Sidik menguap berkali –kali menahan rasa mengantuk. Perjalanan pada petang itu amat membosankan. Sesekali dia mengerling ke arah Sarina yang sedang terlena di sebelahnya, di tempat duduk penumpang. Ada juga terlintas fikiran nakal di dalam mindanya melihat Sarina tetapi sebagai memegang amanat Malik, dia ketepikan niat tidak baiknya.Malik telah berpesan kepada Sidik, hendaklah menganggap Sarina seperti anak Malik sendiri. Jika sesuatu tidak baik berlaku kepada Sarina, tidak ada lagi masa depan Sidik untuk menumpang bekerja dengan Malik.
Sidik melihat jam di dashboard kereta . Sudah hampir 3.30 petang. Kira-kira setengah jam lagi dia akan masuk ke lebuhraya menuju ke Kuala Lumpur. Jalan kampung dua lorong ini memerlukan pemanduan yang lebih berhemah dan lebih menguji kesabaran. Kanak-kana melintas, motorsikal yang bersimpang siur dan kadang –kadang binatang ternakan di jalanraya menguji kecekapan pemandu.
Kira-kira 50 meter di depan sana Sidik melihat ada kedai makan . Dia memperlahankan keretanya untuk berhenti sebentar,untuk minum kopi secawan menghilangkan rasa mengantuk. Sebaik sahaja kereta berhenti di bahu jalan Sidik mematikan enjin dan Sarina terjaga dari lenanya.
“ Jom, turun minum air kejap.Abang mengantuklah,” kata Sidik.
Sarina membetulkan tudung dan melihat wajah di cermin di depannya. Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari kereta, beberapa pasang mata mengekori pergerakan Sidik dan Sarina. Sidik melemparkan senyum kepada mereka yang memerhatikannya dan Sarina. Senyumannya di balas oleh sebahagian dari mereka.
Mereka berdua memilih untuk duduk di dalam kedai. Sidik memesan air kopi dan mi kari . Sarina pula memesan air teh.
“ Tak nak makan ke? ,” Sidik bertanya.
“ Tak naklah bang. Sejak kerja dengan Haji Malik ni berat saya dah naik 2 kilogram. Tak ada kerja lain.Mesyuarat makan, pergi majlis makan. Makan, makan, makan,” kata Sarina. “Tengok ni pipi pun dah tembam. Kalau teruskan lagi makan tak lama lagi macam pelakon Cinta Kolesterol nanti,” kata Sarina tertawa.
“ Eh, tu cerita lama. Ina memang minat cerita lama ke,” kata Sidik.
Sarina tertawa mendengar komen Sidik.
“ Saya layan semualah bang.Cerita lama saya layan, cerita baru pun saya layan,” kata Sarina sambil meneguk minuman yang baru diletakkan oleh pelayan kedai.
“ Abang dah lama ke kerja dengan Haji Malik?” Sarina bertanya , melihat Sidik berselera makan mi kari yang nampak masih berasap lagi kuahnya.
“ Dah lama dah. Dah dekat 20 tahun.Sejak lepas habis SPM sampailah sekarang,” kata Sidik.
“ Oh, dah lama tu,” kata Sarina.
“ Abang ni sekolah malas. SPM pun cukup-cukup makan aja. Nak masuk universiti ke memang tak mimpilah. Abang dapat kerja bawa lori dengan Haji Malik. Sejak dari hari itu sampailah sekarang abang kekal kerja dengan dia,” kata Rosli sambil menghirup kuah mi dengan berselera.Peluh bermanik di dahinya.Mungkin disebabkan oleh kuah mi yang panas dan kipas yang berputar terlalu perlahan di kedai itu.
“ Abang ni sekolah tak tinggi.Nak kerja apalah sangat dengan kelulusan yang abang ada. Nasib baiklah Haji Malik sudi ambik abang kerja dengan dia. Bolehlah juga membesarkan anak-anak.Bagi anak isteri makan,” kata Sidik.
“ Isteri abang tak kerja ke? ,”Sarina bertanya.
“ Isteri abang suri rumah sepenuh masa. Tapi dia ada juga buat kuih untuk dihantar ke kedai-kedai sekitar kampung. Bolehlah bantu abang untuk tampung duit poket sekolah anak-anak,” kata Sidik meneguk minuman terakhir dari cawan.
Sebaik sahaja mereka meneruskan perjalanan, mata Sarina tidak lagi mengantuk. Dia terus melayan Sidik berbual.
“ Abang memang minat politik ke? “Sarina bertanya menduga.
“ Abang ni kerja bawak lori aja.Manalah abang tahu hal-hal politik ini,” kata Sidik.
Perjalanan menjadi semakin lancar apabila mereka memasuki lebuhraya. Kenderaan pun semakin bertali arus.
“ Saya sebenarnya tak berapa faham apakah niat dan tujuan Haji Malik meminta saya berbaik dengan YB Amran,”kata Sarina.
“ Bagi abanglah, apa aja yang Haji Malik suruh abang buat. Tahap macam abang ni bukan faham sangat silat orang politik ini. Cuma abang ada lah dengar sikit-sikit apa yang berlaku,”kata Sidik.
“ Haji Malik nak dapatkan jawatan Ketua Bahagian. Kan Dato’s Rosman Ketua Bahagian dah nak bersara. Pada masa yang sama dengar-dengar cerita YB Amran pun mengintai peluang juga. Sebab tu Haji Malik kena kerja lebih kuat. YB Amran tu selain dari wakil rakyat dia jugaTimbalan Ketua Bahagian. Lojiknya kalau Ketua Bahagian turun, Timbalannya akan naik. Dalam kes ini macam YB Amranlah yang akan naik. Haji Malik cuma ahli jawatankuasa aja. Sebab tu Haji Malik kena kerja lebih kuat lagi,” kata Sidik.
“ Oh,” balas Sarina cuba memahami situasi sebenar.
“ Saya hairanlah. Orang macam Haji Malik tu apa lagi yang dia nak. Duit dah banyak. Kalau saya jadi dia baik saya fokus pada perniagaan aja.Tak payah pening kepala fikirkan soal politik. Saya tengok dia banyak berbelanja untuk aktiviti politik dia,” kata Sarina.
“ Lain orang lain caranya. Abang bagi contoh kat Ina orang kaki pancing. Kalau kita tengok macam terseksa aja kan. Menunggu berjam jam, ikan belum tentu dapat. Baik beli aja ikan kat pasar.Mudah aja. Ada juga kawan-kawan abang yang menipu isteri. Dia pergi memancing tak dapat ikan. Balik rumah takut kena bebel dengan isteri, dia singgah beli ikan kat pasar. Tunjuk pada isteri kononnya ikan itulah yang dia dapat hasil memancing,” kata Sidik sambil tertawa.
Sarina tertawa besar mendengar cerita Sidik.
“ Nasib baiklah juga dia betul-betul pergi memancing. Kalau dia pergi memancing manusia kan lagi susah,”kata Sarina.
“ Kes macam tu pun banyak aja berlaku,” kata Sidik membelok kereta memasuki kawasan hotel tempat Seminar Parti Bumiputera akan diadakan.
“ Abang tak pernah ke cuba pancing wanita lain?” Sarina menyoal menguji Sidik.
“Orang kerja bawak lori ni perempuan manalah yang nakkan abang,” kata Sidik merendah diri.
“ Tak kiralah kerja apa pun bang.Yang penting rezeki halal. Lagipun saya tengok abang Sidik ni muka baik. Mesti suami misali,” kata Sarina.
Sidik tertawa sambil memberhentikan kereta di tempat letak kereta di tingkat bawah hotel.
Sebaik sahaja Sarina mendaftar di lobi hotel dia melihat pasangan sebiliknya perserta yang dia tidak kenal.
Dia masuk ke bilik dan terbaring keletihan setelah hampir separuh hari menempuh perjalanan.
Melihat aturcara program bermula pada pukul 9 malam nanti Sarina cuba melelapkan mata merehatkan diri.
......................................................................................................................................................................
Amran melangkah mengiringi Timbalan Menteri yang akan merasmikan program pada malam itu.Sebelum sampai ke pentas utama, Timbalan Menteri bersalaman dengan beberapa orang perserta. Ada juga perserta yang meminta untuk berswafoto dengan Timbalan Menteri. Timbalan Menteri dengan wajah ceria tidak menghampakan permintaan mereka.
Sarina melihat Amran hanya berdiri beberapa kaki sahaja darinya lalu dia berbisik kepada Amran.
“ YB ingat saya lagi tak?” tegurSarina perlahan, tidak mahu menganggu perhatian orang lain yang tertumpu kepada Timbalan Menteri.
Amran berpaling ke arah Sarina apabila menyedari namanya dipanggil. Dia tersenyum melihat Sarina.
“ Ingat saya tak? “ Sarina bertanya. Suara riuh rendah perserta lain yang sibuk berswafoto dengan Timbalan Menteri seolah-olah tenggelam dalam perbualan mereka berdua.
“ Mestilah ingat,” jawab Amran sambil tersenyum.
Sebaik sahaja Amran menjawab,Timbalan Menteri telah bergerak ke pentas utama. Amran dan mereka yang lain mengekori di belakang.
Amran merasa gembira hari ini setelah menerima panggilan telefon dari Menteri Besar sendiri memaklumkan kepadanya yang namanya tersenarai sebagai calon utama untuk bertanding di Kerusi Parlimen Kuala Bertahan. Dia sengaja tidak memaklumkan perkhabaran gembira ini kepada Izara kerana dia tahu Izara tentunya merasa kecewa andai dia tahu yang Amran akan terus berada di dalam politik.
Dia tahu Izara sudah lama berharap agar dia berhenti dari politik. Dia ada dua pilihan jika berhenti dari politik,samada menjadi pensyarah semula atau membuka firma kejuruteraannya sendiri.
Biarlah penggal ini adalah penggal terakhir dia berkecimpung dalam politik. Tapi dari segi lain,pencalonannya untuk bertanding dikawasan Parlimen memberi ruang yang jauh lebih terbuka untuk meneruskan kerjaya politiknya. Manalah tahu jika ada rezeki dia akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Memanglah angan-angan tetapi tidak ada ahli politik yang tidak menaruh angan-angan untuk mencapai jawatan tertinggi itu.
Lamunan Amran terhenti sebaik sahaja dia mendengar tepukan gemuruh dari peserta seminar.Rupa-rupanya Timbalan Menteri telah menamatkan ucapannya.
Kini giliran Amran pula menyampaikan ucapan. Dia menyampaikan ucapan selama kira-kira 20 minit dengan lancar. Memang Amran petah berbicara dan telah berulang kali menyampaikan ucapan di khalayak ramai. Apa yang dia perlu buat hanyalah menokok tambah serba sedikit isi ucapan mengikut kesesuaian majlis.
Sebaik sahaja majlis bersurai pada kira-kira pukul 11 malam, Amran meminta ahli Putera dan Puteri Bahagian Kuala Bertahan berjumpa dengannya di dewan itu.Perserta-perserta lain beransur-ansur meninggalkan dewan.
Ada lebih kurang 20 orang wakil dari Kuala bertahan. Memandangkan hari sudah beransur lewat tanpa membuang masa Amran terus membuka bicara.
“ Assalamualaikum semua. Tujuansaya memanggil saudara saudari semua dalam perjumpaan ringkas ini untuk berkongsi sedikit sebanyak maklumat tentang Bahagian Kuala Bertahan.Sebagaimana saudara dan saudari semua tahu, pilihanraya umum mungkin akan diadakan kurang setahun dari sekarang.Permintaan saya kepada saudara saudari,sesiapa juga yang dinamakan parti sebagaai calon mewakili kawasan Parlimen Kuala Bertahan dan tiga DUN di bawahParlimen Kuala Bertahan, kita semua perlu memberi sokongan tidak berbelah bagi.Kita bekerja sebagai satu pasukan. Kalah menang kita perlu bersama. Saya tidak mahu ada mana-mana pihak yang mensabotaj parti,” kata Amran sambil matanya melihat ke setiap muka peserta yang ada.Amran boleh membaca dari riak muka samada sokongan yang diberi kepadanya ikhlas atau tidak. Apabila Amran melihat ke muka Sarina, serta merta Sarina menundukkan mukanya, tidak sanggup melihat renungan tajam mata Amran.
“ InsyaAllah, kita semua akan terus menyokong Parti Bumiputera. Hidup Parti Bumiputera,” kata seorang pemuda sambil mengggenggam tangannya ke udara. Kata-katanya disambut dengan penuh semangat oleh mereka yang hadir.