Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
181,664
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

Di hospital Bella ditempatkan di sebuah bilik seorang lengkap dengan katil, bilik air dan kerusi menunggu. Bella tidak faham mengapa lelaki bernama Ben itu sanggup menghabiskan wang untuknya begitu sedangkan mereka baru kenal. Bella diberikan rawatan yang sewajarnya. Dahinya dibalut sedikit, lukanya dicuci dan ditampal dengan plaster. Buku lalinya yang kini bengkak juga dibalut dan dirawat. Dia mahu pulang namun menurut doktor dia perlukan pengawasan doktor kerana kakinya masih tidak boleh berjalan tanpa bantuan. Dia harus menunggu sehingga bengkaknya surut.

“Awak tinggal di sini malam ini,” arah Ben.

“Mengapa ye?” soal Bella. Matanya bertaut dengan mata bundar lelaki itu.

“Sorry?” soal Ben kembali.

“Mengapa awak buat semua ini? Awak hanya perlu hantar saya ke rumah sahaja,” ujar Bella. Ben merenung wajah gadis itu.

“Awak perlukan rawatan,” jawabnya memberikan logik tindakannya.

“Mahal semua ini. Saya tak mampu untuk bayar semua ini,” luah Bella bimbang.

“Awak tak perlu bayar,” ujarnya. Bella mengerutkan kening.

“Saya tak mahu terhutang budi pada awak Ben. Awak dah banyak sangat tolong saya. Setiap kali saya susah setiap kali awak datang bantu saya,” jawab Bella serius.

“Mengapa? Awak takut saya minta balas budi satu hari nanti ke?” soal Ben semula.

“Mungkin? Apa erti semua ini kalau bukan ada sesuatu yang awak mahukan dari saya, bukan?” tempelak Bella. Ben ketawa.

“Awak ni selalu negatif begini ke?” soal Ben masih tidak mahu berterus-terang.

“Sepanjang hidup saya, saya sering berjumpa orang yang tidak jujur. Orang yang akan sentiasa ambil kesempatan. Saya tahu semua ini bukan percuma,” jelas Bella. Wajah lelaki itu sedikit berubah. Bella tidak pasti apakah dia. Simpatikah itu atau rasa bengang dituduh tidak ikhlas. 

“Masih ada orang yang jujur dalam dunia ini, percayalah,” ujar Ben perlahan.

“Ah, hanya segelintir sahaja,” tingkah Bella dengan yakin. Lelaki itu menghela nafas.

“Mungkin betul juga apa yang awak cakap Bella,” akurnya. Dia mengetap bibir. Dia rasa tercabar dituduh begitu. Mungkin dia patut ikut seperti yang Bella jangkakan untuk seorang lelaki. Jangan jujr sangat.

“Jadi benarlah awak mahukan sesuatu?” soal Bella. Ben mengemam bibirnya. Dia seperti berfikir. Dia menutup matanya seketika sebelum membukanya. Mata coklat cair itu menunjukkan pemiliknya sedang bengang.

“Mmm...mungkin saya patut buat seperti apa yang awak jangkakan. Tapi, saya tak pasti lagi apa yang saya mahukan. I will let you know whenever I am sure what I want from you. Lagipun ini kali ketiga saya tolong awak kan? Saya dah tiga kali jadi penyelamat awak. Bak kata orang putih, like your knight in shining armour,” terangnya jujur. Matanya tunak pada Bella. Hati Bella mula diamuk bimbang. Dia menundukkan kepala. Dia menelan air liur yang terasa kering. Salah dia mengungkit perkara itu tadi. 

“Kalau begitu, tolong hantar saya balik,” pinta Bella. Dia mula rasa cuak dengan arah perbualan itu. Cara Ben merenung wajahnya di saat itu buat dia rasa gerun. Dia rasa takut. 

“Sudah terlambat untuk awak balik hari ni. Bila-bila doktor kata awak dah sihat untuk balik saya akan hantar awak balik,” ujarnya cuba melegakan gadis itu. Dia tahu gadis itu mula rasa takut. Wajah gadis itu kelihatan pucat.

“Apa yang awak bimbangkan?” soal Ben lagi. Bella terdiam kemudian teringat ibunya.

“Mak saya...dia pasti risau kalau saya tak balik,” ujar Bella tiba-tiba. Matanya yang risau dihalakan ke arah Ben. Ben mengeleng-ngeleng. Nampak sangat Bella cuba menyembunyikan perasaannya yang risau bila Ben ungkit pasal pertolongannya.

“Telefonlah. Katakan yang awak masuk hospital sekejap,” cadang Ben dengan nada suara yang lebih lembut. 

“Nanti dia lebih risau. Saya tak pernah masuk hospital sebelum ni,” jelas Bella.

“Cakaplah... awak tak apa-apa. Ada orang selamatkan awak. Ataupun begini saja. Awak tinggal di mana? Nanti saya minta Kadir ambil mak awak dan bawa dia ke sini,” ujar Ben, memberikan lagi cadangan.

“Tolonglah jangan susah-susah,” pinta Bella. Rasa segan kerana sudah banyak kali Ben susah kerana dia. Bak kata Ben dia sudah tiga kali menyelamatkan dia. 

“Saya dah susah sampai sini pun. Susah sedikit lagi tak mengapa,” ujarnya sinis. Bella tersentak. Ben tersengeh. Sungguh lelaki itu sangat berterus-terang.

“Bagi saya alamat rumah awak. Biar Kadir ambil mak awak,” pintanya.

“Jangan Ben...saya tiada wang nak bayar semula semua ini. Saya tiada apa-apa untuk awak Ben,” ujar Bella. Ben sedikit tersengeh. Matanya merenung Bella seketika. Kemudian dia mengeleng-ngeleng. Seolah semua seperti lucu dan mengujakan baginya. Itu yang buat Bella makin cuak.

“Bagi alamat pada Kadir. Kadir ambil alamat cik Bella ni dan bawa mak dia ke sini,” arah Ben kepada Kadir dengan suara tegas. Kadir  yang berada di tepi pintu bilik mengangguk lantas mengikut apa yang diminta oleh Ben. Bella seperti keberatan tetapi wajah Ben buat dia akur. Mahu tak mahu Bella terpaksa memberikan alamat di mana ibunya berada kepada Kadir yang mencatit di buku note kecilnya. Tak sanggup Bella melihat wajah serius Ben itu. Riak wajahnya buat Bella rasa cuak kembali.

“Awak tak perlu buat semua ini,” ujarnya selepas Kadir beredar.

“Perlu,” jawab Ben pendek.

“Saya tak perlu ehsan awak seperti ini. Saya boleh jaga diri sendiri,” ujar Bella.

“Macam hari ini? Itukah yang awak kata boleh jaga diri sendiri? Awak hampir dilanggar oleh driver saya tau. Kalau dia langgar tadi banyak pula ceritanya,” ujar Ben dengan nada tidak puas hati.

“Saya mengaku. Maafkan saya. Saya tak perasan langsung jalan dari kawasan parking itu,” ujar Bella sambil menundukkan kepala. Dia rasa bersalah. Bila Bella buat muka begitu, Ben pula rasa simpati. Aduhai, gadis itu buat dia rasa seperti ada kupu-kupu dalam perutnya. Dia Ben tak sepatutnya ada rasa begitu. 

“Awak tak perlu minta maaf pun,” kata Ben dengan nada sedikit lembut. Ada bunyi memujuk pula.

“Saya banyak susahkan orang. Terutamanya awak. Saya minta maaf,” pinta Bella lagi dengan penuh rasa bersalah. Mata kuyunya memandang wajah Ben. Ben hela nafas. Dia rasa lemah bila melihat mata itu.

“There you go again,” komen Ben tiba-tiba. Dia mengetap bibirnya.

“Apa?” soal Bella kembali. Terpnga-pinga bila melihat riak wajah Ben itu.

“Becoming negative when things not going your way. Kadang-kadang minta maaf tak boleh selesaikan semua masalah,” ujar Ben sedikit geram.

“I cannot help it. Hidup saya memang malang. Kalau Ben tolong saya entah-entah Ben pun akan malang juga seperti saya,” balas Bella. Ben tersentak. Dia mengeleng-ngeleng.

“Kes serius awak ni. Awak tak percaya pada qada dan qadar yang Allah tentukan ke? Awak tak percaya pada Allah? Setiap perkara ada hikmahnya walaupun nampak buruk di mata kita. Saya pasti ada banyak hikmahnya atas apa yang berlaku ini,” ujar Ben merenung wajah sugul itu. Sejak tadi tiada secalit senyuman pun. Bella terdiam. Dia tidak menjawab. Bukan dia tidak percaya tetapi itu yang dia rasa selama ini. Ayahnya tinggalkan dia dan ibunya, kerana dia. Itu yang dia dapat tahu dari Puan Yusni. Puan Yusni suka ceritakan kisah di mana ayahnya bergaduh dengan ibunya dan keluar tak kembali lagi.   Ibunya bersusah payah pun selama ini hanya kerana dia. Dia memang banyak menyusahkan semua orang. Ibunya terpaksa merendahkan harga diri pun kerana dia juga. Tuhan tidak salah tapi dia yang bersalah kerana dia menyebabkan orang lain di sekelilingnya susah. 

“Saya bukan tak percaya. Tapi kerap sangat semua perkara buruk menimpa saya. Jadi, dalam hidup saya tiada satu apa pun yang buat saya gembira. Miserable me,” luah Bella. Dia kini menundukkan kepalanya.

“Mustahil. Pasti ada yang buat awak gembira. Rakan baik, ibu awak dan mungkin teman lelaki?” soal Ben serkap jarang. Bella mengeleng.

“Saya tak ada kawan baik. Ye, saya sayang mak saya tapi saya sering rasa bersalah terhadapnya. Bila mak saya gembira saya turut rasa gembira. Tapi dah lama mak asyik bersedih disebabkan saya,” jelas Bella dengan muka bersalah. 

“Teman lelaki?” soal Ben memandang kepada tubuh kecil kurus itu yang hanya tunduk sejak tadi. Wajahnya yang pucat hanya sesekali sahaja diangkat dan matanya dihalakan kepada Ben. Mata besar dan kuyu dengan bulu mata yang lentik. Hidung kecil dan bibir yang penuh sedikit kemerahan tanpa secalit lipstik dilingkungi wajah bujur sirih dengan dagu sedikit terbelah. Kali pertama dia melihat wajah itu hatinya bagai ditarik-tarik untuk mengimbau kisah lama. Iras wajah itu seperti sama tapi tak serupa. Kelembutan gadis itu mengingatkan dia pada seseorang. 

“Saya tak pernah ada. Mengapa awak tanya?” soal Bella semula.

“Saja. Ramai gadis jadi lebih gembira bila mereka ada teman lelaki,” terang Ben.

“Saya tak ada masa untuk teman lelaki. Dan mungkin juga sebab saya miskin dan tiada duit. Lagipun siapa yang nak gadis comot macam saya ni kan?,” ujar Bella berterus-terang. Ben hanya diam. Dia tersenyum walaupun dalam hati dia tidak bersetuju. Bella jauh dari comot. Kali pertama dia melihat wajah itu dengan teliti dia dapat lihat kemanisan gadis itu di sebalik penampilannya yang biasa-biasa itu. Tapi sudah tentulah dia tidak mahu luahkan semua itu. Masih terlalu awal.  Lagi pun Bella terperasan pula nanti. Siapa pula yang susah bila gadis itu sudah terperasan dengan dia nanti. 

“Berehatlah. Saya keluar sekejap. Ada apa-apa yang awak nak pesan atau nak saya belikan? Minuman, makanan, novel, majalah?” soalnya. Nampak Bella seperti sedikit teruja.

“Belikan saya novel sahaja. Apa-apa tajuk pun boleh asalkan saya boleh baca,” ujar Bella tersenyum. Ben sedikit terkesima. Kali pertama dia melihat Bella tersenyum seperti itu. Baru dia tahu apa yang buat Bella tersenyum. Ulat buku rupanya. Kesedaran itu membawa senyum ke bibir Ben juga.

“English, Malay?” soal Ben mahu kepastian.

“Mana-mana pun boleh,” jawab Bella tersenyum manis. Kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan Ben. Ben mengangguk. Hatinya rasa berbunga melihat senyuman Bella padanya itu.

“Okay rehatlah. Nanti saya belikan,” ujar Ben sambil tersenyum nipis.

“Terima kasih Ben,” ucap Bella memandang tepat ke wajah Ben. Ben mengangguk.

“Sama-sama,” jawabnya lantas berlalu keluar dari bilik tersebut. Bila lelaki itu pergi Bella pun merebahkan badannya ke atas katil. Sungguh dia rasa tidak bermaya dengan kesakitan yang mula dirasai di bahagian buku lali. Ia sudah mula berdenyut. Kata doktor, kaki Bella terseliuh di buku lali. Tadi, jururawat telah menyapukan heat rub semasa memasang bandage. Jururawat juga telah memberikan Bella ubat untuk kurangkan bengkak dan juga demam. Disebabkan ubat demam itu Bella sudah mula merasa mengantuk. 


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.