KOLEJ DELTA
Azan Subuh yang bergema dari pembesar suara di surau kolej mengejutkan Haris dari tidur. Entah siapa yang melaungkan azan, suaranya macam anak dara tengah ujibakat rancangan realiti Akademi Fantasia. Walaupun dia sendiri jarang berjemaah di surau, Haris tetap berpendapat jawatankuasa hal ehwal Islam kolej sepatutnya hanya membenarkan mereka yang bersuara jantan saja melaungkan azan. Mana boleh tangkap muat macam itu.
Haris bangun menggeliatkan badan. Dia membuka lampu bilik. Tangannya menghala ke arah jam loceng di atas meja tulis. Fungsi penggera dimatikan. Kain pelikat yang dipakainya ditanggalkan dan digantikan dengan tuala yang agak kusam. Dengan mata yang separuh terbuka, Haris melangkah malas menuju ke bilik air. Mujur juga dia tidak mengalami sebarang mimpi basah. Jika dia mengalami mimpi basah, dia perlu mandi wajib terlebih dahulu. Mandi wajib pada waktu Subuh dengan air paip yang sejuk membeku bukanlah sesuatu yang sangat dirindu. Selesai mengambil air sembahyang,Haris kembali ke biliknya untuk menunaikan sembahyang Subuh dan kemudiannya kembali ke katil untuk menyambung tidur.
Hari ini adalah hari Ahad yang membosankan bagi Haris. Selain daripada membasuh pakaian, mengemas bilik dan mencuci motosikal, dia tak tahu apa lagi yang boleh dilakukannya untuk mengisi masa yang terluang. Bermain CRPG (computer roleplaying game), melayari internet, mendengar muzik metal, membaca komik, semuanya telah Haris lakukan namun kebosanan masih lagi bertandang.
Kalau Razif ada, rasa bosan agak berkurangan kerana Razif seorang yang suka bercerita dan cerita Razif selalunya lucah dan kelakar. Bukan Haris tak ada kawan lain namun mereka semua hanyalah sekadar kawan ajak-ajak ayam.
Haris bukanlah seorang yang pendiam namun dia lebih cenderung kepada seseorang yang mempunyai minat yang sama dengannya. Setakat ini hanya Razif saja yang memenuhi kriteria itu. Dia dan Razif sama-sama minat muzik metal, sama-sama minat cerita zombi, sama-sama minat western food, sama-sama berhenti merokok selepas SPM dan sama-sama tidak ada perhubungan yang serius dengan mana-mana perempuan yang boleh dianggap sebagai teman wanita ataupun girlfriend.
Secara jujur Haris tidak yakin minat Razif terhadap Balqis akan berkekalan kerana setahunya Razif bukanlah jenis manusia yang sukakan komitmen. Cinta yang sejati memerlukan komitmen yang tinggi, pengorbanan, keserasian dan bermacam benda alah lagi. Lagipun usia Balqis baru 17 tahun. Andainya Balqis berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, berapa tahun lagi Razif harus menunggu? Sanggupkah dia? Namun sebagai kawan sejati, Haris sentiasa memberikan sokongan kepada Razif dalam impiannya membina kehidupan bersama Balqis.
Haris kian menyedari hidupnya mempunyai satu ruang lompong yang besar. Ruang lompong yang harus diisi dengan segera. Diisi dengan curahan cinta seorang perempuan. Seorang perempuan yang digelar sebagai kekasih, teman wanita ataupun lebih popular dengan panggilan girlfriend oleh lelaki-lelaki di seluruh dunia.
Haris merasakan kini telah sampai masanya untuk dia mempunyai seorang girlfriend. Ada girlfriend bermakna ada seseorang untuk dia mencurahkan perasaannya secara dalam tabii. Banyak perkara yang ingin dikongsinya dengan bakal girlfriendnya itu, perkara yang tidak dapat dikongsinya dengan Razif kerana Razif seorang lelaki dan dia juga seorang lelaki.
Haris tahu cabaran yang bakal menantinya. Bukan mudah untuk mencari perempuan cantik body seksi yang belum mempunyai steady boyfriend. Dia masih lagi tidak pasti di mana, bagaimana dan bila hendak memulakan pencariannya.
Ketika Haris di tahun pertama, seorang pelajar senior telah mengajar Haris satu cara yang paling mudah untuk mendapatkan girlfriend.
Caranya ialah Haris hanya perlu pergi ke tempat yang menjadi tumpuan ramai perempuan.Sebaik sahaja perempuan yang dia berkenan melintas di hadapan, Haris cuma perlu menudingkan jari kepada perempuan itu dan menggoyangkan kepalanya ke kiri dan ke kanan sambil melafazkan perkataan berikut dengan kuat dan jelas.
Hey! Hey! You! You! Do you have a boyfriend?,
No way! No way! I think you need a new one,
Hey! Hey! You! You! I can be your boyfriend.
(ulang semula bermula dari baris atas)
Walaupun Haris tidak berapa yakin cara itu akan membuahkan hasil, dia sedia mencubanya jika cara lain menemui jalan buntu.
Secara logiknya, pencariannya sepatutnya bermula di dewan kuliah Fakulti Komunikasi.Fakultinya mempunyai bilangan pelajar perempuan yang agak ramai terdiri dari pelbagai saiz dan rupa. Ada yang cantik, sederhana cantik dan tak cantik langsung.
Namun begitu, kesemua mereka tidak menepati citarasa Haris. Ada yang muka cantik tapi body kurus jerangkung. Ada yang body seksi tapi muka jerawat seribu. Jika ada pun yang Haris berkenan, semuanya sudah mempunyai steady boyfriend.
Haris mengambil keputusan untuk memulakan pencariannya di Perpustakaan Utama. Lagipun dia ingin menghabiskan pembacaan artikel dalam The Setar yang terbantut semalam. Haris menukar pakaiannya kepada yang lebih sesuai untuk diperagakan di perpustakaan. T-shirt hitam lambang Iron Maiden, jeans Levi’s hitam dan kasut Converse hitam.
Haris tiba di kawasan parkir Perpustakaan Utama lebih kurang pukul 12 tengahari. Dia memandang sekeliling kawasan parkir. Tiba-tiba pandangannya terhenti. Sebuah motosikal Yamaha Ego Solariz berwarna merah dan bersport rim hitam menarik perhatiannya.
“Hey, macam pernah tengok je motor ni.”
Haris turun dari motosikalnya dan menghampiri motosikal merah itu. Dia cuba mengingat kembali di manakah dia pernah melihatnya.
“Mmm…memang comel scooter ni. Kaler merah, sport rim hitam. Nombor dia KET4322. Ooo…Orang Kedah la ni kot. Eh, ini macam sticker kolej-” Mata Haris pantas mengamati sticker yang memaparkan tulisan DELTA.
“Laa…sama kolej dengan akulah. Tapi selama ni tak pernah nampak pun dekat kolej. Hmm…mungkin aku tak perasan kot. Rasa macam nak berkenal-kenalan pulak dengan tuan dia.” Haris memandang sekeliling namun tiada sesiapa pun yang kelihatan berjalan menuju ke arah tempat dia berdiri.
Haris memasuki ruang legar perpustakaan dan mula memerhati pelajar-pelajar perempuan yang ada di situ. Bilangan yang ada tidak begitu ramai, mungkin kerana hari itu hari Ahad. Setelah tidak berjumpa wajah yang menarik perhatiannya, Haris menuju ke rak suratkhabar. Akhbar The Setar yang dibacanya semalam masih lagi ada di situ.
Haris mencapai akhbar The Setar dan menuju ke tempat duduk yang didudukinya semalam.Dia membelek-belek akhbar itu mencari artikel yang dibacanya semalam. Setelah menemui artikel tersebut, Haris mula membacanya kembali perenggan demi perenggan. Dia terasa seperti mengalami satu deja vu. Tiba di perenggan kelima, Haris menyedari ada seseorang sedang berdiri di belakangnya. Dia lalu menoleh ke belakang.
“Hai Haris. Rajinnya, Hari Ahad pun datang library.” Sapa Elaine Choi, rakan sekelas Haris.
“Takdelah,baca paper je.”
“You sorang ke? Can I join you?”
“Ah-ah, duduklah. Buatlah macam library sendiri.”
“Hehe…thanks.” Elaine duduk berhadapan dengan Haris. Dia meletakkan komputer riba yang baru dikeluarkan daripada beg sandangnya di atas meja dan menghidupkannya.
“Dekat sini Wifi okey. Kat kolej selalu down.”
“You stay dekat kolej Gamma lagi ke, Elaine?”
“Yup.But this sem je. Next sem I ingat nak stay luar.”
“Ooo...dengan siapa? Boyfriend you ke?”
“Aishh, you ni. No lah. Dengan Nisha, May, and two three other girls.”
“Ooo…rumah sewa dah cari?”
“Not yet. But I dah survey dekat PropertyGaga.com, banyak juga yang kosong.”
“Kat mana?”
“Pantai Dalam. Dekat Bangsar pun ada, tapi rental mahal sikit.”
“I pun ingat nak stay luarlah sem depan. Rimaslah duduk kolej. No freedom.”
“Hey, that’s a good news. Bolehlah join we all cari rumah sewa.”
“I on je. You ada my number kan? Call je anytime.”
Sedang Haris rancak berbual dengan Elaine, tiba-tiba perutnya terasa memulas-mulas.
“Eh, apa ke hal perut aku ni? Tetiba je memulas macam semalam. Ishh, tension, tension.”
“Eh,Elaine, I balik kolej dululah. Perut tetiba je meragam.”
“Hah? Food poisoning ke?”
“Entahlah. Okey, see you.”
“Okey,bye.”
Haris meletakkan kembali akhbar The Setar di rak suratkhabar dan merancang untuk menyambung pembacaan artikel itu di lain kali. Haris bergegas keluar dari perpustakaan lalu berjalan dengan pantas ke tempat motosikalnya di parkir. Kelihatan seorang perempuan sedang berdiri di sebelah motosikal bernombor KET 4322 itu.
“Eh, ada pompuan la. Tuan punya scooter kot. Mmm…tengok pada bentuk body macam pernah tengok je. Ooo… baru aku ingat. Kalau tak silap, itu macam pompuan yang main hujan hari tu.” Rasa memulas di perutnya beransur hilang sebaik saja Haris melangkah mendekati perempuan itu.
Perempuan pemilik motosikal itu yang kini berdiri membelakangi Haris kemudian menundukkan badannya seperti ingin mencapai sesuatu di bahagian tayar hadapan motosikalnya.
“Fuuhh… memang sah pompuan yang hari tu.Tengok dari dekat makin terserlah keseksian bodynya.”
Seakan-akan menyedari ada sepasang mata sedang asyik memantau ukuran pinggulnya, pemilik motosikal itu segera berdiri membetulkan postur badannya. Dia memandang Haris sambil membetul-betulkan tudung.
“Assalamualaikum. Ya beda bedu, cutenya awak. Anak mami ke?” Haris cuba berinteraksi dengan pemilik motosikal secara telepati.
“Kenapa? Pancit ke?” Sapa Haris setelah saluran telepatinya tidak ada sambutan.
“Err…encik, encik ada gergaji besi tak?”
“Encik? Tua sangat ke aku ni?” Haris rasat ak puas hati.
“Gergaji besi? Nak buat apa?”
“Ada orang kunci brake disc motor saya dengan mangga. Tak tahu pasal apa.”
Haris meneliti mangga kunci yang dikatakan oleh pemilik motosikal. Dia teringat kepada swiss knife yang diletakkan di dalam compartmen di bawah tempat duduk motosikalnya. Haris lalu segera membuka tempat duduk motosikalnya dan mengambil swiss knife itu.
Dia menilik-nilik dan kemudian menarik keluar sebilah gergaji kecil daripada swiss knife itu. Perempuan pemilik motosikal memerhati gelagat Haris dengan penuh minat. Haris duduk mencangkung di hadapan tayar depan motosikal milik perempuan itu dan mula menggergaji besi mangga tersebut.
“Mangkuk jamban mana punya kerja. Tak pasal-pasal menyusahkan aku. Nasib baik mangga kecik.”
Si pemilik motosikal kelihatan resah memerhati Haris yang mula mengumpul peluh pada dahinya.
“Macam mana encik, boleh ke?”
“Lagi sekali hang panggil aku encik, aku blah.”
“Kalau tak boleh, takpelah. Nanti saya call kawan saya suruh bawak gergaji besi.”
“Takpe, dah nak putus ni.” Haris menggandakan usahanya dan akhirnya besi mangga itu putus. Dalam masa yang sama perutnya kembali memulas-mulas.
Si pemilik motosikal kelihatan menghembus nafas lega.
“Terima kasihlah sebab tolong saya. Err…saya Amelia.” Ada senyum manis terukir di bibir Amelia. Namun senyuman yang manis itu tidak bertahan lama. Ia diganti dengan kerutan di muka Amelia apabila dia melihat Haris yang sedang sibuk menekan perut.
“Nama saya Haris. Err…saya mintak diri dulu. Perut saya meragam.”
“Oh…okey, err sorrylah sebab menyusahkan awak.”
“Tak apa, pergi dulu.”
Haris cepat-cepat membuka disc lock, menghidupkan enjin dan terus memecut motosikalnya keluar daripada kawasan parkir.
“Tak ada sporting spirit punya perut. Dah la memalukan aku, tak bagi can langsung aku nak interview dia.” Haris bertelepati memarahi perutnya.
Dewan makan Kolej Delta merupakan pusat pertemuan kepada segala aktiviti yang melibatkan penghuni kolej. Ia dikongsi bersama oleh penghuni Aspura (AsramaPutera) dan juga Aspuri. Waktu makan tengahari pada hari Sabtu dan Ahadnselalunya agak meriah kerana dewan makan Kolej Delta akan dipenuhi oleh ramai penghuni kolej yang tidak berkuliah. Selain daripada menjadi tempat menjamu selera, ia juga menjadi tempat menjamu mata.
Ketika berada di dewan makan inilah para penghuni Aspura akan berasa amat bertuah kerana dilahirkan di negara Malaysia yang berbilang bangsa. Kecantikan dan keseksian yang ada pada penghuni Aspuri yang pelbagai bangsa menjadi perangsang kepada penghuni Aspura untuk belajar bersungguh-sungguh demi membantu negara menjadi sebuah negara maju pada tahun 2050.
Haris adalah salah seorang daripada mereka. Dia kini mempunyai tugas yang amat penting dalam memastikan Wawasan 2050 mencapai matlamatnya walaupun tahun 2050 masih agak jauh di hadapan. Dan untuk mencapai matlamat itu, Haris perlu terlebih dahulu berkenal-kenalan dengan Amelia. Haris tahu tugas itu amat berat untuk dipikulnya sendirian namun dia rela demi negara yang tercinta.
Sambil mengunyah nasi berlaukkan ikan cencaru masak taucu, mata Haris meliar mencari kelibat Amelia.
“Tak balik kolej lagi ke si Amelia ni? Tak lapar ke? Ke, tengah diet? Body dah cukup sifat diet apa lagi. Ke dia makan kat Kafetaria?”
Haris dihujani pelbagai persoalan. Entah mengapa pertemuan singkatnya dengan Amelia tadi bagai mencetus rasa ingin tahu yang membuak-buak dalam dirinya. Ada sesuatu pada pandangan mata Amelia yang menusuk-nusuk ke dalam hatinya.
Dia kini sudah tekad. Amelialah orangnya yang bakal ditabalkan sebagai special girlfriendnya. Haris tahu dia perlu cepat bertindak. Perkara paling penting ialah tentang status Amelia. Dia perlu tahu dengan segera adakah masih ada tempat dalam hati Amelia untuk menerima dirinya.
Dalam perjalanan pulang ke biliknya, Haris sempat meninjau di kawasan parkir kolej.Dia berasa amat teruja dengan apa yang dilihatnya. Di tempat parkir motosikal, Haris melihat sebuah motosikal Yamaha Ego Solariz berwarna merah bersport rim hitam kelihatan diletak bersebelahan dengan motosikal Honda Wave miliknya. Untuk memuaskan hatinya lagi, dia menghampiri motosikal Yamaha itu. Perasaannya melonjak gembira apabila memandang nombor plat motosikal itu.
“Nampak gayanya ada response yang baik ni. Tempat kosong banyak lagi, tapi apasal dia parking sebelah motor aku? Mesti ada sebab yang munasabah. Mungkin dia nak bagi mesej yang dia juga nak mengenali aku dengan lebih dekat lagi. Yeaa!”Haris membuat hipotesis dengan perasaan penuh gembira.