Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
68,034
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 9

BAB 9 (MENYOROK)

"MAK telefon kau? Pukul 3.00 pagi tadi?" tanya Bariah dengan riak hairan. Dia menatap wajah Tihani. Gadis itu kini sedang merapatkan jeriji rumah mereka untuk menguncinya.

Tihani lantas mengangguk. Mulutnya masih ligat mengunyah sandwic telur yang telah disediakan oleh Bariah sebagai sarapan mereka pagi itu.

"Mak cakap apa kat kau?"

"Tak ada apa yang penting pun. Mak pesan suruh balik kampung sebab dah lama tak jumpa kita. Lepas tu, dia suruh kirim salam kat kau."

"Itu aje?"

"Itu ajelah. Kau nak suruh mak cakap apa lagi?"

Tihani menyimpan kunci ke dalam beg tangannya. Kemudian, dia dan Bariah mula mengayun langkah. Bersama-sama menuju ke arah lif.

"Tak adalah. Aku cuma pelik, kenapa mak telefon pagi-pagi buta kalau takde sebab?" Bariah mempersoalkan.

Tihani sekadar diam. Tiba-tiba dia terfikir untuk berkata sesuatu.

"Oh, ya tak ya! Mak pun ada cakap dia telefon sebab rindukan aku. Haa... mak telefon sebab tulah! Kau jangan jealous tau. Mak tak kata rindu kat kau pun. Dia suruh kirim salam aje."

Bariah spontan mencebik. Matanya melirik ke arah Tihani. Adiknya yang berlagak itu masih rancak mengunyah sandwic.

"Eleh, aku tak payah tunggu mak cakap rindu pun, aku dah tahulah mak memang selalu rindukan aku!" bidasnya pula.

Tihani lantas melambakkan tawa.

"Ha... ha... jealous!" Gadis itu terus mengejek.

Lif tiba. Mereka sama-sama memasuki lif untuk ke tingkat bawah. Bariah tidak bercadang untuk memberi apa-apa komen lagi.

Mana mungkin dia berasa cemburu sedangkan Tihani adalah anak bongsu. Jadi, sudah pasti kasih sayang emak akan lebih tertumpu kepada adiknya itu berbanding adik-beradiknya yang lain.

Lagipun, sejak tragedi yang menimpa Tihani 12 tahun lalu, Bariah sudah pun belajar untuk tidak bersikap mementingkan diri. Dia tahu, Tihani memerlukan lebih perhatian daripada biasa.

Malah bukan dia sahaja, setiap ahli keluarganya telah berazam untuk mendahulukan kebajikan Tihani dalam apa jua perkara.

"Bariah, cuti sekolah tak lama lagi kan? Kita balik kampung masa tu nak tak? Aku rindu sangat kat mak. Kau tak rindukan mak ke? Dah dua bulan kita tak jumpa mak."

"Mestilah rindu. Orang yang tak sayang mak aje akan cakap tak rindu," akui Bariah.

Tihani tersengih.

"Okey, set! Nanti aku telefon mak. Eh, tak naklah cakap apa-apa kat mak dulu. Kita buat surprise. Mesti mak terkejut bila tengok kita tiba-tiba dah terpacak kat pintu rumah." Tihani membuat perancangan dengan riak ceria.

Bariah tersenyum mengiakan. Dia mengerling jam tangan. Beberapa minit lagi, jarum hendak menuju ke pukul 7.00 pagi.

Jarak apartmen itu dengan sekolah tempatnya bekerja hanya lima minit dengan memandu kereta. Disebabkan itu, dia jarang tergesa-gesa ke tempat kerjanya.

"Eh, tadi sebelum keluar rumah kita kunci pintu tak? Aku terlupalah," tanya Tihani tiba-tiba.

Hari itu, dia keluar lebih awal daripada selalu kerana dia perlu ke IKEA, Damansara.

IKEA akan mengadakan jualan murah khas pada pagi itu untuk pemegang kad ahli. Justeru, Tihani ingin membeli beberapa barangan dengan harga menarik yang telah ditempah oleh pelanggan-pelanggan setianya.

Bariah menatap raut adiknya.

"Dah kunci. Aku nampak kau kunci tadi."

"Ya ke? Nasib baik. Semalam, kita tak kunci pintu sliding sampai pukul 3.00 pagi, tahu tak? Kebetulan masa mak telefon, aku lepak kat ruang tamu. Kalau mak tak telefon, agaknya sampai ke Subuh pintu sliding tu ternganga. Nasib baiklah tak jadi apa-apa." Tihani memberitahu.

Lif sudah sampai ke tingkat bawah. Mereka sama-sama menapak keluar.

"Kenapa? Kau takut orang sebelah rumah kita tu ceroboh masuk rumah kita pulak ke?" usik Bariah tanpa diduga.

Tihani yang sedang menelan sandwic, tersedak sebaik mendengar kata-kata kakaknya.

"Kau ni sengaja nak perli aku ke apa?" soalnya terbatuk-batuk kecil.

Bariah spontan ketawa. Sambil menggosok belakang badan adiknya, dia terbayang-bayang semula pertemuan malam tadi dengan jirannya yang memperkenalkan diri sebagai Jihad itu.

"Nasib baiklah budak Jihad tu jenis bertimbang rasa. Senang dibawa berbincang. Kalaulah dia berkeras nak buat report pasal kau lepas tengok video CCTV kat rumah dia tu, tak tahulah aku nak buat macam mana!" omel Bariah.

Tihani hanya membatu. Sempat menyumbatkan kepingan terakhir sandwic ke dalam mulutnya. Tiada respons yang ingin diberikan terhadap kata-kata kakaknya.

"Kalau kau terserempak dengan dia lepas ni, jangan lupa minta maaf! Ingat pesan aku ni!" tegas Bariah.

"Yalah, aku tahu! Nanti terjumpa dia, aku minta maaflah."

"Hah, tu dia! Panjang umur!"

"Mana? Mana?"

Tihani tersentak. Cepat-cepat dia bersembunyi di sebalik tubuh Bariah.

Serentak itu, Bariah berdekah-dekah ketawa.

Tihani terus tersedar. Rupa-rupanya Bariah sedang menyakatnya.

"Hisy, kau ni main-mainkan aku pulak! Nak kena dengan aku ke?" marah Tihani sambil mencubit tangan kakaknya itu.

Gelak Bariah bersambung. Sambil itu, dia berusaha mengelak daripada cubitan Tihani.

"Alah, janganlah marah. Aku gurau aje."

"Gurau pun agak-agaklah. Terkejut aku tau!"

Tihani memuncung. Geram pula dia dengan gurauan kakaknya yang tidak disangka-sangka. Sungguh, dia terperanjat gila tadi!

Bariah masih ketawa.

"Tahu takut! Lain kali buatlah lagi," ejek gadis itu.

Langkah mereka berdua sudah pun sampai di tempat parkir kereta.

Tihani tidak bersuara.

"Buat saspens orang aje. Itulah, otak tu tak pernahnya nak fikir yang baik-baik. Sebab tu sos tertumpah pun kau boleh fikir benda tu darah. Tak nak husnuzon langsung," bebel Bariah kali ini.

"Yalah... yalah, tak payah ungkit-ungkit lagi." Tihani merungut.

Laman wajahnya kembali diterjah malu. Rupa-rupanya cecair merah yang disangka darah yang ditemui di rumah Jihad itu adalah sos cili yang terpercik ke lantai semasa lelaki itu menjamu hidangan burger beberapa hari lalu.

Berbicara tentang bau busuk yang disangka datang daripada mayat reput tersembunyi pula, rupa-rupanya bau tengik itu disebabkan telur tembelang yang telah pecah dan tidak sempat dibuang oleh Jihad.

Benar-benar malu Tihani dengan teorinya yang tidak berasas itu.

Gelak tawa Bariah masih belum berhenti.

"Dahlah, pergi kerja cepat! Tak habis-habis nak ketawakan aku."

Bariah menoleh sekilas ke raut Tihani setelah menekan punat alarm.

"Memang aku nak pergi dah pun. Kau tu elok-elok drive ke IKEA. Jangan bawa kereta laju-laju. Kalau ada apa-apa... terus telefon aku."

Tihani mengangguk. "Yalah."

Seminit kemudian, Bariah dilihat memandu pergi sambil melambai-lambaikan tangan ke arahnya.

_____

TIHANI menerobos masuk ke perut kereta selepas menghantar kakaknya dengan pandangan. Tak sempat dia memulas kunci, sepasang matanya tiba-tiba tertembak ke arah kelibat Jihad.

Lelaki yang berpakaian rutin iaitu T-shirt dan seluar jeans biru itu baru muncul dari ruangan lif blok kediaman mereka.

Tihani kaget. Bergetar jantungnya umpama bot laju. Sepantas kilat dia membongkokkan tubuh. Segera menyembunyikan kepalanya di bawah stereng kereta.

Tapi dalam sedetik, dia bagai tersedar.

'Dah kenapa dengan aku ni? Perlu ke mengelak sampai kena menyorok macam ni sekali?' gerutu hatinya.

Ruang dalam kereta yang terkuap menyebabkan Tihani kepanasan. Mungkin kerana enjin keretanya belum dihidupkan, jadi dia tidak dapat menyalakan alat pendingin hawa.

Aduhai, kenapa lelaki itu selalu muncul di mana-mana pun aku pergi? Serabut betul!

Hampir dua minit mematikan diri dalam keresahan, barulah Tihani berani mengangkat kepalanya. Dia perlahan-lahan mengintai semula ke lokasi terakhir dia terpandangkan Jihad tadi. Nampaknya, lelaki itu sudah menghilangkan diri. Tak tahu ke mana. Dia cuma mampu menarik nafas lega.

Sambil melilaukan mata ke sekeliling, tangan Tihani kembali ligat memulas kunci kereta. Harapannya agar dapat segera beredar dari situ. Beberapa kali dia memutarkan kunci, namun enjin keretanya tidak berjaya dihidupkan.

'Eh, kenapa pulak ni?' bisik Tihani keliru.

Dia tetap mencuba. Tidak lagi mempedulikan dadanya yang kegelisahan memikirkan kemunculan Jihad tadi. Apakan daya, usahanya masih gagal menghidupkan enjin keretanya itu.

Tihani tidak berputus asa. Dia mencuba dan terus mencuba.

'Alamak, bateri dah habis ke ni? Takkanlah! Rasa macam baru bulan lepas aku ganti bateri.'

Tihani memikir-mikir. Tangannya masih belum berhenti menghidupkan enjin. Malangnya tetap tidak berjaya. Jam tangan segera dikerling. Sudah melepasi angka 7.15 pagi.

'Kalau bateri habis, aku nak minta tolong siapa belikan bateri? Nak telefon Bariah, sah-sah dia baru masuk kerja.'

Tihani menolak daun pintu. Ingin mendapatkan udara dari luar. Terasa peluh dingin sudah mula merecik-recik ke sekitar tubuhnya. Malah, dapat dirasakan celah ketiaknya sama-sama kebasahan.

Sebaik menapak keluar dari kereta, Tihani hampir meloncat. Teguran seseorang menyebabkan dia tersentak bukan kepalang.

Dunia realitinya sekali gus terbang melayang.


** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna