Home Novel Cinta New Romance
New Romance
Ann Hann
15/1/2023 07:22:09
8,169
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1



Ditinggalkan seorang kekasih, yang paling kita kenal, yang paling baik dari semua lelaki yang pernah aku jumpa mungkin satu petanda hidup memang tidak adil! Kenapa? Kenapa semua ini harus aku jalani? Kenapa aku saja yang mesti sakit hati? Sedangkan dia masih berlagak tenang.

Dia masih menumpukan perhatiannya, tidak mengalih sedikitpun pandangan ketika aku sedang menangis, airmata bodohku mengalir tanpa rasa malu. Isa memang kejam. Dia memanggilku, membuat janji temu ini semata-mata untuk memutuskan yang kami akan berpisah. 

“Aku minta maaf. Aku harap kau faham,” katanya sayu lalu menghulurkan saputangan dan dengan lembut menyambut airmataku yang tak henti-henti menunjukkan kelemahan seorang perempuan.

Hatiku semakin remuk bila mengingati banyaknya memori kami sewaktu memasuki alam dewasa. Dialah yang terbaik, lelaki dari zaman universiti yang dahulunya hanya sebagai budak lelaki biasa sehinggalah dia bergelar usahawan berjaya yang dikejar-kejarnya sejak dulu. Aku fikir kami akan bertahan dengan cinta abadi tetapi tidak. Aku akan menjadi kenangannya pada masa-masa mendatang bukan realiti yang pernah kami janjikan ketika usiaku 22 tahun. 

Aku tak boleh menghalang keinginannya untuk berada di puncak tertinggi dalam hidup sama seperti dia tidak dapat menghalang pengaruh pak ciknya yang berkuasa atas semua keputusan. Jalan terbaik yang kami ada hanya perpisahan.

“Aku tak boleh biarkan kau atau meminta kau tunggu sedikit masa lagi, itu tak adil pada kau. Tapi demi Tuhan dalam hatiku hanya ada kau, aku tak perlukan perempuan lain hanya kau.”

“Tapi sekarang kau perlukan perempuan lain, perempuan yang akan dapat membantu kau naik ke tempat tinggi itu. Mungkin itu yang kau sebut adil…” aku senyum sinis ketika mengelap airmata terakhir. Kata-kata yang keluar dari mulutku tadi buat hatiku bersemangat secara tiba-tiba. Dia sepatutnya malu dengan apa yang telah dijanjikannya kerana hari ini Isa sendiri mengisytiharkan yang dia tidak mampu menunaikan janji-janji itu.

“Anna…”

“Selamat tinggal Isa.” 

Aku berjalan pergi dan menyetujui semua tindakan dan keputusan. Kami telah berpisah. Akhirnya… selepas sepuluh tahun yang menyimpan kenangan manis dan memori luka.


Aku kira aku kuat menangani perasaan sedih itu. Aku cuba menghalang kesedihan  mengikutiku hingga ke rumah tetapi mahkluk tanpa bentuk itu berjaya menerobos masuk ke dalam hatiku seperti bayu dingin dan akhirnya aku meratap, menangis, mengenang, menangis dan menangis, membenci, cinta, derita. Aku terus terperangkap dalam semua rasa kesakitan-kesakitan yang mungkin akan mengikat tubuhku selamanya. 

Cadar berbunga sakura basah dengan airmata yang kuanggap sebagai masa lalu Isa. Kesedihan ini akan menyelubungi untuk berapa lama lagi? Ini saja benar-benar melemahkan, seluruh hatiku seolah-olah telah mati ditangan Isa yang menggali sendiri lubang untuk menguburkan cinta abadi itu. 

Dalam kegelapan kamar aku bergelut untuk cuba bangkit. Fikiranku tidak henti-henti meniupkan semangat dan menyumpah nama lelaki itu. Lepaskanlah dia. Jangan merayu untuk bertahan Anna.

Anna, jangan biarkan hatimu ranap. Isa adalah masa lalu. Anna, kaulah masa depan. Apa lagi yang lebih penting selain masa depan. Hidupmu tidak harus terhenti Anna. Hidup mesti terus!

Siren kecemasan harus dibunyikan. Aku akan merawat luka-luka itu dengan sempurna. Mungkin meninggalkan bekas tetapi ia mesti dirawat dengan baik tanpa menyembunyikan sebarang implikasi. Aku mendengar lagi bunyi siren dalam kepalaku. Ini bukan pengakhiran. Bunyi siren adalah harapan semua orang. Tidakkah aku sedar?

Perlahan-lahan aku turun dari katil. Berjalan dengan kaki yang berat menuju ke bilik mandi. Air pancuran membasahi tubuhku yang masih berbaju, baju sama yang akan kubuang nanti. Biar bau Isa, wangian Isa mengalir jauh dari rumahku. Namun nama itu, entah bagaimana terlalu berkuasa hingga memaksa airmata yang kutahan-tahan menjurai jatuh menyamar sebagai air dari pancuran. Hanya esakanku yang mengenali perasaan itu lagi. 


Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.