KOLEJ DELTA
Jam loceng di atas meja tulis menunjukkan pukul 5.58 pagi. Haris terbaring terlentang di atas katil. Dengus nafasnya tenang dan perlahan. Dia sedang lena diulit mimpi.
Haris kini berada di atas padang rumput yang luas menghijau. Jauh tersergam di hadapannya sebuah gunung yang kelihatan begitu tegap dan gagah. Puncak gunung yang diliputi salji putih itu mengingatkan Haris kepada gunung Fuji yang menjadi ikon negara Jepun. Beberapa kuntum bunga berwarna putih jatuh menimpa kepala Haris dan tercampak ke atas rumput berdekatan kakinya. Haris tunduk mengutip bunga putih itu dan menelitinya.
“Eh,ini macam bunga Sakura! Aku kat Jepun ke sekarang ni?”
“Hehe….abang Haris bukan kat Jepunlah, abang Haris sekarang berada dalam dunia ciptaan Tini yang sememangnya lebih indah daripada dunia abang yang sebenar!”
Kedengaran suara Tini yang bergema melantun-lantun ke segenap arah membingitkan telinga Haris. Serentak dengan itu, Tini yang muncul entah dari mana terus memeluk Haris dengan penuh erat. Dia membenamkan muka ke dada Haris yang tiba-tiba tidak berbaju. Tini mengucup-ngucup dada dan pangkal leher Haris semahu hatinya. Haris yang berasa agak terangsang dengan perlakuan Tini cuba membalas pelukan Tini namun Tini tiba-tiba lenyap bertukar menjadi kepulan asap nipis yang perlahan-lahan ghaib dari pandangan.
“Hehe….abang Haris kena tipu. Tini sebenarnya ada di sini.” Haris pusing ke belakang. Tini berdiri tersenyum sambil memperagakan bikini bercorak bendera Malaysia.
“Apa khabar abang Haris? Comel tak Tini pakai macam ini? Temanya ialah, patriotik tapi seksi! Suka tak? Abang tak perlu jawab sebab Tini awal-awal lagi sudah memutekan suara abang. Tini juga telah menutup deria pendengaran abang. Tapi abang jangan khuatir, abang masih boleh mendengar suara Tini. Abang cuma takkan dapat mendengar suara azan. Itu saja. Bukan apa, Tini tak mahu ada apa-apa gangguan yang pastinya akan merencatkan perbualan kita.
Sampai mana ya perbualan kita tempoh hari? Oh ya, pasal masalah Tini, kan? Betul tak abang? Betul tak? Abang Haris ni Tini tanya buat muka bodoh pula dia. Baiklah, tak apalah kalau abang tak mahu bercakap dengan Tini. Biar Tini sajalah yang bercakap.
Tapi sebelum Tini ceritakan masalah Tini pada abang, Tini rasa ada baiknya Tini ceritakan serba sedikit tentang diri Tini. Tini tahu tentu abang Haris tertanya-tanya siapakah Tini yang sebenar di sebalik tubuh yang mungil ini. Bukan apa, Tini cuma mahu abang Haris punya pandangan yang lebih meluas terhadapTini dan bukan berkisar tentang kecantikan Tini semata-mata.
Seperti yang abang sudah maklum, Tini sangat suka memasak. Itu kegemaran Tini yang paling utama. Namun begitu, seperti juga gadis-gadis remaja yang lain, Tinij uga suka menonton televisyen. Tini sangat sukakan drama-drama Melayu yang diolah daripada novel-novel terhangat di pasaran. Tini rasa sangat terhibur walaupun jalan ceritanya hampir sama dan juga menggunakan pelakon-pelakon yang sama.
Tini paling suka drama yang bertajuk “Suamiku Encik Labi-labi”. Sekarang pun masih lagi diulang tayang di Astroll Prima dan juga di Astroll Ria. Kalau abang Haris ingin tahu, drama “Suamiku Encik Labi-labi” itu diadaptasikan daripada novel karya penulis kegemaran Tini iaitu Meera Nainai. Ceritanya mengisahkan tentang seorang model baju kurung berkahwin dengan seorang pereka fesyen yang tidak boleh terkena air. Bila dia terkena air, dia akan bertukar menjadi seekor labi-labi. Sungguh lucu ceritanya, banyak kali tengok pun tak jemu-jemu.
Selain menonton televisyen, Tini juga suka membaca novel-novel cinta. Penulis kegemaran Tini sudah tentulah Meera Nainai. Selain daripada novel “Suamiku Encik Labi-labi”, Tini juga sangat suka membaca novelnya yang bertajuk “Cinta Double Decker”. Ceritanya mengisahkan tentang sepasang gadis kembar seiras yang mencintai jejaka yang sama. Oh, konflik yang hebat berlaku apabila si jejaka tidak dapat membezakan yang mana satu Alia, dan yang mana satu Aliya.
Seorang lagi penulis yang menjadi kegemaran Tini ialah Feera Taitai. Antara novelnya yang menjadi kesukaan Tini ialah novel yang bertajuk “Bakal Suamiku Bukan Ustaz Tapi Cuma Cikgu Biasa”. Ceritanya mengisahkan tentang seorang pelajar perempuanTingkatan Lima yang bercinta dengan cikgunya sendiri. Oh, betapa hebatnya dugaan yang mereka hadapi kerana percintaan mereka itu mendapat tentangan daripada Guru Besar dan Pengerusi PIBG sekolah.
Kalau abang Haris ingin membaca novel-novel kegemaran Tini itu, Tini dengan senang hati sudi meminjamkannya kepada abang. Tapi jangan pinjam lama-lama tau sebab novel-novel itu amat berharga buat Tini.
Baiklah abang Haris, sekarang tibalah masanya untuk Tini menceritakan masalah Tini kepada abang. Tini mahu abang Haris menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang ingin Tini katakan dan jangan berkata apa-apa sebelum Tini memberikan kebenaran. Kalau abang Haris nak tahu, masalah Tini ialah-”
“Tetenetteteet...tetenetteteet...tetenetteteet...”
Bunyi penggera dari jam loceng yang terletak di atas meja tulis mengejutkan Haris dari tidur. Haris bangun mematikan fungsi penggera. Dia kembali duduk di katil.
“Ishh…dah makin mengarut si Tini. Nasib baik aku ni jenis yang tahan godaan. Kalau tak, mampus aku bapak Tini paksa aku kahwin dengan Tini. Tak pasal-pasal aku kena tinggal dekat alam bunian. Huh, walau hidup penuh kemewahan, tak sanggup aku hidup macam dalam penjara. Tini sudah tentu jadi bini yang jenis queen control.Dia memang cantik, memang seksi gila dia pakai bikini bendera Malaysia. Tapi apa guna ada bini cantik kalau jiwa tak happy. Lagi satu, apa dia sebenarnya masalah Tini?”
Haris mengerling ke arah katil Razif.Razif masih lena dengan seluruh badannya berbungkus selimut.
“Si Razif ni tak reti-reti nak bangun sendiri ke? Asyik aku jugak yang nak kena tolong kejutkan.”