Bab 16

KEESOKAN harinya, ketika waktu makan tengah hari di pejabat, El telah mengajak hana makan tengah hari bersama.

"So, nak lunch dekat mana?" Soal El dengan mata yang melekat kuat pada raut wajah isterinya itu. Dia merenung Hana dengan rasa cinta dan rindu. Setelah beberapa hari Hana mengikut Hariz pulang ke rumah bapa saudaranya di Johor, buat pertama kalinya El terasa rindu yang teramat sangat pada wanita itu.
"Eemm... Saya tak nak makan. Tapi, teringin nak minum coffee. Hari tu dekat kampung, pak ngah buat coffee sama sangat macam arwah ayah saya buat," Hana bercerita tanpa dipinta. Selepas pulang dari kampung, Hana kelihatan sangat ceria. Kadangkala Hana akan bercerita tanpa El bertanya.
"Okay, kalau macam tu, kita pergi minum dekat Arabic Coffee. Atas ni je. Kawan-kawan saya selalu hi-tea dekat situ. Jom," ujar El sambil menarik tangan Hana. Terkejut dengan tindakan El, dengan pantas Hana menarik semula tangannya.
"Bagi saya pegang tangan awak," paksa El.

Apa yang dia takut sangat aku pegang tangan dia ni? Marah El di dalam hati.
"Nak buat apa? Selalu takda pegang tangan pun. Tak nak lah," Hana menggeleng sambil tayang muka masam.

Kalau Azura nampak aku dan boyfriend dia berpegangan tangan ni, mahu dia hempok kepala aku nanti.
"Denda sebab awak tinggalkan saya lama-lama dekat rumah sorang-sorang. Kalau awak tak nak bagi saya pegang tangan awak. After this, no more balik Johor," ugut El dengan muka serius.

Susah sangat nak pegang tangan, ugut je lah. Baru dia tahu kuasa veto aku.
Hana merenung tajam wajah El. Hatinya sakit diugut sebegitu. Dengan rasa terpaksa, Hana menghulurkan tangannya untuk dipegang oleh El. Kemudian, lelaki itu tersenyum puas sambil menggenggam erat jari jemari Hana.
Janganlah terserempak dengan Azura. Mahu kepala aku hilang nanti kalau Azura nampak El pegang tangan aku. Doa Hana di dalam hati.
Sesampainya di restoren yang dimaksudkan, mereka berdua memesan air dan beberapa jenis pastry. Hana kelihatan teruja melihat susun atur kedai itu.
"Cantiknya cafe ni," ujar Hana sambil melihat sekeliling cafe tersebut. El hanya tersenyum memandang Hana. Dia meneliti setiap inci wajah wanita itu.

Mata yang bundar dan layu menyerlahkan keayuan wajah Hana. Bibirnya yang nipis dan dicalit sedikit pelembab bibir menampakkan kecantikan semulajadi wanita itu. Hidungnya yang sedikit mancung melengkapkan lagi paras rupa Hana. Pendek kata wanita perfect ten!
Beberapa minit kemudian, pesanan mereka sampai dimeja.
"Sedapnya bau coffee. Rindunya dekat abah," ujar Hana sambil mencium bau coffee itu. Matanya terpejam kejap saat aroma coffee menusuk ke lubang hidungnya. Dengan berhati-hati, Hana menghirup air coffee itu. Wajahnya kelihatan sangat berpuas hati. Tanpa Hana sedar, El mengambil gambar Hana. Kemudian, lelaki itu tersenyum sendiri saat melihat gambar yang di ambil.

Dah macam buat iklan kopi. Detik hati kecil El.

"Awak nak rasa? Sedap tau," soal Hana sambil menghulurkan cawan coffee nya kepada El.
"Aaaa....sure," teragak-agak El mengambil cawan dari tangan Hana dan menghirup air itu perlahan-lahan. Kemudian, dia memberi semula cawan tersebut kepada Hana.
"Sedapkan? Kenapa awak tak order coffee?" Soal Hana. Matanya memandang pada air teh di milik El.
"Aaa... i prefer tea than coffee," balas El sambil tersenyum paksa.

El ada alahan pada kopi dan dia langsung tidak boleh minum apa jua jenis kopi. Tetapi, dia juga tidak mahu mood Hana rosak jika dia menolak pelawaan untuk merasa kopi tersebut.
"Ohh...," balas Hana sambil menganggukkan kepala tanda faham. Kemudian, Hana menikmati pastry yang terhidang di depan mereka. Semuanya sedap-sedap belaka. Dia memandang pada El yang langsung tidak menjamah apa-apa pun. Wajahnya juga tiba-tiba berubah pucat. Peluh dingin mula merinik di dahi lelaki itu. Hana agak pelik melihat El kerana restoren itu memasang penghawa dingin. Tetapi, kenapa El berpeluh-peluh?
"Kenapa tak makan? Are you okay? Awak berpeluh. Panas ke?" Soal Hana dengan dahi yang berkerut nipis. Dia mula merasa bimbang melihat keadaan El.
"Saya rasa tak sedap badan lah," ujar El yang kelihatan sedikit gelisah. Lantas, dia melonggarkan butang bajunya sehingga ke pangkal dada.
"Ya ke? Kalau macam tu, kita balik ofis je lah," balas Hana agak cemas dan risau apabila bibir El semakin pucat. "Saya drive la. Awak nampak tak okay," tambah Hana lagi.
Mendengar sahaja kata-kata itu, El terus menyerahkan kunci keretanya kepada Hana lalu dia bangun menuju ke kaunter pembayaran. Kemudian, mereka terus keluar dari restoren tersebut dan berjalan ke tempat letak kereta.
Sebaik sahaja masuk ke dalam, Hana menghidupkan enjin kereta. Kemudian, dia menoleh ke arah El yang menyandar sambil menutup mata. Hana bimbang melihat El sebegitu.
"Kita pergi klinik lah. Awak nampak tak sihat," cadang Hana dengan riak muka risau.
Tadi okay je. Kenapa tiba-tiba dia macam ni? Detik hati Hana.
"No. Kita balik ofis je. Lepas saya tidur kejap nanti, okaylah ni," balas El dengan mata yang masih terpejam rapat. Dadanya berombak seolah-olah sedang mengawal pernafasannya.
"Okay," Hana akur dengan kehendak El. Dia tidak mahu memaksa lelaki itu kerana dia tahu El tidak suka dipaksa.
Terus Hana memandu dengan kelajuan yang agak laju dari biasa. Mujur tempat mereka minum tidak jauh dari pejabat.
Sebaik sahaja sampai di pejabat, El terus masuk ke biliknya dan berbaring di sofa. Mata cuba melelapkan mata, namun gagal. Terasa tubuhnya seolah-olah melayang-layang ke udara.
Hana pula hanya melihat saat El masuk ke biliknya. Dia tidak mahu menganggu lelaki itu. Pasti El mahu berehat. Tetapi, jauh di sudut hati, dia bimbang dengan keadaan El.
Dari tempat duduknya, mata Hana melihat tepat pada pintu bilik lelaki itu. Hatinya meronta-ronta mahu masuk ke dalam dan ingin memastikan El dalam keadaan okay.
"Tengah tidur agaknya. Nanti kalau aku masuk, marah pula dia." Gumam Hana. Perangai El bukan boleh diduga. Ada masa baik macam malaikat, ada masa moody. Habis semua dimarahnya. Jadi, Hana mengambil keputusan untuk tidak mengganggu El.
Tidak lama selepas itu, kelihatan Ikram masuk ke dalam bilik El. Tiba-tiba interkom di meja Hana berbunyi. Pantas Hana mengangkat gagang dan didekatkan ke telinganya.
"Hana, masuk sini kejap," kedengaran suara Ikram agak cemas.
Tanpa membuang masa, Hana terus berlari anak menuju ke bilik El.
Sebaik sahaja masuk ke dalam, kelihatan El sedang berpeluh-peluh mengerekot menahan sakit. Wajahnya juga sudah pucat lesi. Hana jadi panik melihat El sebegitu.
"Tak okay lagi ke, El?" Soal Hana dengan suara yang bergetar bimbang.

Macam bertambah teruk dari tadi. Aku takda letak racun pun dalam air dia. Kenapa semakin teruk pula ni? Hati Hana menjadi tak keruan saat ini.
"Macam food poison. I ajak dia pergi klinik, tak nak," rungut Ikram. "El, jom pergi klinik. Ke kau nak aku panggil ambulance?" Soal Ikram sedikit geram dengan kedegilan sahabatnya itu.
El tidak menjawab, dia hanya menggeleng sambil menahan sakit.
"See. Degil. Habis kau nak tahan sakit sampai bila ni?" Soal Ikram dengan nada yang sedikit keras dari tadi.

Dah macam separuh nyawa pun masih nak bertahan lagi. Bebel Ikram di dalam hatinya.
"El, kita pergi klinik lah. Awak nampak teruk ni. Saya dengan Ikram bawa awak ke klinik ye?" Hana pula cuba memujuk. Namun, El masih berdegil. Dia tetap tidak mahu.
"Nak muntah," kata El seakan tertahan-tahan. Dengan pantas Hana meraih lengan El dan dibantu oleh Ikram. Mereka memapah lelaki itu menuju ke bilik air yang ada di dalam pejabat El.
Sesampainya di sinki, El menggeleng tanda dia tidak boleh muntah. Pantas sahaja Hana keluar dari bilik itu dan menuju ke meja kerjanya. Dia mencari minyak angin yang sering dibawa olehnya di dalam beg tangan. Kemudian, Hana masuk semula ke bilik El. Setelah itu, dia menyapu minyak angin di belakang badan dan dada lelaki itu. Perlahan Hana mengurut belakang badan El.

Tidak lama selepas itu, El memuntahkan segala isi perutnya. Hana terus mengurut belakang badan El tanpa henti sambil berdoa di dalam hati agar lelaki itu kembali sihat.
Setelah beberapa detik, El berhenti muntah, Hana dan Ikram memapah El semula ke sofa. Riak wajah El kelihatan sedikit lega. Dia nampak lebih baik berbanding tadi. Hana merenung wajah lelaki itu. Jatuh kasihan saat dia melihat keadaan El sebegitu.

"You all lunch dekat mana tadi?" Soal Ikram apabila keadaan kembali tenang.
"Dekat mall seberang jalan tu. Cafe Arabic Coffee," balas Hana sambil duduk dan mengurut kepala El dengan minyak angin. Sekali sekala terdengar El sendawa.
"Angin rasanya ni," tambah Hana dengan wajah yang masih risau.

Apa yang dia salah makan ni? Tiba-tiba jadi macam ni. Bisik hati kecil Hana.
"Coffee? El minum coffee ke?" Soal Ikram dengan muka terkejut. Mata lelaki itu juga terbuntang luas.
"El tak order coffee. Dia order teh. Cuma saya ada bagi dia rasa coffee saya. Tapi, El rasa sikit je," jelas Hana kepada Ikram.

Sebab coffee ke dia jadi macam ni? Gerutu hati Hana.
"El tak boleh minum coffee. Kau tak bagi tahu Hana ke, El?" Soal Ikram sambil memandang wajah El. Namun, lelaki itu tidak menjawab.
"Takda," celah Hana. Dia mula rasa bersalah. Kalau tahu jadi begini, Hana tidak mungkin bersetuju ke cafe itu. Wajah El dipandang sayu. Kasihan melihat El sebegitu. Hana menyapu sedikit minyak angin ke dada El. Supaya lelaki itu merasa sedikit selesa.
"El tak boleh minum coffee. Seteguk dua pun tak boleh. Dia memang ada alahan pada coffee," kata Ikram. Ayat itu ditutur satu persatu.
Berubah riak wajah Hana selepas mendengar penjelasan Ikram itu. "Saya tak tahu. Saya yang offer dia rasa sikit tadi. Kalau saya tahu, saya tak bagi dia rasa coffee saya tu," balas Hana dengan nada kesal.
Kemudian, wajah El dipandang. "Kenapa awak tak beritahu saya yang awak tak boleh minum coffee?"
"Not your fault. I'm feel better now. Thanks," hanya itu sahaja yang keluar dari mulut El. Dia tidak mahu Hana merasa bersalah dengan apa yang berlaku.

Ya lah, aku sendiri sepatutnya beritahu pada dia dan tolak pelawaan dia untuk rasa air coffee tadi. Tapi, entah kenapa aku tak sampai hati nak tolak. Takut Hana berkecil hati. Jadi, aku kena tanggung akibatnya. Bisik hati kecil El. Dia kasihan melihat riak bersalah wanita itu.
"Kenapa awak minum juga coffee tu tadi? Sepatutnya awak beritahu saya yang awak memang tak boleh minum coffee langsung," kata Hana sambil mengeluh kecil. Tangannya masih memicit kepala El sambil berdoa agar El kembali sihat.
"Saya pun teringin nak minum sikit. Tak sangka pula jadi macam ni," balas El dengan senyuman pahit. Dia memandang Hana dengan penuh rasa kasih sayang.
Risau juga dia pada aku. Hari- hari sakit pun aku sanggup kalau Hana layan aku macam ni. Detik hati El.
"Sendiri cari penyakit namanya tu. You jangan rasa bersalah lah Hana. El tu yang sengaja nak manja-manja dengan you. Tengoklah dia pandang you. Lain macam," usik Ikram dengan tawa yang meledak kuat.
Muka Hana merona merah apabila diusik sebegitu. Serta merta tangannya berhenti dari memicit kepala El dan dia bangun dari situ. Hana memandang wajah El yang sedang merenungnya. "Dah okay kan? Saya keluar dulu," tanpa menunggu lagi, Hana terus keluar dari ruangan pejabat El.
Ya ke nak manja dengan aku? Entah-entah tunggu Azura belai dia. Gerutu hati Hana.
Sementara itu di dalam bilik El. Ikram masih lagi ketawa mengusik. El sekadar cebik bibir memandang pada sahabatnya itu.
"Kau ni kacau daun betul la. Aku baru nak manja-manja dengan dia," ujar El sambil membetulkan duduknya.
"Eh, terus baik? Tadi tu sakit betul ke agenda nak bermanja semata?" Soal Ikram. Dia turut melabuhkan punggungnya di sebelah El. Bibirnya masih tidak lekang dari senyuman mengusik.
"Tadi betul lah. Sakit rasa tak tahu nak cakap macam mana. Menggigil satu badan aku lepas rasa coffee tadi. Sedap memang sedap. Tapi, azabnya..," jelas El apabila mengingat kembali peristiwa sebentar tadi.
"Dah tahu buat apa minum? Sengaja cari penyakitlah tu," balas Ikram sambil menggelengkan perlahan.
"Hana offer rasa sikit. Aku tak sampai hati nak tolak. Takut dia terasa. Demi menjaga mood dia, aku minum lah juga. Sekali mood aku spoil," jelas El kepada Ikram.
"Hai, sejak bila kau dah mula pandai nak jaga hati Hana ni? Selalu cakap main lepas je dengan dia," Ikram tersenyum sinis. Dia gembira melihat perubahan El. Dan lebih gembira lagi, jika El boleh melupakan Azura.
"Entah. Tiba-tiba je rasa macam ada satu perasaan yang muncul tanpa aku sedar," gumam El dengan nada yang masih lemah. Ikram menyambung tawanya setelah mendengar kata-kata dari mulut El.

Dah tersungkur la ni! Detik hati Ikram gembira.

"Eh, dah lah. Kepala aku ada pening-pening sikit lagi ni. Nanti la kita sembang lagi bab ni. Aku nak tidur kejap. Tolong letak sign 'do not disturb' tu pada tombol pintu bilik aku ni," sambung El. Lalu dia mengambil bantal kecil yang terletak di hujung sofa itu, lantas kepalanya direbahkan ke bantal.

"Betul ni tak nak pergi klinik?" Soal Ikram cuba mendapatkan kepastian. El hanya menggeleng tanda tidak mahu.
"Okaylah. Rehatlah. Meeting petang ni aku ganti kau," Ikram terus berlalu keluar dari bilik itu.
Sebaik sahaja Ikram keluar dari bilik El, dia berjalan menghampiri Hana sambil tersenyum apabila Hana memandangnya.
"El okay. Dia tak mahu diganggu. Tapi, kalau you ganggu dia, dia okay kot," usik Ikram. Dia ketawa kecil apabila melihat wajah Hana merona merah.
"Nanti kalau dah habis office hour, you jangan lupa ajak dia balik pula. Kalau tak, sampai esok El tidur sini," tambah Ikram lagi dengan tawa yang masih bersisa.

"Okay," balas Hana ringkas. Malas mahu melayan mengarut si Ikram.

Dari tadi asyik mengusik aku dengan El. Kalau Azura dengar ni, mahu dia hempuk kepala aku. Sudahlah buat lawak, sendiri ketawa. Bebel hati Hana dengan geram.


JAM menunjukkan hampir pukul 5.30 petang. Memandangkan El masih tidak berapa sihat, mesyuarat tadi telah diketuai oleh Ikram. Hana mencatatkan segala perbincangan di dalam mesyuarat itu. Sudah menjadi kebiasaan, Hana akan menerangkan semula segala perbincangan di dalam mesyuarat kepada El. Jadi, dia harus bersiap sedia dengan segala soalan dan perbincangan yang El ingin tahu.
Setelah mengemas segala file yang berselerak di atas mejanya, Hana berjalan menuju ke bilik El. Dia mengetuk perlahan pintu bilik lelaki itu sebelum masuk ke dalam. Kelihatan El masih lena di sofa. Dengan berhati-hati, Hana mendekati El dan mengejutkan lelaki itu dari tidurnya. "El..El... Bangun," lengan El ditepuk lembut.
"Kepala saya sakit lagi laaa..," rengek El sebaik sahaja terjaga dari lena. Tangannya naik memegang kepala. Dengan mata yang separa terbuka, dia merenung wajah Hana. Muka wanita itu masih kelihatan bimbang.
"Kita pergi klinik, ambil ubat la. Nak?" Soal Hana cuba memujuk El.
"Tak nak..," balas El acuh tak acuh.
"Habis tu tak kan nak biar je sakit kepala tu?" Sambung Hana lagi.
Apa yang susah sangat nak pergi klinik ambil ubat? Dia ni susah betul la! Macam budak-budak susah nak pergi klinik. Takut jarum ke? Isshhh..dia ni. Bebel Hana di dalam hati.
"Nak awak urut macam tadi. Boleh?" Soal El dengan nada manja. Sentuhan Hana membuatkan El tenang.

Mana tahu boleh baik terus kepala aku ni. Bisik hati kecil lelaki itu.
"Kalau urut bukan boleh baik. Kena makan ubat juga," balas Hana malas hendak melayan perangai El yang tiba-tiba mahu bermanja itu.
"Tak boleh takpa lah," balas El. Nadanya seakan merajuk. Kemudian, dengan perlahan dia bangun dari pembaringannya dan bersiap untuk pulang. Kunci kereta diserahkan kepada Hana kerana dia masih tidak boleh memandu.
"Saya tak cakap pun tak boleh. Cuma nak suruh awak pergi klinik ambil ubat dulu," Hana cuba lagi memujuk El. Namun, El buat tidak endah dengan pujukan Hana. Dia lebih melayan rajuknya sahaja.
Merajuk pula. Sejak bila dia suka merajuk dengan aku ni. Selalu aci redah je cakap lepas semua. Gerutu hati Hana.
Sepanjang perjalanan menuju ke rumah, El hanya mendiamkan diri dan memejamkan matanya. Sekali sekala kelihatan dia mengerutkan dahi seakan menahan sakit. Sekali sekala Hana melirik pada susuk tubuh disebelahnya itu. Terbit rasa kasihan di dalam hatinya.
Setelah sampai, dengan langkah yang lemah El masuk ke rumah. Seketika dia merasakan sekelilingnya seakan berputar. Cepat-cepat tangannya memaut pada dinding. Hana yang melihat situasi itu, cepat-cepat meraih lengan El. "El, kita pergi kliniklah. Saya risaulah," Hana cuba memujuk sekali lagi.
"No. Don't you understand that!" Tegas El tak tahan di desak.

Dah cakap tak nak pergi klinik, apa yang tak fahamnya ni? Bentak El di dalam hati.
Hana mendengus perlahan. Geram dengan kedegilan lelaki itu. Tetapi, dalam masa yang sama, dia bimbang. "Kalau macam tu, awak mandi dulu. Lepas tu, saya urut kepala awak," arah Hana.
"Tak larat nak naik atas. Pening sangat. Saya baring bilik awak je," El terus berjalan perlahan menuju ke bilik Hana tanpa meminta persetujuan wanita itu. Hana terpinga-pinga melihat El masuk ke biliknya. Namun, tetap sahaja dia membuntuti El.
"Awak nak baring sini ke? Sini takda katil. Awak tak selesa nanti," Hana cuba menghalang. Tetapi, El tidak peduli. Dia terus merebahkan badannya ke tilam Hana.
"Cepatlah, cakap nak urut," desak El sambil membuka bajunya.
Hana tercengang. "Eh, saya nak urut kepala je. Kenapa buka baju?" Soal Hana cemas.

Dah lah masuk bilik aku. Bagi arahan suruh aku urut pula. Siap buka baju bagai. Ingat ni rumah urut ke?
"Urut badan dengan kepala. Thank you in advance," balas El selamba. Matanya ditutup rapat tanpa mempedulikan reaksi Hana.
Sedapnya bau tilam ni. Wangi macam tuan dia. Bisik hati kecil El. Hilang sekejap sakit kepalanya ketika dia berbaring di situ.
Dia ni kann. Menyesal aku offer urut tadi. Kalau aku tahu, aku biar je kau melepek kat ruang tamu tu. Bebel Hana di dalam hati.

Bibir di gigit lembut. Dengan hati yang sebal, Hana mencari minyak urut yang sentiasa menjadi penemannya dikala dia mengalami period pain. Minyak di titiskan ke belakang badan El sedikit dan dia mula mengurut lembut. Sekali sekala terdengar lelaki itu sendawa.
"Pandai awak urut," puji El dengan mata yang masih terpejam. Nikmat sungguh dirasakan sentuhan wanita itu saat ini.
"Saya selalu urut arwah abah dengan arwah suami saya dulu," balas Hana dengan senyuman nipis terukir dibibirnya. Dia terkenangkan wajah kedua-dua lelaki kesayangannya itu.
"Arwah suami?" tersentak El tatkala jawapan Hana. Dia terlupa yang Hana pernah berkahwin sebelum ini.
"Ya, arwah suami. Awak lupa ke saya ni janda?" Sindir Hana. Kemudian, dia mengalihkan urutannya ke bahagian kepala El. Sekali lagi kedengaran El sendawa beberapa kali. Hana meneruskan urutan sehinggalah lelaki itu terlena di atas tilamnya.
Kesian pula nak kejut. Detik hati Hana. Lantas dia bangun bangun dari situ. Tuala dan persalinan baju diambil dan dia menuju ke bilik mandi untuk bersiap solat maghrib.
Hampir sejam El terlena disitu. Waktu maghrib juga sudah sampai di penghujung waktu. Perlahan Hana cuba membangunkan El. "El, maghrib dah nak habis waktu. Awak belum solat lagi ni," nadanya kedengaran lembut. Tubuh El digoyangkan sedikit berharap agar lelaki itu sedar. Beberapa saat selepas itu, El membuka matanya perlahan. Dia merenung Hana dengan mata yang masih layu.
"Ada rasa okay sikit tak?" Soal Hana prihatin.
"Emmm.. Lega sikit. Thanks," El menolak tubuhnya bangun dari tilam Hana dan dia berjalan lemah keluar dari bilik itu. Dia naik ke biliknya untuk mandi dan bersolat. Hana hanya menghantar dengan pandangan mata sehingga lelaki itu hilang di sebalik tangga.
Dah okay ke? Boleh naik tangga tu okaylah agaknya. Gerutu hati Hana sedikit ragu-ragu.

Sementara itu, El baru selesai menunaikan solat. Dia duduk berteleku di atas sejadah sambil mengenang kembali memori saat dia mula mengenali Hana melalui Puan Mastura.
Hana memang nampak kekampungan. Dengan baju kurung, bertudung bawal biasa. Memang bukan citarasa El sebagai lelaki yang suka pada wanita moden. Hanya wanita seksi dan pandai bergaya sahaja yang menarik pandangan matanya. Sebab itu, Azura menjadi pilihan El. Wanita itu berjaya menarik cinta dan nafsu dia sebagai lelaki yang ingin memiliki wanita seperti Azura. Tetapi, setelah berkahwin dengan Hana, sedikit sebanyak El telah mengubah pandangannya terhadap wanita itu.
Hari pertama Hana bekerja dengannya, El telah memberi amaran agar wanita itu menjaga imej syarikat. Akhirnya, El meminta pertolongan Ungku Nadia untuk mengubah cara Hana berpakaian supaya sesuai dengan imejnya yang bertudung dan sehingga sekarang Hana masih kekal dengan imej yang Nadia ajarkan.
Hana tidak secantik Azura. Tetapi, raut wajahnya manis dan ayu jika ditatap lama. Sikap yang tegas dan agak garang Hana menjadikan dia seorang wanita yang sukar untuk didekati.
Kulitnya yang agak putih kemerahan itu juga menyerlahkan lagi kemanisan wajahnya. Setiap kali El bertentang mata dengan Hana, renungan dari mata bundar itu berjaya membuatkan hati lelakinya bergolak dan bergetar hebat. Renungan Hana membuatkan El ingin mendekati wanita itu. Sungguh, El sudah gila bayang pada isteri sendiri. Isteri yang bukan pilihan.
Kini, El sudah tidak kisah lagi dengan status Hana. Dia hanya mahu mulakan segalanya bersama wanita itu. Tapi, dia tahu Hana sukar untuk menerimanya. Mungkin kerana dia menyangka El masih bersama Azura. Hana sendiri tidak menunjukkan sebarang minat terhadap El. Seolah dia hanya bekerja dan rakan serumah El.
Sikap Hana yang langsung tidak cemburu apabila melihat El bersama Azura meresahkan hati El. Dia bimbang Hana merasakan bahawa dia hanya mahu mempermainkan Hana.
El teringat kembali sewaktu dia menyambut harijadi Azura tahun lepas. Dia meminta Hana untuk mengaturkan birthday party untuk Azura. El melihat Hana bersungguh-sungguh menyediakan tempat, kek dan sebagainya untuk sambutan itu. Sedikit pun Hana tidak menunjukkan bahawa dia cemburu pada Azura.
"Saya rasa Azura tak makan kek coklat ni. I think she's on diet. Apa kata kalau saya suggest kek yang more to vegan. Nanti saya carikan dekat online," cadang Hana kepada El ketika mereka berbincang mengenai sambutan harijadi Azura itu.
"Okay," El hanya menganggukkan tanpa membantah. Hana kelihatan sangat ikhlas ketika mengaturkan segalanya untuk Azura. Walaupun El sendiri tidak pernah menyambut harijadi Hana.
"Encik El budget untuk hadiah Azura berapa?" Soal Hana sambil membuat carian di internet.
"Tak kisah, you beli je. Balut cantik-cantik," balas El sambil menghulurkan kad kreditnya kepada Hana.
"Okay. Tempat semua saya dah booking. Nanti yang lain-lain saya update dengan Encik El semula," ujar Hana sambil mengambil kad kredit dari tangan El.
Hana memang seorang yang amanah. Dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kepercayaan El terhadapnya. Dia akan buat apa sahaja arahan El walaupun berkaitan dengan Azura.
Azura juga melayan Hana dengan baik kerana dia tahu Hana tiada perasaan terhadap El. Azura juga tahu El dan Hana berkahwin kerana terpaksa. Jadi, Azura juga tidak cemburu terhadap Hana kerana dia tahu El amat menyintainya.
Lamunan El terhenti apabila dia terdengar ketukan dari pintu biliknya. Dia bangun dari sejadah dan berjalan menuju ke pintu. Tombol dipulas perlahan dan daun pintu dibuka. Serta merta haruman dari tubuh Hana menusuk ke hidungnya. Terus dia merenung wajah Hana yang putih mulus itu. Ingin sahaja dia mengucup dahi wanita yang sudah menjadi isterinya itu. Namun, dia tiada keberanian dan kekuatan untuk melakukannya kerana khuatir Hana terkejut dan menjauhkan diri darinya.
"Ada apa?" Soal El dengan nada yang gemersik. Matanya masih belum beralih dari merenung wajah Hana.
"Awak dah okay ke?" Soal Hana.
Apahal dia tengok aku macam nak telan? Seram pula rasa. Detik hati Hana perasan akan renungan El terhadapnya.
"Emmm...," balas El sambil menganggukkan perlahan. Matanya masih melekat kuat pada wajah Hana dengan renungan yang penuh makna.
"Kalau ada apa-apa, awak panggil je saya. Beritahu saya nak air ke, nak ubat ke. Nanti saya hantar. Jangan turun naik tangga. Saya risau awak jatuh," pesan Hana masih risau dengan keadaan El. Dalam masa yang sama, dia juga rasa bersalah kerana menyuruh lelaki itu merasai kopinya siang tadi.
"Kalau macam tu, awak kena tidur sini lah. Senang jaga saya dalam bilik ni," tidak semena-mena ayat itu meluncur keluar dari mulut El.
Eh, apa aku cakap ni? Aduhhh. El terkedu sendiri dengan ayatnya tadi. Air liur diteguk kasar. Dilihat wajah Hana juga merona merah.
"Saya bergurau je. Jangan serius sangat," El cuba 'coverline' kata-katanya sebentar tadi apabila melihat Hana terdiam tanpa menjawab apa-apa. Nafas digali dalam dan dia cuba bertenang.

Bergurau dengan aku ya? Nanti kau. Detik hati Hana.
"Nak saya call Azura? Beritahu dia?" Soal Hana sengaja menyebut nama wanita itu.
"Kan saya cakap saya bergurau. Tapi, kalau awak nak call dia.. call lah. Ingat saya takut dengan dia?" Balas El sambil buat muka tak heran.
Ugut aku konon. Gerutu hati El.
"Laaa... Saya nak beritahu dia, awak tak sihat. Yang nak serius sangat kenapa?" Usik Hana kembali mengusik El. Lelaki itu memandang Hana sambil mengetap bibir. Senyumannya ditahan.
"Owhh.. Kenakan saya? Saya tarik awak masuk dalam bilik ni betul-betul, baru awak tahu," ugut El sengaja buat muka serius. Dia mengacah-acah untuk menarik tangan Hana. Mengekek Hana ketawa saat melihat muka geram El. Cepat-cepat dia mengundur ke belakang. "Dahlah. Saya nak turun. Call la Azura beritahu dia awak tak sihat. Dia asyik mesej saya tanya kenapa awak tak call dia semula. Tak reply mesej dia. Kesian dia," Hana cuba memujuk El kerana dia tahu El merajuk dengan Azura. Azura telah menceritakan segala-galanya kepada Hana apa yang telah berlaku antara dia dan El.
"Good night. Tak teringin ke tidur bilik ni? Ada katil," pintas El tanpa mempedulikan kata-kata Hana tentang Azura.
"Eee... seram," balas Hana ringkas. Lantas dia berjalan menuju ke tangga. "Jangan lupa call Azura," sempat Hana mengingatkan El sekali lagi agar lelaki itu tidak lupa.

Azura.. I don't trust her anymore. Gerutu hati El.
Ya, berlaku salah faham antara El dan Azura. Sudah lama El dan Azura tidak bertemu. Lelaki itu juga sudah memutuskan untuk tidak meneruskan hubungannya dengan Azura lagi. Tetapi, Azura seolah tidak faham dan tidak mahu menerima keputusan El. Azura menganggap El tidak serius dengan keputusannya. Oleh kerana itu, Azura terus menerus cuba menghubungi dan memujuk El. Sehingga kini, El sedaya upaya untuk mengelak dari bertemu atau keluar bersama wanita itu.
El merebahkan tubuhnya ke katil. Malam itu, hujan turun dengan lebatnya. Tidak lama selepas itu, dia terlena. 


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh