Bab 9

Aku memerhatikan sekeliling setelah keluar dari kereta. Kawasan itu sedikit sunyi, hanya ada kedai bernama 7E yang di luarnya masih terang benderang sementara klinik di sebelah berlampu malap. Adin berdiri di tepiku.

“Hujan sangat lebat pada malam aku terlanggar kau di situ...” tangannya menunjuk ke arah jalan raya. “Kau tiba-tiba melintas jalan dalam hujan lebat, mujur aku tak pandu laju.”

“Kenapa aku berada di situ pada hujan lebat?” aku sebenarnya bertanya pada diriku sendiri tetapi Adin segera menjawab.

“Aku tak tahu. Mari kita tanya pekerja dalam kedai 7E,” katanya dan mula melangkah menuju ke kedai yang disebutkannya.

Aku mengikut dari belakang dengan langkah kaki yang cemerkap dan mudah tersadung kalau aku tidak berhati-hati. Adin lebih dulu sampai ke pintu kaca dan sedang melakukan sesuatu dengan telefonnya.

“Apa kau buat?” 

“Mengimbas kod untuk mencegah penularan Covid 19. Kau perlu lakukan ini setiap kali kau masuk ke mana-mana tempat pun kau pergi,” jelas Adin.

“Penting ke?”

“Ya dan aku tak mahu kau terkena virus Covid pula, jadi aku mengajarkan pada kau. Selepas kau dapat pengenalan diri kau akan melakukan ini semua demi keselamatanmu dan orang lain, faham?”

“Ya,” aku mengangguk-angguk. Kemudian dia menolak pintu kaca lalu masuk dengan langkah berani dan terus ke kaunter. Ada seorang anak muda yang berdiri di kaunter. Orangnya bertubuh besar, berambut lurus dengan kulitnya berwarna gelap, begitu berbeza dengan warna kulitku dan juga Adin.

“Boleh saya bantu?” kata anak muda itu seperti sudah biasa dengan tugasnya.

“Ya,  ada cctv di luar kedai ni, bolehkah saya melihat rakaman cctvnya pada malam jumaat lalu.”

Aku melihat sahaja anak muda di kaunter itu dengan mata terpaku seperti gerun mendengar setiap bicara Adin. Agaknya begitulah wajah terpakuku setiap kali memandang Adin bercakap. Lelaki itu memiliki sesuatu yang bolehku andaikan sebagai seseorang yang sangat memukau dan menakutkan. Aku tidak pasti, aku baru mengenalinya tetapi dia sudah banyak membantuku.

“Boleh saya tahu kenapa? encik ni polis?”

“Tidak. Begini... saya perlukan rakaman cctv itu... atau boleh kita bercakap di luar?” 

Anak muda itu pantas mengangguk seolah-olah kalau dia tidak mahu keluar dia mungkin akan dipukul jadi dia segera meninggalkan kaunter dan mengikuti Adin yang sudah pun berada di luar. Aku cuba memerhatikan dari pintu dan tertanya-tanya apa yang mereka bincangkan. Anak muda itu kelihatan mengangguk-angguk dan mereka bercakap-cakap sambil Adin menunjuk ke arahku dan kemudian ke arah jalan. Selepas selesai berbincang, kedua-duanya masuk. Tetapi Adin memanggilku keluar.

“Kita keluar.”

Adin menolak pintu dan memberiku laluan sebelum pintu kaca itu tertutup dengan sendirinya. 

“Kau yakin ke di sini tempatnya,” soalku lagi dan entah kerana langkahku yang gugup atau rasa ingin tahu... tiba-tiba kepalaku terlanggar bahagian belakang bahu Adin yang tiba-tiba berhenti berjalan. Dia berpusing dengan kerlingan mata yang menusuk. Darahku terasa berhenti mengalir melihat matanya.

“Orang yang hilang ingatan di sini... bukan aku, Miss Purba Tanpa Identiti,” katanya dengan riak tenang. Aku tersengih dan takut-takut. Tetapi Adin terlalu bersahaja dan berpaling meneruskan langkah menuju ke keretanya. Dia membukakan pintu kereta untuk aku. “Masuk.” Nadanya kedengaran memerintah.

Sekarang aku digelar ‘miss purba tanpa identiti’ Tanpa perlu diarahkan kali kedua, aku segera masuk lalu tenggelam dalam kerusi lembut, dingin dan menyelesakan.

“Kita pergi makan,” kata Adin sebaik enjin kereta menderum dan cahaya-cahaya kecil dari nombor-nombor muncul di permukaan kereta, aku belum tahu apa namanya dan itu menambah jelas panggilanku sebagai ‘Miss Purba Tanpa Identiti’.

“Tapi aku tak lapar,” aku ingin mengingatkan Adin yang aku bukan saja makan separuh omelette pagi tadi bahkan baru beberapa jam lepas Adin memberiku makan pizza dengan tambahan keju dan aku makan lebih banyak dari Adin dalam nisbah 3:1 (Miss Purba Tanpa Identiti : Adin) 

“Manusia perlukan makan. Ia satu keperluan. Aku cuba fahamkan kau apa yang dipanggil keperluan – manusia perlukan makanan, tempat tinggal dan wang, sebab itu kau tak boleh bagi duit pada orang yang kau tak kenal dan tanpa motif,” jelasnya benar-benar teliti sama seperti sikapnya yang sentiasa serius.

Aku terdiam tidak mampu menjawab penjelasan sebaik itu. Aku cukup jelas dengan maksud kelaparan, sekarang ini cuma ingin mencari penjelasan tentang identitiku. Fikiranku beralih mencari apa yang harus aku patut tanyakan pada Adin lagi nanti. 

Tidak jauh memandu, kereta itu berhenti. 

Aku dibawa makan ke... 

Kafe Baba & Nyonya

 oh... aku membaca dengan bangga dan gembira otakku masih boleh digunakan walaupun sebahagiannya masih belum jelas. Kami berdua memasuki pintu kayunya yang, emm... yang berbeza tapi hebat itu pujian pertamaku. Aku menyuarakan rasa kagum dengan bunyi... “Wow...” sebutan itu aku tiru dari drama tagalog semalam.

“Tempatnya cantik,” kataku ketika aku dan Adin duduk saling berhadapan. “Adakah mereka pekerja asing juga, pakaiannya nampak lain,” aku berkata separuh berbisik.

“Itu pakaian tradisi baba dan nyonya, mereka berasal dari Melaka. Kafe ini melambangkan budaya dan identiti suatu bangsa yang wujud di Malaysia,” jawab Adin.

“Oh...wow...” ulangku lagi dan kemudian aku memerhatikan sekitar kafe itu.

Ketika Adin memesan makanan pada pekerjanya aku leka memerhatikan dinding kayunya yang kelihatan benar-benar lama, bangku dan meja yang aku duduki itu pun kayunya kelihatan sedikit rosak atau terkupas dan warna-warna coklat dan hijaunya mungkin tidak menarik perhatian sesiapa sehingga cuma kami berdua sahaja yang berada di dalamnya. Tetapi aku menyukai semuanya tentang kafe Baba dan Nyonya itu walaupun semua perabotnya langsung tidak menyamai kecantikan rumah Adin yang berkilat.

“Boleh aku tahu kenapa perabotnya dan dindingnya berbeza dengan rumah kau?” tanyaku berhati-hati. 

“Ia bersifat klasik. Perabotnya mungkin telah digunakan berpuluh-puluh tahun yang lampau. Aku suka duduk di sini sebab ia sunyi dan  buat aku tenang selain suasana klasiknya yang buat kita berfikir dan bersifat ingin tahu. Aku juga suka kopi dan kuihnya,” jelas Adin.

“Kau suka kopi dan kuihnya? Wah... aku teringin hendak tahu makanan selain selain omelet dan pizza.

Matanya pantas merenungku sehingga aku kembali janggal dan takut-takut kalau dia marah disebabkan aku terlalu banyak menyoal.

“Kau betul-betul macam orang purba.” Tegurnya dengan suara dalam seperti suara itu masih berada dalam dadanya. 

Kemudian aku ternampak sesuatu... bibir Adin terbentuk, dia sedang... tersenyum? Ini kali pertama aku melihat dia tersenyum begitu. Dia sangat kacak – itulah kata-kata perempuan dalam drama tagalog sewaktu dia memuji kekasihnya.

“Aku akan mencarinya nanti.”

“Cari apa?”

“Maksud purba itu.”

Bibirnya seakan hendak tersenyum lagi. Namun dia segera menunduk. Aku tidak lagi dapat melihat riak wajahnya. Hanya tangan Adin yang sedang bermain dengan telefonnya yang diletakkan di atas meja. Tetapi tidak lama, perhatian Adin terhadap telefon itu terganggu ketika dua cawan minuman sampai dan makanan yang lain yang tidak kuketahui namanya.

“Ini kuih,” aku menunjuk pada dua biji kuih bulat berwarna putih cantik dan bersih.

“Pau dan kopi,” Adin lalu meneguk kopinya dengan sedikit bunyi dari mulutnya setelah dia meneguk beberapa kali.

Aku meniru perbuatannya. Kami sama-sama makan pau yang sangat sedap itu sebelum hujan lebat turun dengan tiba-tiba. Kepalaku terpaling ke arah pintu hadapan yang terbuka lebar, begitu juga Adin. Dia kelihatan termenung. Aku turut menyaksikan hujan lebat di luar jalan raya. Air yang jatuh dari bumbung hadapan kafe berbunyi kuat tetapi menenangkan dan ketika mataku memandang lebih jauh ke hadapan... kepada jalan raya yang terlalu basah, melihat air memercik setiap kali kereta-kereta lalu di atasnya lantas dengan tiba-tiba, fikiranku tersentak lalu terbayangkan suatu malam yang gelap dan tubuhku dibasahi hujan, aku merasa kesejukan...

“Ah...” pandanganku gelap sesaat. Pening. Sedikit pening, aku menekan dahiku. Bayangan malam yang sejuk itu pun lenyap.

“Kau okay?” tegur Adin.

Aku, aku menggerakkan tanganku cuba berkata sesuatu tetapi aku tidak pasti apa yang baru berlaku kepada fikiranku tadi. Adin mengawasiku dengan pandangan tajamnya. 

“Aku macam rasakan sesuatu,” aku cuba tumpukan perhatian tetapi bayangan tentang ingatan itu tidak jelas. 

“Jangan paksa.”

Aku kembali menenangkan fikiran semula dalam beberapa minit dan  setelah pandanganku jelas dan tidak lagi terganggu. Adin masih memerhatikan tingkahku.

“Kau selalu datang ke kafe ini?” aku menyoal ketika hujan semakin perlahan. Air hujan yang mengalir dari atap depan kafe itu pun sudah berkurangan.

“Ya. Aku suka tempat yang sunyi. Malam-malam begini, kafe ini kurang dikunjungi.”

Aku ingin bertanya lagi. Selepas menonton bermacam siaran televisyen semalam aku gembira aku mengetahui lebih banyak perkara. Aku tahu tentang apa itu keluarga, tentang kisah cinta drama tagalog yang aku fahami bahasanya...

“Semalam agak mengejutkan, kau pernah dengar drama tagalog?”

Adin menggeleng.

“Aku kebetulan tertekan siaran drama tagalog tapi aku faham bahasa dalam drama itu dengan baik, kau tahu kenapa?”

“Mungkin kau berasal dari Philippines? Manila?” 

Keningnya terangkat kerana Adin memberi perhatian kepada ceritaku pasal tagalog.

“Tapi aku juga boleh bercakap bahasa di sini?” entah sudah berapa banyak soalanku kepada lelaki berwajah tenang itu.

“Pelik.” Komen Adin.

Pelik. Sesuatu yang agak tidak biasa, maksudnya aku jelas tahu, ia sama dengan kisah suami isteri yang ada anak 14 orang di mana salah seorang anaknya yang berusia 10 tahun selalu bersikap pelik dan kelihatan lebih suka menyendiri berbanding adik beradiknya yang lebih besar. Sebegitu pelikkah aku sehingga tiada sesiapa pun yang kenal aku di sini?

“Kau ada kekasih?” oh, apa dah jadi dengan mulut aku yang semakin banyak cakap. Tentu drama tagalog itu penyebabnya.

Tetapi Adin masih juga menjawab. “Tak ada.” Katanya.

“Ayah?” aku seperti ingin menutup mulutku dengan sesuatu yang boleh membuatkan aku berhenti bertanya. Lantas aku memejamkan mata dan menunduk, aku takut kalau Adin merenungku marah.

Dia menggeleng. “Aku tidak ada keluarga. Sudah lama aku begini, sendirian,” nadanya perlahan dan seperti sikapnya yang selalu tenang. 

“Maaf, aku harap kau faham kenapa aku suka bertanya, aku cuma ingin memproses ingatanku,” kataku serba-salah.

“Tak apa, kau boleh tanya apa saja. Sudah lama sendirian, aku gembira ada seseorang seperti kau muncul dalam kehidupanku miss purba,” 

Aku ketawa kecil. “Aku suka nama Miss Purba berbanding Lita.”

Sekali lagi Adin tersenyum dengan bibirnya miring ke kiri sebelum dia kembali memandang keluar, melihat hujan.

Tentu Adin juga berfikirkan tentang kemunculanku yang tiba-tiba dalam hidupnya. Diam-diam aku merenung wajahnya dari sipi. Dia memiliki bentuk muka yang menarik, hidung dan bibirnya sempurna hingga membuatkan jantungku berdegup kencang. Kulitnya cerah kekuningan, tangannya berurat sepadan dengan tubuhnya segak dan tinggi Aku ingin mengenalinya didorong dengan suatu perasaan lain menusuk yang tidak kukenali apakah perasaan itu dtubuhku sekarang. Tubuh seorang perempuan tidak bernama. Bagaimanakah agaknya kehidupanku sebelum ini, mungkin baik atau buruk? 

Hujan yang disertai angin bertiup terasa dingin mengenai kedua-dua lenganku yang sedang memegang cawan kopi hangat.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.