Home Novel Fantasi Sayap Berlian (Sudah Terbit)
Sayap Berlian (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/10/2023 10:36:44
7,538
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 2

MELALUI sistem navigasi yang terpapar pada skrin di pusat kawalan di hadapannya, pulau yang menjadi pusat destinasi mereka masih jauh. Lebih kurang 80 kilometer dari Jeti Lang Paradise. Tengku Jalil menetapkan sistem pemanduan automatik pada kadar kelajuan 11 knot sebelum dia keluar dari wheelhouse.

Tengku Annas yang mendengar derap kaki adiknya, membuka kelopak mata. Tengku Jalil sudah pun berada di luar. Dia mengekori jejak Tengku Jalil di atas dek. Tangannya menghulurkan tin minuman yang baru dibuka kepada Tengku Jalil yang berdiri di sebelahnya, menghadap laut biru yang bagaikan dunia tanpa sempadan. Luas sejauh mata memandang. Yang ada cuma dia, Tengku Jalil dan Diamond Tsubasa.

"Kau tak takut mabuk laut ke keluar ni?"

"Tak ada apa-apalah. Dah okey," jawab Tengku Annas berserta senyuman.

"Cepatnya." Kepala didongak memandang abangnya yang sedikit lebih tinggi berbanding dirinya.

"Mestilah." Sebelah keningnya terangkat penuh yakin.

Dia pelik melihat Tengku Annas yang ceria. Wajahnya yang pucat bagaikan mayat tadi sudah kembali segar memerah. Pemuda itu menunjukkan Kompas Baiduri di tapak tangannya.

"Kompas antik ni lagi? Takkan benda macam ni buat mabuk laut kau hilang?"

"Tak. Cuma Kompas Baiduri ni bantu aku bertenang dan kembali fokus."

"That's all?" Tengku Jalil mengecilkan mata melirik Tengku Annas, curiga. Takkan semudah itu saja.

"Yalah. Kau ingat ni apa? Kompas magik?" Kata-katanya disulami tawa dan gelengan kecil. "Barang ni peninggalan ayah. Bila genggam kompas ni, buat aku tenang. Rasa macam ayah bagi semangat dari jauh."

Tengku Jalil tertawa sinis sambil melontarkan pandangan ke laut yang luas.

"Pandai kau berlakon gunakan nama 'ayah'." Suaranya perlahan tenggelam timbul bergaul dengan angin laut yang kuat.

"Sorry, apa kau cakap? Tak dengar." Tengku Annas berkerut dahi tidak jelas.

"Boleh aku tengok?" Tengku Jalil segera mengubah topik.

Anak matanya melirik ke arah kompas di tangan Tengku Annas. Warna putihnya lusuh dan ada ukiran dua sayap pada permukaan luar kompas yang sangat halus seninya. Yang baru cuma rantai perak yang diganti Tengku Annas beberapa bulan lepas. Jika diperhatikan dengan teliti, baru Tengku Jalil sedar yang bentuk sepasang sayap pada permukaan kompas itu sama dengan simbol sayap pada Diamond Tsubasa yang terpahat di tubuh kapal layarnya. Tidak hairanlah jika perekanya orang yang sama, iaitu ayah mereka, Tengku Badri. Nama Diamond Tsubasa itu sendiri bermaksud Sayap Berlian jika diterjemahkan. Tsubasa ialah perkataan berasal daripada Bahasa Jepun memandangkan rekaan serta teknologi pembuatannya berasal dari negara itu.

"Ambillah. Jaga elok-elok. Aku masuk dalam kejap." Tengku Annas tanpa teragak-agak menyerahkan Kompas Baiduri ke tapak tangan Tengku Jalil sebelum berlalu pergi.

Tengku Jalil hanya memerhatikan pemuda itu beredar kembali ke wheelhouse. Tengku Annas menyerahkan barang kesayangannya tanpa waswas. Dia sangat mempercayai Tengku Jalil. Bermakna rancangannya tidak boleh gagal.

***

KAPAL terasa beroleng-oleng. Tengku Jalil segera menapak ke ruang kokpit dan memeriksa sistem navigasi untuk mengetahui kedudukan kapalnya sekarang. Kurang dari 40 km kapal itu akan sampai ke titik destinasi di Pulau Jarak. Ini bermakna perjalanan akan mengambil masa lebih kurang dua jam lagi. Itu pun bergantung kepada keadaan cuaca.

Bunyi angin yang memukul cermin tingkap mengalihkan perhatian Tengku Jalil ke luar. Ada sesuatu yang aneh di luar kapal. Langit gelap bagaikan menghampiri waktu malam. Awan kelabu dalam satu gumpalan gergasi di atas langit. Laut yang tadinya begitu tenang tiba-tiba berubah ganas. Geloranya bagaikan segerombolan manusia yang dirasuk kejahatan sang iblis.

Wajahnya berkerut keraguan. Matanya meliar mencari kelibat Tengku Annas yang tiada di sekitarnya. Hatinya berasa tidak enak lantas tangan kirinya segera menarik laci di bawah tempat duduk dan mengeluarkan pistol yang tersimpan rapi dalam balutan kain hitam. Peluru diperiksa sebelum picu ditarik. Langkah kakinya bergegas keluar ke ruang dek belakang mencari Tengku Annas.

Tengku Annas memusingkan kaki sebaik sahaja mengesan kehadiran Tengku Jalil di belakangnya. Wajah yang pucat lesi melawan mabuk laut itu terpinga-pinga melihat Tengku Jalil datang mengacukan pistol ke arahnya. Malah dia sempat menoleh kerana menyangka ada bahaya yang cuba ditembak oleh Tengku Jalil di belakangnya. Namun tiada sebarang ancaman melainkan laut yang bergelora dengan cuaca yang gelap bagai hendak menuju ke waktu malam.

"Ku Lil?" Dadanya berdebar melihat perubahan sikap adiknya. Perlahan-lahan langkahnya mengundur ke belakang selari dengan langkah kaki Tengku Jalil yang berjalan menghampirinya dengan pistol yang diacu ke hadapan.

Matanya tajam penuh dendam. Tiada sekelumit keraguan tatkala dia mengacukan pistol ke arah abangnya. Tengku Jalil sudah bersedia untuk melepaskan tembakan sedangkan Tengku Annas masih keliru dan cemas dengan perubahan sikap adiknya yang mendadak.

Tiba-tiba ledakan guruh di langit menggegarkan alam. Bahu Tengku Jalil terangkat kerana refleksi terkejut. Serta merta tangan kirinya menghadang wajah, seolah-olah melindungi diri daripada serangan musuh di langit. Tangan kanannya menggigil tetapi tetap tegar membidik ke arah Tengku Annas.

Tengku Annas mengangkat kepala memandang langit hitam. Hujan mulai turun.

Bang!

Tembakan ke langit dilepaskan seolah-olah memberi amaran pada alam agar tidak mencabar keberaniannya. Selain itu dia mahu Tengku Annas sedar yang dia bukan bergurau.

"Bertenang, Ku Lil. Siapa yang paksa kau? Beritahu aku." Tengku Annas cuba menenangkan Tengku Jalil yang bagai kerasukan semangat jahat.

Melihat sebelah tangan kiri Tengku Jalil memaut tangan kanan yang menggigil ketika mengawal picu pistol, jelas sekali Tengku Jalil sedang melawan ketakutan dalam dirinya. Namun keazamannya tinggi untuk membalas dendam.

"Kau yang paksa aku, Annas. Kita dah boleh berhenti berpura-pura. Aku tahu rahsia yang kau simpan selama ni."

"Rahsia? Rahsia apa ni?"

Tengku Jalil mengeluarkan hujung mata panah dari dalam jaketnya. Dilempar ke kaki Tengku Annas.

"Kau kenal tu kan?"

Tengku Annas mengutip serpihan anak panah itu. Tangannya menggigil menyentuh hujung mata panah yang tajam itu. Anak matanya bergerak-gerak membelek setiap inci senjata itu. Nafasnya tiba-tiba turun naik tidak keruan seolah-olah melihat tragedi di sebalik anak panah itu. Sebelah tangannya memegang kepala. Memori yang kabur mengganggu ruang fikiran. Sebuah rahsia yang cuba dipadam perlahan-lahan menerjah minda.

"Mana kau dapat anak panah ni?" Suaranya bergetar. Matanya dipicing barang sejenak sebelum bertentang dengan mata Tengku Jalil yang galak berapi penuh kesumat.

Tengku Jalil menyeringai. Melihat reaksi abangnya yang gementar apabila ditunjukkan bukti pembunuhan ayah mereka, mengukuhkan lagi tuduhannya terhadap Tengku Annas.

"Kenapa? Kau takut apa, Annas?" Setapak demi setapak dia melangkah menghampiri Tengku Annas dengan pistol yang ditala ke kepala abangnya.

"Aku tanya mana kau jumpa benda ni?" Suaranya ditekan menegaskan soalannya dengan serius. Tengku Annas semakin cemas kerana rahsianya sudah terbongkar.

"Sepuluh tahun aku mencari jawapan tentang kehilangan ayah. Rupa-rupanya memang benar kau yang bunuh ayah kita selama ni, Annas. Macam mana kau lenyapkan ayah tanpa meninggalkan bukti, begitu juga aku akan lakukan pada kau hari ini."

"Jangan, Ku Lil. Kau akan menyesal nanti."

"Good bye, brother."

Tanpa disedari hujan ribut yang sedang melanda ketika itu bukan cuaca normal yang diramal kaji cuaca. Tiba-tiba anak mata Tengku Jalil terbeliak menyaksikan sesuatu di hadapannya. Badai besar setinggi gunung bagaikan raksasa bersedia menerkam mangsanya. Ia muncul dengan satu tujuan untuk menelan seluruh isi Diamond Tsubasa. Ternyata ada kuasa yang lebih besar membantu untuk mematahkan niat jahat Tengku Jalil.

Keadaan cemas itu berlaku dalam sekelip mata sewaktu Tengku Jalil melepaskan tembakan. Dia tidak sempat mengelak. Tubuhnya terpelanting akibat pukulan gelora yang menyerang secara mengejut. Keadaan kapal yang tidak stabil menyebabkan dia gagal berpaut pada apa-apa yang ada di sekitarnya. Segalanya menjadi gelap gelita dalam sekelip mata.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.