Home Novel Fantasi Surat Untuk Azazil
Surat Untuk Azazil
Osman Deen
17/12/2019 19:41:35
30,161
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Malik#2

Surat Malik #2

Buat kesekian kali Azazil,

Aku kembali.

Selepas membaca surat itu kembali, mungkin ada beberapa perkara yang aku perlu betulkan. Walaupun aku tamatkan dengan mendakwa aku akan membunuh Abah, sebenarnya aku masih sayang dia. Mungkin kau sedang menggaru tanduk kau sekarang. Atau rambut kau. Ah, menggaru apa-apa sahaja yang berada di atas kepala kau.


Ya, ya, aku tahu ini berlawanan sekali dengan niat asal aku. Jika kau sayangkan seseorang pasti kau tak mahu melihat dia kesakitan bukan? Kau akan cuba sehabis baik mungkin untuk kurangkan atau kalau boleh, hilangkan kesakitan itu terus. Tapi apa yang kau boleh buat bila kesakitan itu tak akan pergi? Bila kesakitan itu sudah menjadi parasit yang kalau dibuang mati, ditelan pun mati. Jawapan yang tinggal hanya mati.

Mati.

Aku dah tak sanggup melihat dia kesakitan. Entah, mungkin kewarasan aku sudah hilang setelah terperap di dalam rumah selama tiga bulan, tapi aku merasakan ini tindakan yang paling betul aku boleh lakukan. Kalau sudah lemas di tengah lautan sendiri, lebih baik aku relakan diri mati. Daripada aku terus-terusan melawan arus yang tidak berkesudahan. Aku perlu tamatkan semua ini.

Walaupun aku bakal dibenci Ibu.

Walaupun aku bakal dipenjarakan.

Walaupun aku bakal tinggal di neraka selama-lamanya.

Kerana bagi aku, penantian ini sendiri adalah satu neraka. Setiap hari, aku bangun dengan satu benda yang sama bermain di dalam kepala aku; adakah hari ini Abah akan mati? Dan aku tidur dengan benda sama memberatkan kepala aku. Kemudian aku bangun lagi esoknya, memikirkan perkara yang sama.

Ulang, ulang dan ulang.

Setiap hari, menanti sesuatu yang tidak pasti. Menunggu yang tidak pasti itu sama saja seperti kau perlu menunggu selama-lamanya. Tiada jawapan. Sepertimana kau perlu menunggu sehingga hari kiamat untuk melihat anak Adam yang sudah kau pesongkan hatinya masuk ke dalam neraka bersama kau.

Aku sudah penat mengulangi perkara yang sama setiap hari. Penat melihat Abah mengerang kesakitan. Penat mendengar Ibu menangis sendirian di atas sejadah. Penat melayan tetamu tidak faham bahasa yang tidak sedar orang sakit memerlukan rehat. Penat dengan kerenah merapu setiap satu orang datang mELawAt, kononnya ambil berat. Penat dengan semua topeng-tOPeNg yang mereka pakai, penat, pEnAt, PENAT.

Aku sudah penat Azazil. Aku hanya mahu semua ini berakhir.

Aku sudah tidak mampu untuk melakukan apa-apa lagi selain berdoa, berdoa dan berdoa. Adakah aku sudah sesat kerana berfikir sebegini rupa? Adakah aku terlalu marah dengan Tuhan sehingga ingin melakukan sedemikian rupa? Adakah Tuhan sudah terlupa atau hati aku yang belum terbuka? Atau mungkinkah aku sudah gila? Kosong. Aku sudah terlalu kosong. Mungkinkah juga ada di antara kita ditakdirkan untuk menjadi pengisi ruang yang kosong sahaja?

Termasuklah aku.

Parasit.

Mungkin ada parasit hidup di dalam hati kita,

Hari demi hari menghirup,

Menyedut,

Dan menghancurkan jiwa kita.

Atau mungkin,

Kita adalah parasit itu sebenarnya.

Mencantas nyawa orang yang kita sayangi tanpa kita sedari,

Membazirkan ruang dunia dengan kebencian kepada diri sendiri.

Lalu dimanakah kita berdiri?

Adakah di jurang dunia,

Menunggu masa dihumban ke dalam neraka?

Atau mungkin di jurang ruang itu sendiri?

Ditolak,

Terus hilang kewujudan diri ini.

Tidak terseksa tetapi terhapus, menjadikan jiwa yang tidak bermakna ini terus mati.

Mati.

Mungkin aku yang patut mati kan, Azazil? Kau ambil saja nyawa aku ini Tuhan. Aku sudah tidak dapat menahan dugaan Mu lagi. Kalau mati jawapannya, biarkan kami mati. Sabar, sabar, sabar, sabr,Abr, sanabr, sabebrcd.

 

Perkataan sama yang diulang berkali-kali, akan terus hilang maknanya.

 

Previous: Malik#1
Next: Malik#3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Osman Deen