagian putih dan hitam. Mejanya dijungkitkan sedikit.Disedut udara melalui rongga mulutnya. Kemudian, dihembus. Deras. Melayang tahi cicak tadi. Hilang. Tidak dapat dikesan.

“Semua murid bangun!” jerit Malik, ketua kelas sambil memusing-musing badan. Sekejap ke kanan dan sekejap ke sebelah kiri, bagi memastikan semua murid kelasnya berdiri.

“Salam sejahteraaa…cikgu!” laung Malik sebaik sahaja suasana senyap dan semua murid berdiri. Diikuti laungan murid-murid 6 Kekwa serentak.

“Salam sejahtera…” balas Cikgu Munirah, guru kelas 6 Kekwa.

Cikgu Munirah melangkah ke meja guru. Ditarik kerusi. Dan duduk memandang ke sekeliling kelas. Dia kemudiannya, mula membuka buku kedatangan murid-murid. Dibaca satu persatu nama-nama murid kelas 6 Kekwa. Murid-murid yang namanya disebut akan mengangkat tangan sambil bersuara nyaring, “ Saya, cikgu!”.

Begitulah yang selalunya berlaku di permulaan kelas. Cikgu Munirah akan masuk mengambil kedatangan murid-murid yang di bawah tanggungjawabnya. Dia adalah Guru Kelas 6 Kekwa.

***

Beberapa jam telah berlalu dan beberapa orang guru silih berganti. Akhirnya, deringan loceng untuk murid-murid berehat lantang kedengaran. Cikgu Lokman, guru matematik yang sedang membelek-belek buku latihan murid-muridnya di meja guru mula berdiri sambil mengepit buku.

“Semua murid bangun…” pekik Malik.

“Terima kasih Cikgu Lokman,” sambung Malik sambil diikuti oleh murid-murid 6 Kekwa.Cikgu Lokman hanya mengangguk sambil berjalan keluar.

Hanafi masih di tempatnya. Tangan kanannya yang sedang memasukkan buku matematik ke dalam begnya itu terangkat sedikit semasa Razak menghampirinya.

“Hey Nafi… ! jadi ke kau main bola petang ni?” jerkah Razak tiba-tiba sambil menepuk belakang Hanafi.

Hanafi tersentak sambil menoleh ke belakang. Tangannya melurut-lurut dadanya.

“Ah! kau ni Razak suka sangat memeranjatkan orang.”

Razak tersengih dan ketawa terbahak-bahak.

“Tengoklah…”,akhirnya Hanafi memberi keputusan.

“Tengok apa… bukan nak tengok ni… tapi nak lawan,” sahut Razak tidak puas hati.

“Aku tak pasti lagi…” sahut Hanafi malas.

“Kalau kau tak main tak garanglah pasukan kita… kau bukan tak tau, pasukan kita takhandal sangat. Kau tu hebat, sekurang-kurangnya ada juga gol nanti yang kau jaring,”  sambung Razak separuh memuji.

“Taklah malu sangat pasukan kita… kau kan pemain sekolah,” tambah Razak tersengih-sengih.

Hanafi memang lincah di padang. Sepakannya bertenaga dan dia ada bakat dalam sukan bolasepak. Lantaran itu, dia terpilih sebagai pemain bola sepak sekolah dalam ujian saringan yang diadakan pada tahun lalu. Mungkin bakatnya itu datang dari sebelah bapanya. Bapanya semasa belum berkahwin memang kaki bola. Kerap sangat kakinya terseliuh dan bengkak. Namun, semua itu musnah. Disebabkan kecederaan yang pernah dialaminya sewaktu kemalangan motorsikal dulu, bapanya terpaksa meninggalkan sukan yang diminatinya itu.

“Sebenarnya,hari ni aku tak berapa sihat la…” Hanafi cuba berdalih.

Hakikatnya,dia keletihan kerana tidak bersarapan dan tiada duit belanja sekolah. Begitulah selalu terjadi kepadanya. Lebih-lebih lagi apabila ibu dan bapanya terlewat ke ladang. Semuanya tergesa-gesa, jamah yang itu salah dan jamah yang ini pun salah. Akhirnya, semua terlupa. Semua tidak terbuat. Tiada sarapan tersedia.Wang saku Hanafi pun terlupa diberikan.

Razak membongkok dan cuba memegang leher Hanafi. Namun, belum pun sempat tangan Razak menyentuh lehernya, Hanafi bangkit dan memusingkan badannya.

“Heh! apa kena dengan kau ni Razak?” jerit Hanafi .

“Hahaha…aku cuma nak rasa leher kau tu, panas ke tak,” sahut Razak sambil berlagak macam doktor. Tangannya beralih ke dahi Hanafi pula.  

“Janganlah…tak usah nak mengarut,” gerutu Hanafi. Dahinya dikerutkan.

Razak ketawa lagi, bahunya terangkat-angkat. Razak memang rapat dengan Hanafi. Mereka sering menghabiskan masa bersama, sama-sama memanjat pokok jambu batu di tepi bendang Haji Pak Soh,sama-sama mandi di Sungai Pak Din, sama-sama bermain bola dan macam-macam perkara mereka lakukan bersama. 

“Aku tau…ni tentu kau belum sarapan lagi ya?” teka Razak kemudiannya.

“Mari…mari… ikut aku,” Razak  menarik  tangan Hanafi sehingga terdorong ke hadapan.

“Eh! kau nak tarik aku ke mana ni…?”

“Jangan banyak soal, kita sarapan dulu,” balas Razak.

“Tapi…tapi…” Hanafi masih ragu-ragu.

“Kau tak usah risau… ni aku bawa nasi lemak. Kita sarapan sama-sama,” Razak mencapai bekas plastik putih empat segi bertudung oren dari dalam begnya. Tangan kirinya masih di bahu Hanafi. Mereka sama-sama ke hujung bangunan sekolah. Nasi lemak dibahagi dua, satu bahagian diletakkan di atas tudung tupper ware dan satu bahagian dibiarkan di dalam tupper ware yang kemudiannya disuakan ke hadapan Hanafi.

“Hey…habiskanlah nasi tu…” sergah Razak sambil menepuk paha Hanafi yang kerap dilihatnya termenung itu.

“Aku tengok kau ni macam ada masalah aje…” teka Razak lagi.

“Tak adalah… mana ada…” balas Hanafi cepat-cepat sambil menyuapkan nasi lemak terakhir ke mulut.

“Kita kawan dah lama la… kau tak usah nak sembunyi lagi? Razak mula memujuk. Bekas air ditangan kirinya dihulurkan kepada Hanafi.

Hanafi mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Matanya tepat memandang ke arah Razak.Hanafi mencapai bekas air itu lalu meneguk beberapa kali. Air sirap merah yang sudah tidak sesejuk pagi tadi itu menerkam masuk ke perutnya melalui kerongkongnya. Dipulangkannya bekas air itu kepada Razak.

Dua minit kemudian, Hanafi bingkas bangun. Razak mengekori dari belakang. Mereka sama-sama membasuh tangan di bawah curahan air paip di hujung longkang kaki lima bangunan sekolah.

“Nafi… hoi…Nafi… macam mana? boleh?” tanya Razak lagi.

"Boleh apa?" Hanafi pura-pura tidak faham.

"Laaa...buat-buat tak faham pulak dia... petang ni! bola!" leter Razak, sambil kedua-dua belah tangannya membuat bentuk bola.

“Okey la…okey la…” akhirnya Hanafi mengalah.

Jauh disudut hatinya masih menyimpan cita-cita untuk menjadi jaguh bola sepak walaupun hanya mewakili negeri. Dia tidak berani menyimpan harapan dan cita-cita yang terlalu tinggi, biarlah sekadar jaguh kampung. Hanafi masih teringat leteran emaknya malam tadi. Bukan dia tidak pernah dileteri emaknya seperti malam tadi.Sudah kerap sangat, tetapi ada kata-kata dalam leteran emaknya malam tadi semacam jampi mentera yang sentiasa bermain di fikirannya sehingga ke saat ini.

“Kau ni Nafi asyik booo… la…aje. Kalau tak maghrib tak balik…” tegur Kak Munah, ibunya semasa Hanafi baru menginjakkan kaki kanan ke serambi rumah kayu itu.

Hanafi hanya berdiam diri sambil tersengih.

“Mak bukan nak halang kau main bola… tapi apa-apapun yang kau lakukan jangan lupa solat. Jangan belakangkan pelajaran. Mak tak terkilan jika kau gagal setelah kau berusaha.  Tapi mak cukup terkilan kiranya kau gagal tanpa kau berusaha. Ingat! pelajaran tu mustahak. Walau apapun kau… pelajaran tu mesti didahulukan…”, pesan Kak Munah, dia masih berdiri di hadapan dapur gas. Cerek air di tangannya diletakkan ke atas tuku dapur. Pemetik api dapur tersebut terus dipulasnya. Berbaris-baris api berwarna biru keluar dari lubang-lubang kecil penunu gas itu.

Kak Munah kemudiannya berpusing menghadap Hanafi yang mula mencapai tuala dari tali ampaian di penjuru ruang dapur.

“Mak tak mahu kau ikut jejak langkah mak dan ayah… ingat tu…” tutur Kak Munah lagi.

Hanafi hanya berdiam diri. Tuala biru nila yang sudah bertahi lalat di setiap hujungnya itu disangkutnya ke bahu. Belum pun sempat dia mengatur langkah kebilik air, ayahnya yang dari tadi berlunjur terik tanpa baju di serambi dapur pula menyampuk.

“Ha… ah…betul cakap mak kau tu Nafi… handal macam mana pun kita dalam permainan, bila kita sudah cedera tiada nilainya.”

Abang Man terus memicit-micit betisnya. Nada suaranya berbaur kesal. Dia seakan-akan bercerita tentang dirinya. Tentang kekecewaannya. Dia dahulu terlalu mengejar minat.Memang dia berbakat dalam sukan bola sepak. Lantaran itu, dia dahulukan minatnya itu daripada pelajaran. Akhirnya, yang dikejar tidak dapat, yang dikendung keciciran. Dia dahulu terlalu leka dengan bola sepak. Dia sering mengabaikan pelajarannya. Sekarang, inilah nasibnya. Buruh ladang kelapa sawit yang gajinya kurang dari seribu ringgit sebulan. Itulah yang selalu diceritakannya kepada Hanafi. Cerita yang sengaja diulang-ulang. Barangkali untuk membakar semangat anaknya itu. Agar tekun dalam pelajarannya.

“Hey! Hanafi… kau ni memang berkhayallah…” marah Razak setelah dilihatnya Hanafi masih tercegat di tepi paip air.

Hanafi yang terkejut dengan sergahan Razak tergamam sedikit. Lalu tangan kanannya diletakkan ke atas bahu Razak. Mereka sama-sama berjalan menuju ke kelas 6 Kekwa dan selang beberapa saat, loceng menandakan tamatnya waktu rehat berbunyi nyaring. Riuh-rendah pekikan para pelajar dalam berbagai ragam. Ada yang berlari-lari, ada yang menyanyi-nyanyi dan ada yang masih menyakat pelajar lain. Masing-masing menuju ke kelas masing-masing. 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan