Home Novel Cinta KUINGIN CINTAMU
KUINGIN CINTAMU
11/3/2013 14:22:11
35,637
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Chapter 1, 2 dan 3

Prolog


FAKRUL RAZI berpeluk tubuh. Matanya menilik sudut pagar yang sudah siap. Bibirnya menguntum senyum penuh makna.Lutfi, kontraktor Melayu yang sebaya usia dengannya itu pula kelihatan terangguk-angguk melayan sambil memerhati beberapa orang pekerja Indonesia yang sedang tekun bekerja.

“Cuaca panas kat Perlis sekarang ni Razi. InsyaALLAH boleh siap cepat. Jangan risau.”Lutfi cuba meyakinkan.Sangkanya jiran sekampungnya itu mahukan pagar konkrit dengan rekabentuk Tembok Besar China itu disiapkan segera.

“Tak perlu tergesa-gesa. Belum masanya anak-anak aku tinggal di kotej ni. Aku mahukan pagar konkrit yang mengelilingi kotej ini nampak macam replika Tembok Besar China, tempat di mana dia mula-mula bertemu Dr.. Damyral. Satu-satunya doktor di kampung kita ni dulu. Aku mahu kisah cinta mereka hidup semula.”

Lamunan Fakrul Razi mati bila matanya hinggap pada kelibat seorang wanita yang sedang mengintainya di dinding sebelah kanan kotej tersebut.

“Abang pulang...” Wanita itu merintih dengan suara sendu. Cepat-cepat Fakhrul Razi beredar meninggalkan tempat itu.

“Perempuan gila!” dengusnya melajukan keretanya meninggalkan lokasi.

“Aku Sya, bang. Aku masih hidup...Yang mati 23 tahun dulu Munirah, bukannya Sya...” rintih perempuan itu lagi, merenung sayu ke arah kereta yang sudah semakin jauh.

BAB 1


KIAN hampir mereka dengan kotej yang tertera alamatnya pada sekeping kertas, kian besar mata Humaira terbeliak. Pandangannya dan Huwaida diterkam oleh pemandangan rekabentuk pagar yang mengelilingi kediaman unik tersebut.

Humaira ternganga. Tidak sedar yang dia sedang memandu ketika itu.“Eh, sama macam tembok di Badaling!” serunya terkejut besar. Perasaan kaget bercampur hairan. Dia tertoleh-toleh pada Huwaida yang duduk di sebelah.

“Ya, ya, memang sama!” balas Huwaida.Mukanya juga berkerut hairan. “Tapi mata kau tu,tolong tengok pada pintu pagar tu. Jangan sampai temboknya pula yang kau langgar.Jahanam Nissan Almera baru kau ni nanti!” Amaran Huwaida.

Huwaida juga seperti Humaira.Terpegun melihat pagar bertembok yang sungguh unik itu. Rasanya belum ada sesiapa pun yang membina pagar dengan bentuk seperti itu. Tidak pernah dibuat orang.Kalaulah dia tahu idea siapa.

Humaira memandu keretanya berhati-hati memasuki perkarangan rumah baru mereka itu. Sebuah kediaman ala kotej yang terletak di Kampung Rantau. Sebuah daerah terpencil di utara Perlis. Hanya beberapa kilometer saja dari Wang Kelian.

Umum mengetahui, dari Wang Kelian hanya selempar batu sahaja jika hendak ke Wang Prachan disebelah Thailand. Wang Kelian ialah tempat asal Syahirah, ibu mereka. Wanita yang tidak pernah dikenali Humaira mahupun Huwaida. Satu fakta yang terpadam daripada sejarah hidup mereka. Wanita yang disangka ayahnya Fakrul Razi , sudah tiada lagi di dunia ini. Itulah juga yang disangka oleh semua orang kampung.

Humaira terus kaget. Gagal mengawal matanya yang asyik merenung pagar unik itu.

“Aku rasa, kat sini kau boleh tulis novel kau yang kelapan dengan rileks. Tak perlu bercinta lagi. Konon, kalau tak bercinta tak ada ‘feel’ menulis. Tak ada cinta, tak ada novel.Enam novel, enam kali bercinta. Tujuh novel tujuh kali bercinta. Huh!” Huwaida sempat menyindir sewaktu turun dari kereta.

Mengejek sikap kembarnya, Humaira yang gemar memulakan ‘cinta baharu’ setiap kali melancarkan manuskrip terbaharunya.

Rasa-rasanya, selain Humaira, belum ada penulis lain yang berfitrah sedemikian. Bukan saja perbuatannya itu menjengkelkan Huwaida, tetapi mengundang musibah dan bala yang tidak henti-henti. Antara bencana tersebut ialah mereka berdua terpaksa cabut hingga ke Perlis itu untuk menyorok daripada buruan bekas teman lelaki terkini Humaira iaitu Azril.

Humaira bagai tidak mendengar celoteh itu. Matanya terkedip-kedip membelek pagar yang melingkari kotej tersebut. Terasa seolah-olah dia dikelilingi Tembok Besar Cina. Ada perasaan rindu mengacahnya bila matanya hinggap pada replika unik itu. Rindu pada teman lelaki pertamanya, Dr.. Damyral.

Tercapai sudah objektif Fakrul Razi ayahnya, membina tembok pagar sekeliling kotej tersebut untuk membenihkan semula cinta yang pernah berputik di antara Humaira dan Dr.. Damyral.

“Aku terkenang dia. Dia yang kutemui di Tembok Besar China dulu,” bisik Humaira melayan kenangan penuh nostalgia itu sambil matanya melihat sekeliling. Angin petang sedang berhembus nyaman.Seolah-olah turut membantunya mengimbau sejarah pertemuan yang sungguh nostalgik itu.

“Indah betul memori aku dengan dia. Aku boleh lupakan yang lain-lain tu, tapi bukan dia. Damyral lain. Dia tak seperti teman lelaki aku yang lain.Yang enam orang tu. Aku tak mampu usir Damyral dari ingatan aku.”

Huwaida menepuk belakangnya kuat bila terdengar ocehan kembarnya itu. Berdebuk bunyinya.

“Itu ayat dalam novel baru ke, atau kau maksudkan teman lelaki kau yang berderet tu?” Huwaida mengejek.

Humaira menggeliatkan bahunya. Terasa sengal bahunya ditepuk sekuat itu oleh Huwaida yang memang kasar orangnya. Kasar dan perengus. Dia tidak melayan ejekan kembarnya itu. Sebaliknya leka menggambarkan wajah teman lelaki pertamanya itu.

Melihat Humaira yang sedang berkhayal, Huwaida membuka cerita lain sambil menyigung rusuk kembarnya. Humaira yang terasa sakit, beranjak sedikit untuk mengelakdisigung kali kedua.

“Aku agaklah, tuan rumah ni pernah ke Beijing.Kemudian jatuh hati pada Tembok Besar tu. Macam kau dulu? Seronok dan terkinja-kinja macam monyet bila mendaki tangga-tangga curam tu. Jadi, untuk melepas gian kerana dah tak dapat ke sana lagi, jadi dia buatlah replika ni supaya dapat lepaskan rasa giannya tu.” Huwaida mengekeh sambil melakar teorinya.

Humaira tidak melayannya. Geram pun ada kerana sakit rusuknya disigung kuat oleh Huwaida tadi.Ditinggalkannya Huwaida lalu beranjak ke satu sudut lain. Dipandangnya dengan mata tertarik pada dua batang pokok cermai yang berbuah agak lebat.

“Rasa macam aku pernah tercegat di sini... tapi bila? Pelik! Setahu aku, inilah kali pertama aku dan Aida masuk ke Perlis ni...” gelengnya bingung.Tiba-tiba, dia merasakan seolah-olah dia pernah berdiri di bawah dua batang pokok itu. Tapi bila? Separuh tenganga dia memerhatikan dua pohon yang melarik ingatan samar-samar itu. Dia keliru.

“Oi.. Penulis memang macam ni ke?Sampai aje ilham... satu apa pun kau dah tak nampak lagi!” Huwaida geram.

BAB 2


DUA minggu sudah berlalu. Kini, Humaira sedang berdiri di jendela kediaman tersebut. Pandangan dilempar ke luar. Mata hitamnya menyambar bagan berpergola di halaman.Tetapi bagan dan pergola itu langsung tidak memukau minatnya. Yang asyik direnungnya ialah pagar konkrit yang mengelilingi kediaman tersebut.

Pagar itu seperti baru dibina.Justeru dia berasa aneh. Untuk apa pemiliknya membina pagar baru kalau rumah itu akhirnya hendak ditinggalkan jua? Tambah aneh bila memikirkan kenapa pagar itu dibina meniru rekabentuk Tembok Besar negara Cina itu.

“Macam tau-tau aje aku dan Damyral mula bertemu di Tembok Besar!” gelengnya mengangkat keningnya tinggi-tinggi sambil mengetap bibir.

Memorinya tiba-tiba membawanya merentas ke Tembok Besar Badaling sekali lagi.Ada wajah yang ikut menemani ingatan spontan itu. Sudah tentu wajah tampan Dr.. Damyral!

Argh... kuat sekali ingatan itu. Ironis kerana sejak akhir-akhir ini, wajah itu memang kerap menyerbu kotak fikirannya. Apatah lagi bila disuakan dengan pagar yang bentuknya cukup sinonim itu. Tambah menggilalah ingatannya terhadap memori‘satu-satunya’ itu!

Dua kali dia bercuti di negara China.Kali pertama dengan kembarnya Huwaida.Kali kedua, dia hanya sendirian. Mata dan hatinya sudah dipukau oleh binaan yang juga dikenali dengan‘Great Wall of China’ itu. Binaan yang menelan berkurun lama untuk disiapkan. Namun amat berbaloi bila akhirnya diwartakan sebagai salah satu warisan ajaib dunia.

Siapa sangka lawatan kali kedua itu menemukan dia dengan Dr.. Damyral? Sesuatu yang memang ditunggu-tunggu Humaira. Ada sangkut-paut dengan kerjaya penulisan novelnya yang baru bermula. Dia berdepan dengan masalah menghidupkan roh tulisannya. Manuskrip pertamanya itu kaku. Beku. Sedangkan azamnya hendak menghipnotis tumpuan penggemar-penggemar novel yang mahu dikumpulnya. Dia mahu jadi penulis best seller!

Apakah kerana dia belum pernah bercinta lalu dia tidak mampu menjadikan plot itu realistik?

“Samalah macam penulis yang belum kahwin tapi cukup berani bercerita secara terperinci tentang adegan dalam kelambu sepasang pengantin baru,” katanya pada Huwaida yang tergelak mendengar.

“Aida, aku perlu bercinta, baru mampu secara logik menghidupkan plot cinta yang lesu dalam novel aku. Kau fahamkan? Bercinta... kemudian terjemahkan perasaan aku ke dalam novel.” Wajahnya benar-benar serius ketika membentangkan teorinya itu.

“Habis dengan Mamat Bangla mana yang kau pilih untuk bercinta ni?”Huwaida acuh tak acuh saja mengejeknyaketika itu.

Tiba-tiba ketika percutiannya nun jauh di hujung benua, dia ditemukan dengan pria kacak lawa itu.Seorang Damyral ditakdirkan jatuh cinta padanya. Nampaknya, dua kali dia beruntung. Satu untuk dirinya.Satu lagi untuk novelnya. Memang durian runtuh sebenarnya!

Perasaan cinta itu berputik di hati Dr. Damyral setelah berulang kali lelaki itu menemankan Humaira yang tercedera lututnya ke sana ke mari dalam cuaca dingin bandar Beijing itu.Benar-benar seperti dongeng ‘Fairy Tale’.

Tapi bagaimana pula dengan dia? Dengan perasaan Humaira sendiri? Benarkah dia cintakan lelaki itu? Ini kerana tidak lama sesudah pengalaman indah itu, lelaki itu ditinggalkannya begitu saja. Begitu saja?

Zalim... Berkali-kali perkataan itu dipantak Huwaida ke telinga Humaira.

“Kau putuskan?Kan baru lima bulan? Aku ingat kau nak kahwin dengan dia!” Adik kembarnya Huwaida tergamam bila Humaira memaklumkan keputusannya itu.

“Itulah yang aku takut.Aku takut dia ajak kahwin. Aku cuma nak bercinta aje. Kau tau kan, untuk ‘feel’ menulis novel aku?

“Zalim!” dengus Huwaida tidak percaya. “Nak feel menulis konon. Kejam betul melukakan hati insan lain semudah tu!”

“Siapa nama mamat tu. Kerja apa?” Berkerut mukanya bertanya.

“Err... Rafiq!” bohongi Humaira. “He is a vet. Doktor haiwan.” Humaira teragak-agak.

Huwaida mencemik-cemik jengkel. Berkali-kali menyumbat perkataan ‘kejam’tersebut ke telinga Humaira. Padanya tindakan Humaira itu terlalu kejam.

“Dia paksa kau kahwin ke?” jerkah Huwaida.

Di situ Humaira terdiam.

Rasa-rasanya tak ada...

BAB 3


SELEPAS memutuskan hubungan dengan Dr.. Damyral, silih berganti lelaki yang muncul dalam hidupnya. Tetapi tidak ada yang kekal. Setiap kali putus, dialah yang menetapkannya. Dia takut pada hubungan yang kekal. Takut berakhir dengan jerat ‘perkahwinan’.

Sesuatu yang pasti, dalam ramai teman lelakinya, hanya Dr.. Damyral yang tidak diperkenalkannya kepada Huwaida. Nama sebenar lelaki itu juga tidak pernah didedahkan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu berahsia sangat tentang cinta pertamanya itu daripada Huwaida.

“Kenapa kau termenung kat jendela ni? Tak elok tau!Tolong aku kemas rumah ni lagi baik. Betul-betul lagak Si Pemalas. Tengoklah ni, masih bersepah-sepah,” rungut Huwaida.

Sudah masuk minggu ketiga mereka berpindah di situ. Tapi keadaan dalam rumah masih tunggang-langgang. Penyakit melamun Humaira pula semakin teruk.

Suara kasar Huwaida itu hanya menyentaknya sekilas. Sejurus, dia kembali termangu merenung pagar ala-Tembok Besar Cina itu. Setiap kali memandangnya, setiap kali itu juga ingatannya akan terbang melayang-layang pada Dr. Damyral. Mulalah hatinya berdebar tidak tentu arah. Kemudian perasaan rindu itu... Perasaan yang menjerihkan itu akan menyengat hingga ke hati. Argh!

Hairan betul... kenapa Damyral selalu sangat masuk ke dalam otak aku sejak akhir-akhir ni? Kenapa mesti dia? Aku yang tinggalkan dia. Bukannya dia yang tinggalkan aku. Jadi, kenapa perasaan aku pedih semacam saja?

“Atau aku ni dah gila talak? Gila talak yang ekstrem?” Humaira berkeluh-kesah.

“Apa kau cakap?” Huwaida yang sedang berkemas merapati. Nafasnya kedengaran mengah dan penat. “Akudengar kau sebut talak tadi. Talak apa?” tanyanya lagi hendak tahu.

Humaira menyengih sambil mengerling adiknya. Memang apa yang melintasi benaknya, kadangkala terlepas dek lidah yang tidak bertulang. Kaifiat itu adalah kelemahannya. Dia mengisyaratkan pagar kediaman rumah itu pada Huwaida dengan memuncungkan mulutnya.

“Aida, kenapa pagar tu bentuk macam tu?”

Humaira mendengus bila Huwaida sengaja mengasak kasar tubuhnya ke jendela hendak sama menjenguk.Terlontar perkataan ‘jantan’ dari mulut Humaira .

“Minat manusia kan memang pelik? Aku rasa mesti berpuluh ribu dihabiskan untuk bina pagar tak berfaedah tu.” Dia mengkritik. Mukanya dicemik-cemik.

“Berpuluh ribu? Aku rasa paling kurang pun RM150 ribu!”Humaira menghitung-hitung sendiri.

“Tinggi kos tu. Tapi bila pandang pagar tu, aku rasa macam teringin pulak nak ke sana lagi.” Huwaida menarik nafas berat mengharap-harap.

“Dahlah. Aku nak berkemas. Kau berdirilah situ sampai malam. Puja replika Tembok Besar tu. Dasar pemalas!” Sambil mendengus Huwaida meminggir dan meneruskan semula kerja-kerjanya. Membiarkan Humaira terus-menerus termangu di situ.

“Damyral, ingatkah lagi kau padaku? Kesian kau terpaksa dukung aku masa turun dulu. Tangga tu curam...” bisiknya dilamun nostalgia semalam.

Ironis sekali... Dr. Damyral selalu mengusik ingatan masa kininya. Tidak kira siang, tidak kira malam. Bukankah dia hanya salah seorang daripada tujuh lelaki yang pernah mencintainya? Yang membezakan dia daripada yang lain, hanyalah kerana dia yang pertama. Sulung pada lelaki-lelaki lain yang jadi mangsa permainan cinta sementaranya.Semuanya gara-gara mencari ‘feel’ untuk novelnya.

Termakan sumpah ni! Hatinya sudah berkata-kata.

Inikah yang dikatakan hukum karma? Aniaya dibalas aniaya! Tapi aku tak aniaya dia. Bukankah dia yang jatuh cinta pada aku? Jadi, salahkah, bila aku tinggalkan dia?

Fikirannya mula menerawang ke suatu waktu. Ketika itu dia bercuti di Beijing. Dia ke sana untuk mencari idea setelah berdepan masalah untuk menyiapkan manuskrip novel pertamanya.

Next: Chapter 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh