Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,554
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 30

RIUH ketawa Farisya di dalam bilik itu. Entah apa yang dia ketawakan sampai berair mata dibuatnya.

"Dah, makan ni. Kang tercekik pulak." Hakimi menyua sepinggan buah epal yang dipotong ke arah Farisya. Entah apa la yang diketawakan oleh Farisya ketika itu. Shahrina pula hanya tersengih sedari tadi.

"Yo thank pak cik!" ujar Farisya ceria lantas mencucuk epal dengan garfu dan dimasukkan ke dalam mulut.

"What?" Hakimi tercengang. Matanya membulat memandang Farisya.

"Pak cik." Farisya membuat peace tanpa rasa bersalah.

Hakimi memandang Shahrina. Shahrina menayang gigi. Bagaikan tidak mahu masuk campur sahaja.

Bukan sekali dia mendengar Farisya memanggilnya pak cik. Tak sangka sudah jadi kebiasaan pula. Selamba derk dia aje nak gelar orang macam-macam.

"Hello cik adik manis yang tak cukup inci, saya muda lagi okey. Belum sesuai untuk digelar pak cik."

Farisya sekadar membuat wajah selamba. Dia peduli apa. Hakimi pun asyik panggil aku budak tak cukup inci. Kalau sedap tak apalah juga!

"Hah, pak cik datang mesti ada sebab kan. Haha..." Cepat sahaja Farisya mengubah topik. Masih menggelarkan Hakimi dengan panggilan pak cik. Langsung tidak hiraukan teguran Hakimi sebentar tadi.

Dia yakin sudah semestinya mereka datang untuk memberitahunya tentang hal itu. Apatah lagi Shahrina datang bersama Hakimi. Takkanlah dua orang ni berdating pulak kan.

Hakimi mencekak pinggang. Dia dapat nama baru jawabnya. Sesuka hati aje si Farisya ni panggil dia sebegitu. Sabar ajelah.

"Rin, kau tak nak cerita ke apa yang berlaku? Sejak aku bangun, korang semua tak ungkit apa pun pasal kejadian tu. Aku nak tahu jugak apa yang terjadi pada makhluk-makhluk tu."

Farisya memandang tepat wajah Shahrina. Tiada satu pun berita yang dia tahu. Mereka hanya datang melawat bawa makanan dan membebel panjang kemudian balik. Langsung tidak menyuarakan apa yang berlaku.

"Polis nak datang ambil kenyataan tapi kami tak benarkan lagi sebab keadaan awak pun masih belum stabil..."

"Pergh! Apa pulak tak stabil. Ni makan sampai nak pecah perut, 24 jam asyik sumbat aje. Apa pula yang tak stabilnya?" Farisya memotong kata-kata Hakimi.

"Tu luaran. Dalaman mana kita tahu," bidas Hakimi.

Farisya membuat muka. Ceh! Dalaman pergh!

"So apa yang berlaku sekarang? Mangkuk-mangkuk tingkat tu tak dapat ditangkap sebab aku tak stabil? Pergh undang-undang!" Selamba Farisya mencelah. Tak habis cakap lagi dah bedal dengan andaian sendiri.

"Cik Nur Farisya Najihan, sabar sikit boleh? Cuba bagi kitorang bercerita dulu..." Hakimi menegur lembut.

"Orait. Orait. Silakan pak cik..." Farisya membuat gaya mempersilakan.

Hakimi menjegil matanya.

"Gengster tu semua ditahan. Fatin pun ditahan. Tapi dia tak nak mengaku kesalahan dia..." ujar Shahrina pula. Sekaligus cuba menghentikan pergaduhan itu.

Terangkat kening Farisya ketika itu.

"Hebat jugak minah tu ye. Maybe dia rasa dia boleh rasuah polis tu kot. Kalau dah namanya Fatin, kau lempar dalam zoo pun harimau lari. Sebab seram. Kahkahkah..." Kata-kata Farisya diakhiri dengan tawa besar.

Hakimi membisu. Shahrina pula terkedu. Agak terkejut dengan respond Farisya.

"Biarlah. Orang macam dia memang susah nak mengaku kesalahan diri. Dia ada duit, boleh aje dia lepaskan diri. Ala, lagipun aku bukan mati pun. Cedera sikit aje. Yang berbalut sakan kat kepala ni just gimik aje. Doktor tu melebih-lebih." Selamba sahaja Farisya bersuara seakan-akan tidak ambil kisah tentang itu.

Hakimi hanya memandang reaksi Farisya tetapi dia tidak bersuara.

"Arie..."

"Emm."

"Awak sedih sebab tak dapat masuk pertandingan ke?" tanya Shahrina membuatkan Farisya terkedu seketika.

Selepas itu Farisya menumbuk lembut bahu Shahrina.

"Beb, aku ni bila-bila aje boleh masuk pertandingan. Maybe bukan rezeki aku kali ni. Dia nak suruh aku berehat kejap la kan. Asal cuti aje aku fokus training. Ala, nanti ada lagi la," jawab Farisya tenang sambil menepuk-nepuk bahu Shahrina berkali-kali bersama senyuman kecil.

Shahrina membisu. Dia mengerti apa yang Syazwan maksudkan semalam. Farisya seboleh-bolehnya akan menyorok perasaan sebenarnya. Tetapi dia perasan wajah Farisya berubah apabila dia bertanyakan hal itu. Dia yakin Farisya sedih tetapi Farisya tidak mahu berterus terang. Barangkali juga Farisya mahu menjaga hatinya daripada dihimpit rasa bersalah.

"Kesian kat kau Rin, tak dapat tengok aku berlawan. Ah, aku ingat nak pergi kampung kau la. Aku tak ada kampung so aku nak rasa la macam mana hidup di kampung. Boleh tak?" ujar Farisya ceria sekaligus dia mengubah topik pertandingan itu.

Shahrina sebak. "Arie..."

"Lah, kau dah kenapa?" tanya Farisya.

Shahrina mengesat air matanya. "Saya tahu saya salah. Saya yang buat awak jadi macam ni..."

"Rin, kau jangan cakap yang bukan-bukan la. Si Fatin tu memang dah lama aim aku kan. Dia memang nak hidup aku musnah. Orang macam dia tak boleh hidup senang tengok kejayaan orang lain. Tengoklah, dia berdendam dengan kau lama mana. Padahal disebabkan kau jadi pilihan sekolah aje. Sampai ke sekarang dia berdendam. Apa jenis manusia la dia tu..." kata Farisya. Dia cuba memujuk Shahrina agar tidak menyalahkan diri sendiri.

Lagipun boleh aje dia abaikan Fatin tetapi dia ingin melihat kuasa yang Fatin banggakan itu. Rupanya hanya cara kotor sahaja yang dia dapat. Mujurlah dia ada seni pertahanan diri. Kalau tak belum tentu dia boleh hidup ketika ini.

"Tapi Liyana dengan Sarah dah menyesal. Diorang ada minta saya sampaikan maaf untuk awak. Diorang pun ditahan atas sebab bersubahat. Tapi alhamdulillah disebabkan keterangan diorang, kemenangan mungkin berpihak pada awak, Arie..." Wajah Shahrina sudah bertukar ceria. Bukan kerana kata-kata Farisya tetapi dia merasakan keadilan milik mereka. Apatah lagi Liyana dan Sarah ketika ini berpihak kepada mereka.

Farisya tersenyum. "See? Kita tak buat kerja kotor, kan? So kenapa kita nak takut?"

Shahrina mengangguk.

"Okey. Stop cerita pasal tu. Sekarang ni aku cuma tertanya-tanya, bila aku boleh keluar? Bosan weh!" Farisya sudah kembali ke perangai selambanya.

Hakimi ketawa. "Ooo... ingatkan kuat sangat. Rupanya takut jugak ye." Hakimi mengusik nakal. Sedari tadi dia hanya melihat dua sahabat itu tanpa mencelah. Kerana dia tahu Shahrina sering menyalahkan diri sendiri kerana melibatkan Farisya dalam halnya.

Farisya menjeling. "Bukan takut la tapi bosan!" Farisya membetulkan kata-kata Hakimi. Pantang betul bila orang mengatakan dia takut.

Shahrina tersengih. Kerana dia mengerti maksud Hakimi. Dia juga tahu daripada Syazwan bahawa Farisya sebenarnya tidak sukakan hospital. Entah apa la yang seram sangat di mata Farisya tentang hospital. Jarumkah? Atau ubat-ubat yang pahit? Atau mungkin juga makanan yang tawar.

"Kau sengih-sengih apa Rin?" Farisya menjegil mata.

Serta merta Shahrina menutup mulutnya. Alamak!

"Okey, baru tahu sebenarnya budak hebat ni penakut duduk hospital rupanya..." Makin galak Hakimi mengusik. Tak ada la ganas mana pun. Ada juga kelemahannya.

Farisya terus berdiri di atas katil. Pergh! Minah ni memang suka buat benda yang orang tak pernah buat.

"Dah lama hidup?" Farisya mencekak pinggang. Nasib la bilik VIP. Kalau bilik biasa, silap-silap tercengang pesakit dengan jururawat kat situ.

Hakimi ketawa. Manakala Shahrina hanya tersengih. Ini memang bukti terlebih sihat ni.

"Okey, nampak gaya Cik Farisya boleh balik dah ni. Semangat tu dah nampak." Hakimi mengangguk-angguk, mengajuk perbuatan doktor kononnya. Melihat pesakitnya sudah sihat walafiat. Kira sihat la tu kalau sampai boleh berdiri di atas katil.

Mulut Farisya sudah berceloteh membalas kata-kata Hakimi. Bilik itu memang semakin riuh apabila masing-masing saling membidas. Shahrina pula sekali sekala hanya membalas tetapi lebih banyak menayangkan gigi untuk mengelakkan pergaduhan. Kerana dia tahu sukar untuk dia menang kalau berlawan mulut dengan Farisya.

Dari muka pintu terpancar satu wajah kekecewaan melihat kemeriahan itu. Seakan-akan dirinya tidak diperlukan lagi. Perlahan dia berlalu pergi meninggalkan bilik itu. Tanpa sesiapa pun menyedari bahawa dia sudah lama berdiri di muka pintu sambil memerhati suasana itu.




FARISYA memejam mata sambil menghirup udara petang. Cuba menenangkan fikirannya, cuba menyejukkan hatinya.

Kepalanya masih berbalut. Mengharapkan kecederaannya cepat sembuh. Begitu juga dengan anggota badannya yang calar balar itu.

Dia mendongak memandang langit biru. Kalaulah dia lebih kuat, pasti dia tidak akan berada di situ.

Digenggam keras tangannya. Seakan-akan geram. Kalaulah dia berlatih tanpa henti, dia tidak akan cedera sebegitu. Kalaulah dia tidak cuai, pasti dia mampu kalahkan mereka. Kalaulah dia lebih berhati-hati waktu itu, sudah pasti keadaan tidak jadi sebegini.

Angin menyapa wajahnya. Suasana daripada bangunan atas bumbung hospital membuatkan dia rasa tenang. Jauh dari orang ramai, jauh dari bau ubat-ubatan. Dari ketinggian sebegitu, dia dapat melihat suasana dari bawah.

Dia melihat Iphonenya. Selepas dia pitam dua hari lepas, Syazwan tidak pernah melawatnya apatah lagi menelefonnya. Marah sungguh lelaki itu terhadapnya. Padahal Syazwan sepatutnya mengerti akan keadaannya yang ketika itu emosinya berkecamuk.

Farisya menghela nafas. Ketika ini kalau Syazwan berada di sisinya, pasti dia lebih tenang. Sama seperti kejadian yang lepas. Syazwan tidak pernah meninggalkannya walaupun sebentar.

Wajah risau Syazwan, mulut yang kuat membebel. Ketika dia berperang dengan fobianya di hospital, Syazwan datang menyenangkannya. Dia tahu ketika ini juga Syazwan merisaukan akan dirinya. Tetapi dia tidak mahu Syazwan dihimpit rasa bersalah gara-gara tidak menjawab panggilan Shahrina waktu itu. Baginya Shahrina ataupun Syazwan, mereka tidak bersalah dalam hal itu.

Pantas Farisya mendail nombor telefon Syazwan. Tidak sampai seminit, Syazwan sudah menjawab panggilanya.

"Beb, kau tak rindu aku ke?" tanya Farisya tanpa sebarang salam.

Syazwan di talian tiba-tiba berdiam apabila ditembak soalan begitu.

"Boleh tak kau gantikan tempat aku untuk pertandingan tu?" tanya Farisya lagi.

"Arie..."

"Kau tahu kan, aku letak harapan tinggi untuk pertandingan kali ni. Tapi macam mana aku nak berlawan dalam keadaan macam ni?" celah Farisya. Sedikit pun dia tidak membenarkan Syazwan mencelah ketika dia bercakap.

Syazwan membisu.

"Apa kau rasa kalau aku tiba-tiba berhenti training, berhenti fikir pasal taekwondo?" Farisya bertanya lagi.

Syazwan masih membisu. Terkejut dengan pertanyaan itu.

"Macam mana perasaan orang yang berharap pada aku kalau aku tiba-tiba buat keputusan macam tu?" sambung Farisya lagi.

"Arie, kau cakap apa ni?" Syazwani bertanya tegas.

Farisya ketawa tiba-tiba.

"Saja nak buat kau sentap jap." Selamba sahaja Farisya membalas.

"Aku cuma tertanya-tanya, sampai bila kau nak merajuk dengan aku. Setahu aku, kau ni jenis hati kering. Takkan setakat kena baling buah epal dah tak nak kawan dengan aku," sambung Farisya lagi.

"Aku busy la." Ringkas jawapan Syazwan.

Farisya tersenyum. Dia tahu hanya itu sahaja alasan yang Syazwan ada.

"Nanti datang melawat aku bawa burger okey! Bye!" Farisya terus mematikan talian itu. Dia mengeliat kecil.

"Aa ahh... nampaknya boleh ucap selamat tinggal pada pertandingan kali ni..." ujar Farisya perlahan. Suaranya cuba diceriakan. Seakan-akan terpaksa. Kemudian dia menunduk memandang lantai. Kedua tangannya digenggam erat bagaikan cuba menahan perasaan. Tubuhnya bergerak-gerak bagaikan sedang menangis.

“Nur Farisya Najihan, kau kena kuat okey!” Farisya memberi amaran kepada diri. Ketika ini dia tidak boleh melayan perasaan. Dia perlu kuat. Pantas dia mendongak kepala dan mengesat kasar air matanya di pipi.

“Ahhh... go Arie go!” Farisya mengangkat kedua tangannya ke atas. Bibirnya cuba mengukir senyuman. Namun hakikat sebenarnya, hatinya sahaja yang mengerti.

Dari jauh ada satu batang tubuh berdiri melihat gerak geri si gadis itu. Perasaannya ketika itu sukar ditafsirkan.




TERGELENG kepala Puan Wan Azwa ketika itu. Mana tidaknya, muka ketat si anak terunanya membuatkan dia sendiri tidak faham.

Kalau benar risaukan Farisya, kenapa masih terperap di rumah. Kalau benar ada rasa bersalah, kenapa tidak minta maaf sahaja. Masing-masing lebih pentingkan ego sahaja.

Dia pun sudah pening hendak menasihati anaknya itu. Kejap baik kejap gaduh. Lagipun tadi dia ada dengar perbualan Syazwan di telefon. Dia yakin Farisya yang menelefon anaknya itu. Tetapi wajah itu ada ketikanya tenang dan ada ketikanya risau.

"Wan, takkanlah nak biarkan pergaduhan korang berdua ni berlarutan," tegur Puan Wan Azwa.

Syazwan menjongket bahu. Tiada jalan penyelesaikan untuk masalah itu.

"Dia asyik cakap benda yang pelik-pelik. Lebih baik kitorang tak jumpa daripada bergaduh lebih teruk," balas Syazwan pantas. 

Bukan apa, dia sendiri tahu diri mereka bagaimana. Masing-masing mood angin taufan. Kalau berbincang lebih, makin teruk pula jadinya. Lebih baik mereka menjauh terlebih dahulu. Membiarkan hati mereka sedikit reda. Apatah lagi emosi Farisya masih tidak stabil. Silap-silap tak bercakap pula mereka nanti.

Puan Wan Azwa mengeluh berat. Nasihat lebih-lebih pun macam masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tapi kalau tidak dinasihat, parah pula jadinya.

"Wan sendiri tahu, kali ni Arie terpaksa tarik diri untuk masuk pertandingan tu. Wan sendiri tahu perasaan Arie macam mana sekarang ni. Sebab Wan membesar bersama-sama dengan dia. Jadi Wan lebih faham keadaan dia berbanding dengan orang lain."

Puan Wan Azwa tidak berhenti memujuk. Baginya dalam bahagianya Farisya sebenarnya ada duka di hati. Yang tidak nampak dengan mata kasar. Namun Syazwan masih begitu. Seakan-akan berpura-pura menutup mata melihat semua iu. Padahal anaknya lebih memahami segalanya.

"Dia okey aje ibu. Kalau Wan tak ada pun, masih ada orang lain yang boleh tengok-tengokkan dia." Syazwan bingkas bangun dari sofa. Dia sudah malas berbahas perkara itu. Balik-balik dia pula yang akan disalahkan.

Kejadian di bilik wad Farisya membuatkan dia sedar, dia tidak perlu pun berada di sisi gadis itu. Farisya masih lagi boleh tersenyum gembira bersama orang lain. Entah kenapa kejadian itu membuatkan dia cemburu. Dia mula merasakan hubungan mereka semakin menjauh. Akhirnya dia membatalkan niat untuk melawat Farisya.

Puan Wan Azwa hanya mampu menggeleng kepala. Sudah hilang akal untuk memujuk anak terunanya. Masing-masing degil dan ego.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni