Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 35

 

“Dan Nozomi, ini peninggalan bapamu sebelum dia dicampak ke dalam laut.”

 

Yoshimaru mengeluarkan satu silinder kecil seperti kelongsong fukiya dengan penutup di kedua-dua hujung. Di dalamnya ada sebatang kayu ukiran yang tidak lengkap, bersama sepucuk surat.

 

Nozomi mengambil kayu ukiran itu dan mencantumkannya dengan kayu ukiran yang bergantungan pada rantai lehernya. Ia membentuk sebatang patung kayu kecil berbentuk pedang. Jelas peti itu milik bapanya. Dia membuka surat itu, dan mengamati tulisannya. Ia tulisan bapanya benar, yang berbunyi:

 

“Nozomi, pilih untuk dihalau ke pulau. Engkau perlu teruskan hidup. Adikmu selamat di Kyoto. Maafkan aku kerana melibatkanmu.”

 

Nozomi menekup muka. Dia tahu dia petarung yang dilatih bapanya sendiri sejak kecil.

 

“Yoshimaru, engkau tahu di mana adik lelakiku?”

 

“Usah kau bimbang, Motoba Yasuo membawanya lari keluar dari Nara.”

 

“Anak kepada hakim Motoba... Tak sangka bugyou masih mahu membalas jasa kami dalam tempoh bergolak ini. Di mana dia sekarang?”

 

“Kyoto. Di rumah bapa saudaramu. Keturunan Okuhida akan berkesinambung dari situ, jika diiizinkan Tuhan.”

 

Penerangan Yoshimaru bertepatan dengan perkhabaran bapanya.

 

“Kyoto? Engkau gilakah? Bukankah Ashikawa berada di situ?”

 

“Bertenang Nozomi. Engkau lupa keturunanmu boleh bersembunyi dengan tama-no-iwa?”

 

“Benar.” Nozomi mengiyakan perlahan. “Tama-no-iwa boleh digunakan di mana-mana. Namun mengapa dia dibawa ke Kyoto?”

 

“Mungkin engkau sukar mempercayaiku, Maharaja sendiri yang mahukan kalian di sana. Engkau lupa kalian dari keturunan Fujiwara, darah gahara itu?”

 

“Aku tidak percayakan Maharaja. Jika tidak masakan baginda sanggup membiarkan Ashikawa membuangku dan bapaku?”

 

“Maharaja tidak mempercayai Ashikawa. Itu yang kudengar dari Motoba. Baginda sedang memasang orang-orangnya memerhati Ashikawa di sekitar Kyoto. Dan engkau dan bapamu terpaksa dikorbankan, atau baginda terpaksa menghadapi pemberontakan Ashikawa. Dia mengawal baginda seperti boneka.”

 

Dia tunduk, dan Yoshimaru mendongakkan kembali wajah itu dengan jarinya.

 

“Dan engkau Nozomi, engkau bukanlah Kaisenjyo. Aku tahu mereka menyalahanggap ‘tahun sembilan zaman gemerlap’. Engkau bukan penumpah darah, Nozomi.” Yoshimaru memegang tangan Nozomi dengan kedua-dua belah tangannya, merenung mata Nozomi penuh simpati.

 

Air mata Nozomi mengalir menuruni pipi. Tidak disangka Yoshimaru satu-satunya insan yang mempercayainya. Samudera tiba-tiba berombak menggoncang dua jiwa dalam sampan, Yoshimaru membantu menyeimbang sampan dengan kembali membetulkan duduk.

 

“Kita bukan di zaman gemerlap. Jauh sekali. Kita masih di zaman gelap.”

 

“Apa maksudmu?”

 

“Selagimana keadilan dipijak, zaman gemerlap yang dicanang ‘Amaguri’ itu tidak akan berlaku. Aku pasti, pabila kita tiba di mana-mana pulau nanti, kita akan membiakkan keturunan kita dan keturunan kita itu akan kembali ke Jepun. Nozomi, kita lupakan hidup yang lama dan mulakan hidup baru bersamaku.”

 

“Apa maksudmu, Yoshimaru?”

 

“Kita masih belum mengalami pembaharuan!”

 

“Pembaharuan?”

 

“Ya. Pabila samurai semua dihapuskan. Aku telah membaca habis teks Amaguri yang bapa kau simpan. Pabila semua samurai dihapuskan dan Maharaja kembali memerintah tanpa shogun. Hanya saat itu barulah zaman gemerlap yang dicanang Amaguri muncul.”

 

“Jadi ini perancanganmu? Melarikan diri dari bapamu dengan bersamaku di sini?”

 

“Benar.”

 

“Sekarang apa perancangan kita? Mati bersama-sama di laut?” Soal Nozomi sinis.

 

“Aku tidak tahu... namun aku akan cuba dayung ke mana-mana.”

 

Selepas berhari-hari mereka terdampar di sebuah pulau.

 

Nozomi dan Yoshimaru terbaring lena di atas pasir pantai. Terik mentari mengejutkan mereka.

 

Yoshimaru menggoncang-goncang tubuh Nozomi, “Bangun, Nozomi! Nozomi!”

 

Nozomi terbatuk-batuk dan memuntahkan pasir. Tidak jauh dari mereka keping-keping papan sampan yang mereka naiki pecah punah. Seingat Yoshimaru, malam tadi sampan mereka dipukul badai, dan dia berpaut pada kayu sedang Nozomi berpaut di belakangnya.

 

Yoshimaru duduk. Nozomi masih berbaring, matanya perlahan-lahan terbuka. Dia bertanya lemah, “Di manakah kita?”

 

“Mungkin sebuah pulau.” Balas Yoshimaru.

 

Yoshimaru memaut Nozomi yang masih lemah dan bergerak menuju ke atas tebing tinggi.

 

“Aku tidak mahu masuk ke hutan di bawah.” Ujar Yoshimaru, merujuk kepada hutan di pinggir pantai yang merumahkan lombong emas itu dan diairi sebatang sungai yang jernih kehijauan. “Hutan itu tampak menakutkan. Entah apa yang menghuninya.”

 

Yoshimaru membaringkan Nozomi yang lemah di atas rumput di atas tebing tinggi. Dia berdiri dan melihat lautan lepas. Jepun sudah jauh di ufuk, tidak lagi kelihatan barang sebuah pulau pun, barang sebeting tanah pun. Hanya biru air sejauh mata memandang, hanya biru langit sejauh mata menengadah. Yoshimaru memusing kepala mengimbas segenap panorama. Langsung kosong dalam biru air sekelilingnya. Nai, karappo. (tiada, kosong).

 

“Kita sudah jauh sejauhnya dari Jepun. Mustahil Maharaja dapat menjejaki kita lagi. Nozomi, engkau baring di sini, aku mahu ke hutan dahulu.”

 

Nozomi hanya mengangguk lemah. Dia terkenang detik-detik bersama Yoshimaru sewaktu masih kanak-kanak. Dia mengenali Yoshimaru sejak kecil. Keluarga Yoshimaru ialah samurai misteri yang berkhidmat dengan keluarganya. Kata Yoshimaru, mereka ialah cabang puak samurai yang memerintah utara. Mereka melarikan diri kerana bapanya bertelagah dengan datuknya.

 

Aku melihat Yoshimaru hanya sebagai kawan, tidak lebih dari itu. Dia seorang yang baik, namun fizikalnya lemah. Tubuhnya kurus dan kecil. Wajahnya keanak-anakan dengan telinga capang dan kulitnya putih melepak. Dia selalu dibuli, mungkin disebabkan itu dia belajar menipu demi melindungi dirinya. Akulah yang selalu menyelamatkannya dari dibelasah pembuli. Sehinggalah kami dewasa, barulah dia gigih belajar bertarung dan tahu melindungi dirinya sendiri.

 

Adiknya pula amat berlainan fizikal. Kuat, dan juga bijak, serta ada terampil kepimpinan. Mungkin disebabkan itu bapanya tidak berkenan mewariskan jawatan ketua puak kepada Yoshimaru, bahkan sanggup membuang Yoshimaru jauh-jauh. Aku fikir, bukan setakat fizikal, bahkan Yoshimaru juga punya sikap tidak memandang berat tanggungjawab. Dengan kemahiran menipu, dia hanya tahu mengelak dan melepaskan diri. Namun jika ia berkait dengan diriku, dia sanggup melakukan apa sahaja. Hatta membenarkan diri berlayar ke tengah lautan dibuang negeri. Padaku, cintanya terhadapku adalah cinta keanak-anakan. Cinta taksub tanpa disertai perancangan mengambil tanggungjawab lebih. Aku bimbang jika aku bersamanya, mahligai yang kami dirikan tidak akan bertahan lama. Kami mungkin akan dikelilingi musuh dan akan melarikan diri sepanjang masa. Aku masih meragui kebolehan Yoshimaru. Aku tahu cintanya tidak berbelah bahagi, namun aku masih belum memutus menerimanya. Dia telah menagihnya dan menyoalku dahulu, dan masih menunggu jawapanku, sehingga saat ini.

 

Dengan kami terperangkap di sini, apakah dia akan berubah menjadi seorang lelaki? Aku telah melihat kesungguhannya mengikutku, dan mengatur menyampaikan khabar bapa kepadaku, dan khabar Motoba Yasuo tentang adikku. Apakah aku boleh bergantung harap padanya di masa mendatang?

 

Nozomi dibiarkan berjemur di bawah cerah mentari. Cahayanya tidak terlalu terik. Angin laut berhembus menghantar kedinginan dan mempercepatkan pengeringan. Nozomi mengerah kudrat bangun duduk. Yukata putihnya yang comot perlahan-lahan mengering dan kesan-kesan tanah yang tidak dilunturkan air laut kini mendebu dan sudah boleh dikikis.

 

Dia cuba berdiri, namun hanya sebelah kaki yang mampu memijak tanah tanpa mendatangkan rasa sakit. Sebelah kaki lagi tidak boleh menekan tanah. Dia mengeluh dan kembali duduk, merenung laut lepas.

 

**

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov