Home Novel Fantasi Surat Untuk Azazil
Surat Untuk Azazil
Osman Deen
17/12/2019 19:41:35
30,153
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Kuntum1

Ke hadapan, Malik.

Pertama sekali, aku bukan Azazil. Jadi jangan risau. Nama aku Kuntum. Aku tak tahu macam mana surat-surat kau boleh sampai dekat aku. Tidak, bukannya aku pecah masuk ke dalam rumah kau dan mencuri surat-surat itu. Aku tak tahu pun kau tinggal di mana. Apa yang aku tahu, surat surat kau datang dari sebuah buku yang bertajuk Aku dan Masa yang Terhenti oleh Nur A.

Mungkinkah kau sedang memegang buku yang sama sekarang?

Atau mungkin sebenarnya surat ini tidak sampai kepada kau pun bukan. Kalau mahu bersembang tentang perkara aneh ini, 3 hari 3 malam pun tak akan habis. Jujur, selepas mendapat surat pertama kau, aku hiraukan saja. Aku kira abang aku, Wali, sedang mempermainkan aku.

Tapi apabila tiba surat kedua, aku sudah mula curiga. Apa yang kau tulis menyiat-nyiat aku. Aku tahu penulisnya seorang yang sudah terluka yang amat tapi, aku masih simpan rasa was-was. Tibanya surat ketiga, nah, aku yakin ada sesuatu di sebalik surat-surat kau. Lalu, aku tuliskan surat balas ini. Moga sampai kepada kau.

Jujur aku katakan, selepas aku membaca ketiga-tiga surat kau, aku risau. Gila. Risau gila. Aku tak tahu kau siapa, macam mana rupa kau, entah berapa umur kau, entah betul atau tidak cerita kau tapi ya, aku risau. Hati aku kuat mengatakan yang kau perlukan seseorang sekarang.

Maka, aku datang.

Aku tahu, aku bukanlah sesiapa, kita tak pernah kenal pun, kau tak pernah tengok pun rupa aku macam mana, kau tak tahu pun aku tinggal dekat mana dan semua ini mungkin hanyalah permainan abang aku. Tapi aku tak mahu melepaskan satu kebarangkalian kecil yang kau memang tengah lalui satu masa yang amat perit sekarang.

Aku tak tahu apa itu kanser, aku tak tahu apa kesusahan lain yang kau telah lalui, aku tak tahu jika memang Azazil membaca surat engkau atau tidak tapi, aku tahu hati kau meronta-ronta untuk melepaskan segala beban yang terpendam.

Aku mohon sangat Malik, aku merayu dengan kau. Kau fikirkan kembali apa yang kau mahu lakukan ini. Aku tak mampu untuk suruh kau bersabar lagi. Kau sudah penat mendengar perkataan itu. Kalau kau penat, katakan kepada Ibu kau bahawa kau penat. Usah dipendam. Ibu kau pasti akan memahami. Ambil masa untuk diri kau barang sehari dua.

Maaf kalau aku katakan begini, tetapi aku merasakan yang kau meringankan mati itu. Mati ini perkara yang berat Malik. Ia bukanlah seperti jam yang kau boleh putar balik ke waktu yang kau mahu sesuka hati kau.

Mati ini tetap.

Mati ini hakiki.

Apa kau sanggup hidup dengan akibatnya? Apa kau fikir dengan kau merentap terus nyawa Ayahmu, semuanya akan selesai begitu sahaja? Jangan ikutkan hati. Aku mohon maaf sekali lagi andai terlalu kasar. Kadang pabila mahu disedarkan seseorang perlu ditampar dengan realiti.

Masa yang berdetik ini adalah masa tambahan yang Tuhan anugerahkan kepada kau. Tuhan tidak terus menarik nyawa Ayah kau kerana Dia tahu, masih ada yang tersimpan kejap di dalam hati. Masih tersisa kasih yang mahu diberi.

Hargai waktu ini Malik. Supaya jika dia pergi, kau lebih senang melepaskan kesumat di hati. Jangan kau genggam bara kebencian terlalu lama. Sudah terlalu dalam lukanya. Sudah sampai masa kau ubati luka di hatimu. Usah kau simpan sendiri lagi. Kerana andai kita pergi, akan ada yang menyendiri. Walau seketika, akan ada yang terluka.

Jadi ceritakanlah, ceritakan segalanya kepada aku. Biar luka di hati itu sedikit sembuh. Biar kau dapat melepaskan lelah buat seketika. Biar, kesumat di dada hilang. Aku tak akan faham apa yang kau sedang lalui sekarang, tapi sekurang-kurangnya aku boleh menjadi pendengar atau dalam kes kita, pembaca luahan hati kau.

Itu sahaja yang aku mampu lakukan setakat ini. Dan kalau kau tidak keberatan, berikan alamatmu. Aku senang sekali kalau kita boleh terus berjumpa.

Ya Allah, aku berharap sangat kau sedang membaca surat ini Malik. Kalau tidak.. entahlah.

Sekian,

Kuntum.

Previous: Malik#3
Next: Malik#4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Osman Deen