Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
58,889
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 3

SAYA BUKAN PENCURI

 

 

Hari ini hari Selasa, semua murid 6 Kekwa pada pagi ini ke padang mengikuti pendidikan jasmani yang diajar oleh Cikgu Fuad. Selepas termengah-mengah berlari satu pusingan mengelilingi padang, mereka diarahkan Cikgu Fuad supaya membuat gerakan bebas tetapi dilarang duduk. Setelah dengupan jantung mereka kembali normal, Cikgu Fuad kembali mengarahkan mereka supaya membuat dua bulatan besar, satu bulatan bagi murid-murid lelaki dan satu bulatan untuk murid-murid perempuan.

Nadia, Penolong Ketua Kelas 6 Kekwa kelihatan berlari ke arah Cikgu Fuad sambil memberitahu sesuatu dan Cikgu Fuad mengangguk-angguk. Nadia kemudiannya berlari ke arah bangunan sekolah dan kembali ke padang semasa murid-murid lain sedang asyik membaling bola di dalam bulatan.

Hanafi dan murid-murid lelaki lainnya rancak menyepak bola ke arah sesama mereka di dalam bulatan. Masing-masing menendang bola sambil memekik dan ketawa. Perut Hanafi tiba-tiba meragam, memulas-mulas dan terasa semacam ada sesuatu dari dalam perutnya ingin keluar. Namun cepat-cepat dikemutkannya dan kakinya mula mengigil kerana menahannya dari keluar.

Hanafi pantas berlari ke arah Cikgu Fuad meminta kebenaran ke tandas dan setelah Cikgu Fuad mengizinkan, dia memecut tanpa memandang ke kiri kanan lagi. Dia tidak mahu isi perutnya terburai bukan di tempatnya, nanti malu diketawakan murid-murid lain.

Memang lega rasanya bila sudah dibuang, senak perut pun sudah hilang.Fikir Hanafi semasa keluar dari tandas. Kedua tangannya mengosok-gosok perut perlahan sambil tersengih-sengih. Belum pun sempat dia membengkok ke kiri untuk ke padang, satu suara memanggilnya dari arah belakang.

“Hanafi… Hanafi…!”

Hanafi mematikan langkahnya sambil menoleh ke belakang. Cikgu Siti,guru muziknya melambai-lambai. Hanafi menghampiri gurunya itu.

“Saya, cikgu…”

“Boleh tolong cikgu kejap tak?” tanya Cikgu Siti.

Hanafi hanya mengangguk.

“Awak ke kelas awak kejap, tolong ambil beg cikgu tertinggal di bawah meja guru… boleh?”

“Baik… cikgu!”

“Errr… nanti kamu hantar ke Kelas 5 Mawar, saya ada di sana,” kata Cikgu Siti.

“Baik, Cikgu!” ulang Hanafi.

Hanafi berlari-lari ke arah kelasnya. Matanya melilau, mencari-cari beg Cikgu Siti. Setelah beg yang dimaksudkan Cikgu Siti itu dijumpainya maka dia terus ke kelas 5 Mawar.

“Terima Kasih, Hanafi,” ucap Cikgu Siti bila Hanafi menyerahkan beg kain hitam kepadanya. Bibirnya yang bergincu merah itu tersenyum manis. Tahi lalat di bibirnya itu menambahkan  lagi manis raut wajahnya.

“Sama-sama, cikgu.” sahut Hanafi sambil beredar  ke padang.

Di padang, murid-murid kembali berbaris di hadapan Cikgu Fuad sambil mendepa tangan. Hanafi berlari-lari mencari ruang di barisan belakang dan ikut bersenam bersama-sama.

Dua puluh minit telah berlalu, Cikgu Fuad mengangkat tangan kiri sambil melihat jam tangannya. Kemudiannya dia memerintahkan semua murid bersurai dan pulang ke kelas. Selang beberapa saat, loceng dibunyikan menandakan sudah tamat waktu mata pelajaran pertama pada hari ini.

 

Semasa murid-murid Kelas 6 Kekwa melangkah masuk ke kelas, Cikgu Munirah sudah pun menunggu di dalam kelas. Guru Kelas 6 Kekwa ini mengajar Bahasa Melayu. Hanafi memang minat belajar Bahasa Melayu, malah markahnya selalu 90 ke atas. Tambahan pula Cikgu Munirah seorang guru yang baik dan sering mengambil berat tentang murid-muridnya.

Loceng berdering lagi dan sebentar lagi waktu rehat akan tiba.

Setelah Cikgu Munirah meninggalkan Kelas 6 Kekwa, murid-murid mula bertempiaran keluar kelas.

Semasa Hanafi mula mengangkat punggungnya dari kerusi, Razak telah pun menarik tangan kanannya. Badan Hanafi terdorong ke hadapan.

“Cepat… cepat…” pekik Razak sambil ketawa.

“Hish… kau ni, kalau tak tarik aku tak boleh ke?” bebel Hanafi sambil menarik muka.

Razak semakin terbahak-bahak dan terus berlari keluar. Hanafi hanya mengikutnya dari belakang.

***

Semua murid 6 Kekwa telah keluar rehat, tinggal Nadia yang masih membelek-belek beg sekolahnya. Ditarik keluar semua buku dari dalam begnya dan sebelum dimasukkan semula ke dalam beg, dibelek sehelai demi sehelai buku-buku itu macam polis sedang mencari bukti.

Nadia kelihatan mengeluh panjang. Begnya dihempas kasar ke atas kerusi. Mukanya mencuka dan memandang sekeliling. Kosong. Semua murid telah keluar rehat. Kemudian, dia terduduk di atas kerusi plastik biru sambil membongkok. Kedua bahunya terangkat-angkat. Dadanya mula sebak. Jantungnya mula berdegup kencang.

“Aku masih ingat, memang aku letakkan betul-betul dalam beg ni tadi,” leter Nadia dalam hati. Perasaan menyesal mula menyelubungi hatinya.

“Ah! bukankah ia berada dalam tudung, kenapa laa… aku gatal-gatal nak tanggalkan tadi, cikgu bukannya Nampak,” bentak Nadia, menyesal.

“Aku nak buat apa ni…?” rungut Nadia sambil menghentak-hentak kedua kakinya ke lantai.

Kemudiannya, Nadia berdiri dan cepat-cepat melangkah kaki keluar kelas.

***

Semua murid lain kecuali Nadia telah pun berada di bangku masing-masing sebelum loceng yang menamatkan waktu rehat dibunyikan. Kelihatan Cikgu Sabariah, Guru Kemahiran Hidup dan Cikgu Roslan, Guru Disiplin berjalan masuk ke kelas diikuti oleh Nadia dari belakang.

“Perhatian! semua murid diminta beratur di luar kelasss…” perintah Cikgu Roslan setelah menjawab salam murid-murid.

Suasana Kelas 6 Kekwa menjadi hinggar-binggar dengan suara murid-murid di samping bunyi geseran kaki kerusi yang ditarik dengan kuat.

“Tolong jan… gan bi… sing…” laung Cikgu Roslan, garang.

Setelah semua murid berada di luar kelas, Cikgu Roslan memandang ke arah Nadia sambil mengangkat tangan kanan dan membengkokkan tapak tangan ke dalam.

“Nadia… kamu ikut cikgu.”

Nadia melangkah bersama-sama kedua-dua gurunya itu dari satu bangku ke satu bangku. Semua beg sekolah murid Kelas 6 Kekwa diperiksa dengan teliti. Semua murid yang mengintai-intai dari luar melalui cermin tingkap terpinga-pinga. Masing-masing mula berbisik-bisik sesama mereka.

“Okay, semua murid boleh masuk,” perintah Cikgu Roslan.

“Hanafi… awak ikut Cikgu Roslan,” Cikgu Sabariah mencuit bahu Hanafi semasa langkahnya menghampiri pintu kelas.

Hanafi tersentak, dadanya mula berdebar-debar. Benaknya mula mencari-cari salah silapnya. Dipandangnya muka Cikgu Sabariah yang bulat dan sedikit berisi itu.

“Tapi… pasal apa cikgu?” tanya Hanafi, minta kepastian.

Semua murid yang sedang berjalan dalam barisan untuk masuk ke kelas memandang-mandang ke arah Hanafi. Perasaan Hanafi ketika itu semacam berada seorang diri di Pulau yang jauh dari semua orang. Terasing dan sentiasa mendebarkan.

“Awak ikut aje le… jangan banyak soal pulak,” tempelak Cikgu Roslan yang berada di sebelah kiri Cikgu Sabariah. Mukanya nampak  bengis dan memang sesuai dia dilantik sebagaiGuru Disiplin Sekolah. Raut wajah dan bentuk badannya hampir seiras dengan Allahyarham Aktor Salleh Kamil yang selalu Hanafi tonton dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Memang mengecutkan perut. Lantaran itu,kebanyakan murid menggelarkannya Cikgu Salleh Kamil. Cuma di belakangnya sahaja. Dia selalu meronda sekeliling bangunan sekolah dengan memegang sebatang rotan sepanjang 60 cm di tangan kanannya.

“Dan awak Nadia, ikut sama,” arah Cikgu Roslan sambil memusingkan badannya ke arah Nadia yang hanya membisu. Mukanya nampak sedikit pucat.

Ketika Hanafi mengatur langkahnya di belakang Cikgu Roslan, sempat dia menoleh ke arah Razak yang sudah berada di bangkunya dalam kelas. Razak mengangkat dagu dan kening, Hanafi membalas dengan mengangkat kedua-dua bahunya.

Hanafi dan Nadia mengikut Cikgu Roslan sehingga ke Bilik Guru. Mereka kemudiannya dibawa berjumpa dengan guru besar.

“Haaa… Cikgu Roslan, macam mana dah jumpa?” sapa guru besar sebaik sahaja Cikgu Roslan menolak daun pintu biliknya.

“Dah Cikgu Omar, ni ha…” balas Cikgu Roslan sambil menyuakan tangan kanannya ke hadapan.

Di tapak tangannya kelihatan sepasang anting-anting berwarna kekuning-kuningan.

“Jumpa di mana?” suara guru besar sebaik sahaja anting-anting itu berada di dalam tangan kanannya.

“Kami jumpa benda ni dalam beg sekolah Hanafi…” beritahu Cikgu Roslan sambil berpusing dan memandang tepat ke muka Hanafi yang berdiri di belakangnya.

Kata-kata Cikgu Roslan itu cukup mengigilkan seluruh tubuh Hanafi. Liang-liang romanya mula merembes keluar peluh dan mula membasahi tubuhnya. Bebola matanya memandang ke muka  Cikgu Roslan yang sedang memberi penerangan kepada guru besar itu. Kini, baru dia tahu sebab-sebab dia diminta mengikut Cikgu Roslan dan bertemu dengan Guru Besar.

“Hanafi! macam mana anting-anting ni boleh berada dalam beg sekolah kamu?” soal guru besar kemudiannya.

Hanafi tergamam, jantungnya bagaikan hendak luruh apabila mendengar suara tegas guru besar itu. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia melangkah masuk ke Bilik Guru Besar. Dirinya dirasakan terlalu kerdil.

“Sss… saya tak tahu guru besar, ttt… tapi saya tak ambil… ssssumpah…”Hanafi cuba bersuara walaupun hanya kedengaran di halkumnya sahaja.

“Kalau kamu tak ambil, macam mana benda ni boleh dijumpai dalam beg kamu?” ujar Cikgu Roslan pula.

Hanafi berusaha untuk menenangkan dirinya, di dalam hatinya mula berbisik, ‘kenapa aku nak takut,aku tak salah. Lagipun mana pernah aku lihat anting-anting itu, inikan pulak nak mencurinya.’

“Haaa… Hanafi, awak curi anting-anting Nadia?” pertanyaan guru besar itu bagaikan sebutir peluru hidup yang menembusi jantung Hanafi. Tubuhnya seakan-akan mahu tumbang dan terkulai ke lantai.

“Demi Allah, saya tak tahu cikgu, guru besar,” air jernih mula membasahi kedua-dua kelopak matanya. Hatinya terasa amat pilu, perkataan “curi”yang diajukan kepadanya itu sangat meruntun jiwanya. Hatinya bagai dirobek-robek, dia sedar kemiskinan keluarganya. Namun, dia tidak pernah mencuri. Dia rela berlapar. Dia rela berkasut koyak. Dia rela memakai baju sekolah yang sudah koyak di kolar. Dia rela memakai seluar yang sudah bedah jahit dan koyak di kedua-dua poketnya. Dia rela membawa beg sekolah yang sudah rabak. Sepasang setokin yang sudah berlubang di tumitnya. Dia reda. Kerana dia tahu, itulah kemampuan kedua-dua orang tuanya.

“Hah! kamu Nadia, kenapa bawa benda ni ke sekolah? kamu tahu tak, ia melanggar peraturan sekolah?” marah guru besar sambil mengalihkan pandangannya ke arah Nadia yang masih berdiri kaku di sebelah kanan Hanafi.

Nadia hanya mengangguk-ngangguk, kedua-dua matanya mula berkaca.

“Macam ni la, cikgu akan siasat perkara ni betul-betul,” sampuk guru besar lagi. Tubuh gempalnya masih melekat di kerusi yang menghadap timbunan fail kulit keras di atas meja yang berada di hadapannya.

“Tapi ingat! kalau kamu didapati benar mengambil benda ni, Hanafi… kamu akan dikenakan tindakan disiplin,” ujar guru besar, memberi amaran.

“Silap-silap haribulan, akan jadi kes polis ni,” sampuk Cikgu Roslan yang juga masih duduk  di hadapan guru besar.

“Kamu Nadia, cikgu beri amaran terakhir, jika kamu bawa barang kemas ke sekolah lagi… cikgu rampas,” omel guru besar pula.

“Nah! ambil ni, ingat pesan guru besar tu,” Cikgu Roslan menghulurkan anting-anting itu kepada Nadia.

“Kamu berdua boleh balik ke kelas, tapi ingat… perkara ni dalam perhatian dan masih dalam siasatan sekolah,” sela guru besar dengan nada yang agak keras.

“Baik guru besar, terima kasih guru besar, cikgu…” balas Hanafi dan Nadia sambil membongkok sedikit tubuh.

Nadia cepat-cepat melangkah ke kelas tetapi Hanafi memperlahankan langkahnya. Benaknya mula memberontak dan memprotes.

“Aku bukan pencuri, tapi mengapa benda tu boleh dijumpai dalam begaku?”

“Siapa yang mahu aniaya aku?”

Perasaan Hanafi menjadi semakin keliru. Seingatnya, dia tidak pernah menyakitkan hati sesiapa. Jadi masakan ada yang berdendam dengannya. Namun jauh di sudut hatinya, dia pasrah. Setiap perkara ada hikmatnya. Itu kata-kata keramat ayahnya. Kalau kita tidak buat salah, kenapa kita perlu takut? Dia ingat pesan maknya. Ingat sampai bila-bila. Ketika dia sampai betul-betul di hadapan kelasnya, hanya Razak yang setia menanti. Semua murid lain telah pulang ke rumah masing-masing.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan