Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 1

Sudah jauh kelana ini, berbatu rasanya tentera Maharaja mengejar kami sejak kami tiba di Shimagane di hujung barat Honshu.

 

Hanya baru beberapa bulan kami berehat selepas Pemberontakan Ayame, kami dikejar pula.

 

Aku dan Hisamiko bergegas meninggalkan Hidagawa sebaik mendapat khabar dari Shinji. Shinji, engkau memang sahabat sejati. Aku tidak akan lupakan jasa-jasamu!

 

Shinji, bersama ahli lain di dalam Kogen, masih di Shirasaka-no-Kogen, cuma ia kini telah aku serahkan sepenuhnya di bawah seliaan pegawai yang dilantik langsung oleh Maharaja.

 

Ya, aku telah lepaskan Kogen! Seorang pemuda berumur 22 tahun (pada tahun ini, 1877) telah diwariskan Shirasaka Koichi agar memimpin organisasi sebesar Kogen yang penuh dengan isu dalaman itu! Koichi engkau memang gila mewasiatkannya kepadaku. Dan engkau langsung tidak membincangkannya denganku dahulu!

 

Kini, Kogen bukan lagi organisasi bebas. Ia telah menjadi badan penggerak utama agenda pembaharuan Maharaja. Ketuanya kini adalah Perdana Menteri Ito Hiroshi, perdana menteri pertama kami yang dilantik mengikut perlembagaan Maharaja yang dirangka dengan merujuk perlembagaan Prussia itu. Tentang bagaimana Perdana Menteri Ito sendiri mengetuai pertubuhan ini, aku tidak tahu bagaimana. Memimpin negara yang masih bergolak sudah cukup menyerabutkan, kini engkau tambah pula dengan Kogen yang semakin parah dari dalamnya.

 

Namun Kogen tidak lagi sesukar dan separah itu, sekurang-kurangnya dengan tertewasnya Ayame dan semua pemberontak dalam peperangan baru-baru ini.

 

Dalam peperangan itu, para pemberontak terbahagi dua, dengan tujuan sama memerangi Maharaja: satu belahan di Kyushu dan satu lagi belahan di Hidagawa.

 

Di Kyushu Maharaja telah menghantar tentera menentang Saisho Takanori (samurai terakhir yang direkodkan dalam buku sejarah kami) dan pakatannya, sementara di Honshu di tengah Hidagawa pula Maharaja menghantar Kogen dan tenteranya menentang pakatan Hamada Yoshinobu dan Ayame. Aku dan Hisamiko menyertai kempen baginda di Hidagawa dan kami sendiri telah menyembelih Ayame. Koichi bapanya, merangkap ketua Kogen telah merestui keputusan ini dengan hati seberat bumi.

 

Siapa tidak bersedih dengan pemergian Ayame. Aku pernah bersama-samanya dalam misi Kogen. Siapa tidak bersedih rakan seperjuanganmu berubah menjadi seteru sekelip mata. Koichi bapanya paling bersedih, menangisi Ayame di kuburnya di lembah kami lembah Okuhida sehingga yang tinggal hanya mayatnya yang sudah tinggal rangka.

 

Mengapa pula Ayame dikuburkan di lembah kami? Koichi yang meminta. Lembah kami tiada sesiapa dan aman dari manusia. Dia mahu melawati dan menangisi Ayame tanpa diperhatikan. Aku tidak kisah. Lagipun dia selalu ke situ dan membersihkannya.

 

Ternyata kini, dengan kematian Ayame, calon Kaisenjyo tertumpu kepada adikku. Maka aku harus bergegas lari dari sini sebelum Maharaja dan tenteranya menangkap kami. Aku meramalkan baginda akan menangkap kami. Aku telah nampak isyarat-isyarat yang melingkar dalam kalangan kazoku.

 

Jika Maharaja berkeras menangkap kami, aku bimbang, Maharaja akan tewas jua. Aku percaya takdir menyebelahi kami. Aku telah melihatnya. Semakin aku cuba mengelakkannya, semakin kami hampir dengan ramalan itu. Ini adalah ikhtiar akhirku untuk Hisamiko, iaitu lari ke Kyushu sebelum baginda menangkap kami. Demi negara yang telah kami bina, demi kelangsungan takhta diraja, juga demi kebaikan Hisamiko.

 

Kami tidak boleh bersembunyi di lembah kami. Di situ tiada apa-apa, primitif. Ia sesuai untuk petapa seperti Koichi. Namun kami perlu hidup dan kami perlu hidup seperti manusia biasa. Kami bukan sami, kami juga bukan samurai. Jika aku mati suatu hari nanti, Hisamiko perlukan seseorang dalam hidupnya. Bagaimana mungkin dia meneruskan hidup seorang diri?

 

Dan khabar dari Shinji tiba. Tepat ramalanku, Maharaja sedang bersiap-sedia menangkap kami. Ini pasti kerja kazoku! Kami beredar tanpa berlengah, menyembunyikan wajah dan mengembara sehingga ke Shimagane. Sebaik tiba di Shimagane, aku sedar kami telah diekori mata-mata baginda. Shinji benar. Kami menyamar dan menyelinap masuk kapal menyeberangi Selat Shimonoseki sehingga berjaya sampai ke Kyushu. Di sana kami menghuni banyak rumah tumpangan sehinggalah kami tiba di Dejima. Aku bercadang mahu melarikan diri dari Dejima ke luar negara.

 

Aku mengambil kesempatan berjalan di waktu dinihari di Dejima, cuba mencari jalan keluar dari pelabuhan ini. Barangkali lari ke luar negara seperti Qing atau Joseon. Dalam mencari aku terlihatkan poster bertampalan pada tiang-tiang kayu rumah dan kedai. Ia iklan merekrut pelombong ke sebuah pulau.

 

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, peluang begini datang menggoda. Aku bergegas esoknya bertemu wakil yang menampal iklan itu. Ini peluang kami keluar dari Jepun barangkali. Asalkan kami dapat meninggalkan Jepun, itu sudah cukup baik.

 

Namun pulau? Aku cuba mengamati jika apa yang kubaca di poster itu benar pulau destinasinya. Apakah pulau ini cukup terasing dari tamadun? Mungkinkah kami lebih mudah bersembunyi dan tidak akan dijejaki? Aku tidak tahu. Namun lebih baik aku mencuba. Kami tiada pilihan. Lebih lama kami di Dejima lebih besar peluang untuk kami ditangkap.

 

Sebentar, jika kami melarikan diri ke pulau yang tersisih dari tamadun, bukankah itu sama sahaja seperti tinggal di lembah kami Okuhida? Tidak, tidak sama. Di pulau itu kami boleh keluar mencari makan dengan bebas. Di lembah Okuhida yang langsung tiada binatang hatta ikan itu, kami boleh keluar namun risiko diperhatikan mata-mata baginda masih ada. Tentera Maharaja semakin ramai ditempatkan di dalam kawasan hutan pergunungan itu demi menghapuskan saki-baki samurai. Apapun, kami masih berpeluang menumpang kapal lain ke negara lain jika pulau itu tidak sesuai didiami, lagipun kami sudah di luar kawalan Maharaja. Itu perancanganku. Asalkan bukan Jepun, asalkan bukan Jepun.

 

Hisamiko mesti hidup. Walau nyawaku berpisah dari badan sekalipun, Hisamiko mesti hidup!

 

**

 

Tatkala kami bercadang melarikan diri ke Kyushu dan semakin hampir dengan Shimagane, mereka mula menghantar orang mengejar kami. Aku tak sangka begitu pantas sekali Maharaja bertindak! Ini pasti kerja kazoku! Namun mujur kami lebih pantas. Aku harus berterimakasih dengan Shinji. Aku tidak akan lupakan jasamu Shinji!

 

Mulanya Hisamiko tidak bersetuju dan bertanyakanku mengapa harus kami melarikan diri sedangkan kami sudah mendapat kepercayaan Maharaja dan diberikan tanah dan rumah di Hidagawa? Katanya dia sudah penat hidup dalam pelarian sewaktu kami menjadi Bayu Malam. Aku bertegas tanpa memberikan alasan. Hanya itu sahaja cara yang berkesan. Hisamiko harus menurut. Dalam kami mengembara ke Kyushu dan dikejar itulah aku memberitahu segala-galanya. Termasuk ramalan Amaguri berkenaan Kaisenjyo, sesuatu yang tidak pernah diberitahu kepada Hisamiko. Dia terkejut. Dia tidak pernah mendengarnya. Akan tetapi dia memberitahuku dia pernah bertemu Kaisenjyo di dalam mimpi.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov