Home Novel Fantasi Hikayat Cinta Semesta
Hikayat Cinta Semesta
ainRAZAK
15/4/2021 21:42:39
12,947
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 3

Cinta? Arjuna? Siapa?


"Kau siapa?" 


Arjuna bingkas bangun dari pembaringan. Disisinya terdapat seorang gadis yang berperwatakan bak puteri. Putih wajahnya bak telur rebus. Halus mulus. Mempersona.


Ulas bibir umpama delima yang merekah. Merah setanding mutiara di dasar lautan. Alis kening indah terbentuk, hitam memikat.


Siapakah gerangan pemilik figura indah bak bidadari syurga itu? Anugerah Tuhan pada diakah? Muncul tanpa dipinta. Datang tidak diundang. Sedar-sedar, sudah didepan mata. 


Mata dikerdipkan beberapa kali. Minda cuba mencakna. Dahi Arjuna bertaut.


"Apa tujuan kau datang ke sini? Kenapa kau tiba-tiba muncul dalam rumah aku?" soal Arjuna lantang. Dia bangun dari pembaringan dan duduk bersila mengadap si gadis.


Gadis itu segera tegak berdiri. Keras, batu. Tidak berganjak walau seinci. Raut wajah sudah tergaris kerisauan. Barangkali memikirkan reaksi pemuda dihadapannya kini.


Arjuna menilik. 


Wajah kelat itu diteliti. Masih indah rautnya biarpun mencuka. Andai diletak bersebelahan patung cendana sekalipun pasti gadis itu lebih menjadi tumpuan. Cantik figuranya. Tidak setanding walau sejuta patung cendana!


Perlahan-lahan sang jelitawan mengorak senyum. Makin lama makin melebar dan akhirnya tercetus tawa halus diulas bibir mungil miliknya.


"Kenapa ketawa? Lucu?" soal Arjuna ingin tahu. Bebola matanya masih lagi tidak berganjak dari memandang anugerah Tuhan dihadapan.


Gadis itu menarik semula senyuman.


"Hamba muncul kerana tuan hamba menginginkan" petah sang gadis mengatur bicara. 


Arjuna terkesima.


Gadis itu muncul kerananya? Gila! Bila dia menyeru gadis itu? Kenalpun tidak. Apatah lagi mahu menyeru nama segala. Buang masa dan tenaga dia sahaja.


Arjuna melompat turun dari katil. Dia mendekati balkoni biliknya. Pintu sliding diseret ke tepi. Udara segar menerjah masuk. Bunyi deruan ombak memberikan ketenangan seketika buat dia.


Rambut yang terjuntai diraup ke belakang beberapa kali. Kehadiran gadis itu menggusarkan hatinya. Apa yang perlu dia lakukan?


Mata Arjuna tertancap pada hujung pantai yang lengang. Kelibat seseorang menarik perhatian dia seketika. 


"Arilasso!" dia memetik jari. Muncul idea dibenaknya.


Arjuna pantas menoleh. Kelibat si gadis dicari. Tiada! Baru sebentar tadi dia meninggalkan sang gadis terkulat-kulat seorang diri disisi katilnya. 


Ke manakah bidadari yang jatuh dari langit itu menghilang?


Tanpa berlengah, Arjuna menarik baju sejuk tebal dalam almari lalu dipakainya. Langkah kaki diatur ke arah pintu bilik. Tombol dipulas rakus. 


Dia segera menapak ke persisiran pantai. Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan. Cuba meninjau keadaan sekeliling. Mencari pemilik nama Arilasso.


Baru sebentar tadi sahaja dia terpandangkan Arilasso yang sedang berjalan di gigi pantai. Hanya sebentar sahaja dia tinggalkan, kelibat itu sudah hilang dari mata. 


Kemana agaknya pergi Arilasso?


Langkah mula diatur perlahan. Makin lama semakin deras bukaannya. Deruan ombak yang menghempas pantai sudah tidak dihiraukan. Sesekali percikan ombak menjengah hujung selipar yang dipakai Arjuna.


"Tuan Arjuna!" 


"Tuan Arjuna!" 


Namanya diseru lantang. Pantas Arjuna menoleh. Cuba mencari kelibat manusia yang memanggil dia. Bebola mata Arjuna terhenti pada seraut wajah yang menghiasi paginya.


"Kau ..." bicaranya terhenti. Mata terpaku pada objek yang berada sebelah si gadis.


"Macam mana Arilasso boleh ada dengan kau? Mana penjaga Arilasso?" soal Arjuna hairan.


Sebentar tadi kuda kesayangannya yang diberi nama Arilasso itu ada bersama Mas Hadi. Berjalan di persisiran pantai, menghirup udara bersih.


Tetapi sekarang, batang tubuh Mas Hadi sudah hilang entah kemana berganti pula dengan wajah si 'patung cendana'. Hanya sekelip mata sahaja lelaki kelahiran Sumatera itu menghilang.


Mata Arjuna masih terpaku pada si gadis.


Dilihatnya gadis itu cuba menarik-narik tali yang terikat pada kepala Arilasso agar mendekati dia. Kemudian, pipi Arilasso diusap penuh kasih.


Arilasso menderam. Kepalanya disondol perlahan pada wajah disebelahnya. Nampak manja dan mesra.


Arjuna menjungkit kening. Hairan dengan telatah kuda kesayangan dia. Selama Arjuna menjaga Arilasso, kuda itu tidak pernah manja dan mesra dengan sesiapa kecuali dia dan Mas Hadi.


Masakan dengan gadis yang baru dia kenali itu, Arilasso mudah mesra? Dia sendiri tertanya-tanya. Bukan mudah mahu menarik perhatian kuda berbaka Switzerland ini. 


"Jom Tuan Arjuna. Kita bawa Arilasso berjalan-jalan di sepanjang persisiran pantai. Mahu?" Ujar si gadis lantas memanjat Arilasso dengan tangkas.


Arjuna menjungkit bahu. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Pandangan dihalakan pada gadis. 


Baru dia perasan yang gadis itu lengkap memakai pakaian menunggang kuda. Siap bertopi bagai. Nampak lebih ranggi. Tapi, ayunya tetap terserlah. 


"Tuan Arjuna?" 


Arjuna tetap mendiamkan diri. Panggilan gadis dibiarkan sepi. Di masih lagi berkhayal. Wajah si gadis masih dalam tatapan mata galaknya.


Wajah itu tiba-tiba mengingatkan dia tentang seseorang. Seseorang yang membuatkan dia merasai rindu. Seseorang yang membuatkan dia merasai kasih sayang. Seseorang yang membuatkan dia merasai sakit saat kehilangan.


Siapakah orang itu? Siapakah wajah yang bermain diminda Arjuna. Apakah kaitan gadis itu dengan bayangan samar-samar yang mula menerjah?


Arjuna memegang kepalanya dengan kedua belah tangan. Rasa sakit seakan menyucuk-nyucuk di kepala. 


"Tuan Arjuna? Tuan hamba okey?" Panggil si itu gadis lagi.


Arjuna mendongak semula kepalanya. Wajah si gadis menjadi tatapan sekali lagi. Arilasso pula kelihatan tenang, tidak bergerak. 


Wajah yang samar-samar diminda semakin lama semakin jelas pada penglihatan. Mata Arjuna dikecilkan bagi memastikan sesuatu agar tekaaanya tidak salah.


"Mayang? Mayang Sari?" Arjuna menebak. Ingatannya kembali jelas.


Gadis mengangguk perlahan seraya menghulurkan tangan pada Arjuna. Tanpa lengahan, Arjuna menyambut huluran dengan penuh kasih. 


Tangan digenggam erat.


Dia turut memanjat belakang Arilasso dengan pantas. Duduknya diselesakan atas pedal agar tidak jatuh. 


Tangan gadis yang dipanggil Mayang Sari itu juga bersatu dengan jari jemarinya sambil memegang tali Arilasso. 


Dengan sekali hentakkan, Arilasso memulakan langkah. Semakin lama semakin deras lariannya. Tubuh mereka bergerak mengikut rentak larian Arilasso yang semakin kencang.


Arjuna tersenyum bahagia. Wajah Mayang Sari dipandang penuh rasa cinta.


                                        •••


"Cik Fazira?" Doktor Syafiq memandang wajah gadis dihadapan dia dengan rasa terkejut.


Wajah itu ...


"Ya, saya" Fazira membongkok sedikit tanda hormat pada lelaki dihadapannya.


"Wajah Cik Fazira memang sangat seiras dengan arwah  Puan Fazura. Ya, memang ini yang dikatakan kembar seiras. Saling tak tumpah" ujar Doktor Syafiq teruja.


Fazira mengangguk perlahan. Sememangnya reaksi itu sudah dijangkakan saat kakinya melangkah masuk ke dalam bilik Doktor Syafiq, doktor peribadi Arjuna.


"Atau saya perlu panggil Puan Fazira?" Doktor Syafiq tersenyum.


Dia hampir terlupa bahawa gadis yang berada dihadapan dia kini adalah isteri sahabat baiknya sendiri. Raut wajah itu nampak cantik rupawan. Sudah pasti menjadi igauan para jejaka.


"Mana-manapun boleh Doktor. Saya tak kisah. Lagipun status saya masih baru lagi. Tak hairanlah ramai yang tersasul bila bercakap" balas Fazira tenang.


"Okey, saya faham. Seperti yang Cik ... Eh Puan Fazira tahu, suatu masa dulu Tuan Arjuna pernah hidup dalam dunia khayalan yang dia cipta sendiri. Semuanya berlaku semenjak kehilangan Puan Fazura dalam kemalangan dua tahun yang lalu. Tapi berkat semangat yang dia ada, doa serta sokongan keluarga dengan izin Allah, dia dapat sembuh seperti sediakala"


Doktor Syafiq duduk bersandar. Tenang. Sebelum menyambung bicaranya.


"Kami tak menjangkakan yang dia akan sembuh sebegini cepat tapi kami tetap bersyukur. Apa yang terjadi, segalanya atas kehendak Yang Esa. Kita makhluk, kita hanya berusaha. Arjuna berusaha, saya berusaha, keluarga Arjuna juga sama. Masing-masing saling memberi sokongan. Tidak pernah putus berdoa agar diberikan keajaiban ... ." Doktor Syafiq berjeda.


Suaranya seakan sebak.


"Dan, Alhamdulillah. Akhirnya kami berjaya menarik keluar Arjuna dari dunia khayalan dia biarpun tidak sepenuhnya.  Arjuna juga dapat menjalani hidup seperti insan normal yang lain tanpa ada sebarang masalah. Sehinggalah dia bertemu dengan Puan  ..." 


Doktor Syafiq memandang gadis dihadapannya.


"Kami bimbang sandainya Tuan Arjuna terkesan dengan perkenalan kalian. Jadi kami bersetuju untuk berkongsi cerita Tuan Arjuna dengan Puan supaya Puan dapat fahami setiap tindak tanduk Tuan Arjuna pada masa akan datang"


Fazira mengangguk perlahan. Dia sudah sedia maklum akan keadaan Arjuna sejak dari awal lagi. Bukan dia tidak selidik perihal bakal suaminya yang juga bekas adik iparnya.


Dari cerita keluarga yang dia dengar, Arjuna menerima tamparan hebat dengan kehilangan Fazura sehinggakan dia terpaksa menerima rawatan psikiatri.


Mereka juga memutuskan untuk menjadikan Doktor Syafiq yang juga kawan baik Arjuna sebagai doktor peribadi jejaka itu. Sedikit sebanyak Arjuna dapat dibantu opeh rakan


Semenjak dari itu, kesihatan Arjuna semakin pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala. Sehinggalah Arjuna bertemu dengan Fazira Amilin.


Segalanya bermula semula.


                                     •••


Arjuna memeluk erat tubuh dihadapan dia. Penuh dengan rasa kasih yang melimpah ruah. Bukan rasa yang dibuat-buat tapi rasa kasih yang dianugerah oleh Allah untuknya.


Fazira Amilin adalah kakak kembar Fazura Amilin, arwah isterinya yang telah pergi mengadap Ilahi. Ya, Arjuna tahu, yang pergi tidak akan kembali lagi. Dia sedar akan hakikat itu. 


Dia tidak menyangka bahawa pertemuan antara dia dan Fazira, kembali membibitkan rasa cinta di hati dia. Rasa itu semakin hari semakin berbenih.


Bukan kerana paras yang serupa. Bukan kerana pekerti yang dia damba. Tetapi rasa kasih dan sayang yang sebenar telah memaut rasa. Kasih yang dihulur buat dia sedar. Masih punya kebahagiaan untuk dia nikmati sebelum dijemput pergi satu masa nanti.


Benar, dulu dia seringkali terlupa. Dia seringkali lalai. Dia alpa dengan nikmat sementara. Sehingga dia menutup mata akan kebahagiaan yang ada di depan mata. 


Namun, dia cepat tersedar. Dia kembali bangkit untuk menghadapi realiti yang menyakitkan. Dan akhirnya, dia berjaya. 


"Kenapa abang suka panggil Fazira dengan panggilan Mayang, Mayang Sari?" Soal Fazira saat mereka berduaan duduk bersantai diatas pasir pantai sambil menanti matahari terbenam.


Sesekali mata jatuh pada Arilasso. Kuda kesayangan kepunyaan Arjuna.


Arilasso ditambat pada kayu kecil yang dibenam pada pasir. Menari-nari kuda itu sendirian. Kesian Arilasso. Jika punya pasangan, pasti dia tidak akan sunyi sendirian begitu.


Soalan isterinya dibiarkan sepi seperti biasa. Lambat laun, dia akan khabarkan juga pada Fazira.


Fazira menyentuh lembut paha suaminya. Wajah itu dipandang penuh rasa kasih. Dia tersenyum bila terkenangkan peristiwa pagi tadi.


Arjuna yang tadi dan sekarang sangatlah berbeza perwatakannya.


Segalanya kacau bilau kerana ingatan Arjuna. Mujur Fazira cepat tersedar dan dia turut berada di situasi yang sama dengan sang suami.


Kata Doktor Syafiq, cuba bersikap biasa dan tenang ketika berhadapan dengan perubahan Arjuna. Lagi mudah dengan melakukan aktiviti yang diminati oleh lelaki itu.


Sebab itu Fazira memilih untuk menunggang kuda. Aktiviti yang paling Arjuna sukai. Hobi suaminya. Mujur dia pernah belajar cara menunggang kuda. Jadi, tidak menjadi masalah untuk sama-sama melayan karenah Arjuna.


Dan Alhamdulillah, dia mampu tersenyum bahagia sekarang. Dia akui bukan mudah untuk memenangi hati Arjuna pada awal perkenalan mereka. Tapi berdasarkan cerita-cerita arwah Fazura pada dia dulu, dia cuba untuk mendekati Arjuna.


"Sayang, cuba tengok tu!" Suara Arjuna menghambat pergi lamunan Fazira.


Dia kembali tersedar.


Pandangan terhala pada arah yang dimaksudkan oleh Arjuna. Senyuman kembali  terukir dibibir buat sekian kalinya. 


"Itu ..." Kata-kata Fazira mati.


Matanya ralit memandang Arilasso yang didekati oleh seekor kuda betina yang dibawa oleh Mas Hadi. Kuda jantan itu menderam manja. Disondol-sondol kuda betina itu penuh kasih. Seakan melepaskan rasa rindu yang sarat.


Sangat menakjubkan. Kali pertama bertemu, sudah mesra!


"Itu Sari Nilam. Isteri Arilasso" ujar Arjuna separuh berbisik. Dia tersenyum menggoda.


Fazira terlopong.


Rupa-rupanya Arilasso sudah punya pasangan. Mati-mati dia ingatkan kuda itu kesunyian. Barangkali Arilasso rindu, sebab itu dia kelihatan muram. 


"Dan yang dalam perut tu pula, Junior Arilasso. Baru 3 bulan. Ada lebih kurang  8 hingga 9 bulan lagi untuk lahirkan junior" Arjuna sudah tersenyum-senyum.


Akalnya memikirkan sesuatu. Kebetulan!


Kata-katanya penuh makna tersembunyi. Fazira mengerut dahi. Cuba mencerakin makna dalam bicara Arjuna. Pandangan mereka bersatu. Lambat-lambat Arjuna mengukir senyuman nakal. 


Pantas Fazira dapat menangkap apa yang dimaksudkan suaminya. 


"Abang ..." Fazira sudah tersipu malu. Dada sang suami dipukul manja.


Arjuna pantas menangkap tangan lembut isterinya. Tatapan diberikan penuh rasa kasih. Semoga ikatan kasih yang terjalin antara mereka akan kekal hingga ke syurga.


"Terima kasih sayang." Ucap Arjuna perlahan. 


Dia menarik Fazira Amilin ke dalam pelukan. Rasa syukur dipanjatkan tidak putus. Berkat kesabaran, berkat doa dari keluarga dan rakan-rakan, dia mampu mengatasi masalah yang dia hadapi. 


"Semoga sayang tenang di sana Fazura Amilin" bisik hati kecil Arjuna saat mata mendongak keatas langit sana.


TAMAT

Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.