Home Novel Cinta New Romance
New Romance
Ann Hann
15/1/2023 07:22:09
8,128
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Setahun kemudian… selepas siren kecemasan sudah lama dimatikan.


Musim panas kembali. Kota London kembali menjadi tumpuan. Musim cuti-cuti begini ramai orang keluar membeli-belah, lepak di taman, di kafe, bercuti menghabiskan duit sempena jualan murah. Dari pintu kaca aku melihat orang ramai berjalan di tepian bangunan, saling berlanggar bahu, saling tidak mengenali tetapi masih mampu bergembira.

“Kau dah baca?” tegur Ellen tiba-tiba muncul.

“Baca apa?” aku berpaling.

Ellen menayang jadual baru kami. Percutian ke Pulau Jeju akan diaktifkan. 

“Kenapa ke Pulau Jeju? Korea?” Aku bertanya tanpa memandang Ellen dan terus membaca jadual terbaru itu. “Kenapa bukan Scotland?”

Ellen mengangkat bahu. Dia duduk di mejanya sambil menggaul kopi. “Banyak permintaan agaknya. Korea Selatan sekarang pandai menarik pelancong.”

Aku mengangguk. Arjun Khan, lelaki warganegara British tetapi berbangsa India dan sebaya dengan aku. Hyun Yu (lelaki muda dari Korea Selatan yang baru bekerja dua bulan) Aamily (teman makan tengahariku) dan supervisor kami Mrs. Kate  sudah mula masuk ke dalam pejabat dan berada di meja masing-masing.

“Okay, semua dah ada di sini, bagus, bagus.” Bon, ketua kami merangkap empunya Agensi Pelancongan Global ketawa lebar melihat seorang demi seorang pekerja-pekerja yang selalu dibulinya. “Macam yang kamu nampak pada whiteboard, kita ada jadual ke Pulau Jeju pada awal disember nanti…”

Kalau begitu masih ada lima bulan lagi, aku melirik melihat Ellen yang mengangkat dan menggoyang-goyangkan kedua keningnya kepadaku. Aku hampir ketawa. Ellen pekerja wanita yang berlagak tomboy di pejabat kami. Tetapi dia sangat memahami dan peramah dengan semua orang. Aku pula bukan jenis ambil tahu urusan hidupnya. Kenapa dia tomboy, kenapa dia tak mahu kahwin. Itu urusan orang. Jangan suka-suka menanya itu ini kalau kita tidak ada berada di sisinya dalam keadaan dia mengalami kesukaran.

“Anna dan Hyun Yu akan uruskan pelanggan-pelanggan kita ke Pulau Jeju itu nanti sementara Ellen akan ke Scotland, yang lain, uruskan kerja macam biasa.”

Aku mengangguk saja biarpun aku lebih suka ke Scotland. Selepas mesyuarat pendek itu kami kembali dengan kesibukan kerja. Menguruskan senarai nama-nama pelancong, menempah hotel, tiket penerbangan, aktiviti-aktiviti yang hendak dibuat di kawasan melancong nanti. 

Selamat datang kenangan baru. Aku mengalu-alukan hidup yang baru ini yang sebelumnya aku percaya aku hampir mati dalam kesesakan perasaan. Setahun bekerja di tempat baru, semuanya nampak mudah. Bukanlah mudah sangat… maksudku sekurang-kurangnya aku berjaya menjalani pekerjaan baru ini dengan rasa gembira, rasa sakit hati dan mungkin yang terbaik pernah berlaku dalam hidupku.

“Hari sabtu ni. Pukul 9 malam jangan lupa janji temu kau,” Aamily tiba-tiba mengingatkan itu ketika kami sama-sama makan tengahari di kafe yang hanya terletak di sebelah pejabat kami.

Perutku terasa kecut. Mungkin kupu-kupu sudah mati di dalamnya.

“Aku hampir lupa,” balasku dan menghirup sup yang terakhir di dalam mangkuk.

“Jangan lupa, nanti Kevin marah aku.”

“Ceh, kau juga yang memandai-mandai aturkan janji temu tu. Aku tak kenal pun dia.”

“Kau mesti hadiri banyak janji temu.”

“Kenapa? Aku suka solo. Bebas.”

“Temujanji bukan sekadar nak cari jodoh, tapi kita boleh tambah kenalan. Kau cantik. Bila kenalan kau bertambah senanglah kita dapat pelanggan yang nak melancong…” Aamily ketawa.

“Aku tak cantik.”

“Siapa kata?”

“Akulah. Hidung tak mancung, bukan saiz barat, mata sayu.”

“Orang ada level pendengki saja yang kata kau tak cantik. Kau kena yakin. Semua orang cantik, unik. Aku suka kau sebab kau suka senyum, suka ketawa, cuma… kurang ramah saja.”

“Kau nak jadikan aku umpan pejabat pelancongan kita kan?”

Aamily tersengih. “Bon yang suruh.”

“Kau dengan Bon sama saja. Dua-dua patut kena saman. Tapi aku harap kau kahwin cepat dengan Bon.”

“Aku suka.” Aamily ketawa lebih lebar.

“Bon kata kau tak berapa peramah jadi dia nak kau berubah jadi peramah dan biasakan diri dengan orang lain.”

Aku mengakui itu kelemahan yang paling teruk. Aku bukannya betul-betul tidak peramah. cuma aku tak pandai sangat bergaul dengan orang baru. Mungkin sebab sudah dua kali pelancong komplen pada Bon yang melaporkan aku berat mulut hendak bercakap sedangkan tugas aku sepatutnya melayan semua kehendak pelanggan kami. Itu betul. Aku malas nak melayan orang yang cerewet dan tidak mahu menurut arahan.

Aku patut upgrade, untuk bertahan dengan kerja sekarang, aku harus mengubah sikap itu. Ikut cakap Bon. Agensi kami boleh gulung tikar kalau kami tak ada pelanggan.


Previous: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.