BAB 10 (SOMBONG)
"KENAPA dengan kereta? Ada masalah ke?"
Pertanyaan yang menggetarkan naluri itu membuatkan Tihani berpaling. Tak tahu bila masa Jihad berdiri di sisi yang bertentangan dengan keretanya. Dia sungguh-sungguh tidak perasan. Sekejapan, Tihani rasa wajahnya bertukar hangat. Tetapi, dia segera mengawalnya.
'Betul juga! Macam mana aku boleh terlupa kotak parkir kereta Jihad berada di sebelah kotak parkir kereta aku? Mesti tadi Jihad dah nampak cara aku sembunyikan diri. Aduhai, malu semalam pun tak habis lagi!
"Bateri kong ke?" tanya lelaki berambut panjang itu.
Tihani tersedar. Dia cepat-cepat menggeleng.
"Err... taklah. Tak ada apa-apa masalah pun. Okey aje," jawabnya spontan.
Tutur katanya itu meluncur laju bagaikan kereta api.
"Betul ke tak ada masalah?"
"Betul."
"Tapi, aku tengok macam ada aje!"
"Taklah. Semuanya baik-baik. Sikit pun tak ada masalah. Langsung tak ada!" Tihani berkeras lalu kembali memasuki perut keretanya sekali gus menarik pintu dan menutupnya.
Namun, tak semena-mena sanubari kecil Tihani dirobek rasa kesal. Teramat kesal.
'Bodohnya! Kenapa aku boleh terfikir nak masuk balik kereta ni? Kenapa aku senang-senang kata tak ada masalah sedangkan kereta ni memang tengah ada masalah?'
Tihani terasa mahu menampar mulut sendiri. Marah kerana bersikap melulu gara-gara sikap egonya. Tak pasal-pasal dia kepanasan semula kerana terkuap di dalam kereta. Silap-silap, celah ketiaknya yang sudah kebasahan tadi semakin basah disimbahi peluh.
Menyedari Jihad masih memandang gerak-gerinya dari luar, Tihani terpaksa berpura-pura sibuk memasukkan kunci kereta. Kemudian, berlagak tenang memulasnya. Walaupun tindakannya masih tak berjaya menghidupkan enjin, Tihani berdegil tidak mahu mengalah.
Dia mencuba sedaya upaya sambil tak henti-henti berdoa agar Jihad segera berlalu dari situ. Bila lelaki itu beredar nanti pandai-pandailah dia mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya sendiri.
Tuk! Tuk!
Tihani terperanjat. Tingkap keretanya tiba-tiba diketuk. Lamunannya sekali gus berkecai.
Tatkala mendongak, Jihad memberi isyarat supaya dia membuka pintu kereta. Yang peliknya, bagaikan orang bodoh boleh pula dia menurut arahan lelaki itu. Seakan dirinya telah dipukau pun ya!
"Keluarlah. Biar aku tolong check apa yang tak kena." Jihad memberi arahan yang tak terduga.
Tihani pantas menggeleng.
"Eh, tak apa... tak apa. Encik tak payah susah-susah. Kereta saya okey aje. Memang selalu macam ni. Saya dah biasa. Tak ada apa yang tak kena pun. Kejap lagi mesti boleh start."
"Bila dah ada orang tawarkan pertolongan, terima ajelah. Tak baik tolak bantuan orang. Nanti kena cop sebagai sombong."
"Mana ada saya sombong?" nafi Tihani. Dia masih tenang di tempat duduk pemandu.
"Habis tu kalau bukan sombong, apa dia? Tak sudi?"
Tihani mengetap bibir. Tersentap dengan patah-patah bicara yang dimuntahkan oleh Jihad.
"Bukan tak sudi..."
"Okey, kalau bukan tak sudi... kau takut aku minta upah ke? Jangan risau. Aku cuma tolong tengok apa masalah kereta kau ni. Kalau setakat bateri, aku bolehlah tolong sikit-sikit. Tapi kalau ada masalah lain, takkanlah aku sibuk-sibuk nak tolong pulak? Sah-sah kau kena hantar kereta ni ke bengkel. Aku bukannya mekanik." Begitu panjang Jihad menerangkan maksud pertolongan yang sedang ditawarkannya.
"Tak payahlah buang masa. Sekarang ni aku tanya, kau nak terima pertolongan aku ke tak? Kalau kau rasa boleh uruskan sendiri, aku tak ada hal. Aku boleh pergi."
Panorama jadi bisu bila Tihani tidak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan Jihad yang tiba-tiba.
"Okey, memandangkan kau diam tak ada jawapan, aku anggap kau tak nak terima pertolongan aku. Jadi, kau uruslah sendiri masalah kau ni. Aku blah dulu." Jihad mahu berlalu.
"Encik..." Tihani spontan memanggil.
Langkah Jihad terhenti saat dia berpaling. Kelihatan Tihani menerobos keluar dari perut keretanya.
"Boleh ke tolong saya?" Teragak-agak Tihani bertanya. Suaranya kedengaran perlahan.
Jihad tidak sedar bibirnya tersenyum simpul sewaktu memandang riak kelat pada wajah Tihani. Tercuit pula hati kecilnya dengan gelagat gadis bertudung itu. Jelas sekali Tihani sebenarnya masih malu-malu dengannya.
Agaknya gadis itu masih terkesan dengan peristiwa semalam. Lalu sengaja mencipta pelbagai alasan dan berkeras menolak bantuannya supaya tak perlu terus berdepan dengannya.
Macamlah dia tidak perasan apa yang gadis itu lakukan tadi. Sah-sah dia ternampak gadis itu bersembunyi di bawah stereng kereta yang diparkir bersebelahan dengan kenderannya.
Bila difikirkan semula, Jihad terasa lawak pula.
Seumur hidupnya yang kini sudah berusia 30 tahun, itulah pertama kali dia berjumpa dengan gadis yang memiliki sikap yang benar-benar mencuit hati.
Ya, pada matanya Tihani tampak begitu berbeza dibandingkan dengan gadis lain yang pernah dikenali. Malah dapat dirasakan gadis itu memiliki keistimewaan tersendiri!
'Hisy, apa hal ni Jihad? Dah kenapa dengan kau ni?'
Jihad segera menyedarkan diri. Tidak mahu membiarkan fikiran nakalnya itu terus melalut kepada perkara yang bukan-bukan.
_____
ANAK mata Tihani sesekali melirik ke arah Jihad. Sukar untuk dikawal. Seolah-olah terdapat seketul magnet pada roman wajah lelaki itu yang menarik pandangannya untuk melekat di situ.
Jihad tampak begitu leka memutar kunci sejak mengambil tempat duduk di kerusi pemandu, Perodua Myvi miliknya. Tidak pasti sudah berapa kali enjin keretanya itu cuba dihidupkan, tapi masih tidak berjaya.
Hon yang ditekan pula sekadar menghasilkan bunyi perlahan. Tidak nyaring seperti selalu.
"Aku rasa kalau macam ni biasanya masalah bateri," kata Jihad tiba-tiba.
Serentak itu, dia menarik satu pedal di tepi stereng lalu melangkah keluar. Sebaik membuka bonet hadapan Perodua Myvi milik Tihani, dia berjalan pula menuju ke arah Mitsubishi Lancer berwarna merah miliknya.
Jihad menghidupkan enjin keretanya. Selepas itu memandu keluar dari kotak parkir dan meletakkan kenderaannya bertentangan dengan kereta Tihani.
Setelah mematikan enjin keretanya, Jihad tangkas mengeluarkan sebuah beg dari but belakang. Sejurus itu dia membuka bonet hadapan keretanya pula.
"Aku cuba jumper bateri kejap." Jihad menoleh ke arah Tihani memberitahu maksud tindakannya.
Gadis yang masih berdiri memerhati tidak jauh dari situ, mengangguk. Tiada kata-kata yang diucapkan. Tihani sekadar memandang Jihad mengeluarkan kabel jumper daripada sebuah beg berwarna coklat.
Dalam beberapa saat, Tihani ternampak lelaki itu menyambungkan pengepit kabel berwarna merah dan hitam ke bateri kereta masing-masing sebelum menghidupkan enjin Mitsubishi Lancer.
Bunyi deruman enjin memecah alam.
Walaupun Tihani langsung tidak faham apa yang sedang Jihad lakukan, namun dia tidak mempersoalkan apa-apa. Dia pasti Jihad lebih arif. Melihat daripada cara lelaki itu menguruskan kabel jumper, dia sudah dapat meneka tahap kecekapan Jihad.
[Bersambung...]
** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.
*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :
1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna
2. Instagram : @Damya_Hanna.