BAB 8 (MIMPI)
"ITULAH, aku dah kata semalam tak payah masuk rumah dia. Tapi, kau degil! Tak nak dengar cakap aku. Sekarang ni, macam mana? Apa kau nak buat kalau dia nampak muka kau dalam CCTV tu?" tanya Bariah risau sejurus meleteri Tihani.
Panorama jam 5.00 petang terasa begitu suram. Jarang sekali suasana rumah sewa mereka jadi begitu. Lumrahnya bila berdua, ada sahaja yang mereka bualkan sambil menonton televisyen di ruang tamu.
Namun hari itu tersangat berbeza. Mereka berkurung di bilik Tihani gara-gara Tihani tidak mahu keluar semasa Bariah mengajaknya makan tadi. Sewaktu mengintai di kamar, Tihani dilihat sedang berteleku sambil berbaring di atas katil. Tihani hanya menceritakan segala yang berlaku setelah didesak berkali-kali.
"Entahlah Bariah. Aku pun tak tahu nak buat apa ni."
"Habis tu, kau nak lengah-lengahkan hal ni? Kalau dia nampak muka kau dalam video tu, lepas tu buat report pasal kau... kau tahu tak apa yang jadi? Kau boleh kena tahan, tahu tak?"
"Ya, aku tahu! Kau pun janganlah membebel aje. Makin serabut otak aku ni!" Tihani membalas dalam nada bengang.
Sejak dia mula bercerita tentang apa yang terjadi antara dirinya dan Jihad tengah hari tadi, sampailah ke situasi dia mendapat tahu lelaki itu ingin memeriksa video CCTV kerana mengesyaki ada orang telah menceroboh masuk rumah lelaki itu, Bariah tak habis-habis menegur segala tindakannya.
Memanglah dia bersalah. Tapi, Bariah tidak sedarkah yang dia sendiri sedang memikirkan jalan untuk menyelesaikan masalah itu?
"Okey... okey... sorry. Tapi, aku ada idea. Tak payah susah-susah serabutkan fikiran kau lagi. Apa kata, kau pergi jumpa dia dan minta maaf aje. Cakap yang sebelum ni kau memang tak tahu dia detektif polis. Kau ingat dia pengedar dadah!"
Terbelalak biji mata Tihani.
"Kau ingat aku ni dah gila? Nanti apa pulak kata dia? Tak habis lagi malu aku ni sebab ingat dia peragut tengah hari tadi, sekarang kau nak suruh aku cakap, dia tu ada rupa pengedar dadah pulak?"
"Memang itu kenyataannya, kan? Siapa suruh kau prejudis tak tentu pasal? Aku dah cakap banyak kali, jangan layan perasaan paranoid kau tu. Mungkin dia tak buat kerja bukan-bukan. Tapi, kau tetap kata dia nampak mencurigakan. Haa... betul ke tak apa yang aku cakap?"
Tihani terdiam. Spontan menarik nafas dalam. Lalu perlahan-lahan mengerling Bariah. Pandangannya seolah-olah memohon simpati.
"Yalah, aku tahu aku salah. Tapi nak buat macam mana? Benda dah jadi. Dia pun satu! Kalau tak nak kita salah sangka, perkenalkanlah diri dia lepas pindah sini. Hidup berjiran mestilah saling tegur-menegur, berkenal-kenalan. Barulah tak jadi macam ni!" Tihani membela diri.
Lagaknya seperti tidak mahu mengalah dengan kesilapan sendiri. Cuba play victim!
"Dah kau sendiri pun lari bila nampak dia, macam mana dia nak tegur kau?" Bariah memulangkan paku buah keras.
Tersentap hati kecil Tihani. Cis, boleh pulak terkena balik kat diri sendiri!
"Dah... tak payah bagi banyak alasan! Aku nak kau pergi jumpa dia sekarang, minta maaf sebelum dia bertindak lebih jauh."
"Tapi..."
"Sekarang! Kalau kau tak nak, biar aku yang wakilkan kau." Bariah sudah berkira-kira mahu pergi, tetapi Tihani cepat-cepat menghalang.
"Okey... okey... aku pergi! Aku janji aku akan minta maaf kat dia, tapi..."
"Tapi apa lagi?"
"Sekurang-kurangnya bagilah aku bertenang dulu. Aku perlukan masa sebelum menghadap muka dia."
"Hani..."
"Aku malu sangat masa dapat tahu dia sebenarnya detektif polis. Kau tak nampak macam mana aku beria-ia beduk dia dengan payung kat area kedai makan tadi. Siap cucuk-cucuk dia pulak tu." Tihani menyatakan alasan mengapa dia memerlukan sedikit masa.
Bariah memandang Tihani. Dia nampak raut muka adiknya itu yang meminta belas ihsan.
"Sebab tu aku kata, biar aku aje yang tolong minta maaf." Sebenarnya, Bariah rasa nak ketawa juga melihat Tihani beria-ia bercerita kerana dia dapat membayangkan apa yang terjadi, tetapi ditahankan sahaja.
"Tak apa ke macam tu? Dahlah aku yang buat salah, kau pulak yang kena minta maaf bagi pihak aku."
"Apa salahnya? Kau bukan orang lain. Adik aku! Lagipun dia tu polis. Takkanlah dia jahat sangat sampai tak nak terima maaf kita?"
Tihani mendiamkan diri. Menyokong kata-kata kakaknya.
"Dah, biar aku uruskan hal ni. Tak payah risau. Tapi, kau kena janji. Kalau terserempak dengan dia lepas ni, kau tetap kena minta maaf dengan dia. Jangan anggap perkara ni dah selesai walaupun aku dah wakilkan kau. Apa-apa pun kau yang bersalah sebab dah salah anggap pasal dia." Bariah menegaskan.
Tihani mengangguk. Paksa diri untuk senyum.
"Yalah, aku janji. Thank you."
Betapa beruntungnya dia rasa kerana memiliki seorang kakak yang bertanggungjawab. Setakat ini tidak pernah lagi Bariah meninggalkannya sendirian ketika hatinya sedang dilanda gundah.
"Pergilah makan. Tadi kau kata tak lunch lagi, kan? Jangan cakap kau takde selera pulak. Perut kau tu kalau kosong nanti sakit... aku juga yang susah. Kalau mak dapat tahu pun, aku juga yang kena bebel nanti." Bariah berkata lagi.
Tidak lama selepas itu, dia bangun sebelum berlalu meninggalkan bilik Tihani.
_____
JAM 3.00 pagi, Tihani tersentak daripada lenanya. Tak tahu mimpi apa yang datang mengganggu sehingga dia terjaga sebegitu. Dapat dirasakan dadanya berombak laju. Peluh membasahi sekitar wajahnya, tak usah dikata. Merecik-recik bagai embun pagi.
Tihani terus bingkas duduk. Menolak selimut yang membalut sebahagian tubuhnya kerana tiba-tiba dia berasa rimas. Lantas, dia termenung. Memikirkan sisa-sisa mimpinya tadi.
Mengapa agaknya dia asyik ternampak-nampak wajah seorang kanak-kanak perempuan dalam tidurnya kebelakangan ini? Pelik! Siapa kanak-kanak perempuan itu sampai terbawa-bawa ke dalam mimpinya?
Sebenarnya sudah beberapa kali tidur malamnya diganggu dengan suara tangisan dan jeritan kanak-kanak itu. Sukar benar untuk dia melupakan. Seolah-olah memberi satu petunjuk yang dia langsung tidak pasti apakah ia.
Tihani meraup wajahnya beberapa kali. Bercadang ingin kembali berbaring. Namun, telinganya tak semena-mena terdengar bunyi deringan telefon. Terus dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di sisi bantal.
Mak? Berkerut dahi Tihani sambil ibu jarinya spontan menekan butang hijau.
"Helo?"
"Helo, Hani. Assalamualaikum."
"Hmm... mak. Waalaikumussalam. Kenapa telefon Hani pagi-pagi buta ni?" tanya Tihani sekali gus mengerling jam di dinding kamarnya.
Cahaya suram menyuluh terus ke permukaan jam yang menunjukkan waktu sudah melepasi angka 3.10 pagi.
"Hani tak tidur lagi ke?" soal emaknya kehairanan.
"Dah. Tapi terjaga tadi sebab..."
Ayat Tihani terbantut. Dia tidak jadi meneruskan kata-kata saat tersedar yang dia tidak seharusnya bercerita tentang igauan mimpinya kepada Puan Manisah. Tak mahu wanita itu dipalu risau.
"Terjaga sebab apa? Hani mimpi ke?"
"Err... tak ada apalah, mak. Hani terjaga sebab rasa haus," bohongnya. Tiba-tiba dia rasa bersalah pula kerana bertindak begitu.
"Kenapa mak telefon pagi-pagi ni? Ada apa-apa jadi ke?" Sedetik kemudian Tihani pula bertanya.
"Tak. Mak okey. Mak cuma teringatkan Hani. Mak pun baru terjaga ni. Tak tahu kenapa mak rasa tak sedap hati."
"Laa... kenapa rasa tak sedap hati pulak?"
Tihani turun daripada katil. Dia berjalan keluar dari kamarnya. Terus mengambil tempat di kerusi panjang yang terdapat di ruang tamu rumah. Tubuhnya dihenyakkan ke situ.
"Tak tahulah. Agaknya mak rindukan Hani," jawab Puan Manisah.
"Mak ni macam tahu-tahu aje. Hani pun sebenarnya rindukan mak. Rindu sangat-sangat." Tihani tak semena-mena tersenyum.
"Kalau macam tu, bila Hani nak balik kampung? Dah nak dekat dua bulan, Hani dengan Bariah tak balik jumpa mak."
"Hani memang nak balik pun, mak. Tengah rancang dengan Bariah. Tapi, mak bukan tak tahu Bariah tu. Busy memanjang. Boleh kata setiap minggu ada aje program kat sekolah dia. Busy dia dah macam menteri. Dah tu, takkan kita orang nak balik kampung sehari aje jumpa mak? Mana cukup nak lepaskan rindu!"
Puan Manisah terdiam di talian.
"Haaa... tak lama lagi cuti sekolah. Nanti Hani ajak Bariah balik kampung. Kali ni, kita orang janji akan lepak lama-lama kat sana sampai cuti sekolah habis. Biar mak rasa rimas. Sampai mak rasa nak muntah tengok muka kita orang." Tihani berkata sambil tergelak.
"Mak pun janganlah risau. Kita orang okey kat sini," sambungnya.
Keluhan Puan Manisah terhambur.
"Tak apalah. Kalau Hani okey kat sana, mak bersyukur sangat. Yang penting, jangan lupa solat... selalu baca al-Quran, selalu berdoa. Minta supaya ALLAH lindungi Hani dan jaga Hani kat mana pun Hani pergi."
"Okey, mak... insya-ALLAH. Hani ingat semua pesan mak. Hani pun selalu berdoa bukan untuk Hani seorang aje, tapi untuk semua orang yang Hani sayang terutamanya mak," beritahu Tihani.
Sejuk hati Puan Manisah mendengar pengakuan itu.
"Okeylah. Mak nak letak telefon dulu. Nanti kirimkan salam mak pada Bariah." Puan Manisah ingin menoktahkan perbualannya.
"All right. Nanti esok Hani cakap kat Bariah mak telefon. Ada masa Hani telefon mak pulak okey?"
"Hmm, yalah. Assalamualaikum. Jaga diri."
"Walaikumussalam. Kirimkan salam Hani kat along dengan angah jugak tau? I love you, mak. I miss you." Tihani sempat berpesan sebelum panggilan itu diputuskan.
Tiba-tiba dia mengeluh perlahan. Merenung telefon bimbitnya dalam cahaya suram yang menyinari ruang tamu rumah.
Entah kenapa benaknya mula memikirkan tujuan sebenar panggilan emaknya. Biarpun terasa pelik, namun dia langsung tidak dapat meneka apa-apa. Dalam sekejapan, Tihani mengenang semula makna tersirat di sebalik mimpinya sebelum terjaga tadi.
Argh, siapa sebenarnya kanak-kanak perempuan di dalam mimpinya itu dan mengapa tidurnya perlu diganggu dengan suara tangisan dan jeritan seumpama itu?
[Bersambung...]
** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.
*** Untuk info, novel ni sedang dalam proses cetak. Kalau berminat nak pre order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :
1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna
2. Instagram : @Damya_Hanna.