Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 32

Andai kautahu kisahku Miko... apakah engkau akan berubah fikiran dan menyokong perbuatanku?

 

Hari itu masih jelas di benakku. Ia musim luruh 1862, dan aku hanya berusia sembilan tahun. Aku diculik di tengah-tengah pekan di utara. Aku mengikut seorang pawang Emishi dalam separa sedar, aku tidak tahu mengapa. Aku terdorong mengikutnya seolah-olah dia bapaku, sedang bapa sudah lama pergi ketika perang kami dengan Emishi. Aku lupa nee-chan yang bersamaku di pekan itu.

 

Ketika engkau berusia sembilan tahun, apa yang kaulalui Miko-chan? Apakah engkau turut melalui perkara sama? Kerana aku dapat lihat sengsara di matamu. Apakah ia sengsara yang sama yang aku lalui? Ah, sukar benar mengorek kisahmu. Engkau berkata pabila ditanya dan berhenti pantas. Lupa aku engkau belum membuka sepenuhnya kisahmu. Engkau memang seorang yang pendiam. Amat pendiam.

 

Aku terpinga-pinga selepas diangkut ke dalam kereta kuda. Sedar dari pukau – yang mana aku hanya mengetahuinya kemudian dari rakan-rakan yang turut sama diculik – aku sudah berada di dalam sebuah rumah tumpangan bersama sekumpulan gadis yang kelihatan sebayaku. Aku melihat mereka ketakutan, duduk memeluk lutut dan menunduk wajah.

 

Hampir setiap hari, seorang demi seorang dari mereka dan kadangkala dalam kumpulan, diambil dan dibawa jauh meninggalkan tempat ini menaiki kereta kuda. Melihatkan pakaian lelaki-lelaki yang mengangkut mereka, jelas mereka dari puak Emishi. Aku dapat mengecam lelaki yang memukauku di pekan tempoh hari salah seorang dari mereka.

 

Suatu hari, aku bersama empat lagi tahanan diangkut ke dalam kereta kuda mereka. Kami diberi makan onigiri seorang satu sebagai sarapan. Perjalanan agak jauh merentas bendang dan hutan belantara selatan. Separuh hari kami dibawa menaiki kereta kuda itu, sehinggalah kami tiba di sebuah kawasan laluan pedagang. Mereka memesong ke laluan di satu simpang menuju ke tepi sebatang anak sungai. Di sana sekumpulan tiga lelaki sedang menunggu kami dengan kereta kuda. Salah seorang dari tiga lelaki itu memakai lilit di kepala dan hitam kulitnya serta tinggi dan tegap tubuhnya.

 

Mereka bercakap-cakap beberapa ketika. Buah butirnya ialah berkenaan berapa harga yang ditawarkan pemerdagang Emishi itu untuk setiap kepala kami. Dua ekor kuda bersamaan satu kepala kami, itu yang jelas di telingaku. Kami dijual seperti binatang ternak.

 

Kami diangkut ke dalam kereta kuda lelaki yang menunggu. Pemerdagang Emishi itu beredar dan aku tidak pernah bertemunya lagi sejak saat itu.

 

Ojii-san, ke mana kami akan dibawa?” Aku memberanikan diri bertanya lelaki berlilit kepala yang kuagak ketua mereka.

 

Lelaki itu tidak menjawab. Rakan-rakanku yang lain hanya tunduk membisu seperti biasa. Semua ketakutan.

 

Ojii-sanonegai. Aku mahu pulang bertemu nee-chanOnegai!”

 

“Diam!” Tengking lelaki itu.

 

Aku menangis dan meraung. Gadis-gadis lain hanya diam dan memandangku. Seorang gadis yang kecil tubuhnya, duduk di sebelahku, menepuk belakangku. Dia memperkenalkan dirinya, bernama Himawari. ­­Kemudian datang seorang merapati, bernama Kanako, dan seorang lagi bernama Yuri. Dan seorang lagi yang suka diam menyendiri bernama Kumiko.

 

Kami tiba di perkampungan nelayan di Ishikawa. Kami dibawa menaiki bot-bot kecil ke sebuah kapal besar. Aku meraung-raung lagi sehingga kaki dan tanganku diikat dan kami dibawa ke dalam kapal besar.

 

“Aku ambil loket ini. Mulai hari ini engkau akan dilupakan, dan engkau lupakanlah semuanya tentang negara ini.” Kata lelaki berlilit kepala kepadaku selepas memotong loket di leher pemberian kakakku. Dia meletakkan loket itu pada penyepit rambutnya dan menyeringai memandangku. Aku menangis sekuat hati. Itu satu-satu pemberian kakakku. Sampai hati dia mencurinya. Tergamak dia!

 

Pernahkah engkau direnggut semua ingatan terhadap orang yang kausayangi, Miko? Loket itu kecil maknanya pada lelaki itu namun hanya itu sahaja memori nee-chan yang masih aku miliki.

 

Sejak saat itu aku tidak pernah lagi bertemu lelaki berlilit kepala. Kami berlayar sehingga ke Semenanjung Joseon.

 

Di Joseon, aku dihantar ke sebuah rumah geisha di sebuah pekan pelabuhan bernama Busan. Aku dilatih oleh seorang yang kupanggil ‘okaa-san’, bersama empat gadis yang bersamaku dalam kereta kuda itu. Kami dilatih sehinggalah cukup umur untuk melayan lelaki pada usia enam belas tahun. Sejak mula dipaksa melayan lelaki, aku mula merasa betapa gelapnya hidup di sini. Aku dalam enggan terpaksa merelakan tubuhku digomol diratah lelaki-lelaki dari pelbagai bangsa, ramainya dari Joseon sendiri dan ada sekali-sekala pedagang dari tanah tumpah darahku Jepun. Ada yang datang dari Qing juga, dan mereka pembekal candu kepada rumah ini.

 

Ada antara kami yang mulai menghisap candu demi melupakan kejijikan demi kejijikan yang dipaksakan ke atas kami. Aku mahu melarikan diri namun bagaimana? Dengan samurai berkawal di luar? Aku tidak tahu, aku tidak tahu ehwal selok belok di luar kerana aku tidak pernah keluar sejak tujuh tahun lepas. Aku hanya makan dan tidur di dalam rumah ini. Dan aku tidak biasa dengan negara asing ini yang bahasanya sungguh berlainan.

 

Semuanya gelap. Apa harapan lagi yang tinggal?

 

Setiap hari aku berdoa. Aku pinta dari-Nya agar membuka sinar harapan di hujung terowong.

 

Himawari tempat aku selalu bercerita. Himawari banyak mendengar. Umurnya muda tiga tahun dariku. Pada hari pertama dia mula melayan lelaki, dia menangis di bahuku. Kemudian lama-kelamaan dia seperti sasau, bernyanyi seorang diri dan mula menghisap candu.

 

Satu ketika, dia mendapat pelanggan tetap. Kerapkali hanya pelanggan itu yang membawanya keluar dari rumah kami. Dia mendapat penyakit kelamin tidak lama selepas itu dan pergi meninggalkan kami pada usia yang sangat muda. Dia tidak mengambil ubat sakit kelamin yang disuguh kepada kami, kerana dia membenci kesan sampingannya. Itu kufikir penyebab dia dijangkiti.

 

Aku mencuri menyemak buku pelanggan yang okaa-san simpan. Aku tahu siapa mereka. Mereka dari Jepun, dari negara kami sendiri. Aku pasti mereka akan datang lagi ke sini, mencari gadis lain sebagai pengganti Himawari. Aku lihat Kanako dipilih. Namun kali ini bukan setakat Kanako, aku dan Yuri turut diambil sama. Mereka mahu melanggan kami selama berbulan pelayaran ke selatan. Mereka akan melalui Taiwan dan kemudian pulau Luzon. Aku menggetap bibir, mahu sahaja aku potong kemaluan mereka semua. Namun tidak, aku harus menunggu peluang.

 

Yuri kelihatan gembira, kerana dia dapat keluar melihat tempat lain. Namun aku rungsing. Kami akan berada di atas kapal itu berbulan, mengikut ke mana sahaja pedagang itu pergi. Di Taiwan, mereka tersalah lokasi berlabuh. Maka kami terpaksa menunggu dan menaikkan bendera meminta pertolongan.

 

Satu kapal peronda dengan bendera Qing tiba. Mereka memperkenalkan diri sebagai peronda laut Qing dan menawarkan untuk membawa kami ke pelabuhan yang betul. Di kala sesat itu kami terpaksa bermalam di khemah-khemah dan itulah pertama kali aku berpeluang melihat pantai yang luas sejak aku dikurung di Joseon. Kala itulah juga pertama kali aku merasakan kebebasan yang telah lama hilang, sejak aku mula diculik. Perasaan mahu melarikan diri memuncak. Aku cuba melarikan diri, namun amat sukar kerana dibatasi para pengawal.

 

Yuri menangis-nangis tatkala kami diarahkan naik ke kapal untuk ke pelabuhan Taiwan. Aku cuba menenangkan. Namun tindakan ganas pengawal menolaknya masuk membuatkan dia tambah berang, dan tatkala kesempatan muncul dia pantas berlari dan melompat turun ke laut. Aku terkesima. Aku perhati dia perlahan-lahan ditelan arus lautan yang menggila. Kali terakhir gambaran wajahnya tenggelam timbul dengan tangan melambai-lambai sungguh memilukan hati. Aku menangis berhari-hari sehingga kering air mataku dan yang tersisa hanya sendu dan api dendam.

 

Saat itu dendamku mula diselaputi rasa benci yang membuak-buak terhadap mereka. Aku mahu menyapu bersih semua binatang yang menahan kami sejak dari Joseon ini. Namun aku perlukan kekuatan. Aku hanya diam dan sugul tatkala duduk bersandar di dalam bilik kapal. Dua rakanku sudah pergi. Giliranku pasti akan tiba jua nanti, cepat atau lambat. Aku tidak mahu mati selagi aku belum bertemu nee-chanNee-chan, nantikan aku. Bersabarlah. Aku pasti akan bertemumu jua.

 

Kami sampai di pelabuhan Taiwan. Aku melihat peronda Qing itu memanggil rakan-rakannya, dan meminta upah dari kru kapal kami. Katanya, dia sebenarnya tidak mewakili Qing dan kerajaan Qing tidak mengawal pulau Taiwan ini meskipun meletakkan di bawah jajahannya. Kami membayarnya. Dari itu aku dapati penguasaan Qing di sini lemah. Mungkin sebarang malapetaka yang menimpa kami tidak akan dilayan. Aku mula berfirasat akan perkara-perkara buruk jika kami dianiaya penjenayah.

 

Dalam kumpulan kami berlima, kini hanya Kumiko dan Kanako yang masih bersamaku. Selain kami adalah wanita baru yang dibawa dari Joseon. Kami tidak rapat dengan mereka. Masing-masing hanya berbicara dan bergaul rapat dengan rakan yang mereka kenali sahaja. Kami semua ketakutan dan berada di luar Jepun. Rasa percaya kami amat terbatas. Pandangan kami pesimistik.

 

Kami bertiga dihantar ke rumah penginapan di pinggir bandar pelabuhan itu. Pelabuhan di Taiwan itu yang dinamakan Tamsui diselia pegawai dari Qing. Di sini ramai pedagang Eropah datang untuk membeli teh, gula tebu, belerang, candu, celupan ‘dye’ dan kapur barus serta produk eksport lain buatan empayar Qing. Juga, Taiwan ialah pulau yang jauh di selatan dan iklimnya sesuai untuk pelbagai jenis tanaman, seperti tebu dan buahan. Disebabkan itu, pedagang Belanda yang tidak dibenarkan memasuki tanah besar Qing membuat pangkalan di sini pada abad ke-17 lepas dan menanam tebu sebanyaknya sehinggakan tebu menjadi salah satu eksport utama pulau ini, dan diteruskan kemudian oleh pendatang Han dari tanah besar Qing dan petani orang asli di sini. Begitulah sejarahnya yang kubaca dan kudengar dari pedagang.

 

Kanako memberitahu dia teringin memakan tebu selepas kami melalui pasar di situ. Dia berasal dari utara namun jauh dari kampungku. Kampungnya lebih dekat dengan Selat Tsugaru. Barangan dari selatan yang salah satunya tebu amat sukar ditemukan di pasar-pasar di utara. Aku cuba memberitahu dan mendesak Kazumasa, lelaki yang mengawal kami agar berhenti sebentar di pasar untuk membeli tebu, namun Kazumasa tidak membenarkan.

 

Kanako bermuram muka. Dahulu sewaktu kami di Joseon dan mendapat berita kami akan dibawa berlayar, dia juga teruja seperti Yuri. Namun tatkala dikawal dan dikongkong dari sekadar membeli-belah cuma, dari sekadar mencuba makanan baru cuma, dia jadi berang. Dia mencuri keluar dari rumah penginapan kami tanpa pengetahuanku. Ketika dia berjalan seorang diri dia diculik. Esoknya sampai laporan kepada kami dia dibunuh penyamun dan rantai emasnya dilarikan. Aku melihat mayatnya dan sejurus itu aku mengecamnya. Aku mendesak Kazumasa agar melaporkan kepada wakil kerajaan Jepun di situ. Namun Kazumasa mengatakan, “Dia hanya pelacur. Dan fikirlah jika aku melaporkan, apa akan terjadi pada hubungan Qing dengan Jepun?”

 

Menyirap darahku tatkala mendengarnya. Aku lagi mendesak, bahkan memegang kaki Kazumasa. Kazumasa menendang perutku dan berkata lagi, “Oi, Mine. Itu bukan salahku. Bukankah telah aku ingatkan kalian agar jangan curi-curi keluar? Sekarang salah siapa dia mati, ha?”

 

“Engkau diamkan sahaja perkara ini, ne? Atau engkau aku bunuh!” Kazumasa mengugut, kemudian dia meludah seraya berlalu pergi.

 

Aku benar-benar kecewa. Kanako hanyalah rakanku. Kami juga manusia, bahkan kami tidak diminta bekerja sebagai pelacur. Kami telah diculik, dijual seperti ternakan dan dipaksa melayan lelaki. Kami berhak mendapat perlindungan undang-undang sepertimana rakyat Yamato yang lain.

 

Esoknya aku membaca satu surat yang ditinggalkan di futon Kumiko. Dia memberitahuku dia telah mengikut satu kumpulan pedagang Qing yang membelinya. Katanya dia tidak akan kembali lagi ke Jepun dan Joseon, dan terus tinggal di Qing. Aku tahu, Kumiko dijual demi menampung hutang yang dibayar kepada ‘peronda Qing’ palsu tempoh hari. Aku fikir, pedagang yang melanggan kami sudah pun memesong jauh dari persetujuan asal dengan pemilik kami di Joseon. Nampaknya aku tidak akan kembali ke Joseon lagi, kecuali jika aku melarikan diri.

 

Selepas kematian Kanako dan Kumiko dijual, aku berseorangan. Aku nekad mahu melarikan diri. Aku menyelinap masuk ke kapal lain. Namun Kazumasa ternampak dan aku ditangkap. Aku dipukul dan dikurung sehingga bengkak-bengkak. Mereka membiarkan aku dirawat tabib kapal. Selepas itu kakiku dirantai dan aku hanya dibenarkan ke mana-mana dalam lingkungan rantai itu. Mereka tidak menyentuhku sejak aku dipukul, namun beralih perhatian kepada wanita lain yang baru dibeli di Taiwan. Aku dibiarkan dirantai di dek bawah, di tempat menyimpan arang.

 

Aku berdoa berhari-hari, tidak putus-putus. Dan tidak semena-mena kapal itu dipukul ribut dan terdampar di sebuah pulau yang aneh.

 

Tidak lama selepas itu, aku bertemumu Hisamiko di tempat yang aneh dan perlakuanmu yang aneh. Pertama kali aku bertemu seorang wanita sepertiku, namun tahu bertarung.

 

Sejak bertemumu Miko, aku bilang tiada lagi hari yang lebih indah dari hari-hari kita bersama. Aku melihat harapan pada dirimu. Aku yakin wanita mampu bertarung dan menewaskan bangsat-bangsat itu. Saat itu aku fikir aku tidak lagi perlu mengalah dan hanya memendam kebencian ini di sudut hati. Aku yakin, aku mampu menzahirkannya, demi Himawari, Kanako dan Yuri.

 

Namun kegembiraan itu tidak mampu menyembuhkan luka lamaku yang kian bernanah. Aku tidak mampu, aku hanya manusia yang lemah, Miko.

 

Engkau tahu, Miko.

 

Setiap kali aku memukul besi itu sehingga pipih dan berkilau, setiap kali itu aku membayangkan aku akan menetak bangsat-bangsat itu dengan bilah yang akan terhasil ini.

 

Setiap kali aku penat tatkala percubaan mengeluarkan besi dari bijihnya gagal, dan aku berasa lemah untuk membina kembali relau tanah liat itu, setiap kali itu wajah-wajah Yuri, Himawari dan Kanako muncul bersilih ganti dalam benakku, mendorong tulang empat kerat dan sendi yang masih bersisa kudrat kecil ini dikerah mengangkut tanah-tanah itu dan mengacunya.

 

Aku kepalkan tekad demi dendam ini, semasa tangan ligat mengepal tanah liat menjadi relau. Aku yakin aku mampu menghasilkan sesuatu. Aku yakin aku dapat beroleh sesuatu darimu Miko.

 

Apakah engkau pernah merasa keperitan ini Miko? Apakah kaufaham apa yang aku rasakan?

 

Sejujurnya aku benar-benar ingin tinggal denganmu di sini. Kala hari itu, aku fikir aku sudah melupakan dendamku itu. Nanah luka lama kian kering dan memarut. Aku bilang masa akan menyembuhkannya, dan kehadiranmu akan menghilangkan parutnya.

 

Namun mengapa mereka tiba di sini Miko? Mengapa tidak sahaja mereka hilang ke mana-mana belahan bumi? Mengapa mereka datang ke sini dan mencucuk jarum ke dalam luka lamaku Miko?

 

Dan aku berdiri di hadapan lelaki yang telah menolak Yuri dan membangkitkan kemarahannya. Yuri berang dan lari terjun ke laut. Dan lelaki ini sedang enak menghirup teh bersama ketuanya. Aku tidak berlengah dan melibas pedangku. 

 

Dan aku berdiri di hadapan lelaki yang mengetuai rombongan pedagang yang membawa kami ke Taiwan dahulu. Dia bertanggungjawab melaporkan kes bunuh Kanako kepada wakil kerajaan Jepun di Taiwan namun dia mendiamkan diri. Aku libas pedang ke lehernya. Ada dua tiga orang di dalam khemah itu terkesima seraya cuba membunuhku dengan pistol, namun dengan kaminari-mu Hisamiko, aku menewaskan mereka seperti angin lalu.

 

Sekarang di mana Kazumasa? Aku tidak pernah bertemunya lagi sejak kakiku ditusuk pisaunya. Ah, itu semua tidak lagi penting. Aku telah menghapuskan semua musuh yang telah muncul di hadapan mataku. Yang tersembunyi itu tidak penting. Aku mahu pulang, Hisamiko. Hanya itu sahaja yang aku mahukan sekarang. Aku mahu pulang!

 

 

*****

 

TAMAT

 

BUKU III: YUMEJIMA

 

ARKA I: HISAMINE

 

SETERUSNYA

 

BUKU III: YUMEJIMA

 

ARKA II: KAISENJYO

 

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov