Home Novel Cinta Masihkah Ada Cinta
Masihkah Ada Cinta
Iza Haniza
9/11/2017 16:06:51
31,031
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Izara mengusap-ngusap bulu kucing kesayangannya yang dinamakan Montel. Sebelah tangannya mengusap Montel sementara tangan kanannya memegang novel yang sedang dibacanya dengan tekun. Muzik latar dimainkan perlahan memecah kesunyian di rumah banglo dua tingkat itu.Selain Izara dan Amran suaminya dia ditemani oleh seorang pembantu Indonesia bernama Rumini yang panggilan singkatnya Mini.Sesekali dia menjeling kearah jam di tangannya. Waktu telah menginjak hampir 11 malam namun Amran masih belum sampai di rumah. Dulu masa mula-mula kahwin dia merasa resah menunggu kepulangan suaminya, bimbang terjadi apa-apa yang tak diingini tapi lama kelamaan dia menjadi lali dengan penantian.

Izara faham tugas Amran sebagai wakil rakyat sememangnya menuntut pengorbanan yang tinggi.Dia tidak boleh mendesak supaya Amran menemaninya sepanjang masa kerana Amran adalah milik masyarakat.Dia amat berharap kehadiran seorang cahaya mata yang boleh mengubat kesunyian semasa Amran keluar menjalankan tugas. Cahaya mata juga menjadi penambat kasih sayang suami isteri tapi apakan daya sehingga kini rezeki masih belum memihak kepadanya suami isteri.

Montel  berdengkur apabila tubuhnya diusap. Letih membaca Izara bangun dari sofa dan berjalan ke arah dapur. Montel yang terkejut selepas digerakkan dari tidur mengekori Izara sambil menggoyangkan ekor dan mengiau perlahan.

“ Montel ni asik nak makan aja. Tengok tu dah berlebihan berat badan. Montel kena diet,” kata Izara sambil mencurah sedikit makanan kucing ke dalam bekas makanan kucing yang memang tersedia di penjuru dapur.Izara membancuh kopi sambil mencari biskut tawar yang ada di dalam tin. Dia memang tidak suka menyusahkan Rumini yang memang masuk tidur awal.

Pada usia mencecah awal  tiga puluhan Izara masih kelihatan ayu lagi. Mukanya licin putih bersih tanpa sebarang alat solek.Rambut lurus paras bahu. Jika berjalan seorang masih ramai yang salah anggap dia masih belum berkahwin. Bila dipuji Izara hanya mampu tersenyum  sambil mengucap syukur kepada Allah. Dia amat bersyukur dengan rahmat dan limpah kurnia Allah terhadapnya.

Izara mengenali Amran ketika dia berusia awal dua puluhan lagi. Pada ketika itu Izara masih di universiti lagi. Dia memang aktif dalam berpersatuan dan salah satu persatuan yang disertai oleh Izara ialah Pergerakan Puteri Parti Bumiputera. Puteri Parti Bumiputera sememangnya aktif dalam kerja-kerja amal seperti gotong royong membersihkan masjid, menziarah kerumah orang tua-tua dan bermacam lagi aktiviti. Dalam salah satu aktiviti itulah buat pertama kalinya Izara bertemu Amran.

“ Zara, kau tengok mamat tu. Hensemlah,” kata Suria menarik perhatian Izara terhadap Amran yang pada ketika itu sedang bermandi peluh mencuci longkang. Izara memandang ke arah Amran.

“ Kau ni kena pakai speklah Suria. Mamat tu engkau kata hensem?. Aku tengok poyo aja. Dengan songkok tinggi dia tu. Mana ada orang pakai songkok tengahari buta macam ni,”kata Izara tergelak kecil.

“Entah-entah kepala dia botak ,” kata Izara sambil tertawa. Rakan-rakannya yang lain memandang kearah mereka berdua dengan pandangan penuh tandatanya.

“ Kau ni tak baik tau. Sentiasa buruk sangka pada orang. Nanti aku suruh dia angkat buka songkok dari atas kepala dia tu. Kita bertaruh nak. Kalau dia ada rambut kau belanja aku nasi lemak pagi besok,” kata Suria.

“ Ok. Kalau memang betul kepala dia botak aku nak kau pergi gosok kepala dia nak tak?Hihi,” Izara ketawa besar dengan cadangan balas dia kepada Suria.

“ Mengarutlah kau ni,” kata Suria mencebik bibir.

Sebaik sahaja azan Zohor berkemundang dari masjid mereka semua berhenti dan membersihkan diri untuk bersolat. Izara menjeling ke arah Amran dengan anak mata sambil cuba meneka samada lelaki itu memang berambut atau berkepala botak.Suria yang duduk berhampiran Izara juga tertunggu-tunggu masa dan ketika Amran mengambil wudhu untuk menunaikan Solat Zuhur.

“ Besok aku dapat makan nasi lemak percumalah nampak gayanya, “ kata Suria.

“ Eh, belum tentu. Ntah-ntah hari ini kita semua dapat tengok adegan paling lucu apabila kepala ahli Pemuda Parti Bumiputera digosok kepalanya oleh Cik Suria yang cantik manis ini,” kata Izara sambil tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih teratur.

Ketika kebanyakan lelaki lain pergi ke tempat mengambil Wudhu Izara melihat Amran terus naik ke tangga masjid dan menunaikan solat Sunat.

“ Eh, mamat tu mazhab apa yer? Sembahyang tak ambik air sembahyang?” kata Suria dengan nada kehairanan.

“ Kau ni. Tadi kau yang cakap pada aku jangan bersikap buruk sangka. Sekarang ni kau yang terlebih dulu berburuk sangka. Bila dia sembahyang tak ambil wudhu itu tandanya dia dah ada wudhu. Memang ada orang yang sentiasa dalam wudhu. Itu ciri-ciri lelaki beriman. Batal aja wudhu dia ambik pula wudhu,” terang Izara kepadaSuria.

“ Yerlah, yerlah.Aku tak terfikir pulak macam apa yang kau fikir.Tapi apa-apa pun besok aku makan nasi lemak percumalah yer,”kata Suria

“ Eh mana aci.Kan kita belum tahu lagi dia tu ada rambut ke atau botak. Kau ni aja yang memandai-mandai. Kita tunggu dulu sampai betul-betul sahih yang dia berambut baru aku belanja kau nasi lemak,” kata Izara.

“Kau ni memang.Dengan aku pun nak berkira,” kata Suria dengan nada merajuk.

“Oklah Oklah.Besok aku belanja kau makan nasi lemak percuma,” kata Izara memujuk.

“Yeay,yeay, “kata Suria sambil terlonjak-lonjak.

Lamunan Izara terhenti apabila melihat biskut tawar yang direndam di dalam cawan kopinya sudah mengembang. Zara, Zara, kuat betul kau berangan , kata suara hati Izara.

Izara menoleh mencari Montel tapi Montel tidak kelihatan. Mungkin telah masuk tidur ke tempat tidurnya yang memang telah dikhaskan untuknya.Izara menghilangkan rasa sunyi membaca wassapp dari beberapa kumpulan wassapp yang banyak. Ada kumpulan wassapp rakan sekolah rendah, ada wassap rakan sekolah menengah, ada wassapp keluarga, ada wassapp bekas rakan sekerja, ada wassapp isteri-isteri wakil rakyat dan pelbagai kumpulan wassapp lagi.

Izara lebih gemar menjadi pembaca dan jarang terlibat di dalam sebarang perbualan kecuali jika benar-benar perlu. Rakan-rakan wassap selalu menggelarnya sebagai pemerhati. Dia tidak ada ramai kawan. Isteri-isteri wakil rakyat pula ramainya jauh lebih berumur darinya. Dia kurang dapat menyesuaikan diri dengan mereka yang boleh dianggap sebagai kakak kalaupun tak sebagai ibu.

Dia sering dipelawa oleh oleh isteri-isteri wakil rakyat untuk bersama-sama mereka menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan. Masa mula-mula Amran bergelar Yang Berhormat dia cuba juga mengikut beberapa aktiviti-aktiviti yang dijalankan sekadar untuk kenal isteri-isteri wakil rakyat dan menteri tetapi lama kelamaan timbul rasa kebosanan. Mereka bercerita tentang percutian ke luar negara,pakaian dan beg tangan berjenama yang bukan minatnya.

Topik yang paling tidak digemari oleh Izara apabila isteri-isteri wakil rakyat yang ramainya bergelar Datin atau Datin Sri  menceritakan tentang kejayaan anak-anakmereka. Apabila mereka menceritakan kerenah cucu-cucu mereka,  pada ketika itu jiwa Izara merasa seperti disentap-sentap. Dia merasakan seolah-olah dia tersindir dengan kata-kata mereka walaupun jauh di sudut hati Izara tahu mereka tidak ada sekelumit niat pun untuk menyindirnya.

Lama kelamaan Izara mula menyisihkan diri dari mereka. Setelah dipelawa beberapa kali dan Izara menolak dengan pelbagai alasan akhirnya namanya seakan-akan dilupakan.Sesekali Izara mengiringi Amran melawat kawasan. Bila sampai kerumah dia keletihan. Akhirnya Amran membuat keputusan Izara hanya akan mengiringnya jika keadaan benar-benar memerlukan.

Izara mengunyah perlahan biskut tawar yang kembang direndam di dalam secawan kopi itu.Suasana malam semakin menyepi. Deruan kenderaan yang sesekali lalu di depan rumahnya memecah kesunyian.Mungkin warga taman perumahan sudah lena diulit mimpi. Jarum jam telah menginjak menghampiri tengah malam.

Kenangan semasa belajar di universiti dulu kembali semasa ke kotak mindanya.

“ Zara, kau tengok ni, “ kata Suria melambai kearah Izara.

“ Apa dia ?”kata Izara menghampiri Suria yang memegang akhbar.

“ Ni gambar kita masuk suratkhabar. Wah bukan main glamour lagi kita,” kata Suria. 10 tahun yang lepas belum ada lagi telefon pintar, belum ada lagi wassap dan sebagainya.Kalaupun ada internet penggunaanya belum begitu meluas seperti sekarang. Akhbar masih merupakan sumber maklumat utama bagi sebahagian besar ahli masyarakat.

“ Zara, kan aku dah kata yang mamat tu ada rambut. Kau tengok tu bukan main tebal lagi rambut dia. Hihi, “ Suria berkata sambil menunjukkan ke arah sebuah gambar yang memuatkan wajah Amran bersama rakan-rakannya. Amran tidak bersongkok di dalam gambar itu.

“ Hensem jugakan mamat ni bila tak bersongkok. Taklah nampak poyo sangat. Kalau pakai songkok macam orang tahun  lima puluhanaja,” kata Izara memberi komen.

“ Dah jatuh hatilah tu. Hihi, “ Suria mengusik.

“ Ish kau ni Suria. Aku tengok dia ni nampak tua walaupun hensem. Ntah-ntah dah ada bini kat rumah,” kata Izara merenung wajah Amran.

“ Kalau ada bini pun apa salahnya. Kan lelaki ada kuota untuk empat, “kata Suria.

“ Ntah-ntah kuota dia dah penuh. Kalau kuota dia tak penuh pun kau ajalah yang kawin dengan dia. Nampak macam kau pulak yang terlebih syok kat mamat tu, “ kata Izara.

“Eh, aku pulak.Habis kalau aku kawin dengan mamat tu abang Sudin aku tu nak campak kat mana?”kata Suria.

“Sayang betul kau dengan Sudin tu kan,” kata Izara merujuk kepada kekasih Suria Izzudin yang dipanggil Sudin oleh mereka berdua.

“ Zara, aku setia dalam berkasih tau. Datanglah lelaki macam mana pun abang Sudin itu jugalah yang menjadi kekasih sejati aku,” kata Suria.

Lamunan Izara terhenti mendengar bunyi kereta menandakan Amran telah sampai ke rumah.

Izara membuka pintu dan mengambil beg dari tangan Amran.

Wajah Amran kelihatan begitu letih.Dia masuk ke rumah dan duduk di sofa.

“Abang nak minum ke? “ tanya  Izara sambil mencium pipi Amran.

“ Tak apalah.Abang dah minum masa kat airport tadi,” kata Amran bergerak ke bilik mereka di tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu.

Selesai mandi Amran terus ke katil dan dalam masa tak sampai limi minit telah berdengkur.

Izara yang berbaring di sebelahnya memandang wajah suaminya dengan perasaan bercampur baur. Rasa kasihan melihat suaminya yang bertungkus lumus bertugas demi rakyat dan jarang diberi penghargaan.Rasa sedikit kecewa apabila kebelakangan ini dia jarang disentuh oleh suaminya.Mungkin kerana terlalu keletihan..

Matanya terkebil-kebil memandang siling . Waktu telah menghampiri pukul 1 pagi namundia tidak merasa mengantuk. Mungkin kerana air kopi yang dia minum sebentar tadi.

Pelbagai perkara bermain di minda Izara sehingga dia terlelap ketika ayam mula berkokok ketika dinihari.

 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.