Home Novel Cinta Jon Aragorn
Jon Aragorn
Ann Hann
3/1/2021 17:08:50
29,150
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Sebaik sampai di ofis aku duduk diam-diam sambil memandang sekelilingku.

Awal-awal pagi lagi, Puan Joan meminta aku menyemak senarai aduan beberapa penghuni Aragorn Tower tentang sistem kunci yang tidak berfungsi dengan baik.

Di mana Jon? Harap-harap aku tidak bertemu dengan dia hari ini dan aku doakan semoga dia hilang ingatan! Selepas lima tahun aku tidak lagi bertemu lelaki itu kejadian semalam memang buat aku terkejut. Macam mana dia boleh tiba-tiba jadi anak Roman Aragorn sedangkan Jon yang aku kenal dulu diceritakan tinggal dengan ibunya yang bekerja sebagai  pelayan bar. Malahan Jon yang hidup dengan geng-geng nakalnya bukanlah ciri-ciri lelaki yang akan bekerja di pejabat, apatah lagi di Aragorn Tower.

Hello… kepada otakku… 

tolong berhenti berfikir pasal dia, lebih baik aku buat kerja. Kepalaku sempat menoleh ke hadapan dan terpandang muka Angel yang melambai dan tersenyum mempamer giginya yang cantik. Meja-meja di pejabat itu disusun secara berbaris sehingga lima meja dan saling berhadapan dengan meja pekerja lain namun dipisahkan dengan dinding hitam yang menyelesakan untuk pekerja-pekerja melakukan kerja tanpa gangguan. Kira-kira dalam 30 orang pekerja dalam departmen pengurusan. Meja Audrey betul-betul di belakangku, Angel di hadapan manakala Erhard Franz di hujung barisan mejaku. Bahagian pejabat yang menguruskan akaun syarikat terletak di lain ruangan.

Jawatan Jon Aragorn pula sebagai Pengurus Eksekutif yang sedang belajar, mengikut cerita Miss Bale di sebelahku. Sementara Encik Roman memantau segalanya. Yalah tu! Macam mana agaknya semua ini boleh berlaku? Semua kerja rumah matematik lelaki pembelit itu dilakukan oleh seorang gadis bernama Nami Rose Adams. Segala nota-nota subjek sejarah, sains, kesusasteraan semuanya aku yang buatkan... grrr! Dan yang boleh buat aku marah, marah dalam hati saja.  Macam mana aku yang bersusah payah mendapatkan gred cemerlang sekadar menjadi pekerja bawahan dan Jon yang selalu berada di tempat sepuluh terakhir di dalam kelas dulu kini bergelar pengurus besar.

Oh ya, itu disebabkan dia rupa-rupanya anak Roman Aragorn Holland. Kenapa  aku tak tahu? 

Tolonglah Nami... tolonglah buat kerja kau... rayu suara dalam kepalaku.

Aku cepat-cepat mengalihkan fikiranku dan mula menyemak aduan penghuni yang mengadu sistem kod pintu mereka tidak berfungsi. Aku segera menghubungi pekerja teknikal dan meminta mereka pergi memeriksa masalah sebenarnya. Semua pengadu meminta masalah itu diselesaikan dengan cepat sebab ada dua orang penghuni yang tidak dapat memasuki apartmen kerana terkunci di luar rumah dan sudah menunggu lebih sejam.

Selepas sejam aku menelefon semula pusat penyelenggara yang mengambil kontrak dengan Aragorn Tower, mereka ada pakar-pakar dalam bidang letrik dan komputer.

“Hello, Marie, dah dapat penyelesaian?” tanyaku kepada seorang perempuan yang bertugas sebagai pengurus di situ.

“Ya, ya... emm siapa tadi?” tanya Marie yang kedengaran benar-benar sibuk di talian.

“Miss Adams dari Aragorn Tower.”

“Oh pasal sistem kod pintu kan?”

“Ya.”

“Sudah, juruteknik kata ada masalah dengan sistem penggera, mereka dah tahu dan sedang selesaikan semuanya. Setakat ni sudah dua apartmen berjaya dibetulkan, jangan risau ok.”

“Kalau begitu baguslah, saya akan telefon awak kalau ada aduan lagi,” kemudian aku menutup telefon dan bernafas lega. Kalau sudah dua apartmen berjaya diuruskan maksudnya juruteknik itu sudah tahu masalah yang berlaku. Aku akan minta juruteknik itu membuat laporan untuk dihantar ke pihak kami sebagai rujukan pada hari-hari lain pula.

Selepas kes aduan tadi aku memeriksa pula penyata bayaran setiap residen Aragorn Tower. Setiap bulan sepatutnya bayaran akan sekata, jika ada residen yang terlewat membayar aku perlu menuntutnya cepat-cepat. Bukan itu sahaja, aku juga perlu memeriksa semua kemudahan apartmen seperti kolam dan gym berfungsi dengan baik dan setiap keperluan kewangan untuk penyelenggaraan kemudahan-kemudahan apartmen perlu mendapatkan persetujuan dari Jon Aragorn

Begitulah nama lelaki itu tertulis dalam fail yang diletakkan di mejaku ini. 

“Kerja kau dah siap?”

Angel tiba-tiba muncul di sebelahku. “Ish!” aku terkejut kerana terlampau fokus dengan kerja sampai lupa betapa besarnya saiz tubuh Angel.

“Sudah. Kenapa?”

“Kenapa? Hei sekarang dah waktu makan tengaharilah!” mata Angel terjegil kepadaku.

Aku segera melihat jam di tangan dan memandang sekeliling. Departmen itu hampir kosong semua pekerja sudah keluar berehat. Tetapi ada dua, tiga orang lagi yang masih tekun bekerja.

“Kau buat kerja apa?” tanyaku pada Angel sambil aku menarik laci dan mengambil sling bag.

“Aku buat kerja-kerja kira gaji, taklah susah sangat, kerja lama aku dulu pun aku buat hal yang sama juga,” jawab Angel.

Aku terus berdiri sebelum mengekori Angel dari belakang yang berjalan agak laju mungkin kelaparan.

“Mana Audrey?” aku mencari gadis asia itu yang tidak ada bersama kami.

“Dia ke bilik air, kita tunggu dia dekat lif.”

Kemudian Erhard pun turut mengikuti kami bertiga sama-sama turun ke dewan makan yang terletak di tingkat bawah. 

“Kita nak makan di dewan makan ke? Kamu tak nak makan di kafe lain?” tanya Audrey sebaik dia menyertai kami lalu sama-sama masuk ke dalam lif.

“Kan bagus dapat makan percuma setiap hari isnin, selasa dan jumaat. Lagipun aku dengar makanannya semua berkhasiat. Roman Aragorn memang suka menjaga kebajikan pekerjanya lagipun dia ada cef terbaik di situ dan selalu makan di situ, hampir setiap hari,” beritahu Angel.

“Wah, baguslah, dapat juga aku jimat duit untuk tiga hari,” aku mencelah.

“Betul,” Angel bersetuju.

Sekejap sahaja kami sudah tiba di dewan makan dan mula mengambil makanan. Angel betul, makanannya sangat berkhasiat. Ada salad sayur dan bagel. Hari ini menunya sangat istimewa, bagel berintikan udang kara dengan salad mayonis dan semangkuk sup cendawan untuk setiap pekerja.

“Betulkah percuma?” Erhard bertanya kepadaku.

“Mungkin...” aku sendiri pun ragu-ragu, bukannya murah hidangan udang kara kalau di restoran lain. 

“Percumalah, hari ini kan hari selasa. Kawan sebelah meja aku tadi kata, kalau hidangannya berbayar menunya lebih banyak jika percuma cuma satu menu sahaja tetapi cukup untuk semua pekerja. Tapi malangnya, aku tak cukup makan satu bagel saja, sekurang-kurangnya aku perlukan dua atau tiga...”

Aku, Audrey dan Erhard terkejut serentak.

“Awak kena diet kawan. Untuk setiap isnin, selasa dan jumaat,” Audrey menepuk perut Angel yang buncit itu.

Aku ketawa kecil, mujurlah Angel bukan jenis orang yang mudah tersentap, dia sekadar ketawa. Kami duduk bersama-sama dan mula makan sambil menikmati secawan teh cina yang panas. Betul-betul menyelerakan dan berkhasiat. Sebiji bagel itu sebenarnya sebesar tapak tanganku tapi lebih lebar dua inci, aku cuma dapat makan setengah dan setengah lagi aku berikan pada Angel yang gembira lupa tentang niatnya hendak berdiet. Audrey dan Erhard kelihatan lapar dan berjaya menghabiskan bagel mereka. Aku tak lapar sangat, pagi tadi sebelum ke tempat kerja aku makan sup cendawan juga dan roti bawang putih hasil masakan Ethan dan Foden. 


Previous: Bab 4
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.