“PENGAWAL
sedang leka, ayuh!” bisik Cindai Ungu kepada Budak Tiada Wajah.
Dengan
tangkas, mereka memanjat tembok istana dan lari bersembunyi di
sebalik rumpun keladi berdekatan kolam di taman larangan. Budak Tiada
Wajah menyelak rumpun keladi itu untuk meninjau keadaan di seberang
kolam.
“Bila
agaknya tuan permaisuri bersiram?” seloroh Budak Tiada Wajah.
“Belum
puas lagi?” Cindai Ungu mencubit belakang Budak Tiada Wajah.
“Janganlah bermain-main, nanti susah kalau
kita tertangkap!”
“Ada
pengawal berhampiran jendela kamar sultan,” bisik Budak Tiada Wajah
ke telinga Cindai Ungu. Dia menjadi resah kerana kamar sultan yang
menjadi sasaran mereka sedang dikawal.
Cindai
Ungu mengambil sebiji batu dan dilontarnya pada tembok istana yang
agak jauh. Bunyi batu itu agak kuat apabila mengenai tembok itu
sebelum pecah berderai.
Bunyi
bising itu menarik perhatian pengawal. Segera pengawal itu
meninggalkan tempatnya untuk memeriksa. Pasangan penceroboh itu
segera mengambil kesempatan menyusup di celah rumpun-rumpun bunga
hingga tiba di bawah jendela
kamar sultan. Cindai Ungu mencabut sebatang cucuk sanggul di bawah
selendangnya dan menyerahkan kepada Budak Tiada Wajah untuk dijadikan
pengumpil selak jendela kamar itu.
“Lekas
kanda!” Cindai Ungu menggesa, cemas kerana terdengar derapan tapak
kaki pengawal tadi sedang menghampiri.
Akhirnya,
sebelah daun jendela itu terangkat sedikit dan terbuka. Segera Budak
Tiada Wajah melompat masuk ke dalam kamar itu dan menghulurkan tangan
menarik Cindai Ungu ke dalam, lalu segera menutupnya kembali.
Pengawal
itu pantas berlari setelah mendengar bunyi aneh di jendela kamar
sultan. Tetapi setelah tiba, tiada apa dapat dilihatnya. Semuanya
seperti biasa.
“Apa
yang tak kena dengan hamba hari ini? Tadi ada bunyi di tembok sana,
hamba telah periksa, tiada apa-apa. Selepas itu, di sini pula, juga
tiada apa-apa...” keluh pengawal itu kehairanan sambil
menepuk-nepuk sisi kepalanya. “Jangan-jangan, benar kata
dayang-dayang.”
***
“INDAH
benar kamar sultan!” puji Budak Tiada Wajah sambil berpusing
memandang sekeliling. “Lebih indah lagi apabila permaisurinya ada
bersama.” Dihulurkan tangannya lalu disambut oleh Cindai Ungu.
Mereka
berdua saling menatap, berbicara dari hati ke hati yang disampaikan
melalui pandangan mata, hanyut dalam cinta kasih sayang. Budak Tiada
Wajah mengucup mesra ubun-ubun Cindai Ungu dan menanggalkan hijabnya.
Terserlah kejelitaan dan keayuan wajah Cindai Ungu. Senyumannya amat
menawan meruntun jiwa. Biarpun lagaknya srikandi perkasa, namun
senyuman dan kerdipan matanya itu memberikan rasa tenang dan
menggambarkan kelembutan dan kemurahan hatinya.
“Agak-agaknya,
apa tindakan sultan dan tuan permaisuri andai
baginda berdua tahu kita memadu kasih di dalam kamarnya?”
“Entahlah.
Tukar persalinan dahulu,” ujar Cindai Ungu tersipu-sipu malu.
***
“AMPUN,
tuanku!” sembah pembesar-pembesar istana apabila sultan mereka,
Sultan Amiladdin Sakri Dasyaria, pemerintah tertinggi Kerajaan
Dasyuria dan Permaisuri Cendana Sri Kirsya, yang dikasihi seluruh
rakyat jelata berangkat masuk ke balairung seri.
“Siapa
yang meletakkan pengawal di luar kamar beta? Kamukah Datuk Salihan?”
soal Sultan Amiladdin setelah duduk bersemayam di atas singgahsana
bersama-sama permaisuri tercinta.
“Benar
tuanku.” Datuk Salihan yang memegang jawatan Pengurus Istana
mengangkat sembah.
“Mengapa
datuk berbuat demikian? Sebelum ini, kan tiada pengawal di sana?”
“Hamba
selalu sangat menerima aduan daripada dayang-dayang. Kononnya, mereka
selalu ternampak bayang-bayang lembaga yang terhendap-hendap,
kadang-kadang berlari kemudian hilang di luar kamar tuanku.
Bayang-bayang itu kata mereka adakalanya satu, di lain masa ada dua
pula tuanku. Ampun, tuanku!”
Permaisuri
Cendana mencuit-cuit paha Sultan Amiladdin. Baginda berdua saling
menjeling. Bibir pasangan diraja itu bergerak-gerak menahan senyum.
“Mungkin
cuma roh nenek moyang datang melihat keturunannya sahaja.” Baginda
berseloroh. “Alihkan pengawal itu. Tidak perlulah ada kawalan di
luar kamar beta.”
Pembesar
istana saling memandang. Aneh pula sikap sultan kali ini? Setahu
mereka, Sultan Amiladdin penakut. Dia tidak mahu berseorangan. Ke
mana-mana selalunya pasti permaisuri temankan. Mungkin sebab
permaisuri sentiasa di sampingnya dalam kamar peraduan menjadikan
sultan berani.
“Ampun,
tuanku. Bagaimana jika ada gangguan?” Datuk Bendahara menyuarakan
pertanyaan yang terpendam dalam hati semua pembesar.
“Sudah
berapa lama beta menghuni kamar itu, kenapa pula beta perlu takut?
Lagipun, permaisuri sentiasa di sisi beta. Ada manusia di luar kamar,
itu lebih mengganggu!” titah Sultan Amiladdin dengan senyuman.
Sebenarnya,
Sultan tidak mahukan pengawal di belakang kamarnya kerana ia hanya
akan memberi kesulitan kepada mereka berdua. Pergerakan mereka akan
terbatas. Kerana ada rahsia yang mereka simpan. Rahsia yang hanya
pasangan diraja ini sahaja yang mengetahuinya. Rahsia bayang-bayang
itu tidak boleh dibiarkan terbongkar. Kerana baginda berdua adalah
bayang-bayang itu! Mereka adalah Budak Tiada Wajah dan Cindai Ungu!
***
HARI
sudah meningkat petang. Bayu sudah letih berjalan mengikut arah yang
ditunjukkan si pungguk yang tiada kepenatan melompat dari pohon ke
pohon.
Apabila
terjaga dari tidur pagi tadi, Bayu sudah tahu, pasti akan ditemuinya
lagi burung itu. Apabila dijengah kepalanya keluar dari pondok buruk
tempatnya bermalam, terus matanya ternampak si burung pungguk itu di
atas dahan pohon bagaikan menantikannya. Setelah dirinya menunaikan
solat, burung itu datang terbang berlegar-legar di atas kepalanya dan
kemudian hinggap semula di pohon itu.
Apabila
Bayu mendekati, burung itu terbang pula ke pohon lain. Bayu tersenyum
sendiri setelah dia memahami tujuan burung itu. Cuma terkilan paginya
tidak disambut suara merdu yang meruntun hatinya petang semalam.
Dalam
perjalanan, setiap kali Bayu berhenti untuk mencari buah-buahan hutan
untuk mengisi perut, pasti burung itu akan turun hinggap pada bahunya
minta disuapkan. Adakalanya, si pungguk putih itu sendiri yang
terbang mencari buah-buahan dan membawanya pulang untuk Bayu. Dia
gembira kerana burung itu begitu jinak walaupun berasa pelik.
Setahunya, pungguk makan haiwan kecil seperti tikus dan serangga!
“Hai,
si pungguk! Jauh lagikah perjalanan kita?” Bayu mengeluh.
Perjalanan begini memang memenatkan. Hutan itu kelihatan sama sahaja
dari mula dia berjalan.
Burung
pungguk itu berbunyi dua kali dan mengepak-ngepakkan sayapnya.
“Hamba
tak faham bahasa burunglah!” jerit Bayu.
Burung
itu terus dengan gelagatnya.
Setelah
seketika kemudian, Bayu terdengar bunyi desiran yang sayup-sayup.
Hembusan udara yang lembab menyapu wajahnya tatkala angin berhembus.
“Ada
sungai! Bolehlah menghilangkan lelah!” Bayu menjerit gembira.
Dia
segera menuju ke arah datangnya bunyi desiran air itu. Tetapi setelah
beberapa langkah, dia berhenti. Ada sesuatu yang didengarnya di
antara bunyi desiran aliran air. Ada suara sayup-sayup mendayu
bersenandung. Pendekar muda itu segera bersembunyi di dalam semak dan
mengintai-intai dari mana datangnya suara. Sungguh indah, sungguh
merdu! Akhirnya, Bayu menjumpainya. Lantas, alunan senandung yang
sesekali tenggelam timbul berlawanan bunyi aliran air terus berubah
kepada alunan syair yang jelas kedengaran.
“Mengalirnya
jauh turun ke muara,
Turun
laksana bulan di riba;
Membawa
kasih di hati sang wira,
Langkahnya
satu belenggu sengsara.
Mencari
takdir yang telah tersurat,
Menggapai-gapai
tidak terlihat;
Teruskan
langkah berpandu firasat,
Keluarlah
tuan bertemu alamat.”
Setelah
terdengar bait-bait syair yang dialunkan, Bayu segera keluar dari
rumpun semak tempat persembunyiannya. Matanya menatap terus gadis
berselendang putih yang duduk bertimpuh di atas hamparan batu,
jari-jemarinya bermain air yang mengalir deras di anak sungai yang
jernih. Ayu dan lembut sinar wajahnya. Dia seakan-akan terpukau
melihat kecantikan yang diberikan ALLAH kepada sang perawan itu.
Perlahan-lahan
gadis itu melirikkan pandangannya pada Bayu yang berdiri terpegun.
Mata bertentang mata. Bayu merasakan jantungnya bagai berhenti
berdegup. Tubuhnya bagaikan mencair apabila gadis itu mengukirkan
senyuman.
Buat
seketika, Bayu terdiam tiada dapat berkata-kata. Namun dalam sepi
bicaranya, dia mengumpul kekuatan untuk melontar suara yang
seakan-akan tersekat di anak tekaknya.
“Tiada
taranya gemilang mentari,
Sinari
jiwa membangkit seri,
Walaupun
hujan turun di hati,
Merdunya
suara empunya diri,
Meruntun
hamba membawa ke mari,
Apakah
tujuan diri dinanti?”
Akhirnya,
Bayu berjaya melontarkan pertanyaan. Sebentar kemudian, dia seperti
tersentak dan menggaru-garu kepalanya. ‘Hamba berpantun? Bagaimana
hamba berpantun? Sejak bila hamba pandai berpantun? Enam kerat pula
tu!’
Sang
perawan tertawa kecil. Lantas, dia berdiri dan mendepakan tangan.
Matanya yang bundar merenung pada Bayu. Pertanyaan pendekar muda itu
dibalas dalam madah pantun juga.
“Merah
garis jangan jauhi,
Bukan
darah dendam dan geram,
Akibat
pincang cintanya suri,
Takdir
tertulis kehendak ILAHI,
Keris
sebilah membawa suram,
Akan
menggoncang banyak negeri.”
‘Keris
sebilah membawa suram? Dimaksudkannya Takluk Jagat? Mengapa keris itu
begitu dikhuatiri? Dia seperti ingin menghulur tangan membantu,’
fikir Bayu. Matanya terus merenung gadis di hadapannya tanpa
berkelip.
“Siapakah
nama tuan pendekar? Kerana Indera Bumi tidak dapat berkata-kata,”
soal si gadis penuh tertib.
“Hamba,
Bayu Adi Jata. Assalamualaikum. Bagaimana tuan puteri tahu hamba
membawa Indera Bumi?” Bayu inginkan kepastian.
“Waalaikumussalam.”
Gadis menunduk. “Kami dapat merasakannya sebagaimana dengan
pasangannya,” jawab gadis itu.
“Kami?”
Bayu segera meninjau sekeliling. Tetapi, dia tidak nampak sesiapa
selain si gadis. Mungkinkah gadis itu maksudkan si burung pungguk?
“Ayuh,
marilah ke seberang. Mereka sedang menantikan kehadiran kita.”
Lalu, gadis itu menyusun langkah meniti batu untuk ke seberang
sungai.
“Nanti!
Mereka? Siapa mereka? Tuan puteri pun belum beritahu nama tuan puteri
kepada hamba!”
Gadis
itu berhenti dan menoleh. “Hamba Ariasha Cinta Castra. Awas! Jangan
dijejaki antara gigi air.” Amaran gadis itu membuatkan langkah Bayu
tergantung. Nyaris dipijaknya tempat itu.
“Kenapa
tuan puteri Ariasha? Batu-batunya tajamkah? Hamba ada memakai capal.”
“Setiap
sempadan ada pengawal yang menunggunya. Antara hutan dan kampung, ada
penunggunya. Sempadan antara negeri ada pengawalnya. Begitu juga
darat dan air. Langkahlah terus ke dalam air. Jangan di antaranya.
Dengan lafaz bismillah, mohon perlindungan-NYA dan... mengapa tuan
pendekar menggelar hamba tuan puteri?”
“Err...
cantik... layaknya seorang puteri.” Bayu tersenyum dan
wajahnya kemerah-merahan. Dia melangkah mengikut arahan Ariasha yang
berada di hadapan, menunjukkan jalan dengan senyuman. Si pungguk pula
terbang menuruti mereka dari belakang dan kemudiannya, memintas lalu
hilang dalam kepekatan hutan.
Ariasha
tiba-tiba berhenti dan berpusing menghadap Bayu. “Selamat datang ke
perkampungan hamba,” ucapnya.
“Perkampungan?
Perkampungan apa?” Bayu kehairanan. Tercengang-cengang
dia memerhatikan sekeliling. Yang ada cuma hutan tebal di
sekitar.
“Ini...”
Ariasha masih dengan senyumannya yang senantiasa manis.
Suasana
persekitaran mula berubah. Rimba itu kelihatan beriak dan
bergoyang-goyang bayangan yang terpantul di permukaan air. “Ayuh!”
Gadis itu mengajaknya dan berjalan terus, lalu tiba-tiba hilang
begitu sahaja.
Bayu
terlopong dan tidak berganjak. Dia lebih terperanjat apabila hanya
tangan gadis itu tiba-tiba muncul di tempat dia menghilangkan diri
tadi dan melambai-lambai kepadanya. “Ayuh, jangan khuatir!” ajak
Ariasha.
Bayu
melihat ‘gambaran rimba’ di hadapannya seperti berombak-ombak
mengikut pergerakan tangan itu. Dengan membaca pelbagai doa yang
sempat diingatnya di dalam hati, Bayu memberanikan diri melangkah.
Bayu
terpegun dengan perubahan persekitaran yang mendadak. Dia kini berada
di muka gerbang yang besar. Di sebaliknya, ada sebuah perkampungan.
Rumah-rumahnya besar dan cantik. Pohon-pohon bunga mekar pelbagai
warna dan pokok buah-buahan merata-rata. Seumpama perkampungan di
dalam taman, dan taman di dalam dusun. Terdapat beberapa orang di
situ yang memerhati,
bagaikan menanti kedatangannya. Dia menoleh ke belakang, rimba itu
tetap sama seperti sebelum kakinya melangkah melintasi gambaran rimba
yang beriak itu tadi.
“Selamat
datang ke Kampung Kaswana, wahai Pendekar Bayu Adi Jata, pewaris baru
Takluk Jagat dan Indera Bumi.” Seorang lelaki yang agak berumur
menyapa. “Hamba, Madisar Duli Castra, ketua di sini.” Lelaki itu
datang menghulurkan tangan dan Bayu yang ibarat rusa masuk kampung
menyambutnya.
“Jadi,
tuan adalah...”
“Benar!
Hamba ayahandanya.” Lelaki itu segera memintas.
Beberapa
orang yang lain turut menghulurkan tangan bersalaman dengan tetamu
mereka itu. Pakaian mereka seakan-akan sama sahaja. Berbaju labuh
lengan panjang dengan berbutang dari leher cekak musang hingga ke
kaki baju; bersama celana sama padan dengan warna baju. Yang
membezakan cuma warna dan barang perhiasan yang dipakai. Juga
tengkolok yang terletak elok di kepala.
“Benar,
hamba seorang puteri kerana ayahanda hamba raja, raja kaum Bunian.”
“Bunian?”
Bicara yang terlontar daripada bibir si gadis benar-benar mengejutkan
Bayu. Dia langsung tidak menyangka dapat menjejakkan kaki ke alam
Bunian.
Datuknya
dahulu pernah bercerita, hanya insan yang dipilih oleh kaum itu
sahaja dapat memasuki alam mereka. Kata datuk, kaum Bunian berilmu
tinggi dan luas pengetahuan.
“Maaf,
hamba tidak tahu adab istana. Apa yang hamba perlu lakukan?” Bayu
mula menggelabah. Dia teringat datuknya pernah memberitahu, ada adab
tertentu jika berbicara dengan yang berdarah raja.
Tetapi,
dia tidak ambil endah ketika datuknya mengajar tentang hal itu. Tidak
terlintas langsung di fikirannya akan bertemu dengan seorang raja
kerana sangkanya hidup yang cuma di dalam hutan, pasti hingga
akhirnya di situ! Kini, dia mula terasa sesal kerana tidak
mempedulikan ilmu yang diajar.
“Anakanda
tak perlu khuatir. Kerabat diraja Bunian tak perlu adab-adab istana
seperti raja-raja manusia luar. Bagi kami, tidak perlulah
mengagung-agungkan keturunan yang sama asalnya daripada tanah kecuali
para nabi dan rasul ALLAH. Cukuplah sekadar jujur hormat kepada yang
memimpin.”
Senang
hati Bayu mendengar penjelasan Raja Madisar. Panggilan ‘anakanda’
membuatkan Bayu terasa begitu dekat dengannya, biarpun baru ketemu.
Lalu,
Bayu diajak ke istana. Di kiri kanannya, reka bentuk rumah-rumah di
situ mempersonakan. Cantik, amat berbeza dengan rumah-rumah orang
kampung yang biasa dilihatnya. Atap rumah kehijauan bagai disusun
kepingan-kepingan daun hutan yang segar. Ukiran-ukiran bunga dan
tumbuhan disulami ayat-ayat kitabullah menghiasi tebar layar,
perabung, cucur atap, dinding dan pintu rumah-rumah itu. Sehinggakan
anak-anak tangganya juga terukir indah. Ukiran-ukiran itu walaupun
kelihatan aneh, tetapi seolah-olah pernah dilihatnya. Tentu ia ukiran
pada Indera Bumi!
Dalam
perjalanannya, ramai penduduk kampung itu datang mendekatinya dan
bersalaman. Yang perempuan pula melambai-lambai menyapa dari jendela
atau pintu rumah. Bayu terharu dengan keramahan kaum Bunian. Dia mula
meragui cerita-cerita orang tentang Bunian yang tidak sukakan manusia
luar dan suka mengganggu dan menyesatkan mereka di dalam hutan.
Mungkin
orang itu sendiri yang melakukan kesalahan dan membuat sumbang di
dalam hutan. Akhirnya, menyalahkan makhluk yang tidak mereka fahami
apabila terjadi sesuatu. Namun, hatinya tetap dicengkam kehairanan.
Mengapa mereka menyambutnya dengan begini mesra, malah terlalu mesra?
Dalam pada itu, matanya tertarik pada sebuah bangunan besar yang
begitu indah tidak jauh di hadapannya. Disangkakannya itulah istana
raja.
“Itu
masjid kampung ini. Rasanya lebih elok memuliakan rumah ALLAH dari
rumah hamba-NYA,” ujar Raja Madisar.
Rupa-rupanya,
istana raja bersebelahan dengan masjid Bunian itu. Lebih kecil dari
masjid itu tetapi agak besar berbanding rumah-rumah lain.
Ukiran-ukirannya juga tampak lain.
Sampai
di kaki tangga istana raja Bunian, Raja Madisar terlebih dahulu
mengambil gayung dan menceduk air dari tempayan sebelah kaki tangga.
Dibasuh kakinya sendiri terlebih dahulu sebelum menjirus kaki Bayu.
Tersipu-sipu Bayu kerana segan dengan kerendahan diri raja Bunian.
“Anakanda
Pendekar Bayu, mengapa kita perlu mencuci kaki sebelum naik ke
rumah?” Tiba-tiba Raja Madisar bertanya soalan yang tidak disangka.
Bayu
terdiam merenung Raja Madisar. “Mencuci kaki supaya tidak mengotori
lantai rumah di dalam?” Dengan waswas, dia menjawab. Dia tidak
mengerti. Sepatutnya, semua orang tahu tujuan mencuci kaki sebelum
naik rumah.
“Itu
benar. Tetapi, sebagai daripada rumpun Melayu Islam, cukupkah setakat
itu saja? Batok dan tempayan di kaki tangga ini, apakah cuma alat?
Tidak lebih daripada itu?” Sekali lagi, Raja Madisar menanyakan
soalan yang mengelirukan Bayu.
“Tempayan
dan batok, boleh digunakan untuk mandi!” pantas Bayu menjawab.
Belakang kepalanya digaru-garu. Walaupun dia tahu jawapannya itu
betul, tetapi dirinya tidak pasti adakah itu jawapan yang dimahukan
Raja Madisar. Dia segera tahu bukan jawapan itu yang mahu didengar
Raja Madisar tatkala terpandang Puteri Ariasha menutup mulut menahan
tawa.
“Benar
kita boleh mandi bersihkan diri dengannya.” Raja Madisar tertawa
dan menepuk-nepuk bahu Bayu. “Anakanda pendekar Bayu Adi Jata,
batok, tempayan dan air, ada maknanya dalam dunia bangsa kita. Malah,
setiap benda yang wujud di dunia ini ada makna yang tersembunyi. Jika
diteliti akan membawa maksud yang mendekatkan diri kita kepada Yang
Maha Pencipta.”
“Semua
benda?” Bayu terlopong mendengar kata-kata Raja Madisar.
“Semua.
Tempayan dilambangkan sebagai perbendaharaan tersembunyi ataupun
hakikat. Air di dalamnya adalah ilmu amalan yang datangnya daripada
alam hakikat yang boleh mendekatkan diri kita kepada yang Maha Esa.
Batok pula melambangkan pencari ilmu amalan yakni tuan rumah itu
sendiri ataupun tetamunya. Jadi mencuci kaki dengan air melambangkan
amal ibadat untuk mencuci kalbu,” terang Raja Madisar dengan
panjang lebar.
Bayu
terpegun kagum. Sudah jelas mengapa datuk mengatakan orang Bunian
berpengetahuan luas.
“Begitulah
jika disatukan pemikiran rumpun Melayu dengan pegangannya. Indah dan
tiada apa yang akan menjadi sia-sia. Semua di sekeliling menunjukkan
bukti kehadiran Yang Maha Pencipta dan usaha kita mendekatkan diri
kepada-Nya.” Raja Madisar tersenyum. “Ayuh, kita naik ke atas!”