Home Novel Fantasi Hikayat Cinta Semesta
Hikayat Cinta Semesta
ainRAZAK
15/4/2021 21:42:39
12,946
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 2

CINTA SANG PENCINTA

PART 2


Majlis penikahan dan persandingan pasangan mempelai teraju utama Negeri Utara Bima Sakti begitu meriah dirasakan. Masing-masing menghadiahkan ucapan tahniah dan tumpang bahagia diatas ikatan yang tersulam.


Mustaza hanya memerhati dari kejauhan. Dia rasa tidak perlu untuk dia berada di dalam kelompok tetamu bangsawan seperti yang lainnya. 


Lagipun, masanya sudah hampir tiba. Misi yang telah dirancang dia bersama baginda Raja Mirza  Al-Muhammadi sudah hampir masanya. Dia perlu bergegas meninggalkan majlis tanpa diketahui oleh sesiapapun.


Tubuh Mustaza membelakangi mempelai di singgahsana. Dia mengatur langkah tanpa menoleh lagi. Andai dia berpaling, sudah pasti jiwanya meruntun pedih.


Pedih kerana pergi meninggalkan satu-satunya puteri kesayangan dia itu tanpa sebutir bicara. Sudah pastinya pemergiannya nanti menjadi pemergian yang dirindui oleh sang anak.


"Tuan Mustaza!" Laungan seseorang mematikan langkahnya.


Dia tidak segera menoleh. Bimbang seandainya pembantu-pembantu sang puteri datang menyapa.


"Tuan Mustaza!" Panggil suara itu lagi. Mustaza masih lagi seperti tadi. Tidak berganjak dari tempat dia berdiri.


Seorang wanita berusia separuh dari usianya datang menghampiri. Susuk tubuh itu terpaku dihadapannya. Mengunci langkah Mustaza.


"Kemana Tuan mahu menghilangkan  diri? Tuan sudah lupa pada janji Tuan pada sang puteri?" 


Mustaza terkesima diasak dengan pelbagai soalan yang  terkeluar dari bibir si gadis. Dia buntu.


"Aku mahu keluar sebentar. Minta kau khabarkan nanti pada Kiambang yang ayahnya pulang ke rumah. Ada perkara yang perlu dilunaskan." Ujar Mustaza cuba berdalih.


Gadis itu tersenyum.


"Tuan mahu saya temankan?" Soal sang gadis kemudian.


Mustaza menggelengkan kepala.


"Tidak perlu. Aku mahu pulang bersendirian. Kau tinggal sini untuk temankan sang puteri. Juga khabarkan pada baginda puteri pesanan yang telah aku titipkan buatnya sebentar tadi. Bisa?" 


Gadis itu laju mengiakan.


"Hati-hati Tuan Mustaza" pesan sang gadis sebelum si duda gagah perkasa meninggalkan dia sendirian.


Bibir menguntum senyuman. Bangga kerana inilah pertama kali sang duda mahu berbicara dengannya. Biarpun hanya seketika, tapi sudah membuahkan keseronokan yang tidak terhingga.


••••


"Kau sudah bersedia?" Soal Baginda Raja Mirza Al-Muhammadi.


Mustaza menganggukkan kepala.


Mereka berdua berada ditengah-tengah pohon buluh yang membentuk segitiga. Angin mulai berpuput deras menampar wajah yang semakin ketegangan. Seolah mengisyaratkan bahawa sudah tiba masanya untuk mereka merentas daerah kelahiran mereka.


"Sudah kau titipkan pesanan pada Kiambang? Sudahkah dia tahu pemergianmu kali ini?" Raja Mirza menduga lagi.


Suaranya sudah bernada tinggi. Melawan arus bunyian desiran daun buluh yang makin mengganas. Wajah sahabatnya dipandang tidak berkedip.


Mustaza menggeleng kepala.


"Untuk apa Kiambang tahu Mirza. Sudah aku selindungkan sepenuh jiwa dan ragaku dari pengetahuan sang puteri. Andai aku bisa pulang, ketemulah kami. Andai aku wafat disana, maka ketemulah kami diakhirat kelak. Aku tidak mahu membebankan Kiambang dengan permasalahan yang tidak perlu dia tanggung. Cukuplah sekadar kita menjadi perantara pada misi yang bisa mengancam nyawa ini"


Jelas Mustaza panjang lebar.


Baginda Raja Mirza Al-Muhammadi terpaksa mengiakan kata-kata sahabatnya. Ada betul apa yang diperkatakan Mustaza Al-Hikmatullah. Dia juga berada di 'kasut' yang sama.


Belum tiba masanya, generasi muda mengetahui pengorbanan yang mereka lakukan. Yang pastinya setiap kisah mereka akan diketahui oleh generasi seterusnya mengikut kesesuaian masa dan waktu.


Tidak perlu dijelaskan lagi.


"Jom! Andai sudah bersedia, letakkan tanganmu diatas sini" jerit Mustaza lantang.


Dia meletak kedua belah telapak tangannya diatas bebola kristal jernih yang berada di bahagian tengah segitiga yang diperbuat dari pohon buluh.


Angin bertiup semakin kencang. Masing-masing memaku kekuda teguh. Agar tidak bisa diterbangkan dek ribut yang semakin menggila.


"Allahuakbar!" Jerit Baginda Raja Mirza Al-Muhammadi. 


Bergema di segenap pelusuk tanah pohonan buluh. Keadaan begitu mendebarkan. Sudah 50 tahun sejak misi mereka yang terdahulu.


Dada bagaikan mahu pecah menantikan perjalanan yang seterusnya. Hanya dengan isyarat mata, kedua mereka menggengam tangan erat.


Keduanya menganggukkan kepala sebelum mata dipejamkan. Namun, belumpun  sempat mereka bersatu dengan panggilan alam, suara-suara yang amat dikenali mula memanggil-manggil.


"Ayah!"


"Ayahanda!"


Laungan Putera Malique dan Kiambang bersatu irama. 


Pantas mata dicelik kembali. Mereka menoleh. Terbuntang mata keduanya terkejut dengan kehadiran yang tidak diduga. Sepantas kilat kedua anakanda sudah berada bersebelahan. Tangan mereka diapit bersama. Tiada lagi ruang untuk menolak. 


Angin bertiup semakin deras, menampar kasar batang tubuh.




"Kenapa datang ke sini?" Jerit Mustaza lantang dalam ribut yang kencang.


Kiambang memandang wajah ayahnya dengan mata yang berkaca. Putera Malique pula mempamerkan raut wajah serius. Sudah bersedia mahu menangkis sebarang kemungkinan.


"Kiambang nak ikut ayah!" balas Kiambang sama naik nadanya.


Mustaza membulatkan mata. Jawapan Kiambang menghantar debaran di dada. Dia tidak boleh melibatkan masa hadapan Kiambang. Situasi ini perlu dihentikan segera.


Otaknya ligat berfikir. Dahi bertaut rapat. Suasana terasa dingin yang teramat bersama tiupan angin kencang.


"Kita kena hentikan dulu Mirza!" Laung Mustaza. 


Dia perlu dapatkan persetujuan dari Yang Amat Mulia Tuanku Raja Mirza Al-Muhammadi. Tanpa persetujuan baginda, misi mereka tetap akan dilaksanakan.


"Jangan!" Halang Putera Malique.


"Kita harus teruskan misi! Abaikan saja kehadiran kami berdua!" Laungnya lagi. Kiambang turut terangguk.


Mustaza menggelengkan kepala. Begitu juga baginda Raja Mirza. Anakanda mereka berdua perlu dihalang dari ikut campur urusan orang dewasa.


Siapa mahu terajui Kerajaan Negeri Utara Bima Saksi setelah ketiadaan mereka andai Kiambang dan Putera Malique menyusul? Hal ini tidak boleh dibiarkan. 


Raja Mirza Al-Muhammadi cuba melepaskan genggamannya dari bola kristal. Begitu juga Mustaza. Namun telapak tangan mereka tidak dapat digerakkan.


"Mustaza!" Lantang Raja Mirza Al-Muhammadi menjerit.


"Pintu hampir terbuka! Telapak tangan aku sudah bersatu dengan bola kristal! Tidak mampu dihalang lagi!" Lantang Mustaza menjelaskan.


Kedua putera dan puteri yang berada bersebelahan mereka diam membeku. Barangkali mereka bersyukur kerana masih belum terlambat untuk menyertai kedua bapa mereka.


Raja Mirza Al-Muhammadi memandang sahabatnya dengan cemas. Situasi tidak mengizinkan mereka untuk meneruskan misi yang telah dirancang. 


"Alihkan tangan kalian! Ini perintah diraja!" Jerkah Baginda Raja Mirza dengan wajah yang bengis.


Putera Malique dan Kiambang saling bertatapan.


"Lekas!" Sambung Raja Mirza lagi. Suaranya saling bertingkah dengan tiupan angin yang semakin kencang.


Gemersik suara pohonan buluh yang saling berpapasan membingitkan telinga semuanya. Berdesing umpama nyanyian riang-riang.


"Putera Malique Al-Muhammadi ibnu Raja Mirza Al-Muhammadi! Alihkan tangan kalian segera!" Sekali lagi Raja Mirza memerintahkan anakandanya Putera Malique.


Kiambang sudah berasa gerun tatkala pandangan matanya bersatu dengan mata si ayah. Pandangan mata yang tajam menikam hingga ke dasar hati. 


"Kanda!" Kiambang bersuara.


Putera Malique memandang sang isterinya. Fikirannya berada ditengah-tengah diantara perintah dan juga janji yang telah dipateri. Haruskah dia mengingkari keduanya?


"Putera Malique!" Mustaza pula melaung.


Dia mengisyaratkan agar Putera Malique menarik tangannya semula. Putera Malique terpaksa akur. Jari jemari Kiambang cuba dileraikan satu persatu. 


"Kanda! Tolong Kiambang kanda. Inilah peluang yang Kiambang ada untuk bertemu dengan keluarga bonda. Tidak kasihankah kanda pada kiambang?" Lirih suara Kiambang memohon simpati.


Putera Malique terkelu.


Bebola matanya menangkap linangan air mata yang memenuhi kolam air mata sang isteri. Dia turut sama sebak.


Ini adalah peluang terakhir isterinya untuk berjumpa dengan keluarga Kencana Dewi. Haruskah dia menghampakan harapan yang telah dia janjikan pada Kiambang?


Tautan tangannya kembali dirapatkan.


Raja Mirza dan Mustaza memandang keduanya. Tindakan Putera Malique mengundang rasa amarahnya.


"Putera Malique!" Jerit Raja Mirza.


Tiba-tiba sahaja angin yang kencang sebentar tadi, beransur hilang. Awan kembali terang. Suasana juga kembali tenang seperti mula-mula mereka tiba disitu awal tadi.


Satu persatu telapak tangan mereka dapat dilepaskan dari bebola kristal. Mereka saling berpandangan antara satu sama lain penuh tanda tanya.


Sepatutnya jika suasana kembali tenang begini, misi mereka untuk merentas masa sudah berhasil dan cahaya pada bebola kristal akan lenyap dengan sekelip mata.


Namun, cahaya pada bebola kristal yang masih lagi terang benderang menimbulkan tanda tanya. 


Seketika kemudian, satu gerbang pintu lutsinar terhasil diantara pohonan buluh. Putera Malique dan Kiambang membuntang mata. Seumur hidup mereka, inilah kali pertama mereka menyaksikan keajaiban ini.


Kiambang mengenggam erat jemari sang suami.


Raja Mirza dan Mustaza melangkah perlahan-lahan kearah pintu gerbang lutsinar yang semakin membesar. Menggambarkan seolah-olah pintu gerbang itu sudahpun bersedia menerima kunjungan tetamu asing.


"Ayah!" Jerit Kiambang sebaik sahaja menyedari bahawa Mustaza semakin menghampiri pintu gerbang lutsinar.


"Izinkan Kiambang ikut ayah!" Lirih Kiambang meminta.


Mustaza menggeleng.


"Ini misi ayah bersama baginda Raja. Usah Kiambang khuatirkan keadaan kami disana. Ayah janji, ayah akan pulang dengan selamat dan akan berjumpa  Kiambang dan Putera Malique suatu masa nanti" ucap Mustaza satu persatu.


Kiambang segera berlari mendapatkan Mustaza. Tubuh ayahanda tersayang dipeluk erat. Melepaskan segala bebanan yang dia tanggung selama ini. Dia rasa bersalah.


Bersalah kerana seringkali menyakiti hati sang ayah dengan sengaja. Juga dia suka membuatkan ayahnya gundah.


"Mustaza ... Cuba kau lihat" Panggil Raja Mirza tiba-tiba. 


Wajahnya dihalakan pada pintu gerbang yang sedang terbuka luas. Susuk tubuh seseorang yang sangat menawan muncul secara tiba-tiba. 


Mustaza turut memandang kearah yang dimaksudkan. Mulutnya ternganga. Lidahnya kelu seribu bahasa. 


Raut wajah yang amat dikenalinya dipandang dengan penuh rasa tidak percaya. 


"Puteri Kencana Dewi" satu persatu nama itu terluah dari bibir Mustaza.


Kiambang serta merta melepaskan pelukannya. Dia memandang kearah yang dimaksudkan sang ayah.


Matanya menangkap seraut wajah wanita yang amat dia rindui. Bukan sahaja dahulu malah akan datang juga. 


"Bonda ..." Tutur Kiambang perlahan.


Dia kembali berdiri tegak.


Langkahnya mahu diatur mendekati si ibu yang sangat dirindui.


"Jangan datang dekat!" Pantas saja suara itu menghalang.


"Izinkan saya melunaskan janji yang telah lama saya mungkiri satu masa lalu. Saya datang atas satu tujuan yang telah diamanahkan" ujar wanita itu lagi.


"Raja Mirza Al-Muhammadi?" Soal wanita itu kemudiannya.


"Saya!" Raja Mirza memunculkan diri. Dia berdiri tidak jauh dari wanita itu.


"Saya Kaseh Malaika, kembar Kencana Dewi. Wanita yang telah mengahwini Tuan Mustaza suatu masa lalu" terang wanita itu perlahan.


Matanya bertentang dengan Raja Mirza.


"Untuk apa gerangan saudari Kaseh Malaika datang ke sini?" Soal Raja Mirza ingin tahu.


Kehadiran Kaseh Malaika menyebabkan misi mereka terpaksa ditangguh. Jika misi ini ditangguh, seluruh negerinya terpaksa bergelap selamanya.


Mustaza memandang wanita itu dengan penuh minat. Telinganya dipasang mendengar perbualan antara Raja Mirza dan wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kaseh Malaika.


Dia berasa ragu-ragu. Selama hidupnya bersama Kencana Dewi, dia langsung tidak mengetahui bahawa wanita itu punyai saudara kembar. Langsung ditutup rapat dari pengetahuan dia.


"Saya datang ke sini membawa amanah. Amanah yang telah almarhum Kencana Dewi berikan pada saya untuk disampaikan pada Kerajaan Negeri Utara Bima Sakti"


Kaseh Malaika menarik beg sandang yang digalasnya dibahagian belakang tubuh. Dia membuka zip perlahan-lahan. Tangan dimasukkan ke dalam beg yang sudah terbuka luas.


Seketika kemudian, dia mengeluarkan satu objek yang berkilauan dengan penuh hati-hati. Raja Mirza mendekati Kaseh Malaika.


Matanya membulat melihat objek yang berada ditangan kaseh Malaika. Bibirnya digerakkan seolah-olah ingan mengatakan sesuatu.


"Ini ... Er ... Er ..." Raja Mirza terkelu. Bebola matanya memandang Kaseh Malaika.


"Ini bebola Kristal" ujar Kaseh Malaika perlahan. 


Dia tahu apa yang ingin dikatakan oleh Raja Kerajaan Negeri Besar itu. Bebola kristal dihulurkan pada Raja Mirza.


Sepantas kilat Raja Mirza menyambutnya. Mustaza mendekati mereka berdua. 


"Apa maksud kau dengan kembar Kencana Dewi?" Soal Mustaza masih tidak berpuas hati. 


Selagi persoalan ini tidak dirungkai, dia tetap akan mengasak wanita itu dengan berjuta persoalan. Hatinya tidak tenang selagi tidak mengetahui letak duduk hal yang sebenar.


"Izinkan  aku terlebih dahulu selesaikan misi aku ke Negeri Utara Bima Sakti. Selepas ini, kau boleh mencungkil segala rahsia yang ingin diketahui" ujar Kaseh Malaika.


Renungannya dibawa menghala kearah Kiambang. Gadis itu sangat menyerupai Kencana Dewi. Kembarnya yang sudah terbunuh bertahun lalu.


"Benar Mustaza. Biar kita selesaikan situasi yang tidak dijangka ini terlebih dahulu. Kemudian kalian boleh menyelesaikan masalah kalian" Raja Mirza mengutara pendapat.


Mustaza mengangguk perlahan.


Dia melangkah mendekati Putera Malique dan Kiambang yang berdiri tidak jauh dari situ. Ditinggalkan sang raja bersama Kaseh Malaika untuk membicarakan hal negara.


"Bunga jejarum, menghias laman. Cantik dan indah kuntuman menawan. Kehadiran saya, sebagai teman, untuk melaksanakan amanat sang jelitawan. Kisah tergantung, perlukan penamatnya. Biarlah pertemuan ini jalan akhirnya. Tiada lagi kesangsian, tiada lagi persoalan. Segalanya bakal terungkap dengan satu perjanjian. Tiada lagi jejambat antara dua dunia" Kaseh Malaika menamatkan kata-katanya.


Raja Mirza termangu. Apakah kata-kata yang dimaksudkan oleh wanita dihadapannya ini? Tiada lagi jambatan menghubungkan dunia mereka?


Jari jemari Kaseh Malaika mengeluarkan baki bebola kristal dari beg galasnya.


"Ini adalah bola kristal yang boleh menjana tenaganya sendiri. Tuanku boleh menggunakan kuasa solar saja sebagai sumber tenaga bebola kristal ini" ujar Kaseh Malaika mendatar.


Bebola kristal dihulurkan pada Raja Mirza.


"Inikah yang dimaksudkan dengan tiada lagi jejambat antara dua dunia? Begitu?" Soal Raja Mirza tidak percaya.


Kaseh Malaika mengangguk.


"Jadi, kamu?" 


"Terputuslah urusan dua dunia Tuanku. Saya akan pulang ke dunia saya. Dan kalian hiduplah penuh kegembiran dan bahagia di dunia kalian. Tidak akan ada lagi kesengsaraan yang akan menghimpit hingga kiamat tiba" 


Kaseh Malaika sudah berpaling.


"Nanti!" Laung Mustaza.


Dia menghampiri wanita persis Kencana Dewi. Lirikan matanya penuh asyik.


"Benarkah kau kembarnya Kencana Dewi?" Soal Mustaza inginkan kepastian. 


Wanita itu memandangnya redup. Kemudian  jalur pandangan Kaseh Malaika disoroti kearah Kiambang yang sedang merenungnya. 


"Ya! Saya kembar Kencana Dewi, isteri kepada Mustaza dan juga ibu kepada Kiambang ..." Balas Kaseh Malaika penuh yakin.


"Nah!" Kaseh Malaika menghulur sampul kearah Mustaza.


"Kenangan dari ibunda Kiambang. Semoga sang puteri terusan menjadi anak dan isteri yang solehah pada raja di hatinya" Kaseh Malaika hampir menitiskan air mata. Dia segera berpaling kearah pintu lutsinar.


Cahayanya makin kelam.


"Saya pulang dulu. Andai berjodoh, ketemulah kita suatu ketika nanti" ucap Kaseh Malaika sebelum menghilangkan diri disebalik pintu lutsinar.


Awan kembali berkumpul. Suasana yang tenang, mulai goyah. Tiupan angin serta merta kencang. Gemersik daunan buluh yang saling berpapasan melatari suasana.


Hanya sekelip mata, gerbang lutsinar yang terhasil dari bebola kristal, perlahan-lahan hilang tenggelam dalam dunia yang tidak diketahui.


Kiambang menggenggam erat tangan sang suami. Peristiwa yang berlaku didepan mata mereka, amat sukar dipercayai. Namun itulah hakikat yang terjadi.


••••


"Bonda, Kedah terletak di mana?" Puteri Santubung menyoal. Jari telunjuk dinaikkan bermain-main di dagunya. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.


"Er ... Er ... Kedah ..." Kiambang tergagap. Apa yang harus dia jelaskan pada puteri bongsunya yang bijak mencipta soalan.


"Kedah terletak di sebuah negara yang sangat jauh kedudukannya dari Negeri Utara Bima Sakti. Sangat jauh hinggakan kita tidak bisa mengunjunginya" celah Putera Malique yang baru muncul.


Dia melabuhkan duduk bersebelahan sang isteri  Kiambang menarik nafas lega. Mujur suaminya muncul tepat pada masa. Andai tidak, berpeluh seluruh tubuh mahu menangkis soalan dari kedua puteri kembarnya.


Puteri Santubung tersenyum. Barangkali berpuas hati atas penjelasan ayahandanya. 


"Mana adik dengar tentang Kedah?" Soal Puteri Sejinjang ingin tahu.


"Itu ..." Jemarinya dihalakan pada lukisan yang melekat pada dinding ruangan santai keluarga mereka.


"Dalam lukisan itu, tertulis perkataan Kedah. Kakak tak perasan?" 


Puteri Sejinjang menggeleng.


"Datang sini. Adik tunjukkan." Puteri Santubung menarik lengan kekandanya.


"Betullah bonda. Kakak boleh nampak perkataan yang adik maksudkan" jerit Puteri Sejinjang dengan gembira.


Gambar itu dibelek kedua kembar dengan penuh minat.


Kiambang menoleh kearah Putera Malique. Dia mengukir senyuman. Begitu juga sang suami. Mata dihalakan semula kearah lukisan yang dimaksudkan oleh kedua kembarnya.


Ya, memang benar. Hanya yang melihat dengan mata hati sahaja akan nampak satu perkataan itu. Hanya yang memandang penuh kelembutan dan keikhlasan sahaja mampu meneka perkataan yang terukir.


Lukisan yang merupakan hadiah terakhir dari bondanya untuk dia, melalui Kaseh Malaika. Kenangan yang tidak akan bisa dia lupakan sampai hujung nyawanya. Biarpun jasad Kencana Dewi sudah tiada, namun kenangannya tetao utuh hidup dalam jiwa Kiambang selamanya.


"Semoga Cinta Sang Pencinta akan kekal selamanya dihati kita, dinda." ujar Putera Malique perlahan. 


Bahu Kiambang didakap erat.


Melampias rasa kasih buat isteri tercinta. Kasih  yang tidak akan pernah pudar melainkan dengan ketentuan dari Dia Sang Pencipta. 


















TAMAT

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.