Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,429
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

MATANYA memandang ke arah kedai yang mereka masuk ketika itu. Yakini semuanya adalah barang-barang perempuan. Bukannya lelaki.

"Weh, kau kata kau nak beli barang kau. Apasal masuk butik pakaian perempuan?" tanya Farisya, kakinya hanya melangkah mengekori Syazwan yang sedang menilik pakaian-pakaian yang tergantung itu. Masalahnya semua pakaian dalam kedai itu adalah pakaian perempuan. Dah buang tabiat ke apa lelaki ni?

Dia merengus apabila Syazwan tidak membalas kata-katanya. Untuk seketika dia terkedu apabila sesuatu terlintas di fikirannya. Pantas dia mendapatkan Syazwan yang kusyuk memilih pakaian.

"Kau dah ada girlfriend ke beb?" tanya Farisya kuat menyebabkan orang sekelilingnya memandang ke arah mereka.

Syazwan menjegil matanya. Farisya ni memalukan sungguh! Macam tak boleh nak cakap perlahan.

Farisya tersengih. Dia rapat ke arah Syazwan. "Kau ajak aku datang sini nak beli baju girlfriend kau eh?" bisik Farisya nakal.

Syazwan membuat muka. Malas melayan. Yang penting misinya harus selesai.

"Sejak bila kau pandai bercinta ni? Senyap-senyap aje," usik Farisya lagi. Kalau boleh dia nak korek rahsia sampai ke lubang cacing. Bukan apa, berita ni sangat exclusive baginya. Makan masa setahun untuk dia bahan Syazwan. Bukan senang nak ada peluang sebegini.

Sekali lagi Syazwan membuat muka. Rasa nak tampar-tampar aje mulut kecil tu. Harap aje kecil tapi berbisa.

"Tutup mulut tu dan jangan banyak tanya. Pilih baju cepat!" ujar Syazwan tegas. Dia mencapai beberapa helai baju yang tergantung dan diberikan kepada Farisya.

"Apasal aku pulak yang kena..." Farisya tidak menghabiskan kata-katanya apabila Syazwan menjegil mata ke arahnya.

"Tanya sikit pun tak boleh..." gumam Farisya geram. Dia memandang pakaian yang diberikan oleh Syazwan. Banyak sungguh pilihan Syazwan ni. Ni mesti nak suruh dia buat pilihan la ni.

Dia hanya mengekori langkah Syazwan yang sememangnya hanya menunjukkan riak wajah serius. Semua pilihan pakaian Syazwan adalah dress labuh. Pasti gadis yang bertahta di hati lelaki itu adalah seorang gadis ayu.

Untuk seketika dia mencebik. Kerana Syazwan merahsiakan hal itu darinya. Padahal mereka berkawan dari kecil. Hampir semua perkara mereka akan berkongsi. Tiada istilah privasi dalam persahabatan mereka. Tetapi Syazwan sudah meletakkan satu tembok di antara mereka.

Farisya menggeleng pantas. Dah kenapa pula dia jadi emotional sangat. Padahal hal kecil aje pun. Mungkin Syazwan tak berniat nak merahsiakan daripadanya.

"Alright! Sekarang ni kau masuk fitting room dan cuba semua dress ni," ujar Syazwan sambil tersenyum.

"Hah?!" Farisya ternganga. Dia memandang timbunan pakaian yang hampir tenggelamkan dirinya itu. Gila banyak!

"Apasal aku pulak?" tanya Farisya. Mereng ke apa. Dah la banyak lepas tu suruh cuba satu persatu. Memang sah Syazwan ada makan benda tak betul sampai otak jadi gila.

"Pergi ajelah jangan banyak tanya!" garang Syazwan bersuara lantas berjalan ke arah belakang Farisya dan menolak gadis itu sehingga ke fitting room.

"Weh..."

"Sekali lagi kau buka mulut, aku side kick kau sampai pengsan," ugut Syazwan tegas.

Farisya membuat muka. Gila! Suka hati dia aje nak side kick orang. Bersama langkah yang lemah, dia memasuki ruang fitting room dengan perasaan bebal bercampur geram.

Syazwan tersenyum bangga. Dia melabuhkan punggung di sofa berdekatan dengan fitting room. Menunggu sang model mencuba pakaian pilihannya.

"Wan!"

"Apa?" tanya Syazwan garang.

Farisya merengus. Dia menjengul kepalanya dari pintu yang dibuka sedikit.

"Perlu ke aku try semua baju ni?" tanya Farisya.

Syazwan mengangguk.

"Kau nak beli kat girlfriend kau kan. Dah kenapa aku pulak yang kena try semua ni. Dan satu lagi, aku datang teman kau aje okey," sambung Farisya geram. Tak faham la dia dengan perangai Syazwan hari ini.

"Jangan banyak tanya la. Pergi tukar cepat. Kejap lagi nak pergi tempat lain pulak," arah Syazwan tegas.

Farisya merengus lagi. Terus ditutup pintu dengan kasar.

Syazwan tersengih apabila mata pekerja di situ memandang ke arahnya. Alahai minah ni nak naik angin pun jangan la menjahanamkan harta benda awam. Karang bukan setakat pakaian aje kena bayar, silap-silap pintu fitting room itu dia kena bayar ganti rugi.

Beberapa minit kemudian Farisya keluar bersama dress labuh berwarna merah jambu. Dia menayang-nayangkan dress itu di hadapan Syazwan yang duduk di atas sofa berhadapan dengan fitting room.

“Macam mana?” tanya Farisya. Dia menilik dirinya yang dipakaikan dress yang sememangnya bukan tastenya. Memang tak sesuai langsung untuk disarungkan ke tubuhnya apatah lagi berwarna merah jambu yang lembut.

Syazwan memandang dengan muka bersahaja. Keningnya dijongket sebelah. Kedua tangannya berpeluk tubuh.

No. Tukar yang lain,” arah Syazwan. Matanya tidak berkenan dengan dress itu.

Farisya membuat muka. Dia terus memusingkan tubuhnya dan melangkah masuk ke dalam fitting room kembali. Ingatkan dah cuba sehelai dress warna ayu sebegitu sudah mampu menarik minat Syazwan. Rupanya boleh tahan cerewet juga lelaki itu.

Satu persatu dress labuh yang dipilih oleh Syazwan disarungkan ke tubuhnya. Malangnya tiada satu yang masih menarik di mata lelaki itu.

Farisya bengang. Taste Syazwan melampau-lampau sungguh! Siapalah yang malang sangat jadi girlfriend dia ni.

Syazwan hanya membuat muka selamba. Baginya selagi tidak dapat memuaskan hatinya, selagi itu Farisya akan didera untuk menjadi model di hadapannya.

"Arie, cuba kau lepas ikatan rambut kau tu." Syazwan cuba memberi cadangan.

Arie jarang melepaskan seluruh rambutnya yang panjangnya sehingga melepasi paras bahu. Sering kali rambutnya diikat tocang satu di sebelah kiri. Kadangkala lebih suka kenakan topi di kepala. Selalu mahu kelihatan seperti tomboi.

"Tak nak la!" Farisya menjawab dari dalam fitting room.

Syazwan merengus.

Sebaik sahaja Farisya keluar dari fitting room, Syazwan terus meluru ke arah gadis itu dan menarik getah rambut. Rambut Farisya terlepas jua melepasi bahu.

Farisya mengigit bibir. Geram. Dia cuba mencapai getah rambut dari Syazwan namun Syazwan dengan selamba badaknya hanya mengangkat tangan tanpa perlu menjengket sekalipun. Kerana lelaki itu tahu, dia rendah. Kalau dia melompat sekalipun, getah itu masih takkan dapat digapai.

"Kau tu bukan tak cantik cuma kau suka kekalkan personaliti tomboi kau," ujar Syazwan bersama senyuman. Rambut Farisya yang jarang dilepaskan itu akhirnya menjadi tatapannya.

Farisya membuat muka.

"Kau jangan nak merepek sangat. Tak pasal-pasal tidur kat ICU malam ni." Garang Farisya bersuara sebelum melangkah masuk ke dalam fitting room semula. Masih ada baki 3 helai baju yang belum dicuba. Kalau tak puas hati juga, memang Syazwan yang cuba semua baju ni pula. Letih kot!

Syazwan tersengih. Bukan selalu dapat buli Farisya.

Baki pakaian dicuba, akhirnya Syazwan membuat pilihan jua. Farisya mengeluh berat. Dia memberikan pakaian itu kepada Syazwan. Sementara menunggu Syazwan membayar, Farisya terlentok lemah di atas sofa itu. Letih separuh mati.

Syazwan hanya tersenyum dalam diam. Kalaulah Farisya tahu pakaian itu untuk siapa, entah apa reaksi gadis itu.

"Pendek! Jom..." ajak Syazwan selamba selepas habis membuat pembayaran.

Sebaik sahaja mendengar perkataan pendek, terus laju Farisya bangun dari sofa yang didudukinya.

"Kauu..." Farisya menggigit bibir. Terus ditumbuk Syazwan dari belakang. Namun mendengar tawa Syazwan, makin menyirap amarahnya.

"Aku benci kau!"

Syazwan ketawa lagi. "Aku anggap benci kau tu tanda sayang. Kan Nur Farisya Najihan?"

Farisya membuat muka. "Jangan nak panggil nama penuh aku sangat."

"Yelah. Jom pergi makan." Syazwan mengatur langkah laju meninggalkan Farisya.

"Makan?"

Farisya meniup rambut yang menutupi wajahnya. Makan pulak!




MATANYA memandang Syazwan. Masih tidak berpuas hati. Baginya Syazwan sudah pandai berahsia darinya.

Sebaik sahaja memasuki restoran western itu, Syazwan tidak bercakap banyak. Mereka hanya order makanan dan makan macam orang dalam kelaparan. Sedikit pun Syazwan tidak bersuara tentang apa yang berlaku hari ini. Dia jadi tertanya-tanya apa rahsia disebaliknya.

"Aku tahu aku handsome tapi jangan pandang aku sampai macam tu," tegur Syazwan membuatkan Farisya tersedar.

Automatik kaki Farisya menendang kaki Syazwan di bawah meja. Nak termuntah pulak dengar. Perangai perasan kalau tak ada memang tak sah.

Syazwan mengaduh sambil membuat mulut. Memberi amaran agar Farisya tidak berbuat begitu. Silap-silap ada juga kejadian meja terbang. Dasar kaki besi!

"Kau memang salah makan ke macam mana? Perangai kau pelik sangat hari ni. Ah, bukan aje kau tapi Rin jugak. Korang berdua ni pelik la." Farisya seakan-akan dapat menghidu sesuatu di antara Syazwan dan Shahrina.

Sorang perangai macam wayar putus. Sorang lagi dah pandai mengusik orang. Lain macam aje.

Mula-mula dia merasakan perangai Syazwan sahaja yang pelik. Tetapi dengan tiba-tiba pula dia merasakan Shahrina juga berperangai aneh. Seolah-olah dua orang itu sedang menyembunyikan sesuau daripada pengetahuannya.

Syazwan hanya menjongket kening. Sengaja membiarkan Farisya tertanya-tanya.

"Kau ingat handsome sangat angkat kening macam tu?" perli Farisya.

Syazwan membuat muka. Dia menyedut air fresh orangenya. Tenang. Tetapi hatinya berdebar-debar. Entah apa yang perlu dia lakukan sekarang ini. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan. Dia bimbang kalau tersalah cakap, bukan setakat meja sahaja yang terbang tapi dengan dia sekali akan terbang. Seram sejuk pula dibuatnya.

"Kau dengan Rin bercinta ke?"

Pertanyaan itu membuatkan Syazwan tersedak. Terbatuk-batuk dia ketika itu.

"Sorry. Sorry." Farisya sudah gelabah. Lantas disua tisu ke arah Syazwan.

Syazwan mengelap mulutnya. Nasib tak tersembur ke muka Farisya. Kalau tak pasti lain pula jadinya.

"Aku tak sangka pula soalan aku sampai buat kau jadi macam ni." Farisya diasak rasa bersalah. Padahal dia berniat nak bergurau sahaja. Mana la tahu kalau Syazwan dengan Shahrina benar-benar bercinta.

Salah timing daa...

"Kalau nak tanya soalan killer sekalipun, cuba kau perhati aku tengah buat apa. Buatnya aku tengah makan, terlekat tulang ke apa, meninggal dunia kat sini baru kau tahu," bebel Syazwan sedikit geram.

Tak sempat-sempat nak tanya soalan pun. Soalan pun entah apa-apa. Manalah si Farisya ni dapat idea untuk tanya soalan gila macam tu.

"Ish kau ni. Sampai nak meninggal bagai dah kenapa. Nak buat teruk pulak. Ni sengaja nak bagi aku serba salah ke macam mana?" Farisya menjeling tajam. Sensitif pula si Wan Muhammad Syazwan ni. Ingatkan hati kering.

Syazwan menjeling semula.

"So, jawapan kau?" Tertunggu-tunggu Farisya ketika itu. Apakah benar Syazwan dan Shahrina bercinta dan sengaja merahsiakan daripadanya.

Syazwan menjegil matanya. Boleh tahan juga pemikiran si Farisya ni!

"Kau mengarut apa ni pendek?"

Farisya tersengih.

"Tak adalah. Perangai aku hari ni tak ada kena mengena langsung dengan hal percintaan." Syazwan membuat penerangan. Dia tidak mahu Farisya salah faham. Lagipun Shahrina hanyalah watak tambahan untuk menjayakan misinya.

"Habis tu dress tu untuk siapa? Takkan kat aku. Haha..." tanya Farisya sejurus itu dia ketawa dengan gurauannya sendiri.

Syazwan masih dengan muka tegasnya. Tiada langsung senyuman di wajahnya. Matanya hanya memerhati Farisya yang ketawa dengan gurauan itu sendiri.

"Wan?" Farisya berhenti ketawa dengan tiba-tiba apabila memandang reaksi Syazwan.

Syazwan terus memerhati wajah Farisya.

Farisya menelan air liur. Takkanlah...

"Yup. Dress tu aku beli untuk kau." Akhirnya Syazwan berterus terang. Menjawab segala persoalan yang berada di fikiran Farisya sejak tadi.

Serentak itu Farisya ketawa. Ketawa sehingga membuatkan mata-mata di sekeliling memandang ke arah mereka.

Syazwan tetap begitu. Riak wajah tidak berubah. Dia ingin memberitahu Farisya bahawa dia serius.

"Beb, kau jangan buat lawak..." Farisya mengesat air matanya. Terlalu banyak ketawa padahal bukan kelakar pun. Cuma dia tidak percaya sahaja. Syazwan bukan boleh percaya sangat. Suka sangat mengusiknya. Paling tidak kalau dia termakan dengan kata-kata itu, kena bahan berbulan-bulan juga gamaknya.

"Muka aku sekarang ni macam tengah buat lawak ke?" tanya Syazwan serius sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah wajahnya yang tiada reaksi itu.

Farisya tergamam. Dia menelan air liur. Seakan-akan tidak percaya. Padahal niat awalnya hanya nak bergurau sahaja. Dia tak terfikir pula dress itu betul-betul untuk dirinya.

"Aku nak kau pakai..."

"Kau mereng ke apa. Aku mana pakai pakaian macam tu," pintas Farisya pantas.

Syazwan mengeluh. “Aku tahu.”

"Dah tahu aku tak pakai pakaian macam ni, kenapa kau beli?" tanya Farisya, aneh.

Suasana menjadi tegang. Kalau tadi masih ada gurauan tetapi kini segalanya serius.

Syazwan menarik nafas.

"Aku nak kau pakai untuk majlis ulangtahun syarikat papa kau."

Farisya mengigit bibir. Topik itu!

"Arie..."

"Aku dah bagitahu kau yang aku takkan pergi!" Farisya meninggikan suara. Tangannya menumbuk meja makan, menjelaskan bahawa dia tidak akan sesekali menukarkan keputusannya. Dan tiada sesiapa pun boleh mengubah fikirannya.

Syazwan memicit kepalanya. Setelah segalanya yang telah dirancang, dia tidak mahu ia musnah. Sekurang-kurangnya dia mahu Farisya menjejakkan kaki ke syarikat itu.

"Sampai bila kau nak lari Arie?" tanya Syazwan tegas.

"Sampai bila-bila. Aku takkan jejak kaki kat situ!" Nekad Farisya membuat keputusan. Wajahnya bengang. Apatah lagi Syazwan mula bertindak untuk masuk campur dalam hal ini.

Dia tahu dia adalah pewaris syarikat papanya. Tetapi dia masih tidak dapat melupakan apa yang telah berlaku. Perasaannya tiada siapa peduli. Seringkali memaksanya untuk muncul di dalam syarikat. Sedangkan dia sudah tegaskan bahawa dia tidak akan mengambil peduli tentang hal syarikat itu apatah lagi hendak menjejakkan kaki di sana.

"Kalau kau tak kuat, aku akan teman kau. Aku akan ada di sisi kau. Aku akan..." Belum sempat Syazwan menghabiskan kata-katanya, Farisya mencelah pantas.

"Dah la Wan. Kalau betul kau kawan aku, kau takkan paksa aku untuk buat apa yang aku tak suka." Farisya bingkas bangun dari tempat duduknya namun Syazwan pantas menghalangnya.

"Sebab aku kawan kau la aku paksa kau untuk hadap realiti. Farisya, benda dah berlalu bertahun-tahun. Kau tak kasihan kat papa kau ke? Perasaan dia bila orang lain tanya pasal pewaris syarikat. Semua orang tahu pewaris Dato' Kamal adalah perempuan tetapi budak perempuan tu tak pernah muncul sekalipun di syarikat!

Perasaan kau nak orang lain jaga, perasaan papa kau? Kau ingat kau sorang aje ada hati? Hati papa kau, kau tak fikir. Sikit pun aku tak nampak kau ambil berat pasal syarikat papa kau. Yang kau tahu hanya complaint yang papa kau sibuk bekerja, outstation sampai lupa kau kat rumah seorang diri.

Papa kau bertungkus lumus semuanya untuk kau tapi ada kau hargai dia?  Papa kau nak kau hidup senang. Dia bukan ada sesiapa pun. Dia cuma ada kau yang tinggi egonya, yang keras kepala! Apa kau nak buat kalau papa kau tak ada? Kau kena ingat Arie, kesenangan yang kau dapat sekarang ni atas titik peluh papa kau. Membesarkan kau tanpa arwah mama kau. Dia tak pernah sekalipun terfikir untuk berkahwin lain padahal dia boleh aje cari pengganti arwah mama kau.

Kau kena fikir, Arie. Apa yang papa kau buat selama ni semuanya untuk kau. Bukan untuk diri dia sendiri." Panjang Syazwan meluahkan perasaan. Puas! Akhirnya dia berjaya meluahkan apa yang terpendam.

Selama ini dia tidak dapat menegur, bimbang Farisya akan bersedih. Dia hanya mampu melihat dari jauh sahaja. Tetapi sampai bila Farisya harus bersikap begitu. Melarikan diri daripada realiti. Lagipun bukan Dato' Kamal penyebab kematian arwah Datin Zahra. Semua yang berlaku sudah suratan takdir. Tiada sesiapa pun mampu menghalang ajal.

Farisya menahan perasaan. Menahan air mata daripada mengalir. Dia tidak pernah menangis. Sedikit air mata pun tidak pernah mengalir selepas kematian mamanya. Dia mendongak memandang wajah Syazwan yang berdiri di hadapannya. Masih cuba menahan perasaan.

Dia tahu apa yang Syazwan katakan itu adalah untuk dirinya. Tetapi dia tidak mampu. Bukan senang untuk hadapi. Bukannya dia mahu melarikan diri. Tetapi untuk menjejakkan kaki di syarikat papanya bukan mudah. Hatinya berbelah bahagi.

"Syazwan..." Farisya bersuara perlahan.

Syazwan memandang sayu.

"Aku... takkan bergembira di hari kematian mama aku..." ujar Farisya perlahan. Sejurus itu dia mengapai beg sandangnya dan berlalu pergi. Hatinya terguris. Dia sangka Syazwan faham dirinya. Tetapi sebenarnya tidak.

"Arie!"

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni