Kenangan
Doktor Sarah pulang ke pangsapurinya yang terletak di Deroja. Dalam fikirannnya, dia merancang untuk pulang ke rumah rehatnya yang terletak di luar bandar. Dia bercadang untuk bercuti dan menenangkan fikiran. Dia bersandar di kerusi malas yang terletak bertentangan dengan tingkap cermin ruang tamu rumahnya. Dari situ, dia dapat melihat bukit-bukau yang kelihatan hijau dengan pokok-pokok yang tumbuh di atasnya. Pemandangan seperti ini memang menenangkan dan kerana itulah dia memilih untuk tinggal di situ.
Dia mengurut-urut tangannya dan meregangkan tubuhnya yang terasa lenguh. Regangan itu amat melegakan. Fikirannya mula menerawang. Dia terfikirkan tentang kematian rakannya, Doktor Adam Raufal yang menjadi topik hangat di media massa utama negara pada ketika ini.
Doktor Adam Raufal dan Doktor Fendi adalah rakan karibnya sewaktu mereka belajar di Zuria dahulu. Walaupun Doktor Sarah adalah junior kepada mereka berdua. Apatah lagi mereka berasal dari tempat yang sama. Itu tidak menghalang mereka untuk terus rapat. Doktor Adam bersama-sama Doktor Fendi duduk di rumah sewa yang sama sepanjang tempoh pengajian mereka manakala Doktor Sarah pula lebih selesa tinggal di asrama yang telah disediakan. Mereka bertiga pernah bekerja bersama semasa menuntut bagu mendapatkan duit belanja. Maklum sajalah, dengan kos hidup di sana yang tinggi mereka perlu bekerja untuk menampung pembelajaran dan kelansungan hidup mereka di sana. Mereka pernah bekerja di restoran makanan laut sebagai pelayan, menjaga kaunter tiket di pawagam dan menjadi pencuci lantai di pusat sukan. Jika diikutkan, Doktor Sarah dan Doktor Fendi tidak perlu bekerja kerana mereka mendapat tajaan yang agak tinggi semasa mereka belajar di sana. Namun, apalah salahnya jika mereka bekerja. Sekurang-kurangnya, mereka menimba pengalaman daripada kerja yang mereka lakukan. Kenangan itu masih tersemat di dalam kotak fikirannya.
Dia masih ingat lagi sewaktu mereka bersiar-siar di taman. Ketika itu, musim luruh. Masing-masing bercakap mengenai rancangan masa depan mereka. Ketika itu Doktor Adam dan Doktor Fendi berada di tahun akhir pengajian mereka.
"Adam apa rancangan kau lepas ni?" tanya Sarah.
"Rancangan apa?"
"Alah kau ni. Bukankah kamu berdua akan menamatkan pembelajaran tidak lama lagi. Kau tak ada apa-apa rancangan ke lepas graduasi nanti?"
"Oh….aku akan terus bekerja selepas ni."
"Kau akan pulang ke negara dan bekerja di Pasadianka?" tanya Fendi pula .
"Tidak. Di sini. Aku ingin bekerja selama lima tahun di sini. Kemudian, barulah aku pulang"
"Keluarga kau tak kisah?"
"Tak. Mereka menyokong apa saja yang ingin aku lakukan. Asalkan ianya baik untuk aku"
"Shima tak kisah ke?" tiba-tiba Sarah menyebut nama yang membuatkan Adam tersipu-sipu.
"Shima. Kenapa dengan Shima?" Adam tersenyum apabila nama itu disebut.
"Alah…nak berteka-teki pula. Kau dengan Shima kan dah lama bercinta. Takkanlah dia tak tahu rancangan kau ni…" Fendi cuba mengusik.
"Aku bergurau je la…Dia pun tak kisah. Mungkin dia akan ikut aku bekerja di sini"
"Dia pun nak bekerja di sini? Ibu bapa dia tak kisah ke?
"Itulah yang aku nak beritahu ni. Kau jangan terkejut pula. Kami… kami akan bernikah sejurus sahaja tamat pengajian" Adam memberitahu Fendi dan Sarah dengan wajah yang merah padam.
"Betul ke? Wah! Wah! Kau dalam senyap-senyap buat rancangan ye… aku yang tinggal satu rumah dengan kau pun tak tahu. Tak patut. Tak patut" Fendi menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Kau ni asyik tanya aku je. Kau pula macam mana. Macam mana dengan Natasya? Takkan kawan je kot…" kini giliran Adam pula bertanya. Dia cuba mengorek rahsi Fendi.
"Natasya. Ish…kau ni, dia tu senior kitalah. Aku anggap dia macam kakak je" Fendi menjawab dengan selamba.
"Alah. Umur bukan penghalang. Nak seribu daya tak nak seribu dalih" Adam tersenyum-senyum.
"Kau ni ada-ada sajalah. Jomlah, hari dah lewat ni. Mari kita balik" kata Fendi. Dia melihat jam tangannya yang dipakai pada sebelah kanan.
"Betul juga tu. Jom kita balik." Ajak Sarah. Itulah kemesraan yang telah wujud sejak dahulu lagi. Mereka begitu rapat sekali dan kadangkala Doktor Sarah merindui masa-masa lalu.
Lamunan Doktor Sarah terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dia mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja ruang tamunya. Sejurus dia memandang ke arah skrin. Nama 'Cammy' terpapar. Dia menekan punat berwarna hijau untuk menerima panggilan itu.
"Helo." Doktor Sarah menjawab.
"Helo. Doktor Sarah jadi ke balik ke rumah rehat malam ni?" suara halus wanita bernama Cammy kedengaran.
"Jadi. Kamu bawa semua barang yang kita perlukan tu ya…"
"Baiklah saya akan bawa. Doktor ada di mana sekarang?"
"Di pangsapuri saya. Kamu pula di mana?"
"Saya ada di Rubberway sekarang ni. Em…tak apalah malam nanti kita jumpa ya"
"Okey baiklah. Bye"
"Bye"
Doktor Sarah mematikan talian. Dia meletakkan kembali telefon bimbitnya. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Dia berasa beruntung kerana mempunyai Cammy. Cammy adalah pembantu peribadi Doktor Sarah yang telah lama bekerja untuknya. Dia telah bekerja dengan Doktor Sarah selama lapan tahun dan antara orang yang sangat rapat dengan Doktor Sarah. Doktor Sarah baginya adalah seperti ibunya sendiri. Bagi Doktor Sarah pula, dia amat menyenangi Cammy kerana dia adalah seorang yang amat rajin bekerja. Dia telah menganggap Cammy seperti anaknya sendiri.
"Fendi! Buka pintu ni Fendi!" tiba-tiba satu suara yang kuat kedengaran dari luar. Suara itu memanggil Doktor Fendi. Doktor Sarah tidak menyahut. Dia cuba mendiamkan dirinya. Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu. Ketika itu juga, suara yang memanggil nama Doktor Fendi semakin kuat kedengaran. Namun, Doktor Sarah tetap tidak mahu mengendahkannya. Dia kini menghampiri pintu rumahnya dan melihat ke dalam lubang hendap yang berada di pintu itu. Dia mahu melihat dengan mata kepalanya sendiri siapa yang tidak henti-henti memanggil nama lelaki itu. Sebaik sahaja matanya melihat menerusi lubang hendap itu, suara itu tiba-tiba hilang. Dia juga mendapati, tiada siapa yang berada di luar. 'Siapa yang memanggil nama Doktor Fendi itu tadi?' soalnya sendirian. Dia tahu, dahulu Doktor Adam juga pernah memberitahunya mengenai gangguan sebegitu rupa. Tapi dia tidak pernah mengendahkannya. Padanya, Doktor Adam sengaja mahu menakut-nakutkannya dan mungkin ia hanya mainan ilusi Doktor Adam sahaja. Pernah juga terdetik dalam hatinya mengatakan yang Doktor Adam sudah menjadi gila akibat tumpuan yang amat-amat tinggi yang diberikannya terhadap kerja.
Kini, dia sendiri mengalaminya dan dia mula faham akan gangguan-gangguan yang diterima oleh Doktor Adam sejak beberapa minggu yang lalu. Dia tahu yang dia perlu mendapatkan perlindungan. Tapi dari siapa? Siapa yang dapat melindunginya? Apa perkara yang terbaik yang harus dilakukan olehnya sekarang? Menamatkan segala kekusutan ini atau pun pergi melarikan diri untuk mencari perlindungan? Apa yang boleh membuatkan segala kekecohan ini berhenti? Marina! Dia mesti pergi mencari Marina. Tetapi dia harus bersedia untuk menghadapi anak kepada Doktor Adam itu kerana bahaya mungkin akan menimpanya jika dia tersilap langkah dan pilihan.